Mexico

  • Bas terjunam ke dalam sungai di Nepal: Angka maut meningkat kepada 19 dan 25 lagi cedera

    Jumlah kematian dalam kemalangan bas di Nepal meningkat kepada 19 orang, dengan seorang warga asing antara yang terkorban, lapor berita Anadolu.

    Bas itu, yang dalam perjalanan dari Pokhara ke Kathmandu, ibu negara dan destinasi pelancongan yang paling banyak dikunjungi, terjunam ke dalam Sungai Trishuli di daerah Dhading, menjadikannya salah satu kemalangan bas paling dahsyat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Jurucakap Polis Nepal, Prakash Dahal, dilapor berkata seorang yang terkorban ialah seorang warga Britain, yang dikenal pasti sebagai Stewart Dominic Ethan.

    Seorang lagi warga asing, warga New Zealand bernama Mari Evade, mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu dan dibenarkan keluar dari hospital selepas rawatan.

    Pihak berkuasa telah mengesahkan lapan warga Nepal antara yang terkorban, manakala identiti mangsa yang tinggal masih disahkan.

    Dua puluh lima penumpang yang cedera dibawa ke dua hospital di Kathmandu.

    Penyelamat menggunakan bot untuk membawa mangsa yang cedera dari sungai ke jalan raya sebelum mengangkut mereka ke bandar dengan ambulans.

    Siasatan awal oleh polis Nepal menunjukkan bas itu terjatuh kira-kira 200 meter dari tepi jalan ke dalam Sungai Trishuli.

    Kementerian Dalam Negeri telah membentuk jawatankuasa siasatan untuk menyiasat punca kemalangan dan mengesyorkan langkah-langkah bagi mencegah kejadian serupa pada masa hadapan.

  • Warga India diminta tinggalkan Iran

    Warga India di Iran digesa pada Isnin untuk meninggalkan negara itu dengan sebarang cara pengangkutan yang ada, lapor berita Xinhua.

    Satu nasihat baharu yang dikeluarkan oleh kedutaan India di Tehran menggesa warga negara, termasuk pelajar, ahli perniagaan, penziarah dan pelancong, untuk meninggalkan negara itu dengan cara pengangkutan yang ada, termasuk penerbangan komersial, kerana situasi yang semakin berubah.

    Bulan lalu, India juga meminta warganya untuk meninggalkan Iran selepas negara itu digegarkan oleh protes maut.

    Laporan mengatakan terdapat kira-kira 10,000 orang India di Iran, termasuk ramai pelajar. Selain itu, setiap tahun, beribu-ribu penziarah Muslim dari pelbagai bahagian India melawat Iran.

  • Iran tolak spekulasi mengenai persetujuan perjanjian nuklear sementara dengan AS

    Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei pada Isnin menolak khabar angin mengenai peluang mencapai perjanjian nuklear sementara dalam rundingan tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Baghaei berkata pada sidang akhbar mingguan di Tehran bahawa spekulasi mengenai perjanjian sementara tidak berasas, sambil menambah bahawa butiran sebarang rundingan dibincangkan di meja rundingan.

    Dia dilapor berkata, pendirian Iran untuk menamatkan sekatan AS yang “kejam” dan isu nuklear adalah jelas, “dan kami sedar akan pandangan pihak AS”.

    Baghaei menekankan bahawa jika kedua-dua pihak menunjukkan muhibah, “kami berharap dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang, kami akan dapat mengadakan satu lagi pusingan rundingan”.

    Dia dilapor berkata, Iran bertekad untuk meneruskan diplomasi tetapi tidak akan pernah menerima pengorbanan hak sahnya.

    Pusingan ketiga rundingan nuklear tidak langsung antara Iran dan AS dijangka berlangsung di Geneva pada Khamis di tengah-tengah pembentukan ketenteraan AS di rantau Asia Barat.

  • Peneroka Israel bakar masjid di Tebing Barat

    Peneroka Israel membakar sebuah masjid dan menyembur grafiti kebencian di dindingnya di Tebing Barat yang diduduki semalaman, kata sumber Israel dan Palestin pada Isnin, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, tentera Israel berkata dalam satu kenyataan, kebakaran itu berlaku di Masjid Abu Bakr al-Siddiq dekat pekan Tell, sambil menambah bahawa tentera telah dihantar dan kejadian itu sedang ditinjau.

