Satu letupan menggegarkan ibu kota Syria Damsyik pada Ahad, menurut saksi tempatan. Punca letupan tidak diketahui dengan segera, menurut laporan Xinhua.
Libya
-
Angkatan bersenjata Benin gagalkan percubaan pemberontakan, kata menteri dalam negeri
Angkatan bersenjata Benin menggagalkan percubaan pemberontakan yang bertujuan untuk menggugat kestabilan negara dan institusinya, kata Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Awam Alassane Seidou dalam satu kenyataan pada Ahad, menurut Xinhua.
Seidou membuat kenyataan itu selepas sekumpulan askar mengumumkan pada awal hari di penyiar negara Benin TV bahawa Presiden Patrice Talon telah “dilucutkan jawatan”.
Menurut menteri itu, angkatan tentera dan perintah mereka, “setia pada sumpah mereka” bertindak balas dengan cara republik dan dapat mengawal keadaan, menggagalkan percubaan itu. Kerajaan menyeru orang ramai untuk meneruskan aktiviti seperti biasa, lapor Xinhua.
Bercakap secara berasingan kepada majalah mingguan Perancis Jeune Afrique pada pagi Ahad, Romuald Wadagni, menteri negara yang bertanggungjawab terhadap ekonomi dan kewangan, berkata keadaan “terkawal”.
“Pemberontak terperangkap. Kami sedang membersihkan kawasan itu, tetapi ia belum selesai. Kami selamat.”
Menurut Xinhua, dia berkata, sambil menambah bahawa helikopter sedang membuat rondaan di bandar itu dan tengah Cotonou dikawal ketat oleh angkatan tentera.
Penduduk tempatan dilapor memberitahu Xinhua melalui telefon bahawa di Cotonou, ibu kota ekonomi negara dan bandar terbesar, dan kawasan sekitarnya, tentera bersenjata kebanyakannya dikerahkan di persimpangan utama, sementara penduduk meneruskan aktiviti harian mereka dan pasar utama tetap dibuka.
Awal Ahad, kumpulan askar, yang mengenal pasti diri mereka sebagai “Jawatankuasa Ketenteraan untuk Penubuhan Semula (CMR),” bersidang dan memutuskan bahawa “Encik Patrice Talon dipecat daripada fungsinya sebagai presiden republik itu”.
Tembakan dilaporkan di Kem Guezo, dekat kediaman presiden di Cotonou, dan media tempatan berkata tentera telah mengawal penyiar negeri. Bagaimanapun, Kepresidenan berkata presiden selamat dan tentera kerajaan telah mengawal semula keadaan, menurut Xinhua.
Benin, yang terletak di Afrika Barat, meliputi kawasan seluas kira-kira 112,000 km persegi dan mempunyai populasi kira-kira 14 juta.
Dari segi sejarah dianggap sebagai salah satu negara yang lebih aman dan stabil di rantau itu. Benin bagaimanapun telah mengalami beberapa rampasan kuasa dan percubaan rampasan kuasa selepas memperoleh kemerdekaan daripada Perancis pada 1960.
Kestabilan politik sebahagian besarnya telah dikekalkan sejak 1991, selepas pemerintahan dua dekad Mathieu Kerekou, yang telah menamakan semula negara itu sebagai Republik Rakyat Benin.
Talon mula berkuasa pada Mac 2016 dan dipilih semula pada April 2021. Dia dijadualkan berundur selepas pilihan raya presiden pada April 2026. Wadagni telah dianggap secara meluas sebagai pendahulu, manakala calon pembangkang Renaud Agbodjo telah dihalang oleh suruhanjaya pilihan raya kerana penajaan yang tidak mencukupi.
Pada November, badan perundangan negara meluluskan pelanjutan penggal presiden daripada lima hingga tujuh tahun, sambil mengekalkan had dua penggal.
Peristiwa semasa di Benin berlaku di tengah-tengah gelombang pengambilalihan tentera di Afrika Barat. Hanya pada akhir November, rampasan kuasa di Guinea-Bissau menggulingkan Presiden Umaro Embalo berikutan pilihan raya yang dipertikaikan di mana kedua-dua penyandang dan pembangkang mengisytiharkan kemenangan.
-

Trump kata dadah haram datang ke AS melalui laut turun 94%, operasi darat akan dimulakan
Presiden AS Donald Trump berkata pada Sabtu, dadah haram yang memasuki negara itu melalui laut turun 94% dan mengumumkan rancangan untuk memulakan operasi serupa di darat, menurut berita Anadolu.
“Saya cuba mencari tahu siapa 6% yang lain, kerana terus terang, saya fikir … mereka mesti menjadi orang yang paling berani,” dia dilapor berkata di Washington pada majlis makan malam penyampaian pingat Pusat Kennedy Jabatan Negara, merujuk kepada mereka yang masih cuba membawa dadah ke negara itu.
