Israel

  • Bot migran yang karam di luar sempadan Thailand-Malaysia dilaporkan bawa kira-kira 70 orang

    Sebuah bot yang membawa ahli komuniti Rohingya Myanmar yang dianiaya yang karam di perairan dekat sempadan Thailand-Malaysia membawa kira-kira 70 orang, manakala status bot lain dengan kira-kira 230 penumpang masih tidak jelas, lapor Reuters memetik pihak berkuasa Malaysia pada Isnin.

    Tujuh mayat telah ditemui dan 13 mangsa yang terselamat ditemui semasa pencarian Malaysia, seorang pegawai dari pihak berkuasa maritimnya dilapor berkata pada sidang akhbar.

    Pegawai Thailand awal Isnin dilapor berkata pencarian mereka telah menemui empat orang mati.

  • Rusuhan penjara Ecuador menyebabkan sekurang-kurangnya 31 kematian

    Rusuhan ganas selama sehari di sebuah penjara di barat daya Ecuador pada Ahad menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 31 banduan, lapor Reuters memetik agensi penjara negara itu.

    27 banduan di pekan pelabuhan Machala, selatan Guayaquil, meninggal dunia akibat pengasfiksiaan dan “kematian serta-merta dengan gantung,” Reuters memetik kenyataan dikongsi di X oleh agensi penjara SNAI.

    Tiada butiran lain mengenai bagaimana banduan terbabit meninggal dunia, menurut Reuters.

    Awal Ahad, SNAI melaporkan empat kematian di penjara yang sama dalam insiden berasingan, yang dikawal oleh polis taktikal, menurut Reuters.

    Rusuhan itu dikatakan didorong oleh penyusunan semula banduan di kemudahan keselamatan maksimum baharu.

  • 2 diselamatkan, 9 hilang selepas bot nelayan China terbalik di luar pantai barat daya Korea Selatan

    Dua kelasi diselamatkan dan sembilan yang lain hilang pada Isnin selepas sebuah bot nelayan China terbalik di luar pulau Eocheong dekat Gusan, kira-kira 180 km barat daya ibu negara Korea Selatan, Seoul, lapor Xinhua memetik agensi berita Yonhap.

    Kapal seberat 99 tan itu dilaporkan terbalik di perairan, kira-kira 150 km barat daya pulau itu sekitar jam 8:53 pagi waktu tempatan (2353 GMT Ahad).

    Daripada 11 kru di atas kapal itu, dua telah diselamatkan oleh sebuah kapal kargo yang belayar di perairan berdekatan, tetapi sembilan yang lain masih belum ditemui.

    Pengawal pantai Korea Selatan dilaporkan telah menghantar empat kapal peronda dan sebuah helikopter ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

  • 8 hilang selepas bot nelayan berlanggar dengan kapal komersial di luar pantai timur China

    Sebuah bot nelayan karam selepas berlanggar dengan sebuah kapal komersial di luar pantai wilayah Shandong di timur China pada Ahad, menyebabkan lapan orang hilang, lapor Anadolu.

    Bot nelayan yang berdaftar di Liaoning dan kapal komersial yang berdaftar di Shanghai itu berlanggar kira-kira 3.5 batu nautika di timur wilayah Shandong, Anadolu memetik pihak berkuasa.

    Susulan nahas itu, bot nelayan itu karam, tetapi kapal komersial itu kekal tidak terjejas.

    Rekod pendaftaran menunjukkan bot nelayan itu mempunyai sembilan orang di atasnya ketika ia bertolak dari pelabuhan, Anadolu memetik Global Times.

    Pihak berkuasa dilaporkan menggunakan kapal penyelamat, helikopter, serta bot komersial dan nelayan berdekatan bagi membantu usaha mencari dan menyelamat.

    Seorang dilaporkan telah diselamatkan dan berada dalam keadaan stabil, manakala lapan yang lain dikatakan masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

  • Rusuhan penjara di selatan Ecuador menyebabkan empat banduan maut

    Sekurang-kurangnya empat banduan terbunuh pada Ahad dalam rusuhan penjara di Machala, ibu kota wilayah pantai selatan Ecuador, El Oro, berita Xinhua memetik agensi pentadbiran penjara kebangsaan SNAI.

    Pergolakan itu tercetus pada awal pagi di Penjara No. 1 di Machala, SNAI dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Menurut Xinhua, media tempatan melaporkan rusuhan itu tercetus oleh “penstrukturan semula” dan pemindahan banduan ke kemudahan keselamatan maksimum, menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang cedera.

