Cuba

  • Trump kata dadah haram datang ke AS melalui laut turun 94%, operasi darat akan dimulakan

    Presiden AS Donald Trump berkata pada Sabtu, dadah haram yang memasuki negara itu melalui laut turun 94% dan mengumumkan rancangan untuk memulakan operasi serupa di darat, menurut berita Anadolu.

    “Saya cuba mencari tahu siapa 6% yang lain, kerana terus terang, saya fikir … mereka mesti menjadi orang yang paling berani,” dia dilapor berkata di Washington pada majlis makan malam penyampaian pingat Pusat Kennedy Jabatan Negara, merujuk kepada mereka yang masih cuba membawa dadah ke negara itu.

    Trump dilapor berkata proses yang sama akan bermula di darat, dengan menyatakan: “Kami tahu setiap laluan, kami tahu setiap rumah, kami tahu di mana mereka tinggal. Kami tahu segala-galanya tentang mereka.”

    Menurut laporan Anadolu, pengkritik berpendapat, Trump cenderung untuk membuat atau membesar-besarkan angka untuk meningkatkan reputasinya.

    Trump menyifatkan pengedaran dadah sebagai “seperti perang yang dahsyat” mencadangkan bahawa 300,000 orang dibunuh oleh dadah haram tahun lepas, dan berjanji tidak akan membiarkan ini berlaku.

    AS telah melakukan sekurang-kurangnya 22 serangan di Laut Caribbean dan Lautan Pasifik Timur ke atas bot yang disyaki mengangkut narkotik sejak September, membunuh sekurang-kurangnya 87 orang, lapor Anadolu.

    Ahli-ahli Kongres dilaporkan telah mempersoalkan keberkesanan serangan serta kesahihannya, kerana pentadbiran tidak menunjukkan bukti bahawa bot-bot itu sebenarnya membawa dadah, dan mereka yang berada di dalamnya dibunuh tanpa diberi peluang untuk membuktikan mereka tidak bersalah.

  • ‘Semuanya musnah’ ketika Aceh Indonesia bergelut dengan penyakit selepas banjir

    Dilanda banjir maut, rakyat Indonesia di wilayah sekitar Aceh Tamiang bergelut dengan penyakit yang semakin teruk dan kekurangan rawatan perubatan ketika pekerja bergelut membantu berpuluh-puluh penduduk di hospital tunggal di kawasan itu, menurut Reuters.

    Banjir dan tanah longsor akibat taufan minggu lalu memusnahkan tiga wilayah di pulau Sumatera di Indonesia, termasuk Aceh, membunuh sekurang-kurangnya 940 orang, dengan tambahan 276 orang disenaraikan sebagai hilang, data kerajaan menunjukkan pada Ahad, lapor Reuters.

    Apabila penduduk kehilangan tempat tinggal mereka akibat kolam lumpur dan serpihan, penyakit menjadi lebih teruk. Penyakit termasuk cirit-birit, demam atau myalgia, tercetus kerana “persekitaran dan tempat tinggal belum pulih selepas bencana,” kementerian kesihatan Indonesia dilaporkan sebagai berkata minggu lalu.

    Di satu-satunya hospital di Aceh Tamiang, seorang pesakit dan pekerja perubatan dilapor memberitahu Reuters pada Ahad mengenai penyakit yang semakin teruk di sana.

    Saksi Reuters dilapor berkata, peralatan perubatan tertutup dengan lumpur, picagari bertaburan di atas lantai dan banjir menghanyutkan ubat-ubatan.

    “Pekerja-pekerja ini tidak tahu apa erti penat,” Ayu Wahyuni ​​Putri yang melahirkan anaknya beberapa hari sebelum banjir melanda dilapor berkata.

    Nurhayati, seorang jururawat berusia 42 tahun, dilapor berkata hospital itu hampir lumpuh kerana kekurangan ubat. Pekerja cuba menyelamatkan ventilator di unit rawatan rapi untuk bayi, tetapi tidak berjaya kerana air yang semakin meningkat menutupinya.

    Seorang bayi meninggal dunia, manakala enam lagi terselamat, dia dilapor berkata.

    “Orang ramai mengenali saya sebagai seorang jururawat. Apabila saya tidak dapat melakukan sesuatu, ia berasa amat menyedihkan. Saya hanya boleh memberi ubat yang ada,” dia dilapor berkata sambil berharap hospital itu akan diaktifkan semula.

    “Ini adalah bencana yang luar biasa. Semuanya musnah.”