Trump dilapor berkata proses yang sama akan bermula di darat, dengan menyatakan: “Kami tahu setiap laluan, kami tahu setiap rumah, kami tahu di mana mereka tinggal. Kami tahu segala-galanya tentang mereka.”
Menurut laporan Anadolu, pengkritik berpendapat, Trump cenderung untuk membuat atau membesar-besarkan angka untuk meningkatkan reputasinya.
Trump menyifatkan pengedaran dadah sebagai “seperti perang yang dahsyat” mencadangkan bahawa 300,000 orang dibunuh oleh dadah haram tahun lepas, dan berjanji tidak akan membiarkan ini berlaku.
AS telah melakukan sekurang-kurangnya 22 serangan di Laut Caribbean dan Lautan Pasifik Timur ke atas bot yang disyaki mengangkut narkotik sejak September, membunuh sekurang-kurangnya 87 orang, lapor Anadolu.
Ahli-ahli Kongres dilaporkan telah mempersoalkan keberkesanan serangan serta kesahihannya, kerana pentadbiran tidak menunjukkan bukti bahawa bot-bot itu sebenarnya membawa dadah, dan mereka yang berada di dalamnya dibunuh tanpa diberi peluang untuk membuktikan mereka tidak bersalah.
-
‘Semuanya musnah’ ketika Aceh Indonesia bergelut dengan penyakit selepas banjir
Dilanda banjir maut, rakyat Indonesia di wilayah sekitar Aceh Tamiang bergelut dengan penyakit yang semakin teruk dan kekurangan rawatan perubatan ketika pekerja bergelut membantu berpuluh-puluh penduduk di hospital tunggal di kawasan itu, menurut Reuters.
Banjir dan tanah longsor akibat taufan minggu lalu memusnahkan tiga wilayah di pulau Sumatera di Indonesia, termasuk Aceh, membunuh sekurang-kurangnya 940 orang, dengan tambahan 276 orang disenaraikan sebagai hilang, data kerajaan menunjukkan pada Ahad, lapor Reuters.
Apabila penduduk kehilangan tempat tinggal mereka akibat kolam lumpur dan serpihan, penyakit menjadi lebih teruk. Penyakit termasuk cirit-birit, demam atau myalgia, tercetus kerana “persekitaran dan tempat tinggal belum pulih selepas bencana,” kementerian kesihatan Indonesia dilaporkan sebagai berkata minggu lalu.
Di satu-satunya hospital di Aceh Tamiang, seorang pesakit dan pekerja perubatan dilapor memberitahu Reuters pada Ahad mengenai penyakit yang semakin teruk di sana.
Saksi Reuters dilapor berkata, peralatan perubatan tertutup dengan lumpur, picagari bertaburan di atas lantai dan banjir menghanyutkan ubat-ubatan.
“Pekerja-pekerja ini tidak tahu apa erti penat,” Ayu Wahyuni Putri yang melahirkan anaknya beberapa hari sebelum banjir melanda dilapor berkata.
Nurhayati, seorang jururawat berusia 42 tahun, dilapor berkata hospital itu hampir lumpuh kerana kekurangan ubat. Pekerja cuba menyelamatkan ventilator di unit rawatan rapi untuk bayi, tetapi tidak berjaya kerana air yang semakin meningkat menutupinya.
Seorang bayi meninggal dunia, manakala enam lagi terselamat, dia dilapor berkata.
“Orang ramai mengenali saya sebagai seorang jururawat. Apabila saya tidak dapat melakukan sesuatu, ia berasa amat menyedihkan. Saya hanya boleh memberi ubat yang ada,” dia dilapor berkata sambil berharap hospital itu akan diaktifkan semula.
“Ini adalah bencana yang luar biasa. Semuanya musnah.”
Jambatan yang rosak menyebabkan hampir mustahil untuk pekerja perubatan pergi di sekitar Aceh, Dr. Chik M. Iqbal dilapor berkata, yang menaiki bot untuk sampai ke Aceh Tamiang, sambil menambah bahawa bilik kecemasan hanya akan beroperasi pada Isnin.
Kira-kira 31 hospital dan 156 pusat kesihatan yang lebih kecil di seluruh tiga wilayah terjejas akibat banjir, kementerian kesihatan dilapor berkata pada 5 Disember.
-
Sekurang-kurangnya 20 rumah musnah dalam kebakaran belukar di NSW Australia
Jumlah rumah yang musnah dalam kebakaran belukar di negeri Australia, New South Wales (NSW) meningkat kepada 20, membabitkan 16 di Central Coast dan empat di Mid North Coast, lapor Xinhua.
Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales (NSW RFS), agensi tempur utama untuk kebakaran belukar di NSW, mengesahkan pada petang Ahad bahawa pasukan penilaian impak bangunan telah menyelesaikan penilaian mereka di kawasan api Nimbin Rd, Koolewong di Pantai Tengah dan mendapati 16 rumah musnah dan sembilan rosak.
