Libya

  • Polis AS guna kekerasan terhadap penunjuk perasaan di acara menampilkan bekas menteri pertahanan Israel

    Polis di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menggunakan kekerasan terhadap peserta protes pro-Palestin yang berdemonstrasi menentang program menampilkan bekas menteri pertahanan Israel, Yoav Gallant, lapor Anadolu.

    Di pekan Livingston, penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di luar sebuah sinagog di mana Gallant dijadualkan berucap.

    Membawa bendera Palestin dan memakai keffiyeh, peserta protes dilaporkan berkumpul di hadapan tempat itu, melaungkan slogan yang menyalahkan Gallant atas kematian orang awam di Gaza.

    Penunjuk perasaan memegang papan tanda yang tertulis “Lindungi kanak-kanak, tangkap Gallant” dan “Gallant bersalah atas genosid” sambil menjerit “Bebaskan Palestin”.

    Dilaporkan, apabila peserta protes menyekat akses ke sinagog, polis campur tangan untuk menyuraikan orang ramai.

    Pegawai dilaporkan memaksa beberapa penunjuk perasaan meniarap dan menahan beberapa individu.

    Gallant dilaporkan berkhidmat sebagai menteri pertahanan Israel antara 2022 dan 2024.

    Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilaporkan mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Gallant pada November 2024 atas kekejaman di Gaza, di mana lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh sejak Oktober 2023.

  • 19 mayat ditemui dari lokasi nahas pesawat tentera Turki – Presiden Turki

    Mayat 19 anggota telah ditemui dari lokasi nahas pesawat kargo tentera Turki pada Selasa di sempadan Georgia-Azerbaijan, dan usaha mencari mangsa yang masih tinggal sedang dijalankan, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, lapor Anadolu.

    Bercakap pada mesyuarat ketua wilayah Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pada Rabu di ibu kota Ankara, Erdogan dilapor berkata, kotak hitam pesawat telah ditemui dan siasatan telah dimulakan.

    “Kerja-kerja berterusan di lokasi nahas sedang dipantau rapi, dan semua siasatan yang diperlukan akan dilakukan dengan teliti untuk menjelaskan setiap aspek kejadian,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa negara boleh yakin bahawa, bersama-sama dengan Türkiye, sumber penuh Georgia dan Azerbaijan telah digerakkan untuk wira kita.

    Presiden itu juga menyatakan bahawa maklumat terkini berkala kepada orang ramai mengenai nahas pesawat daripada Kementerian Pertahanan Negara dan Direktorat Komunikasi Turkiye akan diteruskan.

    Beliau menggesa negara untuk berwaspada terhadap maklumat salah tentang nahas itu dan tidak memberi ganjaran kepada mereka yang “terjerumus ke dalam politik kotor”.

    Erdogan memperingati tentera yang gugur dengan membaca nama mereka dan mendoakan mereka, menurut Anadolu.

    Beliau dilapor berkata susulan nahas itu, Menteri Pertahanan Negara Yasar Guler, Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya dan Menteri Luar Negeri Hakan Fidan segera menghubungi rakan sejawat mereka dan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dengan pantas.

    Ergodan menyatakan bahawa kenderaan udara tanpa pemandu telah dikerahkan dengan kerjasama pihak berkuasa Georgia untuk mendapatkan visual dari kawasan terbabit.

    Anadolu melaporkan, beliau berkata lokasi nahas telah dikepung atas sebab-sebab keselamatan, dan malam tadi, “pasukan penyiasatan nahas kami yang terdiri daripada 46 anggota telah dihantar ke kawasan terbabit”.

    “Pihak berkuasa Georgia telah menyediakan semua sokongan dan kerjasama yang diperlukan di peringkat tertinggi, sementara saudara-saudara Azerbaijan kami juga telah menghulurkan setiap bentuk bantuan,” tambahnya.

    Erdogan mengucapkan takziah kepada keluarga para syuhada, Angkatan Tentera Turki, dan negara, dan mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang bersahabat dan bersaudara yang berkongsi kesedihan Turkiye, lapor Anadolu.

    Pengarah Komunikasi Turkiye, Burhanettin Duran dilapor berkata pasukan mencari dan menyelamat, serta pasukan penyiasatan nahas, meneruskan kerja mereka dalam nahas pesawat itu.

    “Jenazah syahid yang kami sayangi akan dibawa pulang ke negara kami dengan pesawat A-400M kami, yang mengangkut pasukan mencari dan menyelamat serta penyiasatan kemalangan kami ke Georgia,” tulis Duran di platform media sosial Turki, NSosyal, lapor Anadolu.

    Dia mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Georgia atas tindak balas pantas dan sokongan penuh mereka sejak saat pertama, sambil menyatakan bahawa mereka telah menggerakkan semua sumber untuk usaha pemulihan.

