Greece

  • Kira-kira 30 dikhuatiri maut selepas sebuah bot migran terbalik di luar pantai Crete

    Kira-kira 30 orang dikhuatiri maut selepas sebuah bot membawa migran terbalik di luar pulau Crete, Greece, kata pihak berkuasa Greece dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin, lapor AP.

    Bot itu, yang membawa kira-kira 50 migran, terbalik 20 batu nautika dari pelabuhan Kali Limenes, titik paling selatan di Crete, pada Sabtu, lapor AP, tiga lelaki ditemui mati pada hari itu dan mayat seorang wanita ditemui terapung di laut pada Ahad.

    Tiada mangsa terselamat atau mangsa lain ditemui sejak itu. Kapal-kapal yang lalu terus mencari di perairan itu, lapor AP memetik jurucakap pengawal pantai memberitahunya pada Isnin.

    Bot yang terbalik itu meninggalkan Tobruk, Libya pada Khamis, menurut mangsa yang terselamat. Terdapat angin kencang di kawasan itu pada Sabtu.

    Pihak berkuasa telah menahan dua lelaki Sudan, berumur 25 dan 19 tahun, sebagai suspek penyeludup.

  • 5 ditemukan maut selepas bot migran terbalik di selatan pulau Crete, Greece

    Lima migran disahkan maut dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang selepas sebuah bot kayu yang membawa berpuluh-puluh orang terbalik di perairan selatan pulau terbesar Greece, Crete, awal Sabtu, kata pihak berkuasa, lapor berita Xinhua.

    Insiden tragis itu berlaku kira-kira 15 batu nautika (27 km) di selatan Kala Limena, sebuah penempatan pantai di pantai selatan Crete, menurut pengawal pantai Greece.

    Menurut Xinhua, penyiar kebangsaan Greece, ERT melaporkan tragedi itu berlaku apabila salah satu daripada dua kapal komersial yang dihantar oleh pusat mencari dan menyelamat kebangsaan menghampiri bot kayu migran.
    Ketika penumpang cuba memanjat tangga yang diturunkan dari kapal, ramai yang bergerak serentak ke satu sisi vesel yang penuh sesak itu, menyebabkan ia terbalik.

    Sebuah kapal kargo yang mengibarkan bendera Panama menyelamatkan 20 orang, manakala vesel dari Pengawal Pantai Hellenic dan agensi sempadan Kesatuan Eropah, Frontex, menemui tiga mayat. Dua lagi mayat kemudiannya ditemui di laut.

    Mangsa yang terselamat memberitahu penyelamat bahawa kira-kira 50 orang berada di dalam bot, menimbulkan kebimbangan jumlah kematian mungkin meningkat. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan.

    Greece, yang terletak di pinggir tenggara Eropah, kekal sebagai pintu masuk utama bagi pendatang dan pelarian yang cuba sampai ke Kesatuan Eropah melalui laut.

  • Dua migran ditemui mati dekat sungai sempadan Greece-Turkiye

    Pihak berkuasa Greece menemui mayat dua migran dekat tebing Sungai Evros, yang membentuk sempadan semula jadi antara Greece dan Turkiye, berita Xinhua memetik laporan penyiar kebangsaan Greece, ERT pada Ahad.

    Mangsa, dua lelaki yang dipercayai berumur sekitar 20 dan 35 tahun, ditemui lewat Sabtu dekat pekan Didymoteicho dekat sungai.

    Bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian. Menurut sumber tempatan, kedua-dua lelaki itu disyaki meninggal dunia akibat hipotermia di tengah-tengah suhu rendah selepas menyeberangi sungai.

    Sejak 2015, Greece telah menjadi pintu masuk utama ke Kesatuan Eropah untuk migran dan pelarian tanpa izin. Lebih 1 juta orang telah tiba di negara itu sejak sedekad lalu. Semasa perjalanan berbahaya itu, beratus-ratus orang telah kehilangan nyawa mereka di laut dan berpuluh-puluh lagi di wilayah Sungai Evros.

