Iran

  • Pasukan keselamatan Pakistan bunuh 23 militan di barat laut dekat sempadan Afghanistan

    Pasukan keselamatan Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 23 militan semasa operasi keselamatan di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa dekat sempadan Afghanistan, kata tentera pada Khamis, menurut berita Anadolu.

    Pasukan keselamatan menjalankan dua operasi berasingan di daerah Kurram dekat sempadan Pakistan-Afghanistan pada Rabu, kata Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, dalam satu kenyataan, menurut Anadolu.

    Tentera Pakistan telah meningkatkan operasi berasaskan perisikan mereka di beberapa daerah Khyber Pakhtunkhwa selepas serangan baru-baru ini di ibu kota Islamabad dan pelbagai bahagian wilayah itu.

    Pada Isnin, tentera dilaporkan turut membunuh sekurang-kurangnya empat militan di Bajaur, Waziristan Utara dan Dera Ismail Khan.

    Sehari sebelum itu, ISPR berkata tentera membunuh sekurang-kurangnya 23 militan dalam dua pertempuran besar di daerah Bajaur dan Bannu.

    Pada Ahad, sekurang-kurangnya 15 lagi militan dilaporkan terbunuh semasa operasi di daerah Dera Ismail Khan dan Waziristan Utara.

    Minggu lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar Kompleks Kehakiman di ibu negara Pakistan, Islamabad, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan hampir tiga dozen yang lain.

    Terdahulu, militan menyerang Kolej Kadet di wilayah Wana di daerah puak Waziristan Selatan dekat sempadan Afghanistan.
    Pasukan keselamatan menggagalkan serangan itu dan membunuh semua lima militan yang memasuki kolej selepas pengebom berani mati memusnahkan pintu utama.

  • Israel kata pesawat ke-1,000 bawa bekalan ketenteraan Barat mendarat sejak perang ke atas Gaza bermula

    Kementerian Pertahanan Israel berkata pada Rabu, pesawatnya yang ke-1,000 dalam pengangkutan udara Barat yang berterusan sejak permulaan genosid Gaza telah mendarat di negara itu, menjadikan jumlah kargo ketenteraan yang dihantar sejak 8 Okt, 2023 kepada lebih 120,000 tan, lapor Anadolu.

    Pengumuman itu dibuat ketika AS terus menyokong Tel Aviv semasa perang Gaza, dengan beberapa kerajaan Barat mengkritik tindakan Israel dan mengenakan sekatan ke atas eksport senjata.

    Sepanyol mengeluarkan dekri diraja pada September mengenakan sekatan senjata penuh ke atas Israel, manakala tahun lepas UK, Jerman, dan Kanada mengenakan had pemindahan senjata.

    “Pesawat ke-1,000 dalam operasi pengangkatan udara peralatan ketenteraan dan senjata yang komprehensif, yang bermula sejurus selepas meletusnya perang, telah mendarat di Israel,” kata satu kenyataan kementerian, menyifatkan operasi itu “belum pernah berlaku” dalam sejarah Israel, lapor Anadolu.

    Pesawat itu, yang membawa penghantaran besar peralatan ketenteraan, diterima oleh Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan Mej Jeneral Amir Baram, kementerian itu dilapor sebagai berkata.

    “Sehingga kini, lebih 120,000 tan peralatan ketenteraan, amunisi, sistem senjata dan peralatan perlindungan telah dipindahkan ke Israel melalui 1,000 pesawat dan kira-kira 150 kapal maritim,” tambah kenyataan itu.

    Kenyataan itu tidak menyatakan asal usul penghantaran yang tepat. Bagaimanapun, ia berkata operasi itu diuruskan bersama oleh Direktorat Perolehan Kementerian Pertahanan, melalui Unit Pengangkutan Pertahanan Antarabangsa, misi kementerian di AS dan Berlin, Direktorat Perancangan dan Pembinaan Pasukan tentera, dan Tentera Udara Israel.

    Laporan Oktober oleh Quincy Institute for Responsible Statecraft yang berpangkalan di Washington berkata AS telah menyediakan Israel dengan sekurang-kurangnya $21.7 bilion bantuan ketenteraan sejak bermulanya genosid di Gaza dua tahun lalu, lapor Anadolu.

