Libya

  • Rakyat Cuba berhimpun menentang ‘imperialis’ AS di hadapan kedutaan Havana

    Beribu-ribu rakyat Cuba dilaporkan berkumpul di hadapan kedutaan AS di Havana pada Jumaat untuk membantah apa yang mereka kecam sebagai pencerobohan AS di rantau itu susulan penangkapan pemimpin Venezuela Nicola Maduro, sekutu Cuba.

    Ketegangan antara dua pesaing lama itu telah melonjak sejak serangan AS ke atas Venezuela, yang mengakibatkan kematian 32 pegawai tentera dan perisikan Cuba yang dipercayai mempertahankan Maduro terbunuh, menandakan pertempuran pertama antara tentera AS dan Cuba dalam beberapa dekad, menurut Reuters.

    Menurut Reuters, rakyat Cuba yang memakai topi dan jaket dilaporkan berkumpul di jalan tepi laut (waterfront boulevard) Malecon di ibu negara sambil mengibarkan bendera Cuba dan Venezuela di bawah langit kelabu ketika angin kencang dan ombak melanda pantai.

    Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel, yang berpakaian tentera hijau zaitun dan membelakangi kedutaan AS, menyeru rakyat Cuba untuk terus bersatu dalam menghadapi tekanan AS, lapor Reuters.

    “Tidak, imperialis, kami langsung tidak takut kepada anda…dan kami tidak suka diancam,” katanya sambil berpaling untuk melambaikan jarinya ke arah bangunan kedutaan. “Anda tidak akan menakut-nakutkan kami.”

    Kedua-dua pihak telah meningkatkan retorik politik sejak kebelakangan ini, menandakan titik terendah baharu dalam hubungan yang lama dan dingin antara AS dan Cuba yang ditadbir oleh komunis, yang terletak 90 batu (145 km) dari pesisir Florida.

  • 6 maut, 13 cedera dalam kebakaran bangunan kediaman di Bangladesh

    Sekurang-kurangnya 6 orang terbunuh dan 13 yang lain cedera selepas kebakaran dahsyat memusnahkan sebuah bangunan kediaman di ibu negara Bangladesh, Dhaka, pada pagi Jumaat, menurut berita Xinhua.

    Menurut berita itu, Mohammad Rafi Al Faruk, seorang pegawai bertugas di bilik kawalan Perkhidmatan Bomba dan Pertahanan Awam, memberitahunya bahawa kebakaran itu berlaku di tingkat satu bangunan enam tingkat pada jam 7:54 pagi waktu tempatan.

    “Mayat tiga orang telah dikeluarkan selepas beberapa unit pemadam kebakaran memadamkan kebakaran sekitar jam 10 pagi,” katanya.

    Nazmul Shakib, seorang pegawai bertugas di Balai Polis Uttara Barat Dhaka, dilapor berkata tiga lagi maut selepas dikejarkan ke hospital, menjadikan jumlah kematian kepada enam orang.

    Selain mereka, kata pegawai polis itu, sepuluh daripada tiga belas orang yang cedera sedang menerima rawatan di beberapa hospital.

    Punca kebakaran masih belum diketahui.

  • Imam solat di Iran dan umat yang setia seru untuk hukuman mati berhubung protes, garis merah untuk Trump

    Seorang ulama garis keras yang memimpin solat Jumaat di ibu negara Iran menuntut hukuman mati bagi peserta protes yang ditahan dalam tindakan keras di seluruh negara dan secara langsung mengancam Presiden AS Donald Trump, menunjukkan kemarahan garis keras melanda Republik Islam selepas demonstrasi, menurut laporan AP.

    Khutbah Ayatollah Ahmad Khatami yang disiarkan oleh radio kerajaan Iran mencetuskan sorakan daripada mereka yang berkumpul untuk solat, termasuk: “Orang munafik bersenjata harus dihukum mati!”

    Hukuman mati, serta pembunuhan peserta protes yang aman, adalah dua garis merah yang ditetapkan oleh Trump untuk kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran atas protes terbabit.

