India

  • Angka maut akibat nahas kereta api di India meningkat kepada 8

    Jumlah kematian dalam kemalangan kereta api pada Selasa di negeri tengah India, Chhattisgarh, meningkat kepada lapan orang manakala kira-kira 17 orang parah, kata seorang pegawai tinggi kepada media, menurut Xinhua.

    Sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan masih tersekat di dalam bangkai kereta api.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku di daerah Bilaspur di negeri itu apabila sebuah kereta api penumpang merempuh sebuah kereta api barang yang tidak bergerak.

    Mereka yang cedera dimasukkan ke hospital berbeza.

    “Ini adalah kemalangan besar. Kami sedang menjalankan operasi menyelamat,” Kolektor Daerah Bilaspur, Sanjay Agrawal, dilapor sebagai berkata.

  • Pasukan keselamatan India bunuh 4 pelampau di negeri Manipur

    Pasukan keselamatan India membunuh empat pelampau yang tergolong dalam kumpulan bersenjata diharamkan Tentera Nasional Kuki Bersatu (UKNA) di negeri timur laut Manipur pada Selasa, kata seorang pegawai pertahanan kepada media, menurut berita Xinhua.

    Pertempuran antara pasukan keselamatan dan pelampau itu berlaku di kampung Khanpi di daerah Churachandpur di negeri itu.

    Pelampau yang terbunuh itu dituduh membunuh seorang ketua kampung dan menakutkan penduduk tempatan.

    “Pada awal pagi, semasa operasi berasaskan risikan, pengganas menggunakan tembakan tanpa provokasi ke arah barisan Tentera India di kampung Khanpi. Dalam pertempuran tembak-menembak yang berlaku antara pasukan keselamatan dan kader bersenjata UKNA, empat kadr kumpulan pengganas telah dineutralkan,” pegawai itu dilapor berkata.

  • Angka maut akibat kemalangan jalan raya di barat India meningkat kepada 13

    Jumlah kematian dalam kemalangan jalan raya di negeri barat India, Rajasthan, meningkat kepada 13 orang, menurut Menteri Kesihatan negeri, Gajendra Singh Khimsar pada Isnin, berita Xinhua melaporkan.

    Jumlah kematian dikhuatiri akan meningkat kerana sebahagian daripada mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

    Sebuah trak yang dipandu laju dilaporkan telah melanggar beberapa kenderaan di ibu kota Rajasthan, Jaipur, mengakibatkan kematian.

    Pemandu trak itu dilaporkan mabuk. Dia telah ditangkap oleh polis tempatan.

    “Daripada 10 orang yang cedera, enam orang kritikal dan yang lain mengalami kecederaan ringan,” menteri kesihatan itu dilapor berkata kepada media.