Gaza

  • 1 terbunuh, 3 cedera dalam serangan dron di Voronezh, Rusia

    Seorang terbunuh dan tiga lagi cedera susulan serangan dron Ukraine di wilayah Voronezh, selatan Rusia, kata gabenor wilayah Aleksandr Gusev pada Ahad, berita Xinhua melaporkan.

    Dia menyatakan Voronezh mengalami salah satu serangan dron paling hebat sejak permulaan konflik pada Sabtu.

    Kerosakan berlaku pada lebih 10 bangunan pangsapuri, 10 rumah persendirian, sebuah sekolah dan beberapa bangunan pentadbiran.

    Kementerian Pertahanan Rusia berkata pada Ahad, sistem pertahanan udara Rusia telah menembak jatuh 33 dron semalaman, 17 daripadanya di wilayah Voronezh.

  • Maduro hantar mesej kepada anak lelakinya: “Kami sihat, saya seorang pejuang”

    Penggubal undang-undang Venezuela, Nicolas Maduro Guerra, berkata pada Sabtu bahawa bapanya, Presiden Nicolas Maduro, menghantar mesej melalui peguamnya mengatakan dia berada dalam keadaan baik dan kekal teguh (resolute) ketika ditahan di Amerika Syarikat (AS), menurut berita Xinhua.

    “Para peguam memberitahu kami bahawa mereka kuat dan kami tidak seharusnya bersedih,” Guerra dilapor berkata.

    Dia memetik bapanya sebagai berkata: “Kami sihat. Saya seorang pejuang.”

    Presiden Maduro dan isterinya, Cilia Flores, kini ditahan di AS selepas pasukan AS menjalankan serangan tentera di Caracas dan tiga bandar Venezuela yang lain pada 3 Januari, satu operasi yang mengakibatkan penangkapan mereka, lapor Xinhua, serangan itu telah mendapat kecaman dan kebimbangan seluruh dunia.

  • Rubio dan Netanyahu dilapor bincang Iran, Syria dan Gaza

    Setiausaha Negara AS Marco Rubio bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu, kata wartawan Axios, Barak Ravid di X, sambil menambah mereka membincangkan protes di Iran bersama Gaza dan Syria, menurut laporan Reuters, Ravid memetik sumber AS.

  • Trump diberi taklimat mengenai pilihan serangan ketenteraan di Iran – media

    Presiden AS Donald Trump diberi taklimat sejak kebelakangan ini mengenai pilihan baharu untuk serangan ketenteraan di Iran, menurut berita Xinhua memetik laporan The New York Times pada Sabtu, memetik beberapa pegawai AS tanpa nama yang biasa dengan perkara itu.

    Trump “belum membuat keputusan muktamad, tetapi para pegawai berkata dia serius mempertimbangkan untuk membenarkan serangan sebagai tindak balas kepada usaha rejim Iran untuk menindas demonstrasi yang dicetuskan oleh rungutan ekonomi yang meluas,” Xinhua memetik laporan itu.

  • Beribu-ribu orang berhimpun sokong kumpulan pemisah utama Yaman

    Beribu-ribu orang berhimpun di jalanan di bandar Aden dan Mukalla di selatan Yaman pada Sabtu bagi menyokong kumpulan pemisah utama negara itu, Majlis Peralihan Selatan (STC), yang menafikan ia merancang untuk bubar, menurut laporan Reuters.

    Sesetengah memegang foto pemimpin STC, Aidarous al-Zubaidi, yang telah melarikan diri dari negara itu, sementara yang lain melaungkan “orang selatan, lantangkan suara anda, kemerdekaan atau kematian”, lapor Reuters memetik seorang saksi.

    Menurut Reuters, orang ramai turun ke jalanan walaupun kumpulan disokong Saudi mendesak mereka pada Jumaat untuk tidak berbuat demikian.

    STC, sebuah kumpulan disokong oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), dilaporkan merampas bahagian-bahagian selatan dan timur Yaman pada Disember dalam kemajuan yang meningkatkan ketegangan dengan satu lagi kuasa Teluk, Arab Saudi.

    “Kami telah turun ke jalanan sekali lagi… Tiada siapa yang boleh mendiamkan kami… Bukan Arab Saudi, mahupun mana-mana parti atau negara lain,” kata seorang lelaki yang turun ke jalanan, menurut Reuters.

