Tuala

  • AS luluskan penjualan 48 jet tempur halimunan F-35 kepada Arab Saudi

    Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meluluskan potensi penjualan 48 jet tempur halimunan F-35 serta peralatan berkaitan kepada Arab Saudi, menurut berita Xinhua memetik Jabatan Negara AS pada Khamis.

    Anggaran jumlah kos ialah 24.3 bilion dolar AS, kata jabatan itu dalam satu kenyataan, lapor Xinhua.

    Arab Saudi telah memohon untuk membeli 48 pesawat F-35 Lightning II Joint Strike Fighter dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara konvensional serta 49 enjin Pratt & Whitney F135-PW-100; daripada jumlah itu, 48 enjin akan dipasang pada pesawat manakala satu lagi adalah sebagai alat ganti, Xinhua memetik kenyataan itu.

    Israel dilaporkan sebagai satu-satunya negara di Timur Tengah yang kini mengendalikan jet pejuang F-35, lapor Xinhua.

  • IRGC kata kapal tangki minyak “langgar peraturan” dihentam di Selat Hormuz

    Tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata pada awal pagi Jumaat bahawa sebuah kapal tangki minyak yang “melanggar peraturan” dan cuba melalui Selat Hormuz secara “haram” diserang pada malam sebelumnya serta dihentikan pergerakannya, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, tentera laut itu dalam satu kenyataan disiarkan oleh saluran berita rasmi IRGC, Sepah News, memaklumkan bahawa kapal tangki minyak berdaftar di Togo bernama “Trend” itu dihentikan selepas terbakar akibat serangan terbabit.

    Kapal terbabit cuba melintasi selat itu secara “haram” selepas “diperdaya dan diprovokasi” oleh Tentera AS, Xinhua memetik kenyataan itu, sambil memberi amaran bahawa cubaan melintasi laluan air itu secara haram hanya akan membawa kepada “kemusnahan”.

    Tentera laut itu menambah bahawa pasukannya masih menguasai Selat Hormuz dengan kekuatan penuh dan tidak akan membenarkan sebarang “pihak penceroboh” melaluinya.

  • Sekurang-kurangnya seorang dilapor maut dalam serangan udara Arab Saudi di Yaman

    Serangan udara Arab Saudi melanda beberapa kawasan di barat laut dan barat daya Yaman pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang individu, menurut berita Xinhua memetik laporan saluran TV al-Masirah dikendalikan oleh pihak Houthi.

    Di wilayah barat laut, Hajjah, dua serangan udara melanda bandar Abs, menyebabkan seorang terbunuh dan seorang lagi cedera, menurut al-Masirah. Serangan itu turut memusnahkan empat kenderaan dan merosakkan sebuah rumah.

    Di kawasan lebih jauh ke selatan, serangan berasingan menyasarkan tiga menara telekomunikasi di wilayah Taiz, Xinhua memetik laporan saluran penyiaran itu.

    Tiada kenyataan segera daripada pihak berkuasa Arab Saudi mengenai serangan atau korban jiwa dilaporkan itu.

  • Seorang maut, dua cedera dalam serangan bom kereta di selatan Ecuador

    Sekurang-kurangnya seorang maut dan dua lagi cedera dalam serangan bom kereta pada Rabu di wilayah pesisir selatan Ecuador, El Oro, menurut polis nasional, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, memetik pihak polis, serangan itu berlaku di kawasan Los Laureles di daerah Pasaje pada awal pagi dan membabitkan tiga letupan yang mengejutkan penduduk tempatan.

    Susulan serangan itu, pihak berkuasa menutup kawasan terbabit bagi melindungi penduduk berhampiran dan memelihara tempat kejadian.

    Menurut Xinhua, Renato Gonzalez, komander polis bagi Zon 7 di El Oro, memberitahu media tempatan bahawa letupan berlaku selepas sebuah kenderaan yang membawa bahan disyaki bahan letupan diletakkan di hadapan sebuah rumah. Letupan susulan merosakkan rumah terbabit serta kenderaan di sekitarnya.

    Gonzalez dilapor berkata, serangan itu dipercayai menyasarkan kediaman saudara-mara seorang individu disyaki penjenayah dikenali sebagai “Nando” sambil menambah bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada insiden itu berkait dengan pertelingkahan antara kumpulan penjenayah.

  • Kemalangan jalan raya ragut sekurang-kurangnya 33 nyawa di tenggara DRC

    Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya di tenggara Republik Demokratik Congo (DRC), menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Rabu.