    Data dikeluarkan bulan lalu oleh Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) menunjukkan aliran migrasi tidak teratur melalui laluan Mediterranean Timur menurun sebanyak 27 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, lapor Xinhua, angka Frontex menunjukkan kira-kira 51,400 ketibaan tidak teratur telah direkodkan di Greece pada 2025.

  • Pertempuran pengawal pantai Greece dengan penyeludup manusia dekat Chios menyebabkan empat maut, berpuluh-puluh cedera

    Konfrontasi pada malam Selasa antara Pengawal Pantai Hellenic dan sebuah kapal yang disyaki menyeludup manusia di luar pulau Chios di Greece mengakibatkan empat kematian migran dan beberapa kecederaan, lapor berita Xinhua memetik penyiar kerajaan Greece, ERT.

  • Tujuh warga Greece maut dalam nahas bas mini di lebuh raya Romania

    Tujuh warga Greece maut dan tiga lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Nasional DN 6 di barat Daerah Timis, Romania, kata polis pada Selasa, lapor berita Xinhua.

    Menurut Inspektorat Polis Daerah Timis, semua mangsa adalah lelaki dari Greece. Bas mini yang terlibat dalam nahas itu juga berdaftar di Greece.

    Polis berkata, seorang lelaki berusia 29 tahun sedang memandu bas mini dari bandar Caransebes menuju Lugoj apabila dia memasuki lorong bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan sebuah trak barang berat.

    Rempuhan itu mengorbankan pemandu bas mini dan enam penumpang. Tiga penumpang lain cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

  • 3 mayat ditemui selepas letupan kilang makanan di tengah Greece

    Tiga mayat ditemui selepas letupan di sebuah kilang makanan di bandar Trikala, tengah Greece, manakala dua pekerja masih hilang, lapor Hellenic Broadcasting Corporation pada Isnin, menurut berita Xinhua.

    Letupan itu dilaporkan berlaku pada awal pagi Isnin di kilang biskut “Violanta” dan mencetuskan kebakaran, kata laporan itu. Mayat-mayat itu ditemui beberapa jam kemudian, dan operasi menyelamat diteruskan untuk mencari pekerja yang hilang.

    Letupan itu menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan kilang. Laporan awal menunjukkan letupan itu mungkin berasal dekat ketuhar, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

  • Lima dilapor hilang selepas kebakaran di kilang makanan di tengah Greece

    Lima orang hilang pada Isnin selepas kebakaran di sebuah kilang makanan dekat bandar Trikala di tengah Greece, lapor Reuters memetik seorang pegawai bomba memberitahunya.

    Pegawai itu dilapor berkata, 13 orang berada di kilang itu ketika kebakaran berlaku dan lapan daripada mereka berjaya keluar dari kemudahan itu.

    Menurut pegawai itu, punca kebakaran, yang meletus pada awal pagi, tidak jelas. Media tempatan melaporkan letupan besar kedengaran sebelum kebakaran, lapor Reuters.

  • Bot migran karam di luar pulau Greece, 28 diselamatkan, 3 hilang

    Seramai 28 orang diselamatkan, manakala tiga lagi masih hilang, selepas sebuah bot membawa migran tidak sah dari Türkiye karam di luar pulau Samos, Greece pada Selasa, kata pihak berkuasa Greece, lapor Xinhua.

    Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari mereka yang hilang, Xinhua memetik Pengawal Pantai Hellenic, sambil menambah bahawa angin hingga kekuatan 5 pada skala Beaufort telah menjejaskan kawasan itu.

    Menurut Pengawal Pantai, migran ditemui dekat garis pantai selepas bot mereka terhempas ke batu, lapor Xinhua.

    Mereka dibawa ke hospital tempatan untuk pertolongan cemas, manakala seorang bayi yang cedera dalam keadaan serius diterbangkan ke Athens, lapor Xinhua memetik media tempatan Samos Today. Kewarganegaraan migran masih belum disahkan.

