Germany

  • Pegawai Hamas sahkan anak lelaki pemimpinnya terbunuh di bandar Gaza

    Pegawai Hamas Basim Naim mengesahkan pembunuhan Azzam al-Hayya, anak lelaki Khalil al-Hayya, dalam serangan udara Israel di bandar Gaza, lapor Al Jazeera.

    Mangsa merupakan anak lelaki keempat ketua Hamas di Gaza yang hidup dalam buangan yang terbunuh dalam serangan Israel. Al-Hayya, yang mempunyai tujuh orang anak, telah terselamat daripada pelbagai percubaan Israel untuk membunuhnya (sebelum ini).

    Serangan Israel di ibu negara Qatar, Doha, tahun lalu, yang menyasarkan kepimpinan Hamas, telah membunuh salah seorang anak lelakinya, walaupun al-Hayya terselamat. Dua anak lelaki lain telah terbunuh dalam percubaan Israel yang lalu untuk membunuhnya dalam serangan Gaza pada 2008 dan 2014, menurut Al Jazeera.

  • Tentera Israel dakwa bunuh ketua Unit Radwan Hizbullah

    Tentera Israel mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka telah membunuh Ahmad Balut, komander Unit Radwan elit Hizbullah, dalam serangan di pinggir bandar selatan Beirut pada Rabu, lapor Al Jazeera.

    Ia juga mendakwa telah membunuh Muhammad Ali Bazi, ketua jabatan perisikan Unit Nasser, dan Hussein Hassan Romani, pegawai pemerhatian pertahanan udara Hizbullah.

    Kekuatan Hizbullah telah mendapat manfaat daripada sokongan kewangan dan ketenteraan yang besar daripada sekutunya, Iran, yang, selain memainkan peranan formatif dalam penubuhan kumpulan itu pada tahun 1982, terus bertindak bersama-sama dengannya selama beberapa dekad sejak itu, lapor Al Jazeera.

  • 16 terbunuh, 21 cedera dalam serangan Israel di Lubnan

    Serangan dron dan udara Israel di selatan dan timur Lubnan membunuh 16 orang dan mencederakan 21 yang lain, termasuk paramedik, dan merosakkan sebuah sekolah, kata pegawai Lubnan pada Rabu, dalam pelanggaran gencatan senjata terbaru, menurut berita Anadolu.

  • Ahli majlis perbandaran mati ditembak di Ecuador

    Seorang ahli majlis perbandaran di wilayah Guayas, barat daya Ecuador, mati ditembak pada malam Selasa ketika mengambil bahagian dalam perlawanan bola tampar, menurut berita Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.

    Antonio Cool, seorang ahli majlis di perbandaran El Empalme, diserang di sebuah gelanggang dekat komuniti luar bandar El Limon. Tiga orang lagi cedera.

    Saksi berkata, lelaki-lelaki bersenjata yang menaiki motosikal tiba di tempat kejadian dan melepaskan tembakan tepat ke arah Cool, menyebabkan panik dalam kalangan mereka yang hadir.

    Cool telah berkhidmat sebagai ahli majlis sejak 2023 dan merupakan ahli Gerakan Revolusi Warga.

    Datuk Bandar El Empalme, Rodolfo Cantos, mengucapkan takziah dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.

    Ecuador mencatatkan 9,216 pembunuhan yang disengajakan pada tahun 2025, angka tahunan tertinggi dalam sejarahnya, Xinhua memetik data rasmi.

  • 9 maut sejak fajar Rabu di Gaza

    Satu serangan Israel pada petang Rabu membunuh seorang lagi rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lain di kawasan kejiranan Al-Daraj di tengah bandar Gaza, menurut agensi berita WAFA.

    Dilaporkan, pesawat Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat lot parkir Jabalia di Jalan Al-Wehda di kawasan kejiranan itu, meragut nyawa seorang awam dan mencederakan beberapa yang lain.

    Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan jumlah kematian di Jalur Gaza sejak fajar hari ini (Rabu) meningkat kepada sembilan orang.

    Ini termasuk empat kematian di utara Jalur Gaza dan seorang di selatan, manakala yang lain meninggal dunia akibat kecederaan dialami sebelum ini.

  • Dua warga Palestin di Israel terbunuh dalam tembakan di Qalansawe

    Dua warga Palestin di Israel terbunuh pada Rabu dalam kejadian tembakan di bandar Qalansawe di Wilayah 1948, lapor WAFA.

    Dua mangsa yang maut, berusia 20-an, dikenal pasti sebagai Mohammed Samir Zbarqa dan sepupunya, Abdul Karim Abdul-Aziz Zbarqa. Seorang lagi pemuda parah dalam kejadian tembakan itu.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan warga Palestin di Israel yang terbunuh sejak awal 2026 kepada 98 orang, termasuk lebih 50 orang di bawah umur 30 tahun, lapan wanita, dan tiga orang terbunuh akibat tembakan polis Israel.

    Lonjakan ini berlaku selepas 2025 yang mencatat rekod tertinggi, apabila 252 orang terbunuh dalam 218 insiden berasingan, menurut Abraham Initiatives, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau keganasan dalam kalangan warga Palestin di Israel, lapor WAFA.

  • Anak lelaki pemimpin Hamas parah dalam serangan Israel ke atas bandar Gaza

    Serangan Israel ke atas bandar Gaza mencederakan anak lelaki pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya, menurut berita Al Jazeera memetik sumber yang memberitahu rakan sekerjanya di lapangan.

  • Empat terbunuh semasa serangan Israel ke atas Saksakieh, selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 33 cedera semasa serangan Israel ke atas pekan Saksakieh, kata Kementerian Kesihatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

  • Amnesty seru pembebasan aktivis flotila Gaza yang diculik

    Amnesty International menyeru pembebasan aktivis diculik, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila, yang ditahan oleh Israel sejak pasukannya memintas kapal Flotila Sumud Global di perairan antarabangsa minggu lalu, menurut berita Al Jazeera.

    Abu Keshek dan Avila “berisiko besar untuk dicabuli hak asasi manusia, termasuk penyeksaan dan layanan buruk yang lain,” kata Amnesty, memetik “dokumentasi terdahulu mengenai penderaan dilakukan terhadap aktivis flotila yang ditahan pada Oktober 2025 di tangan pihak berkuasa Israel”.

    NGO itu berkata ia amat bimbang mengenai Abu Keshek, “seorang warganegara Palestin-Sepanyol-Sweden”, kerana dia “ditahan kerana disyaki bergabung dengan organisasi pengganas memandangkan undang-undang diskriminasi Israel dan rekod berterusan gangguan dan penindasan terhadap rakyat Palestin di bawah sistem apartheid Israel”.

    Amnesty International menyeru Israel untuk “segera membebaskan mereka dan memastikan mereka dilindungi semasa dalam tahanan”.

  • Rusia gesa negara asing pindah diplomat dari ibu negara Ukraine

    Rusia pada Rabu menggesa negara asing untuk memindahkan diplomat dan kakitangan mereka yang lain dari ibu negara Ukraine, Kyiv, kerana kemungkinan “serangan balas” jika Ukraine melakukan serangan di tengah-tengah sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, dalam satu kenyataan, berkata satu nota telah dihantar kepada semua misi diplomatik asing dan pejabat perwakilan organisasi antarabangsa yang diiktiraf dengan kementerian.