    “Perkembangan mengenai perkara ini akan terus dikongsi dengan orang ramai,” tambahnya.

  • Angka maut di seluruh Jalur Gaza melonjak kepada 69,185, lebih 170,698 cedera

    Jumlah kematian di Jalur Gaza meningkat kepada 69,185, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, sejak pencerobohan Israel Oktober 2023, menurut agensi berita Palestin WAFA memetik sumber perubatan.

    Menurut agensi berita itu, pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan jumlah mereka yang cedera meningkat kepada 170,698, sementara ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, kerana ambulans dan kru penyelamat tidak dapat mencapai mereka.

    WAFA melaporkan, menurut sumber yang sama, dalam tempoh 72 jam lalu, mayat tiga mangsa dari bawah runtuhan—tiba di hospital di seluruh Gaza.

  • 5 rakyat Kemboja cedera akibat tembakan di tengah-tengah penggantungan pakatan damai dengan Thailand

    Sekurang-kurangnya lima orang awam Kemboja cedera akibat tembakan pada Rabu di sempadan dengan Thailand, di tengah-tengah tuntutan yang bertentangan dari kedua-dua pihak, hanya beberapa hari selepas pihak Thailand menggantung pakatan damai, lapor Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Kemboja, “pasukan Thailand melepaskan tembakan ke arah orang awam Kemboja” di kampung sempadan Prey Chan di daerah O’Chrov di wilayah Banteay Meanchey, sambil menambah bahawa “lima orang awam cedera dalam serangan ini”.

    Kemboja “mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang tidak berperikemanusiaan dan kejam ini,” jurucakap kementerian Leftenan Jeneral Maly Socheata dilapor berkata, menggesa Thailand untuk “segera menghentikan semua permusuhan yang mengancam keamanan dan kestabilan di rantau ini”.

    Maly dilapor berkata, Kemboja “komited sepenuhnya untuk menghormati dan melaksanakan terma gencatan senjata dan perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand, serta perjanjian lain yang dicapai oleh kedua-dua pihak, atas semangat niat baik dan tanggungjawab tertinggi”.

    Dia dilapor berkata, insiden tembakan itu berlaku sekitar jam 3.50 petang (0850GMT) di sempadan negara-negara terbabit, yang telah menyaksikan peningkatan ketegangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    Secara berasingan, jurucakap Tentera Darat Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvari mendakwa bahawa askar Kemboja melepaskan tembakan ke kawasan sempadan Thailand, laporan Anadolu memetik Thai PBS.

    Selepas dakwaan “serangan awal” oleh Kemboja, Winthai berkata tentera Thailand melepaskan tembakan amaran ke arah titik tembakan yang masuk, “mengikut peraturan undang-undang”.

    Tiada korban jiwa di pihak Thailand, tambahnya.

    ​​​​​​Terdahulu, timbalan jurucakap tentera Thailand, Kolonel Richa Sooksuwanon mendakwa, “pihak Thailand telah bersedia dan tidak membalas dendam dalam apa jua cara,” Anadolu memetik saluran Thai, Khaosod English.

    Insiden itu susulan penggantungan Bangkok pada Isnin terhadap pakatan damainya dengan Phnom Penh selepas empat tentera Thailand cedera dalam letupan periuk api di wilayah sempadan Si Sa Ket.

  • Thailand ekstradisi raja judi She Zhijiang ke China

    Raja judi yang dikehendaki, She Zhijiang, diekstradisi ke China dari Bangkok pada Rabu, kata polis Thailand, selepas mahkamah Thailand awal minggu ini mengekalkan perintah yang menyusuli pertempuran undang-undang yang berlangsung selama lebih tiga tahun, lapor Reuters.

    She Zhijiang, 43, seorang warga China yang juga memegang pasport Kemboja, ditangkap oleh polis Thailand pada Ogos 2022 atas waran antarabangsa dan notis merah Interpol yang diminta oleh Beijing, yang menuduhnya menjalankan operasi perjudian dalam talian secara haram.

    Mahkamah jenayah Thailand mengarahkan ekstradisinya pada Mei 2024 dan mahkamah lain mengekalkan keputusan itu pada Isnin selepas rayuan oleh pasukan guaman She.

    “Orang China telah meminta suspek ini, yang merupakan keutamaan tinggi bagi China,” Leftenan Jeneral Polis Jirabhop Bhuridej, seorang penolong pesuruhjaya jeneral, dilapor berkata kepada pemberita.

    She akan diekstradisi ke China untuk dibicarakan kerana mengendalikan kasino haram dan laman web perjudian, serta menggunakan Myanmar sebagai pangkalan untuk operasi haram ini dan untuk pengubahan wang haram, menurut kenyataan polis Thailand pada Rabu, lapor Reuters.