    Greece menjadi pintu masuk utama bagi migran tidak sah dan pelarian ke Kesatuan Eropah sejak 2015. Sepanjang dekad lalu, lebih satu juta ketibaan telah direkodkan, manakala beratus-ratus orang telah kehilangan nyawa mereka semasa lintasan laut berbahaya.

    Data dikeluarkan baru-baru ini oleh Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) menunjukkan aliran migrasi tidak teratur melalui Mediterranean Timur menurun sebanyak 30 peratus dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.

    Menurut Frontex, kira-kira 46,200 ketibaan telah direkodkan di perairan Greece tahun ini, lapor Xinhua.

  • Sekurang-kurangnya 18 pendatang maut apabila bot kembung karam di selatan pulau Crete di Greece, 2 diselamatkan

    Sekurang-kurangnya 18 pendatang yang cuba menyeberangi Laut Mediterranean dengan bot kembung maut apabila ia terbalik di selatan pulau Crete, kata pihak berkuasa Greece pada Sabtu, lapor AP.

    Bot separuh karam itu ditemui pada Sabtu oleh sebuah kapal dagang Turki yang lalu, kata pihak berkuasa. Dua mangsa diselamatkan dan operasi menyelamat untuk mencari lebih ramai sedang dijalankan.

    Greece ialah pintu masuk utama ke Kesatuan Eropah bagi mereka yang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan di Timur Tengah, Afrika dan Asia dan kemalangan maut adalah perkara biasa.

    Pihak berkuasa masih belum menentukan dari mana bot itu datang, menurut AP.

  • Ribut Byron bawa hujan lebat dan kerosakan di Greece

    Ribut kuat, dinamakan Byron oleh ahli meteorologi tempatan, terus membadai Greece untuk hari kedua berturut-turut pada Jumaat, mencetuskan banjir yang meluas, menurut berita Xinhua.

    Mandra, sebuah pekan di wilayah barat, Attica kira-kira 20 km dari Athens, adalah antara kawasan yang paling teruk dilanda.
    Banjir teruk itu menghidupkan kembali kenangan pahit mengenai bencana 2017 di sana, apabila 24 orang kehilangan nyawa semasa kejadian cuaca ekstrem yang sama.
    Jalan-jalan bertukar menjadi tasik, dan rumah serta perniagaan ditenggelami lumpur di tengah-tengah hujan lebat.

    Kali ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di Mandra atau di tempat lain di Greece. Sejak pagi Khamis, Bomba telah menerima hampir 600 panggilan bantuan, termasuk permintaan untuk memindahkan 22 orang ke tempat selamat, 10 daripadanya di Mandra.

    Menurut Balai Cerap Negara di Athens, hujan paling lebat direkodkan dari petang Khamis hingga pagi Jumaat mencecah 251 milimeter di Nea Peramos berdekatan, salah satu pengukuran 24 jam tertinggi sejak 2008.

    Pegawai tempatan dilapor berkata, kerja anti-banjir yang dijalankan dalam beberapa tahun kebelakangan ini berkemungkinan menghalang satu lagi tragedi, walaupun mereka menekankan bahawa penambahbaikan selanjutnya masih diperlukan.

    Sepanjang 48 jam lalu, hujan lebat disertai ribut petir dan angin kencang telah menyebabkan kerosakan yang ketara kepada kediaman, perniagaan, tanah ladang dan infrastruktur di banyak bahagian Greece, dari pulau Zakynthos di barat ke tanah besar, semenanjung Peloponnese dan pulau Aegean seperti Crete dan Rhodes di tenggara, menurut Xinhua.

    Hampir semua wilayah di negara ini (12 daripada 13) diletakkan di bawah amaran “kod merah”, tahap tertinggi, hingga Sabtu.
    Sekolah tetap ditutup, dan pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengelakkan perjalanan yang tidak perlu.

    Perkhidmatan Meteorologi Nasional melaporkan keadaan cuaca buruk dijangka berterusan sehingga tengah hari pada Sabtu, menurut Xinhua.