Israel

  • Lelaki Israel ditangkap kerana didakwa intip untuk Iran

    Pasukan keselamatan Israel berkata pada Ahad mereka menahan seorang lelaki Israel yang dituduh mengumpul maklumat risikan untuk Iran, termasuk dengan mengeksploitasi maklumat daripada rakannya, seorang anggota simpanan di pangkalan tentera udara, lapor Xinhua.

    Agensi keselamatan dalaman Shin Bet dan polis Israel dilapor berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa suspek, Shimon Azarzar, 27 tahun dari Kiryat Yam dekat Haifa, “mengekalkan hubungan langsung dengan pengendali perisikan Iran” selama lebih setahun dan menjalankan tugas atas permintaan mereka.

    Penyiasat dilapor berkata, Azarzar menghantar gambar dan koordinat tapak keselamatan sensitif di dalam Israel dan menawarkan maklumat tambahan dari pangkalan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

    Dia dilaporkan mengambil butiran daripada perkhidmatan tentera rakannya, termasuk operasi tentera udara dan lokasi pangkalan.
    Kenyataan itu dilapor berkata, dia dibayar untuk aktivitinya melalui kaedah pembayaran digital.

    Dakwaan telah difailkan terhadap Azarzar pada Ahad berikutan kesimpulan siasatan, Shin Bet dilapor berkata.

    Menurut Xinhua, sejak bermulanya perang Gaza pada 2023, Shin Bet telah membongkar lebih daripada 20 kes pengintipan sedemikian.

  • Laporan Israel: 58% keluarga Palestin di Israel hadapi masalah kekurangan makanan

    Laporan daripada Institut Insurans Nasional Israel mendedahkan 58% daripada keluarga Palestin di Israel mengalami ketidakamanan makanan, dengan hanya 10% daripada isi rumah ini menikmati tahap keselamatan makanan yang tinggi, berita WAFA melaporkan.

    Laporan itu, yang dikeluarkan hari ini dan meliputi tahun 2024, menyerlahkan perbezaan ketara dalam keselamatan makanan antara populasi yang berbeza.
    Keluarga Palestin di Israel, terutama mereka yang mempunyai satu atau dua anak, adalah 3.5 kali lebih berkemungkinan menghadapi masalah kekurangan makanan berbanding keluarga bukan Yahudi Haredi.

    Dalam kalangan masyarakat Yahudi Haredi, ketidakamanan makanan menjejaskan 25% isi rumah.

    Lebih seperempat isi rumah di Israel, bersamaan dengan 2.8 juta orang (termasuk lebih satu juta kanak-kanak), dilaporkan tidak dapat menyediakan makanan dengan kuantiti atau kualiti yang diperlukan.

    Ini bersamaan dengan 27.1% daripada semua isi rumah Israel, walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding 30.8% pada tahun 2023.

    Tinjauan yang dijalankan antara Mei dan November 2024, termasuk sampel 5,000 orang dewasa dan berdasarkan versi ringkas tinjauan keselamatan makanan Jabatan Pertanian AS, yang merangkumi enam soalan tentang kuantiti, kualiti dan ketersediaan makanan dalam isi rumah.

    Laporan itu juga mengaitkan ketidakamanan makanan secara langsung kepada tahap pendapatan, dengan menyatakan bahawa hampir separuh daripada isi rumah dalam peringkat ekonomi terendah (47.6%) mengalami ketidakamanan makanan.

    Ia memberi amaran bahawa fenomena ini mempunyai implikasi yang luas kepada ekonomi Israel, termasuk pengurangan produktiviti buruh, peningkatan kos penjagaan kesihatan, dan kesan negatif terhadap modal insan generasi muda.

  • Remaja Palestin terbunuh dalam serbuan tentera Israel di utara Tebing Barat

    Seorang remaja Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera awal Ahad semasa serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian Askar di timur Nablus, utara Tebing Barat, berita Anadolu memetik laporan agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

    Ameed Hassan, pengarah ambulans dan perkhidmatan kecemasan di Bulan Sabit Merah Palestin di Nablus, dilapor berkata dua anak muda cedera semasa pertempuran dengan tentera Israel di kem.

    Dilaporkan, seorang ditembak di dada dengan peluru hidup dan meninggal dunia akibat kecederaannya, manakala seorang lagi ditembak di belakang dan dipindahkan ke hospital.

