POR 1 – 1 COD
Abidjan
-
3 maut tanah runtuh tapak perlombongan haram di Aceh, Indonesia
Tiga pelombong emas maut dan empat lagi cedera selepas tertimbus oleh tanah runtuh di tapak perlombongan haram di wilayah Aceh, Indonesia, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.
Tanah runtuh itu berlaku pada Selasa di sebuah lubang perlombongan emas yang digali secara manual di kawasan ladang kelapa sawit di daerah Aceh Jaya.
Julian Zairi dari polis Aceh Jaya dilapor berkata, mangsa telah menjalankan aktiviti perlombongan haram di tapak terbabit.
Pihak berkuasa berkata aktiviti perlombongan haram itu telah dijalankan selama kira-kira enam hari sebelum kemalangan itu.
Penduduk sebelum ini telah diberi amaran terhadap perlombongan di kawasan itu, dan usaha sedang dijalankan untuk menghentikan operasi haram itu.
-
Pesawat kecil terhempas di lebuh raya di Texas AS, 1 maut
Sebuah pesawat kecil terhempas di lebuh raya di Laredo, selatan Texas, lewat malam Selasa, menyebabkan kebakaran ketika kru kecemasan bergegas untuk menyelamatkan mereka yang berada di dalamnya, menurut berita Xinhua.
Seorang daripada enam orang di dalamnya maut, Xinhua memetik polis tempatan. Tiada laporan segera mengenai sebarang kecederaan kepada mereka yang berada di dalam kenderaan di lebuh raya, Loop 20.
-
1 terbunuh, ratusan terjejas akibat gempa bumi 6.7 magnitud landa Indonesia
Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang melanda wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia pada Selasa menyebabkan seorang maut dan menjejaskan lebih 300 penduduk, menurut berita Xinhua memetik Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Sehingga jam 7 malam waktu tempatan pada Selasa, sekurang-kurangnya 25 orang mengalami kecederaan ringan dan 13 yang lain cedera parah, dengan kira-kira 110 isi rumah atau 312 individu terjejas di pelbagai daerah, lapor Xinhua memetik agensi itu.
Penilaian awal mencatatkan sekurang-kurangnya 67 unit kediaman rosak, enam rumah ibadat, dua jambatan, dua bangunan pejabat dan jalan wilayah yang menghubungkan Palu, Sigi dan Poso yang sebahagiannya runtuh.
Pihak berkuasa telah melancarkan operasi tindak balas kecemasan. Di Sigi, pegawai telah menubuhkan pos arahan lapangan di pejabat daerah kecil Nokilalaki.
Khemah perubatan kecemasan telah didirikan di Hospital Besar Daerah Poso. Agensi itu menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengikuti perkembangan terkini rasmi. -
1 maut, 8 cedera dalam gempa bumi bermagnitud 6.3 di Qinghai, China
Seorang disahkan maut dan lapan lagi cedera setakat jam 11 malam Selasa, selepas gempa bumi bermagnitud 6.3 menggegarkan Haixi Mongolia dan Tibet di Wilayah Qinghai, barat laut China, menurut berita Xinhua memetik penyelamat.
-
Nahas pesawat pengebom Su-24M di barat Ukraine, 2 juruterbang maut
Sebuah pesawat pengebom barisan hadapan Su-24M dari Briged Penerbangan Taktikal Petro Franko ke-7 terhempas pada Selasa di barat Ukraine, mengorbankan dua juruterbang, kata Tentera Udara Ukraine, menurut berita Xinhua.
Pesawat itu terhempas sekitar jam 7 malam waktu tempatan semasa menjalankan misi di wilayah Khmelnytskyi, tentera dilapor sebagai berkata dalam kenyataan.
Menurut maklumat awal, tiada korban awam dilaporkan. Punca dan keadaan nahas masih dalam siasatan.
-
1 maut, 1 cedera dalam kejadian tembakan di Delaware AS
Seorang terbunuh dan seorang cedera dalam kejadian tembakan di hospital pada petang Selasa di Wilmington, negeri Delaware AS, dan suspek masih bebas, kata polis tempatan, menurut berita Xinhua.
Dua mangsa ditemui di Hospital Wilmington, dan seorang meninggal dunia akibat kecederaannya, kata Ketua Polis Wilfredo Campos dari Jabatan Polis Wilmington pada sidang akhbar, lapor Xinhua.
Maklumat awal menunjukkan kejadian itu bermula apabila seorang pekerja hospital menembak dua rakan sekerja, Xinhua memetik lapor media tempatan.