  • Beberapa cedera apabila dua kereta api bertembung di barat Slovakia

    Dua kereta api bertembung pada petang Ahad di barat Slovakia, menyebabkan beberapa orang cedera, berita Xinhua memetik laporan Agensi Berita Republik Slovak (TASR).

    Perlanggaran itu dilaporkan berlaku di antara pekan Pezinok di wilayah Bratislava dan ibu kota Bratislava.

    Pengangkut penumpang milik kerajaan ZSSK dilapor berkata, ia sedang bekerjasama dengan pengendali infrastruktur kereta api ZSR, polis dan perkhidmatan kecemasan bagi menguruskan keadaan.

    Perkhidmatan kereta api di kawasan itu telah terganggu, dengan ZSSK memberi amaran mengenai kelewatan yang ketara dan kemungkinan penutupan di sepanjang bahagian terjejas.

    Punca nahas masih dalam siasatan.

  • Taufan Fung-wong mendarat di Filipina

    Taufan Fung-wong mendarat di wilayah Aurora di bahagian timur Pulau Luzon, Filipina pada malam Ahad, berita Xinhua memetik biro cuaca negeri.

    Biro itu melaporkan taufan Kategori 5 melanda perbandaran Dinalungan sekitar jam 9:10 malam waktu tempatan (1310 GMT) pada Ahad.

    Selepas mendarat, Fung-wong dijangka bergerak merentasi kawasan pergunungan di utara Luzon dan muncul di Teluk Lingayen atau perairan pantai Pangasinan atau La Union menjelang pagi Isnin.

    Interaksi dengan kawasan lasak Luzon akan menyebabkan Fung-wong menjadi lemah dengan ketara, walaupun ia dijangka mengekalkan kekuatan taufan semasa melintasi daratan, kata biro itu.

    Sebelum mendarat, taufan super itu telah pun meragut sekurang-kurangnya dua nyawa, Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Fung-wong ialah siklon tropika ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, mengatasi purata tahunan negara itu iaitu 20 ribut.

  • Gempa bumi 5.6 magnitud landa 125 km di timur Yamada, Jepun

    Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan 125 km di timur Yamada, Jepun, pada 2215 GMT Sabtu, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), lapor Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 19.2 km, pada mulanya ditentukan berada pada 39.49 darjah latitud utara dan 143.40 darjah longitud timur.

  • Puting beliung di selatan Brazil: 6 terbunuh, ratusan cedera

    Puting beliung disertai angin kencang dan hujan lebat melanda negeri Parana di selatan Brazil, membunuh enam orang, lapor Reuters memetik kerajaan negeri pada Sabtu.

    Pekan Rio Bonito do Iguacu dilaporkan paling teruk dilanda lewat Jumaat, dengan agensi pertahanan awam negeri melaporkan lebih separuh kawasan bandar mengalami runtuhan bumbung, bersama-sama dengan pelbagai kegagalan struktur.

    Jalan raya tersekat dan talian elektrik rosak, menurut Reuters.

    Pihak berkuasa dilapor berkata 437 orang dirawat kerana kecederaan dan kira-kira 1,000 orang kehilangan tempat tinggal. Bandar Guarapuava yang berdekatan juga terjejas.

    Reuters melaporkan. menurut Sistem Pemantauan Meteorologi dan Alam Sekitar Parana, angin puting beliung mencapai kelajuan antara 180 kilometer sejam (111 batu sejam) dan 250 kilometer sejam (155 batu sejam).

  • Kanak-kanak maut terkena bahan letupan Israel di Khan Younis, selatan Gaza

    Seorang kanak-kanak Palestin terbunuh pada petang Sabtu selepas peranti yang tidak meletup yang ditinggalkan oleh pasukan pendudukan Israel meletup di Khan Younis, di selatan Jalur Gaza, lapor WAFA.

    Menurut WAFA, sumber tempatan melaporkan mayat kanak-kanak itu telah dipindahkan ke Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis.

    Pertubuhan bantuan antarabangsa sebelum ini telah memberi amaran mengenai bahaya yang ditimbulkan oleh sisa-sisa perang di Gaza, dengan menyatakan bahaya sedemikian boleh berterusan selama 20 hingga 30 tahun, menggambarkan wilayah itu sebagai medan periuk api yang menakutkan tanpa peta yang jelas, lapor WAFA.