    Tentera Israel dilaporkan telah menyerbu Nablus dari beberapa arah, mencetuskan konfrontasi di kem Askar, di mana askar melepaskan tembakan langsung ke arah penduduk.

    Tentera Israel juga dilaporkan menyerbu Ras al-Ain, Al-Basha, dan kawasan kejiranan Old City dan sekitarnya.

    Serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram telah meningkat di Tebing Barat yang diduduki sejak perang Gaza pada Oktober 2023, membunuh lebih 1,070 rakyat Palestin dan mencederakan 10,700 yang lain, angka Palestin menunjukkan, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam pendapat penting Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

  • Pelajar Itali protes dasar kerajaan Meloni dan sokongannya kepada Israel

    Puluhan ribu pelajar turun ke jalan di Itali pada Jumaat, berhimpun menentang dasar pendidikan gabungan sayap kanan Perdana Menteri Giorgia Meloni dan sokongannya kepada Israel, lapor Anadolu.

    Demonstrasi telah diadakan di bandar-bandar utama, termasuk Rom, Milan, Turin, Naples, Genoa, dan Bologna, dengan pelajar sekolah menengah dan universiti bergerak di bawah sepanduk “Hari Tanpa Meloni”.

    Di Milan, kira-kira 2,000 orang dilaporkan berarak melepasi mercu tanda seperti Katedral Duomo, mengecam pendekatan kerajaan terhadap pendidikan dan keputusannya untuk memperuntukkan lebih banyak pembiayaan kepada pertahanan berbanding sekolah dalam bajet 2026.

    Ramai pelajar dilapor membawa papan tanda bertulis “Sekolah menentang genosid” dan “Hentikan genosid”, menyalakan suar dalam warna bendera Palestin untuk mengkritik kedua-dua; tindakan Israel dan sokongan kerajaan Itali terhadap Tel Aviv.

    Bendera Palestin yang besar dikibarkan sepanjang perarakan, dan laungan itu termasuk kutukan keras terhadap Israel.

    Di Rom, sekumpulan pelajar dilaporkan menuang cat merah di hadapan Kementerian Pendidikan sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan.

    Menurut Anadolu, perarakan di bandar lain juga menuduh kerajaan Meloni bersubahat dalam tindakan Israel.

    Media Itali melaporkan pertempuran ringkas antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan di Turin dan Bologna, di mana ketegangan meningkat pada masa-masa semasa perhimpunan.

  • Tentera Israel bunuh 2 rakyat Palestin di Gaza dalam pelanggaran gencatan senjata baharu

    Tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin di Jalur Gaza pada Jumaat, dalam pelanggaran baru perjanjian gencatan senjata yang dilaksanakan sejak bulan lalu, lapor Anadolu.

    Kenyataan tentera Israel dilapor berkata, tenteranya menembak mati seorang lelaki Palestin di selatan Gaza kerana didakwa melintasi “garisan kuning” zon penampan yang memisahkan kawasan di bawah kawalan Israel dari kawasan yang ia berundur di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt. lalu.

    Seorang wanita Palestin turut terbunuh di bandar utara Beit Lahia di kawasan di bawah kawalan tentera Israel, kata jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Bassal dalam satu kenyataan, lapor Anadolu.

    Tentera Israel secara rutin menyasarkan rakyat Palestin yang mendekati, walaupun tanpa menyeberangi, “garisan kuning” di kawasan di mana pergerakan dibenarkan, menurut Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut pejabat media kerajaan Gaza, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 242 rakyat Palestin dan mencederakan 620 yang lain sejak gencatan senjata.

    Israel dilaporkan telah membunuh lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 170,000 yang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023.

  • Kolonis Israel dilapor bakar masjid di Salfit, sembur grafiti rasis di dindingnya

    Penjajah Israel membakar Masjid Hajja Hamida, yang terletak di antara pekan Deir Istiya dan Kafr Haris, barat laut Salfit, awal pagi Khamis, dan menconteng slogan perkauman di dindingnya, lapor agensi berita Palestin WAFA.

    Nazmi Salman, seorang aktivis menentang pengembangan penempatan, dilapor memberitahu WAFA, penduduk terkejut apabila mendapati kolonis telah membakar masjid dengan menuangkan bahan mudah terbakar di pintu masuk.