    Kenyataan Khatami juga menawarkan tuduhan kerosakan pertama di seluruh negara yang dilakukan semasa demonstrasi, yang bermula pada 28 Disember atas ekonomi Iran yang merosot dan tidak lama kemudian berubah menjadi demonstrasi yang secara langsung mencabar teokrasi negara.

    Iran telah memutuskan akses internet pada 8 Januari dan memperhebatkan tindakan keras berdarah terhadap semua penentang, yang mana Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di AS melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 2,677 orang terkorban, menurut laporan AP.

    AP bagaimanapun mengatakan, tidak dapat menilai secara bebas jumlah kematian dan Iran tidak menawarkan angka korban keseluruhan.

    Menurut laporan AP, Khatami, yang dilantik oleh Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei dan ahli Dewan Pakar dan Majlis Penjaga negara itu, menggambarkan peserta protes pada masa itu sebagai “pelayan” Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan “askar Trump”.

    Dia menegaskan rancangan mereka “telah membayangkan untuk menghancurkan negara”

    “Mereka harus menunggu balas dendam yang keras daripada sistem,” kata Khatami mengenai Netanyahu dan Trump.

    “Rakyat Amerika dan Zionis tidak seharusnya menjangkakan keamanan.”

    Khatami telah lama dikenali kerana pandangan tegasnya di Iran, termasuk pada 2007 apabila dia berkata fatwa yang menyeru kematian penulis Salman Rushdie masih berkuat kuasa, menurut laporan AP, dia juga mengancam Israel dalam ucapan pada 2018 dengan mengatakan Iran boleh “memusnahkan Tel Aviv dan Haifa” dengan senjata peluru berpandunya.

    Khatami juga memberikan statistik keseluruhan pertama mengenai kerosakan akibat protes, mendakwa 350 masjid, 126 dewan solat dan 20 tempat suci lain telah mengalami kerosakan, lapor AP.

    Lagi 80 rumah imam solat Jumaat — jawatan penting dalam teokrasi Iran — juga telah rosak, kemungkinan besar menunjukkan kemarahan penunjuk perasaan terhadap simbol kerajaan negara itu, menurut laporan AP.

    Khatami dilapor berkata, 400 hospital, 106 ambulans, 71 kenderaan bomba dan 50 kenderaan kecemasan lagi mengalami kerosakan, menunjukkan skala protes.

    “Mereka mahu anda menarik diri daripada agama,” kata Khatami. “Mereka merancang jenayah ini sejak dahulu lagi,”

    Khatami, sebagai seorang ulama dalam jawatan awam, akan mempunyai akses kepada data sedemikian daripada pihak berkuasa dan menyebutnya semasa solat Jumaat mungkin bermakna kerajaan Iran mahu maklumat itu disampaikan tanpa perlu berucap secara rasmi kepada orang ramai, lapor AP, dia juga mengeluarkan seruan untuk penangkapan “individu yang menyokong perusuh dalam apa jua cara”.

  • AS beri amaran kepada Iran ‘semua pilihan ada di atas meja’ dalam mesyuarat tergempar PBB

    Selepas berminggu-minggu ketegangan yang meningkat, pegawai AS dan Iran bersemuka pada Khamis di Majlis Keselamatan PBB, di mana utusan Amerika mengulangi ancaman terhadap Republik Islam meskipun usaha Presiden Donald Trump untuk menurunkan suhu antara kedua-dua pihak yang bermusuhan itu, menurut laporan AP.

    AS disertai oleh pembangkang Iran dalam menegur tindakan keras berdarah kerajaan terhadap protes di seluruh negara yang dikatakan oleh aktivis telah membunuh sekurang-kurangnya 2,677 orang, lapor AP.

    “Rakan sekerja, biar saya jelaskan: Presiden Trump adalah seorang yang bertindak, bukan bercakap tanpa henti seperti yang kita lihat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Mike Waltz, duta AS ke PBB, kepada majlis itu.

    “Beliau telah menjelaskan bahawa semua pilihan ada di atas meja untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai. Dan tiada siapa yang sepatutnya tahu perkara itu lebih baik daripada kepimpinan rejim Iran.”

    Kenyataan Waltz itu dibuat ketika prospek tindakan balas AS atas kematian peserta protes masih membayangi rantau itu, walaupun Trump memberi isyarat kemungkinan penurunan ketegangan, dengan mengatakan pembunuhan itu nampaknya akan berakhir.

