Nur

  • Tanah runtuh di Gansu, barat laut China menyebabkan ramai hilang, 17 diselamatkan

    Tanah runtuh melanda sebuah pekan di Daerah Tanchang, Bandar Longnan, Wilayah Gansu, barat laut China, awal pagi Selasa, menyebabkan berbilang orang hilang, lapor Xinhua.

    Tanah runtuh itu berlaku di sebuah kampung di pekan Nanhe sekitar jam 6:56 pagi, Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan. Seramai 33 orang dipercayai tertimbus, dan 17 daripada mereka telah diselamatkan.

    Operasi mencari dan menyelamat sepenuhnya sedang dijalankan.

  • 11 maut ribut petir dan angin kencang di Hubei

    Sebelas orang terbunuh dan seorang masih hilang selepas ribut petir dan angin kencang yang dibawa oleh cuaca perolakan yang teruk melanda bahagian timur Wilayah Hubei, tengah China pada malam Isnin, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa wilayah.

    Antara jam 7 malam dan 11 malam pada Isnin, ribut petir dan angin kencang melanda Huangshi, Huanggang, Ezhou, dan Xianning, dengan dua pekan menyaksikan angin kencang mencapai tahap 13. Sesetengah kawasan menyaksikan puting beliung, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Cuaca ekstrem telah meruntuhkan 22 bangunan dan merosakkan 4,855 lagi di kawasan itu, mencederakan 331 penduduk tempatan, kata pihak berkuasa tempatan.

  • Jumlah kematian akibat banjir kilat di tenggara Ecuador meningkat kepada 9 orang

    Jumlah kematian akibat banjir kilat di wilayah tenggara Ecuador, Zamora Chinchipe, meningkat kepada sembilan orang, dengan sembilan orang lagi masih hilang, menurut berita Xinhua memetik Sekretariat Nasional untuk Pengurusan Risiko pada Isnin.

    Kejadian itu berlaku pada Jumaat di sektor Cantzama di kanton Zamora selepas hujan lebat menyebabkan Sungai Zamora melimpah, menghanyutkan rumah dan infrastruktur serta menutupi sebahagian kawasan dengan lumpur.

    Menurut kemas kini awal, 38 orang cedera, 74 keluarga terjejas, dan 48 keluarga kehilangan tempat tinggal.

    Bencana itu juga merosakkan 50 rumah, memusnahkan satu jambatan, dan menjejaskan 23 harta benda persendirian.

  • 24 terbunuh dalam serangan Rusia ke atas Kiev, wilayah sekitarnya

    Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan Rusia terbaru ke atas Kiev dan wilayah sekitarnya, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa Ukraine pada Isnin.

    Di Kiev, 16 orang disahkan mati, 58 yang lain cedera, kata Perkhidmatan Kecemasan Negeri, lapor Xinhua.

    Di wilayah sekitarnya, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 48 yang lain cedera dalam pusingan serangan besar-besaran terbaru Rusia, kata Pentadbiran Ketenteraan Wilayah Kiev, menurut Xinhua.

  • 2 maut, 55,000 terjejas banjir landa Guangxi, selatan China

    Dua orang maut dan kira-kira 55,000 yang lain terjejas selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan pecahnya beberapa takungan di bandar Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

  • Sekurang-kurangnya 330 kanak-kanak maut atau cedera di Sudan dalam enam bulan pertama 2026

    Sekurang-kurangnya 330 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Sudan dalam enam bulan pertama 2026, dengan negeri Darfur dan Kordofan mencatatkan bilangan korban kanak-kanak tertinggi, kata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin, menurut berita Xinhua.

    “Kanak-kanak di seluruh Sudan terus menanggung beban perang yang semakin membawa maut,” UNICEF dilapor berkata dalam satu siaran akhbar.

    Situasi di dalam dan sekitar El Obeid di Kordofan Utara amat membimbangkan, dengan serangan dron dan serangan lain dilaporkan menyebabkan lebih daripada 35 korban kanak-kanak sejak Mei, termasuk sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, ia dilapor berkata.

    Serangan dron menyumbang 60 peratus daripada korban ini, dan dianggarkan 500,000 orang awam berisiko di kawasan itu, ia dilapor berkata.

    “Bagi ramai kanak-kanak, tiada tempat selamat lagi … kanak-kanak tidak boleh menjadi sasaran,” ia memetik Wakil UNICEF untuk Sudan, Sheldon Yett, sebagai berkata.

    Ia menggesa semua pihak untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam, dan membenarkan akses kemanusiaan yang selamat, pantas dan tanpa halangan.

    Sejak konflik tercetus pada April 2023 antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, hampir 5 juta kanak-kanak Sudan telah kehilangan tempat tinggal, menurut siaran akhbar UNICEF pada pertengahan April, lapor Xinhua.

    Kira-kira 4.2 juta kanak-kanak dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut tahun ini, dan kira-kira 8 juta tidak bersekolah, ia dilapor berkata.

  • 9 maut tanah runtuh di tenggara Bangladesh

    Tanah runtuh dicetuskan oleh hujan lebat mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk tujuh anggota dua keluarga, di beberapa kem Rohingya di daerah Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh awal Isnin, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai kanan.

    Lapan daripada kematian berlaku di kem pelarian Rohingya, manakala satu dilaporkan di perbandaran Cox’s Bazar, ANM Shajadur Rahman, penguasa polis di daerah Bazar dilapor sebagai berkata.