    Selepas 7 Okt 2023, AS membekalkan $17.9 bilion bantuan ketenteraan semasa tempoh bekas Presiden Joe Biden, dan $3.8 bilion di bawah Presiden semasa Donald Trump, menurut laporan itu. Sebahagian daripada bantuan itu telah pun disampaikan, manakala selebihnya akan tiba pada tahun-tahun akan datang, menurut Anadolu.

    Laporan itu berkata Israel tidak akan dapat meneruskan genosid di Gaza tanpa sokongan AS.

    Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,000, dan menjadikan sebahagian besar kawasan itu menjadi runtuhan.

  • Belgium rancang untuk larang semua perisa vape kecuali tembakau untuk lindung anak muda

    Belgium sedang bersedia untuk melarang semua perisa vape kecuali tembakau dalam usaha menghalang golongan muda daripada menjadi ketagih kepada nikotin, Menteri Kesihatan Frank Vandenbroucke mengumumkan pada Rabu, berikutan cadangan baharu daripada Majlis Kesihatan Tertinggi, berita Anadolu melaporkan.

    Vandenbroucke berkata, e-rokok berperisa sengaja direka untuk menarik minat kanak-kanak dan menutup potensi bahaya vape, Anadolu memetik laporan agensi berita Belga.

    Tinjauan nasional terkini menunjukkan peningkatan mendadak dalam vape dalam kalangan murid sekolah di Belgium, dengan hampir satu pertiga telah mencuba e-rokok. Penggunaan mingguan dalam kalangan orang muda kini empat kali lebih tinggi daripada lima tahun lalu, menurut laporan Anadolu.

    Kerajaan masih belum mengumumkan bila larangan itu akan dikuatkuasakan, lapor Anadolu.

    Vandenbroucke dilapor berkata, dia berhasrat untuk melaksanakannya “secepat mungkin”.

    Sekatan yang dirancang itu berikutan dasar awal yang menyasarkan golongan muda merokok, termasuk larangan ke atas vape pakai buang dan pengehadan merokok di kawasan yang sering dikunjungi golongan muda.

  • Seorang rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di Abasan al-Kabira, Khan Younis

    Seorang lelaki Palestin terbunuh pada Khamis di pekan Abasan al-Kabira, timur Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor agensi berita Palestin WAFA.

    WAFA mengatakan, menurut sumber tempatan, dron Israel menyasarkan lelaki terbabit di Abasan al-Kabira, mengakibatkan kematiannya.

    Mayatnya dipindahkan ke Kompleks Perubatan Nasser.

    Pada Rabu, 33 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam beberapa siri serangan udara Israel di seluruh Jalur Gaza, menurut WAFA.

    Angka kematian di Jalur Gaza telah meningkat kepada 69,513, majoritinya kanak-kanak dan wanita, dengan 170,745 cedera, sejak permulaan serangan Israel pada Oktober 2023, menurut WAFA.

  • 13 maut selepas bas terbabas ke dalam sungai di tengah Kemboja

    Tiga belas orang maut dan 24 lagi cedera selepas sebuah bas merempuh rel jambatan dan terjunam ke dalam sungai di wilayah Kampong Thom, tengah Kemboja awal Khamis, kata seorang pegawai polis tempatan, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan maut itu berlaku di jalan nasional di daerah Santuk kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, Siv Sovanna, timbalan ketua polis daerah Santuk dilapor berkata.

    “Tiga belas orang, termasuk lapan wanita, disahkan meninggal dunia, manakala 24 yang lain cedera,” dia dilapor berkata kepada Xinhua melalui telefon.

    “Memandu mengantuk adalah kemungkinan besar punca kemalangan itu.”

    Mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital sejurus selepas kemalangan itu, dia dilapor berkata, sambil menambah bahawa semua mangsa adalah warga Kemboja.