    Memetik kenyataan Georges Babunyi Mbau, menteri pengangkutan wilayah Haut-Katanga, laporan menyatakan mangsa menaiki sebuah trak yang dalam perjalanan dari wilayah jiran Haut-Lomami apabila kenderaan itu terjunam ke dalam sungai di Mukana, wilayah Mitwaba, antara lewat Selasa dan awal Rabu.

    Menurut pegawai berkenaan, angka kematian itu masih sementara.

    Keadaan sebenar yang membawa kepada kemalangan itu masih dalam siasatan.

  • Angka kematian akibat kebakaran kapal di Filipina meningkat kepada 77 orang, dengan 8 lagi masih hilang

    Angka kematian akibat kebakaran kapal pada 9 September di perairan wilayah pelancongan popular Palawan, Filipina, meningkat kepada 77 orang, dengan lapan orang masih hilang dan 43 terselamat, menurut berita Xinhua memetik Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Rabu.

    Menurut Xinhua, PCG menjelaskan bahawa perubahan angka korban itu berpunca daripada anggota kru yang pada mulanya terselamat dalam kejadian terbabit namun kemudian meninggal dunia di hospital. Sementara itu, empat penumpang yang tersenarai dalam manifes tiket didapati tidak menaiki kapal berkenaan sebelum ia berlepas.

    Feri dengan 128 orang di dalamnya itu berlepas dari Manila dan terbakar dekat perairan luar Perbandaran Coron, sebuah destinasi pelancongan terkenal.

  • Serangan dron ke atas bas penumpang di Ukraine mengorbankan 5 orang

    Sebuah dron Rusia menyerang bas penumpang di selatan Ukraine pada awal pagi Rabu, mengorbankan lima orang dan mencederakan sekurang-kurangnya tujuh yang lain, menurut berita AP.

    Menurut AP, Presiden Volodymyr Zelenskyy menyifatkan serangan itu, yang terkini dalam siri serangan Rusia ke atas pengangkutan awam, sebagai satu “kekejaman”.

    Serangan itu berlaku di daerah Nikopol, wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine, dekat barisan hadapan selatan zon perang, menurut AP, Oleksandr Hanzha, ketua pentadbiran tentera wilayah, berkata semua lima mangsa maut di tempat kejadian manakala tujuh yang cedera menerima rawatan perubatan.

    Zelenskyy menyifatkan kenderaan itu sebagai sebuah bas mini dan berkata dalam satu hantaran di X bahawa serangan itu “tiada rasional ketenteraan” dan bahawa serangan itu terkait dengan tindakan Rusia menyasarkan logistik dan infrastruktur kritikal yang terus berlaku tanpa henti, lapor AP.

    Menurut AP, Zelenskyy berkata sebuah tren penumpang juga telah diserang di wilayah Mykolaiv pada Rabu, menyebabkan kerosakan pada stesen kereta api dan sebuah lokomotif diesel.
    Dilaporkan, hampir 170 penumpang di dalam tren itu telah dipindahkan sebelum serangan.

    Sebuah lokomotif elektrik di bandar Kovel, barat laut Ukraine, juga diserang, menurut Zelenskyy, seperti dilaporkan AP.

  • Houthi Yaman dakwa serangan peluru berpandu, dron ke atas kemudahan Saudi Aramco, pangkalan udara

    Kumpulan Houthi Yaman pada Rabu berkata ia melancarkan dua serangan peluru berpandu dan dron menyasarkan kemudahan Aramco di bandar Yanbu, barat Arab Saudi dan pangkalan udara tentera di barat daya, menurut berita Xinhua.

  • Bekas presiden Kosovo dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas jenayah perang

    Bekas presiden Kosovo, Hashim Thaci, didapati bersalah atas jenayah perang oleh tribunal jenayah perang Kosovo pada Rabu, menurut berita Reuters.

    Thaci, 58, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun bagi jenayah termasuk pembunuhan, penyeksaan, dan penahanan secara haram yang dilakukan semasa dia menjadi komander tertinggi Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) dianggotai etnik Albania, ketika wilayah itu memisahkan diri dari Serbia secara ganas pada 1990-an.

    Tribunal itu menyatakan dia bersalah atas pembunuhan 96 orang lawan politik dan individu yang disyaki bersekongkol dengan pasukan keselamatan Serbia oleh pasukan KLA ketika konflik itu.

    Thaci menafikan semua pertuduhan, lapor Reuters.

  • 63 maut runtuhan lombong emas di West Kordofan, Sudan

    Sekurang-kurangnya 63 orang maut dalam kejadian runtuhan lombong emas di negeri West Kordofan, Sudan, menurut mangsa yang terselamat dan sukarelawan pada Rabu, lapor berita Xinhua.