Selain itu, tujuh bangunan luar (outbuildings) telah musnah, dan lapan kekal tidak disentuh, kata pihak berkuasa dalam catatan Facebook, menurut Xinhua.
Ia berkata pada Sabtu, empat rumah di kawasan Sungai Crawford di Mid North Coast telah hilang.
Menurut Xinhua, Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan pada Ahad bahawa bencana alam telah diisytiharkan di enam kawasan di NSW, bermakna orang yang rumah mereka telah rosak mungkin layak mendapat bantuan kewangan segera.
-
12 ‘pengganas’ terbunuh dalam berbalas tembak di barat daya Pakistan
Tentera Pakistan berkata pada Ahad bahawa 12 ‘pengganas’ terbunuh semasa operasi keselamatan di wilayah barat daya Balochistan, lapor Xinhua.
Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, dilapor berkata pasukan keselamatan telah menjalankan operasi berasaskan risikan di daerah Kalat di wilayah itu.
Menurutnya, ‘pengganas’ yang terbunuh telah terlibat secara aktif dalam pelbagai serangan ‘pengganas’ di kawasan itu, dan sejumlah besar senjata, peluru dan bahan letupan telah ditemui dari tapak itu.
Susulan kejadian itu, operasi pembersihan dijalankan untuk memastikan tiada pengganas lain kekal di kawasan itu, kata ISPR.
Tentera menegaskan bahawa pasukan keselamatan tetap komited untuk menggagalkan usaha mereka yang mengancam keamanan di Pakistan.
-

Cubaan rampasan kuasa di Benin ketika askar mengumumkan penyingkiran Presiden Patrice Talon
Sekumpulan askar Benin berkata di penyiar negeri pada Ahad bahawa ia telah menyingkirkan Presiden Patrice Talon daripada kuasa dan melantik Lt. Kol. Pascal Tigri untuk mengetuai “Jawatankuasa Ketenteraan untuk Penubuhan Semula”, lapor Anadolu.
Kedutaan Perancis di Benin juga dilapor berkata dalam satu kenyataan bahawa tembakan dilaporkan di Kem Guezo, dekat kediaman presiden.
Kedutaan menggesa rakyatnya untuk kekal di rumah sehingga diberitahu kelak sebagai langkah keselamatan, “sementara keadaan reda (clarified) sepenuhnya”.
Talon, bekas ahli perniagaan, telah berkhidmat sebagai presiden Benin sejak 2016 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2021.
-
5 maut dalam kemalangan kereta-trak di India
Sekurang-kurangnya lima orang maut awal Ahad apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah trak di negeri Chhattisgarh, tengah India, polis tempatan mengesahkan melalui telefon, menurut Xinhua.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku di daerah Jashpur di negeri itu.
-
9 maut, 7 cedera dalam kemalangan di lebuh raya di Xinjiang China
Sembilan orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di lebuh raya pada malam Sabtu di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang barat laut China, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, menurut Xinhua.
Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam di bahagian berbeza di lebuh raya di bandar Usu, Wilayah Tacheng, di mana beberapa kenderaan terhempas berturut-turut. Secara keseluruhan, lima kenderaan besar dan tujuh kereta kecil terlibat.
Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Pegawai tempatan dilapor berkata, nahas berlaku di tengah-tengah kabus tebal secara tiba-tiba, digabungkan dengan suhu malam di bawah sifar yang menyebabkan permukaan jalan menjadi basah dan berais dalam tempoh yang singkat.
Siasatan lanjut mengenai kemalangan sedang dijalankan.
-
Pelancong antara 25 maut dalam kebakaran kelab malam Goa di India
Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk empat pelancong, terbunuh dan ramai lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di negeri barat India Goa, lapor Xinhua memetik polis pada Ahad.
Kebakaran dilaporkan berlaku di kelab malam popular, Birch by Romeo Lane, di kampung Arpora di daerah Goa Utara, kira-kira 16 km barat laut Panaji, ibu kota Goa.
“Kebakaran besar berlaku di Birch by Romeo Lane di Arpora, Goa Utara, mengakibatkan 25 kematian, di mana empat daripadanya disahkan sebagai pelancong, 14 adalah kakitangan dan identiti tujuh masih belum dapat dipastikan. Enam orang cedera dan rawatan mereka sedang dijalankan,” menurut kenyataan dikeluarkan polis kepada media tempatan, lapor Xinhua.
“Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan. Siasatan polis dan bomba sedang dijalankan. Tindakan undang-undang sedang diambil.”
Ketua Polis Goa, Alok Kumar dilapor berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan polis, polis, bomba dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian.
Saksi dilapor memberitahu media, letupan itu sangat kuat sehingga api menyambar bangunan dalam beberapa saat dan memerangkap orang di dalam.
Siasatan awal yang dijalankan polis menunjukkan kebakaran itu didakwa dicetuskan oleh letupan silinder gas petroleum cecair (LPG) dekat kawasan dapur, lapor Xinhua.