    Angka kematian akibat kemalangan jalan raya kekal tinggi di negara Asia Tenggara itu. Dalam sembilan bulan pertama 2025, kira-kira 1,062 orang telah terbunuh dalam kemalangan jalan raya, dan 2,256 yang lain cedera, menurut laporan kerajaan, lapor Xinhua.

  • Gempa bumi 6.1 magnitud landa Seram, Indonesia

    Gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan Seram, Indonesia pada Khamis, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, berita Xinhua melaporkan.

    Pusat gempa bumi, dengan kedalaman 131.6 km, pada mulanya ditentukan pada 3.84 darjah lintang selatan dan 128.39 darjah bujur timur.

  • Penyelidik di Australia temui cara baharu untuk sasar kanser darah agresif

    Penyelidik di Australia menemui cara baharu untuk membunuh sel kanser dalam leukemia myeloid akut (AML), salah satu bentuk kanser darah yang paling agresif dan sukar dirawat, lapor Xinhua.

    Pasukan mendapati sel AML, terutama sel stem yang mendorong kambuh (berulang, jatuh sakit lagi), bergantung pada molekul biasa yang dipanggil heme untuk terus hidup dan terus membiak.

    Apabila proses ini disekat, sel-sel kanser mati melalui bentuk kematian sel yang baru dikenal pasti dikenali sebagai cuproptosis, menurut kenyataan Pusat Kanser Peter MacCallum Australia pada Khamis, lapor Xinhua.

    “Dengan menyekat sel AML daripada menghasilkan heme, kita boleh menghidupkan cuproptosis, satu bentuk kematian sel yang unik, dan secara berkesan membunuh sel yang paling bertanggungjawab menyebabkan kanser berulang,” Alexander Lewis, penyelidik pasca doktoral di Peter Mac dilapor berkata.

    “Kami telah menemui kelemahan asas dalam sel AML… Ini membuka pintu kepada terapi baharu yang berpotensi lebih berkuasa dan tahan lebih lama,” kata Lewis, pengarang utama penyelidikan, yang diterbitkan dalam Cell dan dijalankan dengan pelbagai institut penyelidikan Australia.

    Setiap tahun, kira-kira 900 orang Australia didiagnosis dengan AML, dengan separuh kambuh selepas keredaan dan kelangsungan hidup median untuk pesakit kambuh antara empat dan enam bulan, kata penyelidik.

    “Penemuan ini boleh membawa kepada rawatan baharu yang bukan sahaja membunuh sel AML tetapi juga menghalang penyakit itu daripada datang kembali selepas terapi awal,” kata Lewis sambil menambah ia “mungkin berkesan walaupun dalam AML yang telah menjadi tahan terhadap ubat standard”.

    Kajian itu juga mengenal pasti laluan metabolik tambahan untuk digabungkan dengan strategi penyekatan heme untuk meningkatkan keberkesanan rawatan, kenyataan itu dilapor sebagai berkata.

  • Sekurang-kurangnya 25 penduduk Gaza terbunuh, 77 cedera dalam serangan udara Israel walaupun gencatan senjata

    Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh dan 77 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Jalur Gaza pada Rabu, kata Kementerian Kesihatan, menandakan pelanggaran baru perjanjian gencatan senjata yang rapuh dilaksanakan sejak bulan lalu, menurut berita Anadolu.

    Kenyataan kementerian itu mengatakan sesetengah orang awam yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

    Tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan di beberapa kawasan di Gaza pada petang Rabu. Tentera mendakwa serangan itu adalah sebagai tindak balas kepada tembakan yang menyasarkan pasukannya di Rafah di selatan Gaza, menurut laporan Anadolu.

    Jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Basal dilapor berkata, serangan Israel menyasarkan beberapa kawasan di Jalur Gaza sejak petang.

    Basal berkata, serangan bermula dengan tembakan meriam menyasarkan sebuah rumah di kejiranan Shujaiya di bandar Gaza, membunuh seorang pemuda Palestin.

    Satu lagi serangan melanda perhimpunan awam di kawasan kejiranan yang sama, membunuh seorang lagi orang awam dan mencederakan berpuluh yang lain, tambahnya.

