Iran

  • Sekurang-kurangnya 50 murid yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria melarikan diri, kata gereja

    Lima puluh daripada lebih 300 pelajar yang diculik dari sekolah Katolik Nigeria minggu lalu telah melarikan diri, kata Persatuan Kristian Nigeria (CAN) pada Ahad, berita Reuters melaporkan.

    Murid-murid itu melarikan diri antara Jumaat dan Sabtu dan sejak itu telah bersatu semula dengan ibu bapa mereka, pengerusi CAN Bulus Yohanna dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Kira-kira 253 kanak-kanak, termasuk 12 kakitangan, masih bersama penculik, tambah Yohanna, seorang Uskup Katolik yang juga pemilik sekolah itu, lapor Reuters.

    Lelaki bersenjata menculik pelajar dan guru dari sekolah St. Mary di barat laut negara itu pada Jumaat, yang terbaru dalam beberapa serangan sekolah minggu ini yang telah memaksa kerajaan menutup 47 kolej.

    Pope Leo dilapor merayu pada Ahad agar membebaskan segera kanak-kanak dan kakitangan yang diculik, salah satu penculikan beramai-ramai yang paling teruk pernah direkodkan di sana.

    “Saya membuat rayuan ikhlas untuk pembebasan segera tebusan,” Pope Leo dilapor berkata pada akhir misa di Dataran St Peter di Rom.

  • Banjir 5 negeri di Malaysia semakin serius, mangsa dipindahkan kini 8,895 orang

    Jumlah mangsa banjir membabitkan lima negeri di Malaysia terus meningkat kepada 8,895 orang membabitkan 3,162 keluarga, menurut laporan BH Online.

    Menurut portal berita itu, semua mangsa kini ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di semua negeri terbabit setakat jam 8 malam ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilapor berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 7,695 orang daripada 2,810 keluarga dengan 31 PPS dibuka di empat daerah.

    Di Kedah dilaporkan 404 mangsa daripada 122 keluarga kini berlindung di tiga PPS, manakala di Terengganu dilaporkan 361 mangsa membabitkan 108 keluarga ditempatkan di dua PPS.

    Di Perlis dilaporkan 307 mangsa daripada 92 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dan di Pulau Pinang, dilaporkan negeri terbaru terkesan banjir merekodkan 128 mangsa membabitkan 30 keluarga, dipindahkan di dua PPS.

  • Israel serang pinggir selatan Beirut

    Pesawat perang Israel pada Ahad menyerang sebuah apartmen kediaman di Haret Hreik, pinggir selatan Beirut, mengakibatkan terbunuh atau cedera (casualities), Xinhua memetik laporan saluran TV al-Manar Lubnan.

    Tentera Israel dilaporkan mengesahkan serangannya ke atas Beirut, berkata ia menyasarkan anggota “utama” Hizbullah.

  • Banjir menyebabkan lebih 5,000 orang berpindah di pantai timur Malaysia

    Banjir menyebabkan lebih 5,000 orang berpindah di Malaysia, dengan kawasan paling teruk dilanda banjir adalah Kelantan, menurut pihak berkuasa pada Ahad, lapor Xinhua.

    Kelantan, yang mengalami hujan lebat berterusan sejak beberapa hari, merekodkan 5,142 mangsa banjir, yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan banjir, menurut Xinhua.

    Negeri jiran Terengganu merekodkan 528 mangsa dipindahkan setakat jam 3 petang waktu tempatan, menurut jabatan kebajikan masyarakat negara itu, lapor Xinhua.

    Jabatan meteorologi dilaporkan telah mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan dan angin kencang.

  • Kebakaran kilang di Gyeonggi Korea Selatan, 1 maut

    Kebakaran berlaku di sebuah kilang pembuatan kadbod beralun di Anseong, wilayah Gyeonggi, Korea Selatan, menyebabkan seorang pekerja maut, Xinhua memetik laporan berita YTN pada Ahad.

  • Kanak-kanak antara 11 rakyat Palestin ditahan dalam serbuan tentera Israel di Tebing Barat

    Tentera Israel menangkap 11 rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, pada Ahad dalam serbuan tentera di seluruh Tebing Barat yang diduduki, Anadolu memetik laporan media tempatan.

    Sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak, telah dibawa ke dalam tahanan Israel apabila tentera menyerbu bandar selatan Bethlehem dan pekan Dura, Al-Karmel, selatan Hebron, dan Beit Ummar di utara bandar itu, kata agensi berita rasmi Wafa, lapor Anadolu.

    Beberapa rumah telah digeledah semasa serbuan, kata saluran itu.

    Tentera Israel juga dilaporkan menangkap dua bersaudara Palestin semasa serbuan di pekan Burin, selatan Nablus di utara Tebing Barat.

    Tentera Israel dilaporkan telah meningkatkan serangannya di Tebing Barat sejak permulaan perang Gaza pada Oktober 2023.

