Ethiopia

  • Tiga termasuk dua pelancong Turki dibunuh penggembala bersenjata di Ethiopia

    Dua pelancong Turki dan pemandu mereka warga Ethiopia dibunuh oleh penggembala bersenjata di barat daya Ethiopia, kata pihak berkuasa wilayah lewat Isnin, menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keji, menurut Berita Arab memetik laporan AFP.

    Serangan itu dilaporkan berlaku di daerah Suri, kira-kira 330 km barat daya ibu kota Addis Ababa, dan dilakukan oleh “penyamun pastoralis” pada pagi Isnin.

    Barat Daya Ethiopia merupakan rumah kepada penggembala separa nomad, terutama dari puak Suri dan Surma, yang sering bersenjata untuk mempertahankan kawanan mereka.

  • Gunung berapi meletus di utara Ethiopia, menghantar kepulan abu ke arah Yaman dan Oman

    Gunung berapi yang lama tidak aktif meletus di utara Ethiopia pada hujung minggu, menghantar kepulan abu merentasi Laut Merah ke arah Yaman dan Oman, lapor AP.

    Gunung berapi Hayli Gubbi di wilayah Afar di Ethiopia dilapor meletus pada pagi Ahad, menyebabkan kampung jiran Afdera diselaputi debu.

    Seorang pentadbir tempatan, Mohammed Seid, dilapor berkata tiada kemalangan jiwa berlaku, namun letusan itu boleh memberi implikasi ekonomi kepada komuniti penggembala ternakan tempatan.

    Seid dilapor memberitahu The Associated Press (AP) bahawa tidak ada rekod sebelumnya mengenai letusan oleh gunung berapi Hayli Gubbi, dan dia bimbang dengan mata pencarian penduduk.

    “Walaupun tiada nyawa manusia dan haiwan ternakan terkorban setakat ini, banyak kampung telah diselaputi abu dan akibatnya haiwan mereka kurang makan,” dia dilapor berkata.

    Menurut AP, Pusat Nasihat Abu Gunung Berapi Toulouse di Perancis juga melaporkan letusan itu, yang diperhatikan pada imej satelit.

    Menurut AP, wilayah Afar terdedah kepada gempa bumi dan seorang penduduk, Ahmed Abdela, berkata dia mendengar bunyi kuat dan apa yang disifatkannya sebagai gelombang kejutan.

    “Rasanya seperti bom tiba-tiba dilemparkan dengan asap dan abu,” dia dilapor berkata.

    Kampung berhampiran padang pasir Danakil, yang menjadi tarikan pelancong, masih diselaputi abu pada Isnin dan pelancong serta pemandu yang menuju ke padang pasir itu terkandas di kampung itu, menurut Abdela.

  • Wilayah Afar Ethiopia tuduh pejuang TPLF lintas sempadan, rampas kampung

    Pihak berkuasa di wilayah Afar, Ethiopia menuduh pejuang dari Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) pada Rabu menyeberang ke rantau itu dan merampas enam kampung dalam salah satu insiden paling serius sejak berakhirnya perang di utara Ethiopia, menurut berita Anadolu.

    Kerajaan wilayah Afar dilapor berkata, pasukan TPLF melepaskan tembakan dengan senjata berat di kawasan Tonsa di daerah Megale, menyasarkan komuniti penternak, memberi amaran bahawa ia akan “mempertahankan diri daripada serangan luaran” jika serangan itu berterusan.

    TPLF, yang menguasai politik Ethiopia selama hampir tiga dekad sebelum digulingkan dari kuasa pada 2018, melawan tentera persekutuan dari 2020 hingga 2022 dalam konflik dahsyat yang berakhir dengan Perjanjian Pretoria.

    Perjanjian itu memulihkan ketenangan yang relatif tetapi meninggalkan perpecahan yang mendalam dan ketegangan sporadis di utara Ethiopia.

    Parti itu sejak itu telah berpecah, dengan beberapa ahli kanan membentuk gerakan politik baharu termasuk Getachew Reda, bekas jurucakap TPLF yang berkhidmat sebagai pentadbir sementara Tigray selepas perjanjian damai dan kini merupakan Menteri Penasihat Hal Ehwal Afrika Timur di bawah kerajaan persekutuan.

    TPLF masih belum memberi respons terhadap dakwaan kerajaan Afar, menurut Anadolu.