    Menjelang Khamis, protes yang mencabar teokrasi Iran kelihatan semakin terbendung, tetapi pemadaman internet dan komunikasi yang diarahkan oleh negara masih berlaku, menurut laporan AP.

    Orang ramai melintas persimpangan di pusat bandar Tehran, Iran, Khamis, 15 Januari 2026. FOTO AP
  • Serangan Israel dilapor mengorbankan 8 rakyat Palestin di Gaza dalam pelanggaran baharu gencatan senjata

    Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, dan mencederakan yang lain pada Khamis dalam serangan udara dan tembakan menyasarkan beberapa kawasan di seluruh Jalur Gaza, dalam pelanggaran terbaru perjanjian gencatan senjata tahun lalu, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Pesawat perang Israel menyerang sebuah rumah di bandar tengah Deir al-Balah dengan dua peluru berpandu, membunuh lima rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, lapor Anadolu memetik sumber yang memberitahunya.

    Sebilangan besar orang cedera dalam serangan itu dan dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa, kata sumber, memberi amaran bahawa jumlah kematian mungkin meningkat.

    Kawasan disasarkan terletak di luar kawalan Israel di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025, menurut seorang koresponden Anadolu.

    Tentera Israel juga membunuh dua rakyat Palestin di bandar yang sama selepas menyasarkan halaman rumah mereka, kata sumber perubatan, menurut Anadolu.

    Pasukan kecemasan di Hospital Abu Yousef al-Najjar juga menemui mayat seorang lelaki Palestin dari persimpangan Al-Alam di kawasan Mawasi di Rafah, kata sumber, lapor Anadolu.

    Menurut sumber terbabit, luka tembakan kelihatan pada tubuhnya.

    Serangan itu berlaku sejurus selepas seorang gadis Palestin cedera akibat tembakan Israel di kawasan tempat tentera Israel berundur di pekan Jabalia di utara Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata.

    Pasukan Israel juga menjalankan serangan artileri dan udara ke atas beberapa kawasan di seluruh Jalur Gaza, menurut sumber tempatan.

    Tentera Israel terus mengawal zon penampan selatan dan timur enklaf dan sebahagian besar utara Gaza, mengekalkan kawalan ke atas hampir 50% wilayah terbabit.

  • Rumah Putih kata Iran hentikan 800 hukuman mati yang dirancang di tengah-tengah protes

    Rumah Putih berkata pada Khamis, pihak berkuasa Iran telah “menghentikan” 800 hukuman mati yang dijadualkan di tengah-tengah berminggu-minggu protes, sambil menambah bahawa Washington sedang “memantau rapat” situasi itu, menurut laporan Anadolu.

    “Presiden memahami hari ini bahawa 800 hukuman mati yang dijadualkan dan sepatutnya berlaku semalam telah dihentikan,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt kepada pemberita, menurut Anadolu.

    Leavitt dilapor berkata, pentadbiran Presiden AS Donald Trump terus menilai perkembangan berkaitan Iran dan memberi isyarat bahawa langkah selanjutnya masih boleh dilakukan.

    “Presiden dan pasukannya sedang memantau rapat situasi ini dan semua pilihan masih ada untuk presiden,” kata Leavitt.

  • Turkiye beri amaran kepada rakyat di Iran supaya sentiasa berhati-hati di tengah-tengah perkembangan sedang berlaku

    Turkiye pada Khamis menggesa rakyatnya yang merancang untuk pergi ke Iran supaya bertindak dengan lebih berhati-hati, memetik perkembangan terkini di negara itu, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, kedutaan Turki di Tehran berkata di X bahawa pihak berkuasa juga menasihati rakyat Turki yang kini berada di negara Timur Tengah itu supaya sentiasa berwaspada mengenai keselamatan diri mereka.

    “Adalah disyorkan agar rakyat kita memberi perhatian yang teliti terhadap perkembangan terkini,” kata kenyataan itu.

    Kedutaan menekankan kepentingan mengikuti pengumuman dan panduan rasmi.