    Jambatan yang rosak menyebabkan hampir mustahil untuk pekerja perubatan pergi di sekitar Aceh, Dr. Chik M. Iqbal dilapor berkata, yang menaiki bot untuk sampai ke Aceh Tamiang, sambil menambah bahawa bilik kecemasan hanya akan beroperasi pada Isnin.

    Kira-kira 31 hospital dan 156 pusat kesihatan yang lebih kecil di seluruh tiga wilayah terjejas akibat banjir, kementerian kesihatan dilapor berkata pada 5 Disember.

  • Sekurang-kurangnya 20 rumah musnah dalam kebakaran belukar di NSW Australia

    Jumlah rumah yang musnah dalam kebakaran belukar di negeri Australia, New South Wales (NSW) meningkat kepada 20, membabitkan 16 di Central Coast dan empat di Mid North Coast, lapor Xinhua.

    Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales (NSW RFS), agensi tempur utama untuk kebakaran belukar di NSW, mengesahkan pada petang Ahad bahawa pasukan penilaian impak bangunan telah menyelesaikan penilaian mereka di kawasan api Nimbin Rd, Koolewong di Pantai Tengah dan mendapati 16 rumah musnah dan sembilan rosak.

    Selain itu, tujuh bangunan luar (outbuildings) telah musnah, dan lapan kekal tidak disentuh, kata pihak berkuasa dalam catatan Facebook, menurut Xinhua.

    Ia berkata pada Sabtu, empat rumah di kawasan Sungai Crawford di Mid North Coast telah hilang.

    Menurut Xinhua, Perbadanan Penyiaran Australia melaporkan pada Ahad bahawa bencana alam telah diisytiharkan di enam kawasan di NSW, bermakna orang yang rumah mereka telah rosak mungkin layak mendapat bantuan kewangan segera.

  • 12 ‘pengganas’ terbunuh dalam berbalas tembak di barat daya Pakistan

    Tentera Pakistan berkata pada Ahad bahawa 12 ‘pengganas’ terbunuh semasa operasi keselamatan di wilayah barat daya Balochistan, lapor Xinhua.

    Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, dilapor berkata pasukan keselamatan telah menjalankan operasi berasaskan risikan di daerah Kalat di wilayah itu.

    Menurutnya, ‘pengganas’ yang terbunuh telah terlibat secara aktif dalam pelbagai serangan ‘pengganas’ di kawasan itu, dan sejumlah besar senjata, peluru dan bahan letupan telah ditemui dari tapak itu.

    Susulan kejadian itu, operasi pembersihan dijalankan untuk memastikan tiada pengganas lain kekal di kawasan itu, kata ISPR.

    Tentera menegaskan bahawa pasukan keselamatan tetap komited untuk menggagalkan usaha mereka yang mengancam keamanan di Pakistan.

  • Cubaan rampasan kuasa di Benin ketika askar mengumumkan penyingkiran Presiden Patrice Talon

    Sekumpulan askar Benin berkata di penyiar negeri pada Ahad bahawa ia telah menyingkirkan Presiden Patrice Talon daripada kuasa dan melantik Lt. Kol. Pascal Tigri untuk mengetuai “Jawatankuasa Ketenteraan untuk Penubuhan Semula”, lapor Anadolu.

    Kedutaan Perancis di Benin juga dilapor berkata dalam satu kenyataan bahawa tembakan dilaporkan di Kem Guezo, dekat kediaman presiden.

    Kedutaan menggesa rakyatnya untuk kekal di rumah sehingga diberitahu kelak sebagai langkah keselamatan, “sementara keadaan reda (clarified) sepenuhnya”.

    Talon, bekas ahli perniagaan, telah berkhidmat sebagai presiden Benin sejak 2016 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2021.

  • 5 maut dalam kemalangan kereta-trak di India

    Sekurang-kurangnya lima orang maut awal Ahad apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah trak di negeri Chhattisgarh, tengah India, polis tempatan mengesahkan melalui telefon, menurut Xinhua.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku di daerah Jashpur di negeri itu.

  • 9 maut, 7 cedera dalam kemalangan di lebuh raya di Xinjiang China

    Sembilan orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di lebuh raya pada malam Sabtu di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang barat laut China, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, menurut Xinhua.

    Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam di bahagian berbeza di lebuh raya di bandar Usu, Wilayah Tacheng, di mana beberapa kenderaan terhempas berturut-turut. Secara keseluruhan, lima kenderaan besar dan tujuh kereta kecil terlibat.

    Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

    Pegawai tempatan dilapor berkata, nahas berlaku di tengah-tengah kabus tebal secara tiba-tiba, digabungkan dengan suhu malam di bawah sifar yang menyebabkan permukaan jalan menjadi basah dan berais dalam tempoh yang singkat.

    Siasatan lanjut mengenai kemalangan sedang dijalankan.

  • Pelancong antara 25 maut dalam kebakaran kelab malam Goa di India

    Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk empat pelancong, terbunuh dan ramai lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di negeri barat India Goa, lapor Xinhua memetik polis pada Ahad.

    Kebakaran dilaporkan berlaku di kelab malam popular, Birch by Romeo Lane, di kampung Arpora di daerah Goa Utara, kira-kira 16 km barat laut Panaji, ibu kota Goa.

    “Kebakaran besar berlaku di Birch by Romeo Lane di Arpora, Goa Utara, mengakibatkan 25 kematian, di mana empat daripadanya disahkan sebagai pelancong, 14 adalah kakitangan dan identiti tujuh masih belum dapat dipastikan. Enam orang cedera dan rawatan mereka sedang dijalankan,” menurut kenyataan dikeluarkan polis kepada media tempatan, lapor Xinhua.

    “Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan. Siasatan polis dan bomba sedang dijalankan. Tindakan undang-undang sedang diambil.”

    Ketua Polis Goa, Alok Kumar dilapor berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan polis, polis, bomba dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian.

    Saksi dilapor memberitahu media, letupan itu sangat kuat sehingga api menyambar bangunan dalam beberapa saat dan memerangkap orang di dalam.

    Siasatan awal yang dijalankan polis menunjukkan kebakaran itu didakwa dicetuskan oleh letupan silinder gas petroleum cecair (LPG) dekat kawasan dapur, lapor Xinhua.

  • Serangan Rusia landa bandar Kremenchuk di Ukraine

    Tentera Rusia melancarkan serangan udara gabungan semalaman ke atas infrastruktur di bandar Kremenchuk di tengah Ukraine, menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus, kata datuk bandarnya Vitalii Maletskyi pada Ahad, menurut Reuters.

    Maletskyi dilapor berkata dalam catatan media sosial, butiran akibat serangan itu akan dikeluarkan kemudian pada Ahad selepas penilaian kerosakan selesai.
    Perkhidmatan bandar sedang berusaha untuk memulihkan elektrik, air dan pemanasan di daerah yang bekalannya terganggu, tambahnya.

    Terletak di Sungai Dnipro, Kremenchuk ialah hab perindustrian utama dan rumah kepada salah satu kilang penapisan minyak terbesar di Ukraine.

    Bandar itu telah berulang kali dilanda peluru berpandu Rusia, termasuk serangan pada 2022 ke atas pusat beli-belah yang sesak yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang, menurut Reuters.

  • Sekurang-kurangnya 23 orang maut dalam kebakaran di kelab malam Goa, India

    Sekurang-kurangnya 23 orang maut selepas kebakaran di sebuah kelab malam di negeri Goa di India, kata ketua menteri negeri itu pada Ahad ketika video di media sosial menunjukkan ambulans berbaris untuk membantu mangsa yang cedera, lapor Reuters.

    Insiden itu berlaku sekitar 12:04 pagi waktu tempatan (1834 GMT Sabtu) di kampung Arpora, kata ketua polis negeri itu kepada pemberita, menurut Reuters.

    Kerajaan negeri telah mengarahkan siasatan berhubung insiden ini, kata ketua menteri Pramod Sawant dalam satu siaran di X, menurut agensi berita itu.

    Trak bomba dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian selepas polis menerima maklumat mengenai kebakaran itu, ketua polis itu dilapor berkata.

    Mereka yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan, manakala pihak berkuasa bekerja sepanjang malam untuk mengawal keadaan, Reuters memetik laporan ANI.

    Kebakaran telah dihentikan dan semua mayat telah ditemui, ketua polis itu dilapor berkata.

    Goa, sebuah negeri kecil di pantai barat India, merupakan destinasi pelancongan yang popular terutama dalam kalangan warga asing, menawarkan kedua-dua pantai dan landskap berbukit.

    Kira-kira 5.5 juta pelancong melawat Goa pada separuh pertama tahun ini, mengikut data kerajaan. Daripada jumlah ini 271,000 adalah pelancong antarabangsa.