    China, yang telah menghantar pesawat untuk menjemput She di lapangan terbang Suvarnabhumi di Bangkok, turut merakamkan rasa terima kasihnya kepada pihak berkuasa Thailand atas pengendalian kes itu, menurut Reuters.

    “Ini menunjukkan tahap kerjasama kami yang tinggi,” Zhao Mengtao, seorang kaunselor di kedutaan China di Bangkok dilapor berkata.

    Kedua-dua negara akan memperkukuhkan kerjasama mereka dalam menangani jenayah terancang seperti perjudian dalam talian dan penipuan siber, tambah Zhao.

    Response kepada ekstradisi itu, peguamnya Sanya Eadjongdee menyifatkan proses itu “luar biasa”, tetapi dia tidak mengulas lanjut.
    Dia dilaporkan berkata, She terus menafikan sebarang salah laku.

    Pada masa penangkapannya, She mengetuai empayar perjudian yang merangkumi kompleks kasino, hiburan dan pelancongan bernilai $15 bilion yang dipanggil Shwe Kokko di sempadan Thailand-Myanmar, menurut laporan Reuters.

    Jabatan Perbendaharaan AS pada September dilaporkan telah mengenakan sekatan ke atas sembilan syarikat dan individu yang mempunyai kaitan dengan Shwe Kokko kerana kaitan mereka dengan rangkaian penipuan dan pemerdagangan serantau.

    Kawasan sempadan antara Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja dikatakan telah menjadi hab penipuan dalam talian sejak pandemik COVID-19, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan berbilion dolar telah diperoleh daripada pemerdagangan ratusan ribu orang yang terpaksa bekerja di kawasan ini.

  • Taufan Fung-wong bawa banjir ke Taiwan, beribu-ribu orang dipindahkan

    Taiwan memindahkan lebih 8,300 orang menjelang ketibaan Taufan Fung-wong yang semakin lemah pada Rabu, membawa hujan lebat memecah rekod ke pantai timur pergunungan dan menyebabkan banjir, menurut Reuters.

    Perniagaan dan sekolah dilaporkan ditutup di kebanyakan kawasan selatan pulau itu, dengan 51 orang cedera.

    Dilaporkan, imej televisyen menunjukkan banjir teruk di beberapa bahagian di daerah timur Yilan yang sebahagian besarnya luar bandar.

    Lebih 1,000 rumah dibanjiri di pekan pelabuhan Suao yang menerima 648 mm (25 inci) hujan pada Selasa, satu rekod untuk bulan itu, pegawai cuaca dilapor berkata.

    “Air masuk dengan begitu cepat,” nelayan Hung Chun-yi dilapor berkata, yang menghabiskan malam membersihkan lumpur dari rumahnya, selepas tingkat pertamanya ditenggelami air sedalam 60 cm (2 kaki).

    “Hujan turun dengan begitu lebat, dan begitu pantas, saliran tidak dapat menahannya.”

    Penduduk lain juga berusaha membersihkan lumpur dari rumah-rumah yang dibanjiri air di Suao, walaupun hujan lebat telah berhenti.

    Jabatan bomba dilapor berkata kira-kira 8,300 orang telah dipindahkan dari rumah mereka ke kawasan lebih selamat, kebanyakannya di Yilan dan Hualien yang berdekatan, di mana monsun dari utara telah meningkatkan hujan dengan taufan yang lewat di luar musim.

    “Musim panas semakin panjang dan taufan tiba lebih lewat,” Huang En-hong, seorang peramal cuaca di Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan dilapor berkata.

    Perubahan iklim boleh menyebabkan peristiwa cuaca ekstrem yang serupa, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan trend, tambahnya.

    Menurut Reuters, Fung-wong diramalkan akan melanda hujung selatan Taiwan lewat Rabu sebelum menuju ke Lautan Pasifik.

  • Kanak-kanak cedera dalam letupan di pinggir bandar Moscow

    Seorang kanak-kanak cedera selepas alat letupan meletup di Krasnogorsk di wilayah Moscow, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

    Budak lelaki itu mengambil alat itu, yang disamarkan sebagai bungkusan hadiah dengan wang kertas 10 ruble yang dilekatkan, pada petang Selasa dekat sebuah bangunan kediaman tempatan, Jawatankuasa Siasatan Rusia dilapor berkata.

    Alat itu mengandungi jisim letupan sehingga 10 gram dalam setara TNT, tambahnya.

    Kanak-kanak itu masih dalam keadaan serius, Xinhua memetik pihak berkuasa kesihatan serantau.

    Satu kes jenayah atas tuduhan cubaan membunuh telah dibuka, dan siasatan lanjut sedang dijalankan, jawatankuasa penyiasatan dilapor berkata.