    “Rakyat digalakkan untuk menjejaki kemungkinan kemas kini melalui laman web rasmi dan akaun media sosial Kementerian kita dan misi diplomatik di Iran,” tambahnya.

    Untuk kecemasan, kedutaan berkongsi talian hubungan 24/7 melalui Pusat Panggilan Konsular Turkiye serta nombor telefon kecemasan dan alamat e-mel misi diplomatik di Tehran, Mashhad, Tabriz dan Urmia.

    Iran telah digegarkan oleh gelombang protes sejak bulan lalu, bermula 28 Disember di Grand Bazaar Tehran, atas susut nilai mata wang Iran yang mendadak dan keadaan ekonomi semakin buruk, menurut Anadolu, demonstrasi kemudiannya merebak ke beberapa bandar lain.

    Pegawai kerajaan menuduh AS dan Israel menyokong “rusuhan” dan “keganasan” terbabit, menurut laporan Anadolu.

    Pemandangan sepanduk gergasi, yang memaparkan imej bendera Iran dan slogan “Iran adalah tanah air kami, bendera adalah kafan kami” di Dataran Enghelab di ibu negara Tehran, Iran pada 15 Januari 2026. ANADOLU
  • Rusia akan perkukuh keupayaan pertahanannya di Artik berhubung ketegangan Greenland

    Rusia berkata pada Khamis, ia akan terus memperkukuh keupayaan pertahanannya di Artik sebagai tindak balas kepada ancaman yang berkaitan dengan situasi di sekitar Greenland, menurut laporan Anadolu.

    Bercakap pada taklimat akhbar di Moscow, jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova dilapor berkata, Moscow berdiri bersama China dan menganggapnya “tidak boleh diterima” untuk menggunakan rujukan kepada “aktiviti tertentu” di rantau Artik sebagai alasan untuk meningkatkan ketegangan di sana.

    “Negara kami akan terus mempertahankan kedudukannya di rantau ini dengan tegas,” katanya.

    “Kami akan meneruskan dasar kami untuk memperkukuh kedaulatan negara di zon Artik. Pertama sekali, keupayaan pertahanan dan infrastruktur Laluan Laut Utara kami sendiri.”

    Zakharova menyatakan bahawa AS menetapkan Greenland sebagai “sfera kepentingan AS” dengan naratif “ancaman Rusia” yang tidak berasas.

    “Kami bersetuju dengan pendirian China mengenai ketidakterimaan rujukan kepada aktiviti Rusia dan China tertentu di sekitar Greenland sebagai sebab peningkatan semasa,” katanya.

    “Kami juga yakin bahawa peningkatan ketegangan yang muncul di rantau Artik adalah akibat langsung daripada tindakan Perikatan Atlantik Utara.”

    Jurucakap itu menggesa agar sebarang perbezaan mengenai Greenland diselesaikan melalui rundingan mengikut undang-undang antarabangsa dan dengan mengambil kira kepentingan penduduknya.

    Menurut Zakharova, NATO telah menjadikan wilayah Artik “menjadi arena persaingan geopolitik” dan bersedia menggunakan cara ketenteraan untuk mengukuhkan kedudukannya.

    “Mereka sendiri mula-mula mencipta tanggapan bahawa terdapat sesetengah yang dipanggil penceroboh, dan kemudian mereka sendiri mencipta idea bahawa mereka bersedia untuk melindungi seseorang daripada penceroboh yang didakwa ini,” katanya.

    Zakharova memberi amaran kepada ibu kota Eropah bahawa sebarang percubaan untuk meningkatkan ketegangan di Artik dan mewujudkan ancaman keselamatan untuk Rusia, ahli penuh komuniti Artik, akan membawa akibat yang serius.

    “Dapat difahami bahawa sebarang percubaan untuk mengabaikan kepentingan Rusia di Artik, terutama dalam bidang keselamatan, tidak akan tidak terjawab dan akan membawa akibat yang meluas,” tegasnya.

    Menurut Anadolu, pada Rabu, Presiden AS Donald Trump berkata dalam catatan di Truth Social bahawa Washington memerlukan kawalan ke atas Greenland untuk sistem pertahanan udara dan peluru berpandu Golden Dome yang dirancang.

