Iran

  • 4 maut dalam nahas tren di Bekasi, Indonesia

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam nahas tren di Jawa Barat, Indonesia pada Isnin, manakala 38 yang lain cedera, lapor Anadolu memetik Metro TV Indonesia.

    Nahas itu berlaku lewat Isnin di Bekasi apabila sebuah tren jarak jauh berlanggar dengan sebuah tren komuter yang berhenti di landasan, lapor Anadolu memetik agensi berita kerajaan Antara.

  • Israel batal perhimpunan cuti besar Lag BaOmer kerana khuatir serangan Hizbullah

    Kira-kira 100,000 orang Yahudi yang kebanyakannya ultra-Ortodoks dijangka berkumpul minggu depan di Gunung Meron di utara Israel untuk meraikan percutian Lag BaOmer, menurut berita Al Jazeera.

    Namun, menurut Al Jazeera, pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata perayaan besar itu akan digantikan dengan upacara simbolik yang lebih kecil, dengan alasan kebimbangan mengenai perhimpunan itu diserang oleh Hizbullah.

    Gunung Meron hanya kira-kira 6km (empat batu) dari sempadan dengan Lubnan, lapor Al Jazeera, orang ramai biasanya menyalakan unggun api, menari dan menikmati hidangan besar di sana untuk menghormati Rabbi Shimon Bar Yochai, seorang bijak pandai dan mistik abad ke-2 yang dipercayai dikebumikan di gunung itu.

  • Netanyahu dakwa Hizbullah ada hanya kira-kira 10 peratus daripada senjata mereka

    Netanyahu bertemu dengan pegawai tinggi tentera dan mendakwa kumpulan Lubnan itu hanya mempunyai kira-kira 10 peratus daripada senjata mereka yang tinggal, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, dia berkata, angka itu berdasarkan perbandingan dengan peluru berpandu yang dipegang “pada permulaan perang”, walaupun tidak jelas perang mana yang dimaksudkannya – konflik yang berlaku bersama perang genosid di Gaza atau perang semasa, yang telah berlaku sejak permulaan perang AS-Israel ke atas Iran.

    Lubnan berada di bawah tekanan berat daripada Israel dan AS untuk melucutkan senjata Hizbullah, tetapi kumpulan itu dipercayai mempunyai puluhan ribu roket, peluru berpandu dan dron yang tinggal, lapor Al Jazeera.

  • Angka maut Lubnan akibat serangan Israel meningkat kepada 2,521

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan baru sahaja melaporkan jumlah kematian terkini Kementerian Kesihatan Lubnan sepanjang tempoh sejak Israel melancarkan serangan terbarunya.

    Kementerian itu mengatakan 2,521 orang telah terbunuh dari 2 Mac hingga 27 April, dengan 7,804 lagi cedera, lapor Al Jazeera memetik NNA.

    Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak dua hari lalu di tengah-tengah gencatan senjata yang semakin rapuh dipersetujui oleh Israel dan Lubnan.

  • 14 maut dalam nahas pesawat dekat Juba di Sudan Selatan

    Sebuah pesawat terhempas di barat daya ibu negara Sudan Selatan, Juba, pada Isnin, mengorbankan semua 14 orang di dalamnya, kata pihak berkuasa penerbangan awam negara itu, menurut berita Reuters.

    Pesawat itu, sebuah Cessna 208 Caravan dikendalikan oleh CityLink ​Aviation, terputus komunikasi semasa terbang dari Yei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juba, lapor Reuters memetik pihak berkuasa penerbangan dalam satu kenyataan.

    Pesawat itu dilaporkan berlepas pada ‌0915 waktu tempatan dan terputus hubungan pada 0943. Terdapat 13 penumpang dan ​seorang ​juruterbang di dalamnya, membabitkan dua warga Kenya dan ​12 warga Sudan Selatan.

    Laporan awal mencadangkan pesawat itu mungkin terhempas dalam cuaca buruk, ​terutama jarak penglihatan rendah, ​kata kenyataan itu, menurut Reuters.

  • Tren berlanggar di Bekasi Indonesia

    Dua tren berlanggar lewat Isnin di bandar Bekasi yang bersebelahan dengan ibu kota Indonesia, Jakarta, kata seorang pegawai, menurut berita Reuters.

    Perlanggaran itu berlaku di stesen tren Bekasi antara laluan komuter dan tren jarak jauh, kata jurucakap pengendali laluan komuter, Karina Amanda, kepada Reuters.

    Tiada laporan mengenai korban jiwa, kata Karina, sambil menambah bahawa “kami sedang menumpukan pada pemindahan penumpang dan kru kereta api”.

  • Kanak-kanak Palestin terbunuh, seorang lagi cedera dilaporkan akibat tembakan Israel di utara Jalur Gaza

    Seorang kanak-kanak Palestin terbunuh dan seorang awam cedera pada Isnin akibat tembakan tentera Israel di Beit Lahia, utara Jalur Gaza, lapor agensi berita WAFA.

    Menurut WAFA, sumber tempatan melaporkan bahawa Ayham al-Omari yang berusia 15 tahun terbunuh dan seorang awam cedera akibat tembakan tentera Israel di kawasan projek Beit Lahia, utara Jalur Gaza.

  • Israel umum serangan di selatan, timur Lubnan

    Tentera Israel mengumumkan ia mula menyerang yang didakwa tapak infrastruktur Hizbullah di Lembah Bekaa, di timur Lubnan, dan di tempat lain di seluruh selatan negara itu, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, korespondennya juga melaporkan tentera itu melancarkan dua serangan yang menyasarkan pekan Tibnin dan Yater di selatan Lubnan.

  • Ketua Hizbullah ulangi penolakan rundingan langsung dengan Israel, tidak akan lepaskan senjata

    Ketua Hizbullah, Naim Qassem, berkata rundingan langsung “di luar persoalan” dan kumpulannya akan terus menentang dan bertindak balas terhadap “pencerobohan” Israel, lapor Al Jazeera.

    “Kami tidak akan melepaskan senjata, dan pertahanan serta medan perang telah membuktikan kesediaan kami untuk konfrontasi,” katanya.

    “Pihak berkuasa [kerajaan Lubnan] terburu-buru untuk membuat konsesi yang tidak perlu dan tidak sepatutnya (gratuitous) , dan kami menolak sepenuhnya rundingan langsung [dengan Israel]. Pihak berkuasa mesti menghentikan rundingan langsung dan meneruskan jalan rundingan tidak langsung,” kata Qassem.

  • 5 sekeluarga mati ditembak lelaki bersenjata di Afghanistan

    Lelaki bersenjata tidak dikenali menembak mati lima sekeluarga di wilayah Logar, timur Afghanistan pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik kenyataan pejabat kerajaan wilayah.

    Lelaki bersenjata tidak dikenali, menurut kenyataan itu, memasuki sebuah rumah di sekitar ibu kota wilayah Pul-e-Alam awal pagi ini, membunuh lima ahli keluarga, membabitkan bapa, ibu, dua anak lelaki dan pengantin perempuan di rumah terbabit.