Nur

  • Banjir di Argentina ragut 2 nyawa, lebih 2,000 orang dipindahkan susulan fenomena El Nino

    Banjir di timur laut Argentina mengorbankan dua orang dan memaksa lebih 2,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka, manakala paras air sungai yang semakin meningkat mengancam komuniti di seluruh wilayah itu, menurut berita Anadolu memetik laporan akhbar Argentina, Pagina 12, pada Sabtu.

    Dilaporkan, hujan lebat telah menyebabkan paras air Sungai Parana, Uruguay, dan Iguazu meningkat, sekali gus menjejaskan komuniti yang tinggal dekat sempadan Argentina dengan Brazil, Paraguay, dan Uruguay.

    Di wilayah Chaco, timur laut Argentina—khususnya di Puerto Vilelas dan Barranqueras—antara 1,200 hingga 1,300 orang telah meninggalkan kediaman mereka, kata Timbalan Setiausaha Perlindungan Awam wilayah itu, Gustavo Santos, pada Jumaat.

    “Keadaan ini akan berterusan selama beberapa bulan. Paras air sungai akan terus naik dan turun secara berterusan,” kata Santos.

    Di wilayah jiran, Corrientes, yang juga terletak di timur laut Argentina, lebih 1,000 orang telah meninggalkan rumah mereka, menurut laporan Pertahanan Awam yang dikeluarkan pada Rabu.

    Air banjir membanjiri beberapa kawasan kejiranan di Paso de la Patria, sebuah pekan di timur laut Argentina yang terletak di Sungai Parana, selepas benteng perlindungan pecah akibat tekanan daripada kenaikan paras air.

    Dua pekerja luar bandar lemas di Corrientes ketika memindahkan ternakan di antara pulau-pulau bagi menyelamatkan haiwan terbabit daripada banjir.

    Di wilayah Misiones, ribut yang melanda pada Khamis dan Jumaat telah merosakkan lebih 100 buah rumah serta menyebabkan penutupan jalan raya dan jambatan akibat limpahan air sungai, menurut Anadolu memetik laporan media tempatan.

    Di Air Terjun Iguazu, yang terletak di sempadan di antara Argentina dan Brazil, aliran Sungai Iguazu mencecah 10 kali ganda daripada purata bermusimnya pada pertengahan Oktober.

    Beberapa laluan pelancongan telah dibuka semula, namun akses ke “Devil’s Throat” (Tenggorokan Iblis)—bahagian paling terkenal di air terjun itu—masih ditutup.

    El Nino merupakan fenomena iklim yang dicirikan oleh suhu permukaan air yang luar biasa panas di Lautan Pasifik khatulistiwa.

  • 2 rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut dalam pelanggaran gencatan senjata Gaza terkini oleh Israel

    Dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut manakala empat yang lain cedera pada Sabtu dalam serangan Israel di Jalur Gaza, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan oleh Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025.

    Sumber perubatan berkata, Fatima Abu Laban, seorang wanita Palestin, terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan Tal al-Dhahab, Beit Lahia, di utara Gaza.

    Seorang lagi wanita Palestin mengalami kecederaan pada bahagian leher akibat tembakan Israel di Beit Lahia, sumber itu dilapor berkata.

    Mohammad Anan al-Rawagh, seorang pemuda Palestin, terbunuh manakala tiga yang lain cedera, seorang daripadanya parah, dalam satu serangan Israel di kawasan kejiranan al-Rimal, di barat bandar Gaza.

    Menurut Anadolu, saksi berkata sebuah dron Israel telah melepaskan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu ke arah orang ramai yang sedang lalu-lalang dekat Stadium Palestin di kawasan kejiranan al-Rimal.

    Pada fajar Sabtu, dron-dron Israel menjatuhkan kotak-kotak bahan letupan ke atas rumah-rumah yang telah dikosongkan oleh penghuninya, dekat kawasan di bawah kawalan tentera Israel di kawasan kejiranan al-Tuffah, di timur bandar Gaza, lapor Anadolu.

    Kejadian itu berlaku serentak dengan tembakan berat daripada kenderaan tentera di kawasan sekitar, lapor Anadolu memetik sumber tempatan.

    Vesel tentera laut Israel turut melepaskan tembakan dan bedilan ke arah pesisir pantai bandar Gaza, namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut sumber seperti dilaporkan Anadolu.

    Sehingga Sabtu, pelanggaran gencatan senjata oleh Israel dikatakan telah mengorbankan 1,547 rakyat Palestin dan mencederakan 5,559 yang lain.

  • Angka maut serangan gereja di Jordan meningkat kepada 9 orang

    Angka maut akibat serangan pada Jumaat terhadap mereka yang menghadiri upacara pengebumian di Gereja Hamoud, di kegabenoran Karak, selatan Jordan, meningkat kepada sembilan orang, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita negara (Petra) pada Sabtu.

    “Angka maut akibat tindakan pengganas di Karak telah meningkat kepada sembilan orang selepas seorang mangsa yang cedera meninggal dunia,” lapor Petra, memetik Keselamatan Awam Jordan.

  • Serangan peluru berpandu balistik gegar Aden, Yaman

    Letupan kuat kedengaran di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman yang menempatkan kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa pada Sabtu susulan serangan peluru berpandu balistik, lapor berita Xinhua memetik seorang pegawai keselamatan tempatan.

