lama

  • 11 maut nahas pesawat di timur laut Perancis

    Sebuah pesawat awam kecil terhempas pada Ahad di jabatan Meurthe-et-Moselle di timur laut Perancis, mengorbankan semua 11 orang di dalamnya, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Pesawat itu, yang berlepas dari Lapangan Terbang Nancy-Essey, terhempas dekat komune Tomblaine. Mangsa termasuk juruterbang dan 10 penerjun udara, Xinhua memetik media Perancis BFMTV.

  • China siap sedia untuk pusingan baharu hujan lebat dan banjir di wilayah selatan

    Kementerian Sumber Air China pada Ahad mengatur kerja pencegahan banjir memandangkan pusingan baharu hujan lebat dijangka akan menjejaskan bahagian selatan negara itu, menurut berita Xinhua.

    Dari 28 Jun hingga 3 Julai, hujan lebat diramalkan di kebanyakan kawasan di selatan Sungai Yangtze, bahagian timur dan selatan barat daya China, bahagian barat laut selatan China, dan selatan Hubei di tengah China, menurut kementerian.

    Bahagian selatan Anhui, utara Jiangxi, utara Hunan, selatan Hubei, selatan Guizhou dan barat laut Guangxi dijangka mengalami hujan lebat.

    Terjejas oleh hujan, beberapa sungai di lembangan Sungai Yangtze, lembangan Sungai Pearl, kawasan sekitar Tasik Taihu, Zhejiang dan Fujian di timur China dijangka mengalami peningkatan paras air ketara.

  • Ribuan sertai perarakan anti-rasuah di ibu negara Filipina

    Kira-kira 3,500 peserta protes berarak di ibu negara Filipina, Manila, pada Ahad, menuntut akauntabiliti atas dakwaan rasuah dalam projek kerajaan, terutama kontrak kawalan banjir, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.

    Penganjur dilapor berkata, kempen itu bertujuan untuk pembaharuan pilihan raya, tadbir urus telus, akauntabiliti lebih besar, dan tindakan terhadap rasuah dan dinasti politik.

  • Vietnam hantar pasukan bantu operasi mencari dan menyelamat ke Venezuela susulan gempa

    Vietnam pada Ahad menghantar satu pasukan membabitkan 82 anggota tentera dari pelbagai unit, termasuk pengawal sempadan dan pasukan perubatan tentera, ke Venezuela untuk membantu dalam operasi mencari dan menyelamat susulan gempa bumi maut baru-baru ini, menurut berita Xinhua memetik laporan akhbar tempatan VnExpress.

  • 3 anggota bomba maut, 2 cedera ketika padam kebakaran hutan di sempadan Colorado-Utah

    Tiga anggota bomba maut dan dua cedera ketika memadam kebakaran di sempadan Colorado-Utah, menurut berita AP memetik laporan Perkhidmatan Bomba Hutan AS pada Ahad.

    Agensi itu — yang diwujudkan awal tahun ini untuk memperkemas pemadaman dan pengurangan kebakaran di seluruh tanah awam — berkata anggota bomba telah menjadi sebahagian daripada respons antara agensi terhadap kebakaran Knowles dan Gore pada Sabtu.

    “Perkhidmatan Bomba Hutan AS bersatu dengan Perkhidmatan Hutan USDA dalam kesedihan dan sokongan kami yang tidak berbelah bahagi kepada orang tersayang yang ditinggalkan. Keberanian, dedikasi dan pengorbanan mereka tidak akan dilupakan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, menurut AP.

    Aktiviti kebakaran hutan meningkat di barat AS, ketika cuaca panas, kering dan berangin selama beberapa hari berturut-turut telah membakar di Utah, Arizona dan di tempat lain ketika kebakaran baharu muncul di rantau itu.

    Kebakaran terbesar, Kebakaran Cottonwood, sedang marak di kawasan lasak di barat daya Utah, menurut AP, ia melonjak ke lebih 144 batu persegi (373 kilometer persegi) pada Sabtu selepas berarak melalui gaung dan lereng gunung, memusnahkan sebahagian daripada pusat peranginan ski dan kabin musim panas lain di sepanjang jalan.

  • 3 Rangers Pakistan dilapor maut dalam serangan militan di Karachi

    Tentera Pakistan berkata pada Ahad, tiga anggota pasukan Rangers separa tenteranya terbunuh dan empat yang lain cedera dalam pertempuran selepas militan melancarkan serangan pada malam sebelumnya ke atas ibu pejabat wilayah di bandar pelabuhan selatan Karachi, menurut berita AP.

