Nur

  • Myanmar sambut Hari Pos Sedunia

    Myanmar mengadakan satu majlis bagi menyambut Hari Pos Sedunia di Nay Pyi Taw, menurut berita Xinhua memetik laporan akhbar harian milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar, pada Sabtu.

    Semasa majlis yang berlangsung pada Jumaat itu, Menteri Kesatuan bagi Pembangunan Digital dan Komunikasi, U Mya Tun Oo, berkata tema Hari Pos Sedunia tahun ini, “Satu Rangkaian Pos, Kemungkinan Tanpa Batas” mengetengahkan peranan perkhidmatan pos dalam menghubungkan orang ramai, menyediakan perkhidmatan penting, dan mewujudkan peluang baharu di seluruh dunia.

  • Gempa bumi bermagnitud 7.2 landa Panama

    Gempa bumi bermagnitud 7.2 melanda Panama pada Jumaat, dengan pusat gempa terletak 39 kilometer di barat laut Tonosi, sebuah bandar di wilayah Los Santos, menurut laporan yang dikemas kini oleh Institut Geosains Universiti Panama, lapor berita Xinhua.

    Gegaran kuat dirasai di kawasan tempatan, lapor Xinhua, video dikongsi di media sosial menunjukkan bumbung terminal bas Albrook bergoyang dan tingkap bergegar di beberapa bangunan.

    Gegaran turut dirasai di ibu negara, Panama City; seorang wartawan Xinhua di bandar itu melaporkan berlakunya sentakan kuat dari sisi ke sisi semasa duduk, serta lampu gantung di dalam bilik bergoyang.

    Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), yang pada mulanya melaporkan magnitud 8.0, kemudian menyemak semula anggarannya kepada 7.7, lapor Xinhua.

  • Polis maut dalam letupan bom tepi jalan di tenggara Iran

    Letupan bom tepi jalan di wilayah Sistan dan Baluchestan, tenggara Iran, pada Jumaat mengorbankan seorang pegawai kanan polis, menurut berita Xinhua memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.

    Laporan itu mengenal pasti mangsa sebagai Nosrat Eftekhari, dan mengatakan dia dalam misi menangani isu dihadapi oleh kumpulan etnik serta suku kaum yang tinggal di pinggir bandar Zahedan, ibu kota wilayah itu, apabila letupan itu menghentam kereta polis dinaikinya.

    Eftekhari merupakan seorang anggota elit polis wilayah itu dan penduduk asal wilayah berkenaan, lapor Xinhua memetik laporan itu.

    Individu utama di sebalik pengeboman itu dilaporkan maut ketika cuba melarikan diri, manakala sebilangan anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.

    Sistan dan Baluchestan, yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, sering menyaksikan keganasan membabitkan pasukan keselamatan Iran, militan, dan penyeludup dadah, dengan orang awam serta anggota keselamatan menjadi sasaran.

  • 6 cedera dalam serangan Israel di timur Lubnan

    Enam orang cedera pada Jumaat dalam serangan Israel di timur Lubnan, menurut kenyataan Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan Awam, lapor Xinhua.

    Sebuah dron Israel menyasarkan Hosh al-Sayyid Ali di daerah Hermel, menyebabkan enam orang cedera, membabitkan lima warga Syria dan seorang warga Lubnan, Xinhua memetik Agensi Berita Nasional Lubnan.

    Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang berterusan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel, walaupun satu perjanjian rangka kerja telah ditandatangani antara Lubnan dan Israel pada akhir Jun.

    Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa pihaknya telah menyerang seorang militan Syria dekat sempadan Syria-Lubnan pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Kenyataan itu tidak menyatakan sama ada militan terbabit, yang dikenal pasti sebagai Yusuf Ali Al-Hassoun, cedera dalam serangan itu.

    Tentera Israel mendakwa individu terbabit telah merancang dan melancarkan serangan terhadap orang awam Israel dan askar Israel yang beroperasi di selatan Syria.

  • Ukraine dakwa ia serang pusat data dan kemudahan berkaitan ketenteraan Rusia

    Pasukan Ukraine menyerang sebuah pusat data dan beberapa kemudahan di Rusia yang berkaitan dengan infrastruktur pelancaran peluru berpandu dan pengeluaran bahan api roket, menurut kenyataan Ukraine dikeluarkan Jumaat, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, syarikat pertahanan Ukraine, Fire Point, berkata dron FP-1 miliknya telah menyerang pusat data Yandex di taman perindustrian Grabtsevo, wilayah Kaluga, Rusia, sekali gus melumpuhkan beberapa modul pusat data terbabit.

    Kemudahan itu, yang mempunyai kapasiti reka bentuk 63 megawatt, merupakan pusat data terbesar milik Yandex, menurut hantaran Fire Point di Telegram, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, Staf Am Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan bahawa serangan turut melanda Institut Penyelidikan Kompleks Pelancaran V.P. Barmin dan Pusat Pelupusan Peluru Berpandu Balistik Antara Benua, kedua-duanya terletak di wilayah Nizhny Novgorod, Rusia, serta Loji Eksperimen Redkino di wilayah Tver, yang menghasilkan komponen bahan api untuk peluru berpandu jelajah Kh-55 dan Kh-101.