    Arab Saudi dan UAE dilaporkan pernah bekerjasama dalam gabungan memerangi Houthi yang disokong Iran dalam perang saudara Yaman tetapi kemajuan STC mendedahkan persaingan mereka, yang membawa kepada perbezaan besar dalam pelbagai isu di seluruh Timur Tengah bermula dari geopolitik hingga pengeluaran minyak.

    Pejuang disokong Saudi sebahagian besarnya telah merampas semula kawasan selatan dan timur Yaman yang dirampas STC, dan delegasi STC telah pergi ke ibu kota Saudi, Riyadh untuk berbincang. Tetapi pemimpin STC, al-Zubaidi melangkaui mesyuarat yang dirancang dan melarikan diri dari Yaman pada Rabu, dan gabungan yang dipimpin Saudi menuduh UAE membantunya melarikan diri dengan penerbangan yang dijejaki ke lapangan terbang tentera di Abu Dhabi, menurut laporan Reuters.

    Dalam pengumuman yang disiarkan di media kerajaan Saudi pada Jumaat, salah seorang ahli kumpulan itu berkata STC telah memutuskan untuk bubar, menurut laporan Reuters, tetapi dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Sabtu, STC berkata ia telah mengadakan “mesyuarat luar biasa” susulan pengumuman di Riyadh dan mengisytiharkannya “batal dan tidak sah”, dengan mengatakan ia telah dibuat “di bawah paksaan dan tekanan”.

    Menurut Reuters, kumpulan itu juga berkata ahli-ahlinya di Riyadh telah ditahan dan “dipaksa mengeluarkan kenyataan”.

    STC mengulangi seruan untuk protes besar-besaran di bandar-bandar selatan pada Sabtu, memberi amaran terhadap sebarang percubaan yang menyasarkan “aktiviti aman” kumpulan itu.

    Pihak berkuasa di Aden yang bersekutu dengan kerajaan Yaman disokong Arab Saudi pada Jumaat mengarahkan larangan demonstrasi di bandar selatan itu, dengan alasan kebimbangan keselamatan, lapor Reuters memetik arahan rasmi yang dilihat olehnya.

  • 3 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel di Jalur Gaza

    Tiga rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berasingan Israel di Jalur Gaza pada Sabtu, kata pihak berkuasa kesihatan berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut kenyataan itu, seorang rakyat Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera apabila sebuah dron Israel menyerang sekumpulan pemuda dekat kawasan Bani Suheila di tengah Khan Younis di selatan Jalur Gaza. Dua lagi terbunuh akibat tembakan daripada kenderaan tentera Israel di timur kawasan kejiranan Zeitoun di tenggara bandar Gaza.

    Selain itu, tiga orang parah apabila pasukan Israel menyasarkan sebuah jentolak di pintu masuk ke kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza.

    Menurut Xinhua, saksi mata melaporkan serangan udara dan tembakan artileri Israel yang berterusan di Jalur Gaza pada Sabtu, termasuk tembakan di pinggir timur bandar Gaza, serangan udara di utara Jalur Gaza dan serangan ke atas Rafah di selatan.

    Tiada komen segera daripada tentera Israel mengenai insiden itu.

  • 1 migran terbunuh, 7 hilang apabila bot sebahagiannya karam di Laut Aegean

    Seorang pendatang terbunuh dan tujuh lagi masih hilang selepas sebuah bot sebahagiannya karam di Laut Aegean di luar pantai bandar pelabuhan barat Türkiye, Izmir pada Sabtu, kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Yerlikaya dalam satu kenyataan di X, berkata pasukan pengawal pantai menyelamatkan 37 pendatang dari sebuah bot getah yang separuh tenggelam masuk air akibat keadaan cuaca buruk.

    Usaha mencari dan menyelamat disokong oleh helikopter pengawal pantai sedang dijalankan untuk mereka yang hilang, menurut Yerlikaya.

    Laut Aegean merupakan laluan utama bagi pendatang yang cuba sampai ke Eropah melalui Türkiye, yang kini menempatkan sekitar 4 juta pendatang, termasuk rakyat Syria di bawah perlindungan sementara, menurut kementerian dalam negeri.