    Greenland adalah sebahagian daripada Denmark sebagai wilayah autonomi. Pada 1951, Washington dan Copenhagen, sebagai tambahan kepada komitmen pakatan NATO mereka, menandatangani perjanjian pertahanan. Menurut perjanjian ini, AS memikul tanggungjawab untuk mempertahankan pulau itu daripada kemungkinan pencerobohan.

  • Trump kata Lembaga Keamanan untuk Gaza dibentuk

    Presiden AS Donald Trump berkata pada Khamis, Lembaga Keamanan untuk Gaza ditubuhkan dan ahli lembaga akan diumumkan tidak lama lagi, menurut berita Xinhua.

    “Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa LEMBAGA KEAMANAN telah dibentuk,” kata Trump di platform media sosialnya Truth Social, menggambarkannya sebagai “Lembaga Terhebat dan Paling Berprestij.”

    Kenyataan Trump itu dibuat sehari selepas utusan khasnya Steve Witkoff mengumumkan pelancaran fasa kedua perjanjian damai Gaza, dengan tumpuan kepada demiliterisasi, tadbir urus teknokratik dan pembinaan semula Jalur Gaza yang dilanda konflik.

    Menurut perjanjian damai itu, Lembaga Keamanan akan dipengerusikan oleh Trump sendiri.

  • Rusia kutuk campur tangan, hasutan, ancaman kekerasan terhadap Iran

    Duta Besar PBB Rusia Vassily Nebenzia berkata pada Khamis, negaranya mengutuk semua bentuk campur tangan luaran, hasutan keganasan, dan ancaman penggunaan kekerasan terhadap Iran, menurut berita Xinhua.

    Pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai situasi di Iran, Nebenzia menyeru Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan tindakannya yang semakin meningkat.

    Dia menyatakan bahawa “retorik yang sangat berbahaya dan tidak bertanggungjawab” sejak kebelakangan ini oleh kepimpinan AS telah sampai ke tahap yang secara terbuka menyeru pengambilalihan institusi negara Iran dan ancaman untuk membantu peserta protes.

    “Kenyataan sedemikian tidak lain hanyalah hasutan untuk menggulingkan susunan perlembagaan sebuah negara berdaulat secara ganas,” kata duta itu.

    “Apa yang berlaku di Iran adalah satu lagi contoh penggunaan kaedah yang telah dicuba dan diuji untuk revolusi warna di mana provokator bersenjata yang dilatih khas mengubah protes aman menjadi keganasan yang tidak masuk akal,” kata Nebenzia.

    “Seperti yang telah kita lihat berulang kali di beberapa buah negara, semua tindakan ini sama ada diarahkan atau disokong oleh kuasa luar yang berminat dengan apa yang dipanggil perubahan rejim,” katanya.

    Duta itu dilapor berkata, AS dan “penyokongnya” secara aktif mengeksploitasi kesukaran ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh rakyat Iran biasa – yang disebabkan oleh sekatan haram dikenakan ke atas Iran oleh negara-negara Barat – untuk membangkitkan ketegangan awam dan mengganggu kestabilan situasi politik domestik.

    “Apa yang paling membimbangkan ialah tindakan agresif Washington terhadap penggunaan kekuatan tentera dan ancaman penggunaannya terhadap Iran. Kami mengutuk tindakan sedemikian, tidak kira apa hujah yang digunakan untuk mewajarkannya, sebagai pelanggaran berat undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB,” kata Nebenzia.

    “Kami amat menggesa orang-orang yang gopoh (hotheads) di Washington dan ibu kota lain, yang seolah-olah sedang mempertimbangkan usaha ketenteraan berulang, untuk sedar dan mengelakkan pengulangan tragedi Jun 2025, apabila pencerobohan AS-Israel hampir mengakibatkan bencana nuklear besar dengan akibat kemanusiaan dan alam sekitar yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

    Rusia menuntut agar AS dan rakan-rakan sealirannya menahan diri daripada langkah-langkah melulu selanjutnya, termasuk yang melibatkan kemudahan nuklear, dan sebaliknya menumpukan pada pemberian jaminan kukuh terhadap konfrontasi selanjutnya dan menyambung semula usaha bersama untuk mencari penyelesaian yang berpotensi, kata duta itu.