    Saksi mata memberitahu agensi berita Palestin Wafa, peneroka menuangkan bahan mudah terbakar di pintu masuk masjid dan menulis slogan perkauman yang bermusuhan dengan orang Arab dan Muslim di dindingnya.

    Penyiar awam Israel, Kan, melaporkan bahawa perkataan “balas dendam” dan “tag harga” – istilah yang dikaitkan dengan jenayah kebencian nasionalis Israel – telah disembur cat di dinding.

    Data polis Israel menunjukkan peningkatan ketara dalam serangan peneroka di Tebing Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Dalam dua minggu pertama Januari, sejumlah 54 siasatan mengenai serangan nasionalistik telah dibuka, peningkatan 23 peratus tahun ke tahun, menurut laporan akhbar Ha’aretz Israel, lapor Xinhua.

    Insiden itu berlaku beberapa hari selepas Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerbitkan laporan yang mengatakan terdapat alasan untuk mengesyaki bahawa Israel sedang melakukan pembersihan etnik dan apartheid di Tebing Barat.

    Sementara itu, polis dan agensi keselamatan Israel, Shin Bet, berkata mereka telah menahan empat remaja lelaki Israel yang disyaki merancang serangan terhadap askar di bandar Karmiel di utara.

    Suspek “berkomplot untuk melakukan serangan yang menyasarkan askar di Karmiel, dan sebahagian daripada mereka telah dilatih dan menerima panduan” sebagai persediaan untuk serangan yang didakwa itu, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

    Penangkapan itu susulan ketegangan keselamatan yang semakin meningkat selama lebih dua tahun yang berkaitan dengan operasi ketenteraan Israel di Gaza, di mana pihak berkuasa Israel telah melaporkan beberapa plot militan yang disyaki di dalam negara.

    Israel menawan Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dalam Perang Timur Tengah 1967. Kebanyakan komuniti antarabangsa menganggap penempatan Israel di wilayah yang diduduki haram di bawah undang-undang antarabangsa.

  • Bot karam di tenggara Brazil, 6 maut

    Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang budak lelaki berusia lima tahun, maut dalam kemalangan bot pada malam Sabtu di Sungai Grande di tenggara Brazil, kata pihak berkuasa pada Ahad, menurut berita Xinhua.

    Bot itu, yang membawa 15 orang, berlepas dari sebuah bar terapung tempat persembahan sedang berlangsung, dan dalam perjalanan ke sebuah kediaman di tebing sungai, menurut jabatan bomba.

    Saksi dilapor berkata, bot itu melanggar jeti yang tidak mempunyai papan tanda dan lampu malam yang betul. Impak itu menyebabkan beberapa penumpang tercampak ke dalam air dan menyebabkan yang lain terperangkap selepas bot itu terbalik.

    Enam orang maut di tempat kejadian, nampaknya akibat lemas, polis dilapor berkata, sambil menambah bahawa tiga orang lagi dibawa ke sebuah fasiliti kesihatan di bandar Rifaina dengan kecederaan ringan dan kemudian dibenarkan keluar.

    Menurut jabatan bomba, pemandu bot itu, yang merupakan antara yang maut, tidak mempunyai lesen diperlukan untuk mengendalikan vesel itu.

  • Gempa 6.5 magnitud landa Thailand – GFZ

    Gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegarkan Thailand pada 1707 GMT Ahad, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 10 km, pada mulanya ditentukan berada pada 17.03 darjah latitud utara dan 101.98 darjah longitud timur.

  • Presiden Iran kata komited terhadap keamanan, negara bersedia untuk ‘sebarang kemungkinan senario’

    Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyatakan negaranya komited terhadap keamanan dan kestabilan tetapi juga bersedia untuk sebarang kemungkinan senario, lapor berita Anadolu.

    “Iran komited terhadap keamanan dan kestabilan di rantau ini. Kami terus memantau dengan teliti langkah-langkah yang diambil oleh AS dan telah membuat semua persediaan yang diperlukan untuk setiap kemungkinan senario,” tulis Pezeshkian di akaunnya di X, menurut Anadolu.

    Dia dilapor berkata, cadangan konkrit dikongsi bersama semasa rundingan terkini dan isyarat yang menggalakkan telah diterima.

    Terdahulu pada Ahad, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi memberitahu CBS bahawa rundingan nuklear dengan delegasi AS boleh berlangsung di Geneva pada Khamis dan menyifatkannya sebagai “peluang yang baik” untuk penyelesaian diplomatik, lapor Anadolu.

