Czech

  • 2 maut, 6 cedera dalam tembakan di utara Czech

    Dua termasuk seorang lelaki bersenjata, terbunuh dan enam lagi cedera pada Isnin dalam kejadian tembakan di pekan Chribska, utara Republik Czech, kata polis tempatan di X, menurut laporan Xinhua.

    Selepas kejadian di dewan pekan, polis berkata penembak itu telah terbunuh, dan bangunan itu kini selamat.

    “Pada masa ini, tiada petunjuk sebarang motif pengganas atau ekstremis,” polis dilapor sebagai berkata dalam catatan susulan di X.

    “Semuanya menunjukkan bahawa ia adalah motif berasaskan hubungan.”

    Polis mengesahkan dua kematian: seorang mangsa lelaki dan lelaki bersenjata. Antara enam yang cedera, seorang wanita berada dalam keadaan serius, menurut Xinhua.

    Perdana Menteri Czech, Andrej Babis menyifatkan kejadian itu sebagai “peristiwa tragis” sambil mengucapkan takziah.

  • Kerajaan Babis menang undi percaya di dewan perwakilan Czech

    Kerajaan gabungan yang diketuai oleh pemimpin parti ANO, Andrej Babis, memenangi undi percaya di Dewan Perwakilan Czech pada Khamis, secara rasmi memperoleh legitimasi perlembagaan untuk mentadbir, menurut berita Xinhua.

    Gabungan itu, yang terdiri daripada parti ANO pimpinan Babis, parti Freedom and Direct Democracy (SPD) dan Motorists for Themselves, memperoleh 108 undi dalam parlimen yang mempunyai 200 kerusi. Babis memuji perpaduan gabungannya selepas undian itu.

    Di bawah perlembagaan Republik Czech, kerajaan yang baru dilantik mesti hadir di Dewan Perwakilan dalam tempoh 30 hari selepas pelantikannya untuk mendapatkan undi percaya.

    Undian itu menyusuli perdebatan yang berlangsung selama kira-kira 26 jam sesi, yang paling lama seumpamanya dalam sejarah negara itu, menurut laman web saluran berita CT24, lapor Xinhua.

    Babis memenangi pilihan raya parlimen Oktober lalu dan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Disember tahun lalu.

  • Kereta api penumpang bertembung di Republik Czech, berpuluh-puluh cedera

    Dua kereta api bertembung pada pagi Khamis dekat pekan Zliv di selatan Republik Czech, mencederakan 42 orang, berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Lima individu parah dan berada di bawah rawatan perubatan di hospital tempatan, Xinhua memetik laporan Czech Television, memetik perkhidmatan menyelamat.

    Insiden itu berlaku sekitar 6:15 pagi waktu tempatan (0515 GMT), dan semua penumpang telah dipindahkan, perkhidmatan bomba dan penyelamat wilayah Bohemia Selatan dilapor berkata di X.

    Dilaporkan, salah satu kereta api adalah kereta api ekspres, dan satu lagi kereta api tempatan.

    Kedua-duanya dikendalikan oleh Keretapi Czech. Punca kejadian masih dalam siasatan.