  • Semua 5 militan di sebalik serangan kolej tentera Pakistan terbunuh – Pegawai keselamatan

    Pasukan Pakistan membunuh semua lima militan, termasuk seorang pengebom berani mati, selepas serangan ke atas sebuah kolej dikendalikan oleh tentera di barat laut Pakistan, berita Anadolu memetik seorang pegawai keselamatan pada Rabu.

    Operasi keselamatan telah selesai, dan pihak berkuasa kini sedang membersihkan bangunan kolej bagi menghapuskan sebarang ancaman berpotensi daripada alat letupan buatan sendiri yang ditanam, pegawai itu dilapor berkata kepada Anadolu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana sekatan bercakap dengan media.

    Pada Isnin, Kolej Kadet di Wana di daerah Waziristan Selatan dekat sempadan Afghanistan diserang apabila militan merempuh dengan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan ke dalam pintu utama kolej.

    Dua militan, termasuk seorang pengebom berani mati, terbunuh di pintu utama manakala tiga yang lain memasuki kemudahan pendidikan.

    Pasukan keselamatan menyelamatkan lebih 600 individu, termasuk pelajar, guru dan kakitangan awam, yang berada di dalam kemudahan itu dan kemudian menjalankan operasi terhadap militan yang terperangkap di blok pentadbiran kolej, pegawai itu dilapor berkata.

    Menurut Anadolu, pegawai keselamatan itu berkata militan cuba mengulangi serangan sekolah Peshawar 2014, tetapi pasukan keselamatan berjaya menghalang tragedi itu.

    Dilaporkan, pada 16 Disember 2014, enam pengganas Taliban menyerbu Sekolah Awam Tentera Peshawar, ibu kota wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, dan membunuh hampir 150 orang, termasuk lebih 130 kanak-kanak sekolah.

    Kumpulan Khalifa Mansoor Tehreek-e-Taliban Pakistan dilaporkan telah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Dilaporkan, Mansoor kemudiannya terbunuh dalam serangan dron AS di timur Afghanistan pada Oktober 2017.

  • Turki kata 20 tentera terbunuh dalam nahas pesawat di Georgia

    Kementerian pertahanan Turki berkata pada Rabu, 20 askar terbunuh dalam nahas pesawat tenteranya di Georgia sehari sebelumnya, ketika pemeriksa terus mencari petunjuk mengenai punca pesawat kargo anggota NATO itu terhempas, lapor Reuters.

    Pesawat C-130 itu dilaporkan berlepas dari Azerbaijan ke Turki dan terhempas di Georgia pada Selasa.

    Ankara masih belum memberikan sebab bagi insiden ketenteraan paling dahsyat sejak 2020 itu.

    Dikatakan pihak berkuasa Turki dan Georgia memulakan pemeriksaan di lokasi itu, di perbandaran Sighnaghu di daerah Kakheti, Georgia, pada jam 0330 GMT Rabu.

    Menurut Reuters, rakaman awal dari tempat kejadian menunjukkan ketulan logam berpintal berselerak di atas bukit berumput, manakala rakaman yang tidak disahkan di media sosial menunjukkan pesawat itu pecah di udara dan kemudian terhempas ke arah bumi dalam kebakaran.

    Pada Rabu, Kementerian Pertahanan Turki dilaporkan mengeluarkan senarai 20 askar yang terbunuh dalam nahas itu.

    Pemimpin Azerbaijan dan Georgia, serta Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, semuanya dilaporkan telah menyampaikan ucapan takziah.

    Tom Barrack, Duta Besar AS ke Turki, juga dilaporkan telah menyatakan solidariti negaranya dengan Turki selepas nahas itu.

  • Angka maut akibat taufan berkembar di Filipina meningkat kepada 259

    Jumlah kematian akibat dua taufan kuat yang melanda Filipina baru-baru ini meningkat kepada 259, dengan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa pada Rabu.

    Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) dilapor berkata pada Rabu, Fung-wong, yang mendarat pada Ahad sebagai taufan super sebelum menjadi semakin lemah ketika melintasi utara-tengah Luzon, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, dengan dua lagi masih hilang.

    Ia berkata dalam laporan berasingan bahawa Taufan Kalmaegi, yang mendarat pada 4 November, mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di tengah Filipina, menyebabkan 232 orang terkorban, 112 hilang, dan lebih 500 cedera.

    Kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah Cebu, yang dikatakan masih terkesan akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud pada 30 September.

    Kedua-dua ribut itu menyebabkan berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan meluas rumah, ladang dan infrastruktur utama, termasuk jalan raya dan jambatan, menurut agensi itu.

    Fung-wong merupakan siklon tropika ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, mengatasi purata tahunan negara itu iaitu 20 ribut.