    Seorang militan merempuh dengan sebuah kenderaan sarat bahan letupan ke dalam ibu pejabat wilayah Rangers Pakistan separa tentera di Karachi pada malam Sabtu, mencetuskan pertempuran sengit dengan pasukan keselamatan, menurut polis dan saksi, lapor AP.

    Menurut AP, tentera dalam kenyataan berkata, pasukan keselamatan membunuh tiga penyerang dan menangkap yang keempat, yang cedera. Ia mengenal pasti suspek yang ditangkap sebagai warga Afghanistan.

    Tentera dilapor berkata, operasi diteruskan di kawasan itu dan memberi amaran, Pakistan akan bertindak balas terhadap mereka yang bertanggungjawab atas serangan itu.

    Pakistan telah menjalankan serangan udara di Afghanistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan mengatakan mereka menyasarkan militan yang bertanggungjawab atas serangan di Pakistan, menurut AP, Kabul berulang kali menafikan membenarkan kumpulan militan menggunakan wilayah Afghanistan untuk melancarkan serangan rentas sempadan.

    Menurut AP, kumpulan militan Jamaat-ul-Ahrar, sebuah puak pecahan Taliban Pakistan, mengaku melakukan serangan itu sejurus selepas ia berlaku.

    Pihak tentera menyifatkan kumpulan itu sebagai proksi India, tetapi tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan.

  • 2 maut, 4 cedera nahas jalan raya di Balkh Afghanistan

    Dua orang terbunuh dan empat yang lain mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya di wilayah Balkh, utara Afghanistan pada malam Sabtu, menurut berita Xinhua memetik polis pada Ahad.

    Menurut kenyataan pejabat polis wilayah Balkh, pemanduan melulu menyebabkan kemalangan maut itu, yang berlaku di daerah Sholgara.

  • Polis Afghanistan musnahkan 400 ekar ladang popi di wilayah barat

    Polis memusnahkan 400 ekar ladang popi di wilayah Farah, barat Afghanistan, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pejabat polis wilayah pada Ahad.

    Dilaporkan, kempen itu dilancarkan di daerah Pur Chaman dan polis akan terus memerangi penanaman haram. Polis juga menemui 3,500 kg ganja semasa kempen itu dan menahan lima individu.

  • Kuwait kata ia pintas 2 peluru berpandu balistik

    Angkatan Tentera Kuwait berkata pada Ahad, mereka memintas dua peluru berpandu balistik selepas mengesannya di ruang udara negara Teluk itu, tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan material yang dilaporkan, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Staf Am Tentera Kuwait dalam kenyataan di X berkata, peluru berpandu itu dikesan pada pagi Ahad dan dipintas mengikut prosedur operasi ditetapkan.

    Pemintasan terbaru itu berlaku di tengah-tengah ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat antara AS dan Iran.

    Pada Sabtu, tentera AS berkata ia telah menjalankan serangan baharu terhadap berbilang sasaran tentera Iran selepas apa yang digambarkannya sebagai serangan berterusan Iran terhadap perkapalan komersial dekat Selat Hormuz.

  • Ukraine serang kilang penapisan di wilayah Krasnodar Rusia semalaman

    Dron Ukraine menyerang sasaran Rusia termasuk kilang penapisan minyak di wilayah selatan, Krasnodar semalaman, kata pihak berkuasa tempatan, ketika Kyiv meneruskan serangan infrastruktur tenaga yang menyebabkan kekurangan bahan api akut di beberapa bahagian di Rusia, menurut berita Reuters.

    Menurut Reuters, gabenor wilayah Krasnodar Veniamin ​Kondratiev dalam kenyataan di Telegram pada Ahad, berkata kebakaran berlaku di kilang penapisan di Slavyansk-na-Kubani, dengan seorang terbunuh dan seorang lagi cedera di sebuah kampung berdekatan.

    Kilang penapisan Slavyansk ialah sebuah kilang swasta dengan kapasiti kira-kira 100,000 tong sehari. Ia membekalkan bahan api untuk kegunaan domestik dan eksport.

    Menurut Reuters, di tempat lain di Rusia, gabenor wilayah Yaroslavl, timur Moscow, berkata rantau itu telah diserang dron dan had sementara dikenakan ke atas pergerakan di sesetengah laluan jalan ke ibu negara Rusia.