    Pesawat perang Israel turut menyerang ibu pejabat Kementerian Wakaf Gaza di kejiranan Zeitoun di bandar Gaza, membunuh lima orang, termasuk seorang wanita hamil dan seorang budak perempuan, jurucakap itu dilapor berkata.

    Di selatan Gaza, tiga rakyat Palestin terbunuh, dan beberapa lagi cedera dalam serangan Israel ke atas sekumpulan orang awam di Khan Younis, jurucakap itu dilapor berkata.

    Anadolu melaporkan, menurut seorang korespondennya, serangan itu menyasarkan kawasan dari mana tentera Israel berundur di Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt.

    Kumpulan Palestin Hamas mengecam serangan Israel sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan” dan “peningkatan berbahaya yang melaluinya penjenayah perang (Perdana Menteri Benjamin) Netanyahu berusaha meneruskan genosid terhadap rakyat kami”.

  • Ukraine kata angka kematian akibat serangan Rusia ke atas Ternopil meningkat kepada 25 orang

    Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dan 73 yang lain cedera selepas serangan Rusia melanda bangunan kediaman di bandar Ternopil di barat Ukraine pada pagi Rabu, kata pihak berkuasa, menandakan salah satu serangan paling maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut berita Anadolu.

    Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine dilapor berkata, lebih 160 penyelamat bekerja di tempat kejadian dengan kira-kira 45 unit peralatan, termasuk sistem robotik.

    Menteri Luar Andrii Sybiha mengecam serangan itu, berkata tindakan Rusia menunjukkan bagaimana “rancangan keamanannya kelihatan dalam realiti”.

    Sementara itu, Tentera Udara Ukraine dalam satu kenyataan dilapor berkata, Rusia melancarkan 48 peluru berpandu dan 476 dron dari beberapa arah, dengan sasaran utama adalah wilayah Lviv, Ternopil dan Kharkiv.

    Ia dilapor berkata, pasukan pertahanan udara menembak jatuh atau menumpaskan 483 daripada 524 aset serangan udara yang dikesan, termasuk 442 dron, 34 peluru berpandu jelajah Kh-101 dan tujuh Kalibr.

    Menurut Anadolu, pegawai tentera udara berkata serangan itu bermula pada petang Selasa dan melibatkan dron jenis Shahed, UAV jenis Gerbera dan peluru berpandu jelajah yang dilancarkan dari wilayah Rusia dan dari Crimea yang diduduki.

    Tujuh peluru berpandu dan 34 dron serangan melanda 14 lokasi, manakala serpihan yang jatuh direkodkan di enam kawasan, menurut laporan Anadolu.

    Menurut Anadolu, Rusia mendakwa tenteranya melakukan “serangan besar-besaran dengan senjata ketepatan jarak jauh” ke atas kemudahan industri ketenteraan dan tenaga Ukraine di wilayah barat.

    Kementerian Pertahanan dilapor berkata serangan itu, termasuk peluru berpandu hipersonik Kinzhal dan serangan UAV, dilakukan “sebagai tindak balas” kepada apa yang dipanggil serangan Ukraine ke atas tapak awam di Rusia.

  • Indonesia pindahkan pendaki terkandas selepas gunung berapi Semeru meletus

    Pihak berkuasa Indonesia memindahkan lebih 900 orang dan memudahkan kembali dengan selamat pada Khamis daripada 170 pendaki yang terkandas selepas letusan gunung berapi Semeru, salah satu gunung tertinggi di negara itu, lapor Reuters.

    Paras amaran dikekalkan pada tahap tertinggi selepas Semeru di pulau Jawa meletus sebanyak 10 kali pada Rabu, mengeluarkan kepulan abu yang besar dan menghantar lava dan batu sejauh 13 km (8.08 batu) menuruni cerunnya, pegawai dilapor berkata.

    Para pendaki terperangkap semalaman di kawasan perkhemahan tepi tasik di kaki gunung berapi kira-kira 6.4 km dari kawah tetapi kini dibantu untuk selamat, Septi Wardhani, pegawai di taman nasional Semeru dilapor berkata.

    “Semua pendaki bersama jurupandu mereka selamat,” Wardhani dilapor berkata kepada Reuters.