Afrika

  • 9 maut dalam kemalangan jalan raya di Eastern Cape, Afrika Selatan

    Sembilan orang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di wilayah Eastern Cape di Afrika Selatan pada pagi Rabu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah teksi minibus dan sebuah kenderaan penumpang berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan di jalan R61 antara Engcobo dan Cofimvaba dekat Kampung Beyele di Eastern Cape.

    Teksi minibus itu, dalam perjalanan dari Ngcobo ke kawasan luar bandar sekitarnya, manakala kenderaan Toyota Avanza, dalam perjalanan dari Cofimvaba, yang mana kedua-dua kenderaan itu bertembung secara berhadapan, menurut jurucakap Jabatan Pengangkutan Wilayah, Unathi Binqose.

    Empat orang dari Toyota Avanza dan lima dari teksi minibus itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

  • 41 anak muda meninggal dunia di Afrika Selatan akibat prosedur berkhatan semasa upacara inisiasi

    Sekurang-kurangnya 41 anak muda meninggal dunia akibat prosedur berkhatan sebagai sebahagian daripada aktiviti inisiasi tradisional di Afrika Selatan pada November dan Disember, kata pihak berkuasa pada Selasa, lapor AP.

    Inisiasi tradisional merupakan upacara peralihan ke arah kedewasaan untuk pemuda yang diamalkan setiap tahun oleh pelbagai kumpulan etika di Afrika, termasuk sebahagian Afrika Selatan. Antaranya ialah komuniti Xhosa, Ndebele, Sotho dan Venda.

    Secara tradisinya, pemuda diasingkan di sekolah inisiasi di mana mereka diajar nilai-nilai budaya dan tanggungjawab apabila mereka menjadi dewasa. Bahagian berkhatan dalam inisiasi mengakibatkan kematian sesetengah inisiat setiap tahun, memaksa kerajaan campur tangan melalui perundangan.

    Undang-undang memaksa sekolah inisiasi berdaftar dengan pihak berkuasa, tetapi ini tidak menghentikan percambahan sekolah inisiasi haram di mana banyak kematian dilaporkan.

    Ibu bapa dijangka membayar untuk anak-anak mereka diterima masuk ke sekolah inisiasi untuk tempoh yang ditetapkan, yang bagi sesetengah orang merupakan motivasi kewangan untuk memulakan sekolah inisiasi yang tidak berdaftar.

    Tempoh permulaan biasanya berlangsung semasa cuti sekolah musim sejuk (Jun-Julai) dan musim panas (November-Disember).

    Menurut laporan AP, Menteri Hal Ehwal Tradisional Afrika Selatan, Velenkosini Hlabisa memberitahu penyiar tempatan pada Selasa bahawa 41 orang inisiat meninggal dunia semasa permulaan musim panas tahun ini.

    Dia menyalahkan kecuaian pihak sekolah inisiat, termasuk yang berdaftar, dan ibu bapa kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan dan nasihat perubatan.

    Hlabisa berkata, beberapa nasihat yang tidak terbukti sering diberikan kepada pemuda adalah untuk mengelakkan minum air bagi mempercepatkan penyembuhan.

    “Terdapat kecuaian dari segi memenuhi piawaian kesihatan di beberapa sekolah inisiat. Jika anda membawa anak anda ke sekolah inisiat, anda tidak pernah membuat susulan, anda tidak memantau, anda tidak pergi ke sana untuk melihat sama ada kanak-kanak itu minum air, anda meletakkan anak anda dalam risiko,” katanya.

    Wilayah Eastern Cape telah dikenal pasti sebagai tempat utama kematian inisiat, berjumlah 21 setakat ini, menurut laporan AP.

    Hlabisa berkata, 41 orang telah ditangkap berhubung sekolah inisiasi haram, termasuk ibu bapa yang memberikan umur yang salah untuk anak-anak mereka diterima masuk.

    Hanya kanak-kanak berumur 16 tahun ke atas yang boleh diterima masuk ke sekolah inisiasi dengan persetujuan ibu bapa, mengikut undang-undang Afrika Selatan.

    Inisiasi tradisional diamalkan secara meluas dalam komuniti Afrika, dengan kepulangan inisiat sering dicirikan oleh perayaan budaya yang menggembirakan.

  • 3 maut selepas bangunan runtuh di Soweto, Afrika Selatan

    Tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh selepas sebuah bangunan runtuh di Soweto, sebuah pekan di Johannesburg, Afrika Selatan, pada awal pagi Ahad, lapor berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan Johannesburg (JEMS) dilapor berkata, ia menerima panggilan kecemasan sejurus selepas jam 3 pagi waktu tempatan (0100 GMT).

    Pada masa runtuhan itu, enam orang berada di dalam struktur itu, tiga daripadanya terperangkap di bawah runtuhan. Seorang kanak-kanak berusia setahun dan dua wanita dewasa kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan mereka, lapor berita Xinhua.

    Tiga lagi dibawa ke hospital, dan keadaan mereka dikatakan masih belum didedahkan.

    Pihak berkuasa melancarkan siasatan mengenai punca runtuhan itu.

  • Sekurang-kurangnya 9 maut, 10 cedera dalam tembakan di Afrika Selatan

    Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di pekan Bekkersdal dekat Johannesburg, bandar dan hab ekonomi terbesar di Afrika Selatan, lapor Xinhua memetik polis tempatan pada Ahad.

    Kejadian itu berlaku sejurus sebelum jam 1 pagi waktu tempatan (2300 GMT Sabtu), menurut kenyataan daripada Perkhidmatan Polis Afrika Selatan.

    “Dilaporkan bahawa kira-kira 12 suspek yang tidak dikenali menaiki sebuah kombi putih dan sebuah sedan perak melepaskan tembakan ke arah pelanggan kedai minuman dan meneruskan menembak secara rawak ketika mereka melarikan diri dari tempat kejadian,” kata kenyataan itu.

    Sementara Anadolu melaporkan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di kedai minuman itu, memetik polis Afrika Selatan.

    Menurut Anadolu, South African Broadcasting Corp (SABC) News melaporkan serangan itu berlaku di KwaNoxolo di bahagian Tambo.

  • 2 anggota pengaman PBB cedera dalam serangan di Republik Afrika Tengah

    Dua anggota pengaman PBB cedera apabila konvoi pengiring logistik Misi Penstabilan Bersepadu Multidimensi PBB di Republik Afrika Tengah (MINUSCA) diserang oleh suspek anggota kumpulan bersenjata di wilayah Haut-Mbomou pada Isnin, kata jurucakap PBB, menurut laporan Xinhua.

    Dua anggota pengaman yang cedera, yang berasal dari Nepal, dipindahkan ke Bangui untuk menerima rawatan sewajarnya dan berada dalam keadaan stabil, kata Farhan Haq, timbalan jurucakap setiausaha agung PBB, pada taklimat harian, menurut Xinhua.