  • 14 cedera dalam kemalangan perlumbaan off-road di timur China

    Empat belas orang cedera dalam kemalangan perlumbaan off-road di Daerah Tongzhou di Bandar Nantong, Wilayah Jiangsu, timur China, pada Sabtu, lapor Xinhua memetik kerajaan tempatan.

    Kejadian itu dilaporkan berlaku semasa acara perlumbaan off-road di sebuah tempat dalam sebuah syarikat teknologi pertanian di Daerah Tongzhou.

    Seramai 89 pemandu menyertai acara itu, disokong oleh 38 kakitangan pengiring dan 68 kakitangan yang bertanggungjawab untuk keselamatan, pendaftaran dan operasi menyelamat, menurut berita Xinhua.

    Sekitar jam 10 pagi, seorang pemandu lelaki berusia 52 tahun, bernama Lu, hilang kawalan kenderaannya, mengakibatkan kecederaan di tempat kejadian, lapor Xinhua, semua yang cedera segera dibawa ke hospital, termasuk dua parah tetapi kini berada dalam keadaan stabil.

    Dilaporkan, kemalangan itu sedang disiasat lanjut, dan individu terbabit kini berada dalam tahanan polis.

  • Jumlah kematian akibat runtuhan tapak pelupusan sampah di Filipina meningkat kepada 4

    Jumlah kematian akibat runtuhan tapak pelupusan sampah di tengah Filipina meningkat kepada empat orang, lapor Reuters memetik seorang pegawai pada Sabtu, ketika usaha menyelamat berterusan untuk berpuluh-puluh orang yang masih hilang.

    Tapak pelupusan sampah Binaliw di tengah bandar Cebu dilaporkan runtuh pada Khamis, dengan 110 pekerja berada di lokasi pada masa itu.

    Beberapa struktur dan kemudahan di dalam tapak pelupusan sampah dilapor rosak semasa runtuhan itu.

    Menurut Reuters, datuk bandar Cebu, Nestor Archival, berkata dalam catatan Facebook pada Sabtu, jumlah kematian telah meningkat kepada empat orang dan 12 orang lagi telah dihantar ke hospital.

    “Pihak berkuasa mengesahkan … mengesan tanda-tanda kehidupan di kawasan tertentu, yang memerlukan penggalian berterusan dan penggunaan kren 50 tan yang lebih canggih,” kata Archival.

    Tiga puluh enam orang hilang berdasarkan kiraan pada Jumaat, menurut Reuters, kemas kini mengenai bilangan orang yang hilang tidak tersedia dengan segera.

    Keluarga pekerja yang hilang dilaporkan masih berharap pada Sabtu bahawa mereka akan ditemui masih hidup.

    Jerahmey Espinoza, yang suaminya antara yang hilang, pergi ke tapak pelupusan sampah dengan harapan dapat menemuinya.

    “Mereka tidak pernah melihatnya atau menemuinya sejak bencana itu berlaku. Kami masih berharap dia masih hidup,” kata Espinoza, seperti dilaporkan Reuters.

  • Jumlah kematian akibat protes di Iran dilaporkan meningkat kepada 65

    Jumlah kematian akibat protes di Iran meningkat kepada 65 orang, menurut berita Anadolu memetik laporan Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia Iran (HRANA) pada Sabtu.

    Menurut Anadolu, laporan yang diterbitkan di laman web kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mengatakan demonstrasi telah berlangsung selama 13 hari berturut-turut.

    Ia mengatakan protes berlaku di 512 lokasi di 180 bandar di semua 31 wilayah, mengakibatkan kematian 50 peserta protes, 14 pegawai penguatkuasa undang-undang dan keselamatan, dan seorang awam yang bergabung dengan kerajaan.

    Demonstrasi juga dilaporkan menyebabkan berpuluh-puluh cedera dan 2,311 ditahan.

    Kecederaan sebahagian besarnya disebabkan oleh tembakan pelet dan peluru plastik, Anadolu memetik laporan itu.

    Anadolu mengatakan, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan mengenai mereka yang terbunuh atau cedera.

    Iran telah menyaksikan gelombang protes sejak akhir Disember, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan nilai rial Iran yang mendadak dan keadaan ekonomi yang semakin merosot.

    Demonstrasi bermula pada 28 Disember dekat Grand Bazaar Tehran dan kemudian berkembang ke beberapa bandar.