    Menurutnya, penduduk campur tangan untuk mengelakkan kebakaran daripada merebak ke seluruh masjid dan kolonis juga telah menyembur slogan perkauman yang bermusuhan dengan orang Arab dan Muslim di dindingnya.

  • Rumah Putih tolak laporan mengenai pangkalan tentera AS yang didakwa di sempadan Gaza

    Rumah Putih pada Rabu menolak laporan bahawa AS sedang mempertimbangkan untuk membina pangkalan tentera sementara di sempadan Jalur Gaza, lapor Anadolu.

    “Artikel ini berdasarkan sehelai kertas, satu siasatan yang dibuat oleh seseorang di Jabatan Tentera Laut mengenai idea yang mungkin berlaku pada masa hadapan, dan wartawan ini menganggapnya sebagai rancangan rasmi, dan menyiarkan cerita bahawa Amerika Syarikat sedang menelitinya. Saya telah bertanya kepada peringkat tertinggi kerajaan persekutuan Amerika Syarikat.

    “Ini bukanlah sesuatu yang Amerika Syarikat berminat untuk terlibat … ia bukanlah sesuatu yang kita sedang terlibat sekarang,” jurucakap Karoline Leavitt dilapor berkata kepada pemberita.

    Anadolu melaporkan, akhbar Yedioth Ahronoth, memetik pegawai Israel tanpa nama, berkata Washington berusaha untuk menubuhkan pangkalan tentera yang besar di kawasan sempadan Gaza, yang akan menandakan “peningkatan ketara aktiviti AS di Israel”.

    Ia dilaporkan berkata projek itu akan menjadi “pemasangan tentera Amerika berskala besar pertama di wilayah Israel, yang menggariskan komitmen AS yang semakin mendalam terhadap usaha penstabilan pasca perang di Gaza.”

    Leavitt dilapor berkata, Presiden Donald Trump telah “sangat jelas bahawa beliau tidak mahu melihat keadaan menjadi huru-hara berhubung apa yang berlaku di Timur Tengah”.

    “Kami telah membuat keamanan yang hebat, kami telah membuat kemajuan yang besar dengan pelan keamanan di Gaza dan kami mahu terus melihat ia bergerak ke hadapan,” dia dilapor berkata.

  • Gal Gadot menang Hadiah Genesis Israel atas sokongannya pada masa perang

    Pelakon Israel, Gal Gadot dianugerahkan Hadiah Genesis Israel sebagai pengiktirafan atas sokongan kuatnya terhadap negara itu pada masa ramai dalam industri hiburan mengkritiknya mengenai perang di Gaza, lapor AP.

    Menyifatkan dirinya sebagai seorang “Yahudi yang bangga dan seorang Israel yang bangga” bintang “Wonder Woman” itu, yang kadangkala telah membayar harga peribadi untuk advokasinya, berkata dia akan mendermakan hadiah $1 juta itu kepada organisasi yang komited untuk membantu Israel pulih daripada trauma perang dua tahunnya menentang Hamas, AP melaporkan.

    “Israel telah menanggung kesakitan yang tidak dapat dibayangkan,” dia dilapor berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh hadiah itu pada Selasa.
    “Sekarang kita mesti mula untuk sembuh — untuk membina semula hati, keluarga dan komuniti.”

    Hadiah Genesis, yang digelar “Nobel Yahudi” oleh majalah Time, diberikan setiap tahun kepada seseorang atas pencapaian profesional mereka, sumbangan kepada kemanusiaan dan komitmen terhadap nilai-nilai Yahudi.

    Pemenang telah mendermakan anugerah itu untuk mempromosikan tujuan yang dekat di hati mereka, seperti memerangi antisemitisme, memajukan hak wanita atau memperjuangkan keadilan ekonomi.

    Menurut AP, perang di Gaza meletus dengan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, di mana militan membunuh kira-kira 1,200 orang di selatan Israel dan menjadikan lebih 250 orang tebusan.

    Walaupun Israel menerima sedikit simpati antarabangsa pada awal perang, pendapat global dengan cepat menentangnya apabila serangan balasnya semakin meningkat, menurut AP.

    Pegawai kesihatan di Gaza dilaporkan berkata lebih 69,000 rakyat Palestin telah terbunuh, dan wilayah itu telah mengalami kemusnahan meluas.

    Israel dan Hamas dilaporkan bersetuju untuk gencatan senjata bulan lalu.