  • Pakistan dakwa bunuh sekurang-kurangnya 70 militan dalam serangan di sepanjang sempadan Afghanistan

    Tentera Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 70 militan dalam serangan di sepanjang sempadan dengan Afghanistan awal Ahad, menyasarkan apa yang digambarkannya sebagai tempat persembunyian militan Pakistan yang dipersalahkan atas serangan baru-baru ini di dalam negara, kata timbalan menteri dalam negeri, lapor berita AP, Kabul menolak dakwaan itu.

    Menurut AP, Talal Chaudhry, timbalan menteri dalam negeri Pakistan, tidak memberikan bukti untuk dakwaannya dalam temu bual dengan Geo News bahawa sekurang-kurangnya 70 militan terbunuh dalam serangan itu.

    Media kerajaan Pakistan kemudian melaporkan kematian militan melonjak kepada 80 orang, menurut AP.

    Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata dalam satu kenyataan bahawa “pelbagai kawasan awam” di wilayah Nangarhar dan Paktika di timur Afghanistan telah diserang, termasuk sebuah madrasah agama dan beberapa buah rumah, AP melaporkan, kenyataan itu menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran ruang udara dan kedaulatan Afghanistan.

    Jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid, berkata di X, serangan itu “membunuh dan mencederakan berpuluh-puluh, termasuk wanita dan kanak-kanak”, menurut laporan AP, dia berkata dakwaan Pakistan membunuh 70 militan adalah “tidak tepat”.

    Mawlawi Fazl Rahman Fayyaz, pengarah wilayah Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan di wilayah Nangarhar, dilapor berkata 18 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera.

  • Pelatih Polis Israel terbunuh dalam ‘tembakan tidak sengaja’ oleh askar

    Seorang pelatih Polis Sempadan Israel terbunuh pada Ahad dalam apa yang dilaporkan oleh media tempatan sebagai tembakan tidak sengaja yang membabitkan seorang askar di tengah Israel, menurut berita Anadolu.

    Insiden itu berlaku di pekan Azor, di mana pelatih itu ditembak mati semasa apa yang digambarkan oleh akhbar Haaretz sebagai tembakan senjata api yang tidak disengajakan, menurut Anadolu, Haaretz melaporkan tembakan itu dilepaskan oleh seorang rakan yang berkhidmat dalam tentera.

    Polis sebelum ini dilapor berkata, dua individu yang berkaitan dengan insiden itu ditahan untuk disoal siasat. Salah seorang tahanan ialah seorang askar dari Briged Givati, Anadolu memetik akhbar itu.

    Polis Israel dan Polis Tentera sedang menyiasat keadaan sekitar tembakan itu.

    Menurut data tentera Israel, 925 askar telah terbunuh sejak bermulanya perang Gaza pada Oktober 2023, termasuk 471 yang terkorban dalam pertempuran darat di kawasan terbabit.

  • Pelajar Iran protes untuk hari kedua di sesetengah universiti

    Pelajar menyertai protes yang membawa kepada pertempuran di beberapa universiti Iran untuk hari kedua pada Ahad, lapor berita Reuters memetik agensi berita tempatan dan catatan media sosial.

    Iran kini menghadapi peningkatan ketenteraan AS ketika ia berusaha untuk mencapai perjanjian nuklear dengan Washington.

    Pergolakan baharu yang dilaporkan itu menyusuli demonstrasi anti-kerajaan bulan lalu di mana beribu-ribu orang terbunuh dalam pergolakan domestik terburuk sejak Revolusi Islam Iran 1979.

    Menurut laporan Reuters, TV kerajaan Iran menyiarkan video mengenai apa yang dikatakan sebagai individu “berpura-pura menjadi pelajar” menyerang pelajar pro-kerajaan di Tehran yang mengambil bahagian dalam protes untuk mengutuk gangguan Januari, dengan individu-individu ini didakwa mencederakan pelajar dengan membaling batu.

    Protes juga berlaku di universiti-universiti di Mashhad di timur laut, menurut video yang diterbitkan oleh kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di AS, HRANA, yang mengatakan campur tangan pasukan keselamatan dalam protes terbabit menyebabkan kecederaan, lapor Reuters.

    Protes baru-baru ini, yang dilaporkan bermula pada Disember atas kesulitan ekonomi dan dengan cepat bertukar menjadi politik, telah ditindas dalam tindakan keras paling ganas sejak Revolusi Islam 1979.