    Banyak kediaman juga dilapor rosak akibat tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan di kem-kem terbabit.

    Lebih 250 milimeter hujan dilaporkan turun di seluruh daerah itu dalam 24 jam yang berakhir pada pagi Isnin, dan hujan lebat diramalkan akan berterusan selama dua hari lagi.

  • Rusia kata jatuhkan 519 dron ketika Kiev lapor serangan sengit

    Rusia berkata pada Isnin, sistem pertahanan udaranya menjatuhkan 519 dron sayap tetap Ukraine semalaman, sementara Kiev melaporkan serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke ibu kota menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Kementerian Pertahanan Rusia berkata dron terbabit ditembak jatuh di 20 wilayah, termasuk wilayah Belgorod, Bryansk, Kursk, Kaluga, Leningrad, Moscow, Rostov dan Yaroslavl.

    Pihak berkuasa wilayah dilapor berkata seorang wanita terbunuh di bandar Kerch di Crimea, dengan beberapa orang lain cedera di Crimea dan wilayah Yaroslavl.

    Di wilayah Kaluga, serangan dron mencetuskan kebakaran di sebuah perusahaan perindustrian di daerah Dzerzhinsky, tanpa sebarang korban jiwa dilaporkan selepas pemindahan, Xinhua memetik gabenor Vladislav Shapsha.

    Gabenor wilayah Leningrad Alexander Drozdenko dilapor berkata 56 dron ditembak jatuh di wilayah itu, sambil menambah bahawa infrastruktur di tempat latihan Luga dan dekat pelabuhan Ust-Luga dan Vysotsk rosak. Tiada korban jiwa dilaporkan.

    Menurut Xinhua, Kementerian Pertahanan Rusia berkata angkatan tenteranya telah menjalankan serangan semalaman berskala besar ke atas sasaran berkaitan ketenteraan di Kiev dan wilayah Ukraine yang lain menggunakan dron dan senjata jitu jarak jauh.

    Menurut kementerian itu, lapor Xinhua, serangan itu menyasarkan perusahaan perindustrian ketenteraan, infrastruktur tenaga di Kiev dan wilayah Kiev, dan infrastruktur padang terbang tentera di wilayah Dnipropetrovsk, Poltava, Cherkasy, Chernihiv dan Kiev.

    Pihak berkuasa Ukraine berkata sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 46 yang lain cedera dalam serangan ke atas Kiev, menandakan serangan besar kedua ke atas ibu negara Ukraine dalam masa kurang seminggu, lapor Xinhua.

    Datuk bandar Kiev, Vitali Klitschko dilapor berkata, 27 daripada mereka yang cedera, termasuk tiga kanak-kanak, dimasukkan ke hospital. Pentadbiran bandar dilapor berkata bangunan kediaman rosak di beberapa daerah, dengan operasi pembersihan dijalankan di lebih 20 tapak.

    Pentadbiran Ketenteraan Wilayah Kiev berkata 15 orang lagi cedera di wilayah sekitarnya, lapor Xinhua.

    Tentera Udara Ukraine dilapor berkata, Rusia melancarkan 351 dron dan 68 peluru berpandu semalaman, sambil menambah bahawa 326 dron dan 37 peluru berpandu dipintas.

  • 4 lagi rakyat Palestin maut, 22 cedera dalam serangan Israel di Gaza meskipun gencatan senjata

    Empat rakyat Palestin terbunuh dan 22 lagi cedera dalam serangan Israel di Jalur Gaza sejak fajar Isnin, di tengah-tengah pelanggaran harian perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, menurut berita Anadolu.

    Dalam perkembangan terkini, dua rakyat Palestin terbunuh dan 16 lagi cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di kawasan Al-Mawasi di barat Khan Younis di selatan Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan memberitahunya.

    Tentera Israel juga menyasarkan kenderaan kedua dekat persimpangan Al-Matahin di utara Khan Younis, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan, lapor Anadolu memetik saksi mata memberitahunya.

    Pada fajar, tentera Israel menyerang sebuah rumah milik keluarga Doghmush di kawasan kejiranan Tel al-Hawa di selatan bandar Gaza, membunuh seorang lelaki Palestin dan isterinya serta mencederakan enam yang lain, menurut Anadolu memetik sumber perubatan.

    Kebakaran berlaku di rumah yang disasarkan selepas serangan sebelum pasukan pertahanan awam dan penduduk kemudian memadamkannya, saksi dilapor berkata.

  • 19 maut pergolakan di penjara Sri Lanka

    Seramai 19 orang terbunuh dalam pergolakan yang meletus di sebuah pusat tahanan di bandar Negombo, barat Sri Lanka, manakala sekurang-kurangnya 50 yang lain cedera, menurut berita Xinhua memetik polis.

    Mereka yang mengalami kecederaan dimasukkan ke Hospital Negombo. Pihak berkuasa sedang mengambil langkah untuk memindahkan mereka yang mengalami kecederaan serius ke Hospital Nasional di Colombo, Xinhua memetik polis.

    Pergolakan itu pada mulanya berlaku pada Ahad sekitar jam 1 tengah hari apabila dua kumpulan banduan bertempur antara satu sama lain. Keadaan itu terkawal menjelang malam Ahad. Walau bagaimanapun, keganasan tercetus lagi pada pagi Isnin.

    Antara mereka yang terkorban dan cedera ialah pegawai penjara dan anggota pasukan keselamatan.