    Lebih 1,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan hampir 11,000 lagi cedera dalam serangan tentera dan peneroka haram di wilayah yang diduduki dan lebih 20,000 orang juga telah ditangkap, lapor Anadolu.

  • Gencatan senjata Gaza dilanggar Israel hampir 500 kali dalam 44 hari

    Rejim Israel melanggar gencatan senjata Gaza yang ditengahi AS sekurang-kurangnya 497 kali dalam 44 hari, membunuh ratusan rakyat Palestin sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, berita Mehr melaporkan.

    Kira-kira 342 orang awam telah terbunuh dalam serangan itu, dengan kanak-kanak, wanita dan orang tua merupakan sebahagian besar mangsa, berita Mehr memetik laporan Al Jazeera.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya pelanggaran serius dan sistematik yang berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata oleh pihak berkuasa pendudukan Israel,” pejabat itu dilapor berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    “Pelanggaran ini merupakan pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan protokol kemanusiaan yang dilampirkan pada perjanjian itu. Antara pelanggaran ini, 27 berlaku hari ini, Sabtu, mengakibatkan 24 mati syahid dan 87 cedera,” tambahnya.

    Pejabat itu juga dilapor berkata, rejim Zionis bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan kemanusiaan dan keselamatan daripada pencabulannya.

    Rejim Israel terus menyekat aliran penuh dan bebas bagi bantuan dan bekalan perubatan yang sangat diperlukan ke dalam kawasan yang musnah seperti diamanatkan dalam perjanjian gencatan senjata.

    Tentera Israel dilaporkan melancarkan gelombang serangan udara di seluruh Gaza pada Sabtu, membunuh sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, dalam pencabulan terbaru gencatan senjata selama enam minggu di wilayah yang dilanda perang.

    Berpuluh-puluh keluarga Palestin telah “terkepung” di utara Gaza, pihak berkuasa tempatan dilapor berkata, ketika tentera Israel telah menempatkan semula pasukannya lebih jauh ke dalam kawasan itu yang melanggar perjanjian gencatan senjata.

  • 10 terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Herat Afghanistan

    Kemalangan jalan raya menyebabkan 10 orang maut dan lebih 10 lagi cedera pada Ahad di wilayah Herat, barat Afghanistan, lapor Xinhua memetik kenyataan pejabat polis wilayah itu.

    Satu nahas berlaku pada sebelah pagi di lebuh raya Herat-Kandahar, salah satu laluan paling sibuk di negara ini yang menghubungkan wilayah barat dan selatan, menurut kenyataan itu dilaporkan Xinhua.

    Kemalangan maut itu dilaporkan membabitkan sebuah kereta bertembung secara berdepan dengan kenderaan yang datang.

  • Dua individu yang diculik dari Sweida dibebaskan

    Dua orang dari Sweida, Syria, yang diculik kira-kira enam minggu lalu, dibebaskan berikutan operasi bersasar oleh pasukan keselamatan dalam negeri, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA) memetik pegawai.

    Brigedier Jeneral Hussam al-Tahan, ketua Keselamatan Dalam Negeri Sweida, dilapor memberitahu SANA, operasi itu dibuat selepas susulan intensif berikrar bahawa pasukan keselamatan dalam negeri akan terus menyelamatkan semua orang yang diculik, melindungi rakyat, dan mengejar sesiapa mengancam keselamatan awam.

    Operasi itu menggariskan langkah keselamatan berterusan dan usaha untuk memerangi aktiviti jenayah dan memastikan keselamatan orang ramai.

  • Paras banjir kebanyakan meningkat di selatan Thailand

    Air banjir dilaporkan semakin meningkat di banyak wilayah di selatan Thailand yang dilanda banjir besar akibat hujan berterusan.

    Menurut laporan Bangkok Post, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata pada pagi Ahad, 10 wilayah selatan dinaiki air dan kira-kira 1.47 juta orang terjejas.

    Wilayah selatan dilanda banjir, menurut laporan itu, ialah Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

    Paras banjir dilaporkan meningkat di sana kecuali di Surat Thani dan Krabi di mana banjir semakin surut.

    Jumlah tertinggi isi rumah dilaporkan terjejas, 194,574, di Nakhon Si Thammarat, diikuti oleh 190,757 keluarga di Songkhla dan 103,190 isi rumah di Phatthalung.

    Di selatan, Jabatan Meteorologi berkata hujan akan berterusan lebat pada Ahad dan berkurangan dari Isnin hingga Jumaat, menurut laporan Bangkok Post.

    Di utara dan dataran tengah, limpahan air dilaporkan terus menyebabkan banjir di 11 wilayah.

    Banjir dilaporkan di dua wilayah di utara; Phitsanulok dan Nakhon Sawan, manakala di Dataran Tengah, wilayah masih ditenggelami air membabitkan Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Ang Thong, Suphan Buri, Ayutthaya, Pathum Thani, Nonthaburi, Nakhon Pathom, menurut Bangkok Post, di mana paras banjir menurun kecuali di Phitsanulok di mana air banjir stabil.