  • Anggota tentera maut, 11 cedera dalam serangan hendap di selatan Filipina

    Seorang anggota tentera yang cedera dalam serangan hendap pada malam Khamis di wilayah Basilan, selatan Filipina, diisytiharkan meninggal dunia pada Jumaat, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tentera tempatan.

    Serangan hendap yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata tidak dikenali itu berlaku sekitar jam 6.55 petang Khamis, menyasarkan anggota tentera yang dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka menaiki sebuah trak.

    Menurut Xinhua, media tempatan melaporkan sembilan lagi anggota tentera dan dua orang awam — seorang bapa serta anaknya — cedera dalam kejadian itu.

  • Angka maut di Gaza cecah 74,254

    Angka kematian akibat serangan genosid berterusan Israel terhadap Jalur Gaza mencecah 74,254, manakala jumlah mereka yang cedera meningkat kepada 175,306, menurut berita WAFA memetik sumber perubatan.

    Menurut WAFA, mereka menjelaskan bahawa golongan paling rentan, membabitkan kanak-kanak, wanita dan warga emas, merupakan sebahagian besar daripada jumlah korban. Seramai 21,976 kanak-kanak telah terbunuh dan 45,569 cedera.

    Mereka dilapor berkata, 11,301 wanita terbunuh dan 24,537 cedera, manakala 5,405 warga emas terbunuh dan 12,269 cedera. Jumlah lelaki yang terbunuh pula ialah 35,555 orang, dengan 92,892 orang cedera.

    Mereka memberi amaran mengenai tindakan menyasarkan kanak-kanak secara sistematik di Gaza, sambil menyatakan bahawa tentera penjajah Israel membunuh seorang kanak-kanak setiap 71 minit.

    Mereka merekodkan kematian 1,125 kanak-kanak di bawah umur satu tahun, termasuk 612 bayi yang dilahirkan dan terbunuh semasa serangan terbabit, selain 5,444 kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

    Serangan itu juga telah mengakibatkan 1,134 kes pemotongan anggota badan dalam kalangan kanak-kanak, menyebabkan 71,846 kanak-kanak menjadi yatim, menafikan akses pendidikan kepada 914,102 kanak-kanak, dan mendedahkan 1,204,102 kanak-kanak kepada ketidakjaminan makanan. Keadaan ini telah menyebabkan peningkatan mendadak dalam kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun, mencecah 33.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

    Menurut WAFA, berhubung sistem penjagaan kesihatan, sumber berkenaan mengesahkan bahawa daripada 38 hospital yang disasarkan, 19 hospital telah berhenti operasi sepenuhnya, manakala 19 hospital lagi hanya beroperasi secara separa. Ini termasuk lima hospital kerajaan dan 12 hospital lapangan.

  • Letupan kuat dilapor kedengaran dekat lapangan terbang Aden, Yaman

    Letupan kuat kedengaran dekat lapangan terbang antarabangsa di bandar pelabuhan Aden, selatan Yaman pada Jumaat, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai keselamatan tempatan dan penduduk yang bercakap kepadanya.

  • Pesawat perang dilapor serang Sanaa dikuasai Houthi di tengah konflik Yaman yang semakin memuncak

    Pesawat perang melancarkan satu lagi siri serangan udara ke atas Sanaa, ibu negara Yaman yang dikuasai Houthi, pada petang Jumaat, menurut berita Xinhua memetik laporan saluran televisyen al-Masirah dikendalikan oleh Houthi, menyifatkan serangan itu sebagai “pencerobohan Saudi”.

    Menurut Xinhua, penduduk memberitahunya bahawa beberapa siri serangan udara yang kuat melanda lokasi di selatan dan barat Sanaa, dengan bunyi letupan bergema di seluruh ibu negara itu ketika pesawat perang terbang secara intensif di atas kepala.

    Lokasi dan jenis sasaran tidak dapat dipastikan dengan segera, dan tiada laporan awal mengenai sebarang korban jiwa.

  • 3 warga Saudi terbunuh dalam serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh

    Tiga warga Saudi terbunuh dan beberapa individu lain daripada pelbagai kewarganegaraan cedera dalam dua serangan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada Khamis, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi pada Jumaat, lapor berita Xinhua.

    Serangan pertama menyasarkan kemudahan di lapangan terbang itu, manakala serangan kedua melanda sebuah pesawat milik syarikat penerbangan nasional negara itu, Saudia, lapor Xinhua memetik kenyataan GACA.

    Serangan itu menyebabkan tiga kematian, dengan kapten pesawat, Hamoud Ali Alkalthami antara yang maut, lapor Xinhua.