    Sentimen negatif terhadap Israel telah bergema di Hollywood, di mana ratusan pekerja industri, termasuk beberapa pengarah dan pelakon terkemuka, baru-baru ini berikrar untuk memboikot industri filem Israel, lapor AP.

    Sepanjang perang, Gadot, yang dilaporkan berkhidmat dalam tentera Israel selepas sekolah menengah, kekal sebagai penyokong kuat untuk Israel.

    Dia dikatakan berkempen untuk pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas, bertemu dengan keluarga tebusan dan tebusan yang dibebaskan dan membantu mempromosikan tayangan di Los Angeles filem grafik yang mendokumentasikan serangan Hamas.

    Kadang-kadang, dia menghadapi tekanan dan kritikan atas sokongan ini, menurut AP.

    Gadot, yang memainkan watak ibu tiri yang jahat dalam “Snow White” dilapor berkata dia percaya sentimen anti-Israel merupakan faktor dalam prestasi buruk filem itu awal tahun ini.

    Apabila dia menerima bintang di Hollywood Walk of Fame Mac lalu, penyokong Israel dan rakyat Palestin bertelagah berdekatan. Dan pada Ogos, beratus-ratus orang dari industri perfileman menandatangani surat yang menyeru Festival Filem Venice untuk menarik balik jemputan kepada Gadot. Pengarah festival menolak seruan itu, walaupun Gadot tidak hadir, menurut AP.

    AP melaporkan, Stan Polovets, pengasas bersama dan pengerusi Genesis Prize Foundation, memuji “kejelasan moral dan cinta yang tidak berbelah bahagi Gadot terhadap Israel” dengan mengatakan ia datang dengan risiko peribadi dan profesional yang besar.

    Tarikh untuk majlis anugerah tahun depan tidak diumumkan dengan segera. Pemenang terbaru, Presiden Argentina Javier Milei, datang ke Baitulmaqdis pada Jun untuk menerima anugerah 2025.

    Pemenang sebelumnya termasuk bekas datuk bandar New York Michael Bloomberg; pelakon Michael Douglas; pemain biola Itzhak Perlman; pengukir Anish Kapoor; pembikin filem Steven Spielberg; pemilik New England Patriots Robert Kraft; bekas tahanan politik Soviet Natan Sharansky; pengerusi dan ketua eksekutif Pfizer Albert Bourla dan penghibur Barbra Streisand.

  • Perancis larang 8 syarikat Israel sertai pameran keselamatan Paris

    Pihak berkuasa Perancis menghalang lapan syarikat Israel daripada mengambil bahagian dalam pameran keselamatan dan pertahanan yang akan datang di Paris minggu depan, lapor agensi berita WAFA memetik Saluran 12 Israel.

    Laporan itu mengatakan kerajaan Perancis memaklumkan Tel Aviv mengenai keputusannya selepas menyemak senarai syarikat Israel yang dijadualkan untuk menyertai, tanpa mendedahkan nama mereka yang terjejas oleh larangan itu.

    Paris menjelaskan bahawa membenarkan syarikat-syarikat ini menyertai akan menimbulkan masalah memandangkan situasi semasa, sambil menyatakan bahawa syarikat Israel lain yang dikaji semula akan dibenarkan untuk mengambil bahagian.

    Keputusan itu berkaitan dengan pameran Milipol Paris, yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 25 November, salah satu pameran perdagangan terbesar di dunia yang mengkhusus dalam keselamatan dan pertahanan dalaman.

  • Penasihat tinggi Perdana Menteri Israel letak jawatan

    Menteri Hal Ehwal Strategik Israel Ron Dermer, penasihat tinggi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, mengumumkan peletakan jawatannya pada Selasa, lapor Anadolu memetik media tempatan.

    Dalam sepucuk surat kepada Netanyahu, Dermer berkata, dia telah berjanji kepada keluarganya untuk berkhidmat hanya selama dua tahun, Anadolu memetik laporan akhbar harian Yedioth Ahronoth.

    Dermer, bekas duta Israel ke Amerika Syarikat (AS), merupakan salah seorang utusan kanan Netanyahu dalam meletakkan asas bagi perjanjian normalisasi tajaan AS yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham dan memainkan peranan utama dalam menentang program nuklear Iran.

    Pada Februari, dia diminta oleh Netanyahu untuk memimpin pasukan rundingan Israel untuk perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tebusan dengan Hamas.