    Menurut Xinhua, pegawai terbabit berkata kumpulan Houthi telah melancarkan hampir empat peluru berpandu balistik ke arah bandar itu, sesetengahnya menghentam kawasan dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dan kemudahan ketenteraan penting di daerah Khormaksar, manakala satu lagi menghentam ibu pejabat Pasukan Pengawal Pantai di daerah Al-Tawahi.

    Letupan menggegarkan bangunan di beberapa bahagian Aden, penduduk memberitahu Xinhua, dengan kepulan asap kelihatan menjulang dari kawasan disasarkan.

    Serangan itu dikatakan yang terkini dalam siri serangan peluru berpandu oleh Houthi ke atas Aden. Pada Rabu, Houthi mendakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas bilik operasi ketenteraan Arab Saudi di pangkalan tentera Badr, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Aden.

  • Angka maut serangan gereja di Jordan meningkat kepada 8 orang

    Angka maut akibat serangan pada Jumaat terhadap mereka yang menghadiri upacara pengebumian di Gereja Hamoud, di kegabenoran Karak, selatan Jordan, meningkat kepada lapan orang, kata menteri kesihatan negara itu pada Sabtu, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, Menteri Kesihatan Ibrahim al-Badour dalam kenyataan disiarkan oleh saluran televisyen Jordan, Al-Mamlaka, berkata: “Seorang daripada mereka yang cedera dalam serangan pengganas itu masih berada dalam keadaan kritikal.”

    Pada Jumaat, Pengarah Keselamatan Awam Jordan, Obaidallah Maaytah, berkata tujuh orang terbunuh manakala 27 yang lain cedera dalam serangan itu.

    Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Jordan, Jafar Hassan, mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara bermula Jumaat, 23 Oktober.

  • 4 juruterbang maut dalam nahas pesawat di utara Filipina

    Empat juruterbang Tentera Udara Filipina (PAF) terkorban selepas dua pesawat jenis SF-260 terhempas semasa penerbangan latihan di wilayah Batangas, utara Filipina, pada Jumaat, PAF mengesahkan pada Sabtu, menurut berita Xinhua.

    Menurut PAF, lapor Xinhua, kedua-dua pesawat itu terhempas dekat sebuah pangkalan udara di bandar Lipa pada kira-kira 3:51 petang waktu tempatan, Jumaat. PAF telah menghentikan sementara operasi semua pesawat SF-260 miliknya bagi menyiasat punca nahas.

    SF-260 merupakan pesawat ringan yang digunakan oleh PAF untuk latihan juruterbang. Pada 20 Mei tahun ini, sebuah pesawat SF-260 terhempas di wilayah bergunung-ganang Benguet di utara Filipina, yang mengorbankan dua juruterbang.

  • Letupan kedengaran di Riyadh

    Beberapa letupan kedengaran di Riyadh, ibu kota Arab Saudi, pada awal Sabtu, lapor berita Xinhua.

    Penduduk tempatan menerima amaran melalui aplikasi mudah alih.

  • Angka maut letupan lombong arang batu di Turkiye meningkat kepada 3

    Angka maut akibat letupan di sebuah lombong arang batu di wilayah Zonguldak, utara Turkiye, meningkat kepada tiga orang, manakala lima yang lain mengalami kecederaan, kata pihak berkuasa pada Jumaat, lapor berita Xinhua.

    Kejadian berlaku pada 10 pagi waktu tempatan (0700 GMT) di pekan Gelik, daerah Kilimli, kata Gabenor Zonguldak, Osman Hacibektasoglu.

    Osman berkata, jumlah korban meningkat kepada tiga orang selepas pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang pelombong yang terperangkap di bawah tanah susulan letupan.

    Menurutnya, lima pekerja yang cedera kini menerima rawatan di hospital tempatan.

    Menurut Menteri Kehakiman, Akin Gurlek, letupan itu berpunca daripada pengumpulan gas metana.

  • Beberapa orang maut, cedera di Jordan selepas lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah gereja

    Beberapa orang terbunuh atau cedera pada Jumaat apabila lelaki-lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah sebuah gereja di Kegabenoran Karak, Jordan, menurut Direktorat Keselamatan Awam negara itu, lapor berita Anadolu memetik media kerajaan.

    “Pihak berkuasa sedang memburu suspek,” lapor Agensi Berita Petra milik kerajaan Jordan menerusi X, menurut Anadolu.

    Menurut Anadolu, saluran itu turut memetik Menteri Komunikasi, Mohammad Al Momani, sebagai berkata bahawa maklumat yang telah disahkan akan dikongsi dengan orang ramai sebaik sahaja butiran lanjut diperoleh.

    Menurut Anadolu, saluran televisyen Jordan, Al-Mamlaka TV, melaporkan sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan kira-kira 10 yang lain cedera, sesetengahnya kritikal, ketika insiden tembakan yang menyasarkan Gereja Hamoud di Karak.

  • 1 maut, 4 cedera selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan di utara Perancis

    Seorang maut manakala empat yang lain cedera di utara Perancis selepas seorang lelaki melepaskan tembakan pada pagi Jumaat, umum Perdana Menteri Sebastien Lecornu, menurut berita Anadolu.

    “Insiden yang sangat serius baru sahaja berlaku di Trappes, di jabatan Yvelines. Seorang maut dan empat yang lain cedera. Individu terbabit telah ditangkap dan kini dalam tahanan polis,” tulis Lecornu di X.

    Menurut penyiar BFMTV, lapor Anadolu, suspek dilaporkan melepaskan beberapa das tembakan di tempat awam dari sebuah kenderaan di Trappes, dan kemudian di La Verriere.