Info

  • 1 maut dalam tembakan di barat Sydney

    Seorang lelaki maut selepas ditembak beberapa kali di jalan di barat Sydney pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Polis di negeri New South Wales (NSW) Australia dilapor berkata dalam satu kenyataan, pegawai dikerahkan untuk laporan kejadian tembakan di tempat awam di jalan kediaman di Blacktown, 30 kilometer ke barat pusat Sydney, sekitar 11:50 pagi Jumaat.

    Pegawai tiba dan menemui seorang lelaki dengan kesan tembakan di leher, dada dan kakinya.

    Dia telah dirawat oleh paramedik ambulans, tetapi meninggal dunia di tempat kejadian.

    Polis NSW dilapor berkata, pegawai memulakan pengejaran apabila kenderaan yang dilihat meninggalkan tempat kejadian gagal berhenti.

    Kenderaan itu terbabas tidak lama kemudian dan dua di dalamnya yang melarikan diri dari tempat kejadian telah ditahan dan dibawa ke balai polis berdekatan.

  • Anggota Pengawal Kebangsaan AS meninggal dunia akibat kecederaan dalam serangan dekat Rumah Putih

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Khamis, seorang daripada dua askar Pengawal Kebangsaan AS yang ditembak dekat Rumah Putih sehari sebelumnya telah meninggal dunia, lapor Xinhua.

    Sarah Beckstrom, 20, meninggal dunia akibat kecederaannya, manakala rakannya, Andrew Wolfe, 24, masih dalam keadaan kritikal, kata Trump dalam video sebagai sebahagian daripada ucapan Thanksgiving kepada tentera AS, menurut Xinhua.

    Trump dilapor berkata, dia telah diberitahu mengenai kematian Beckstrom beberapa detik sebelum di hadapan media.

    Askar wanita itu dilaporkan berasal dari negeri Virginia Barat dan memulakan perkhidmatan pada Jun 2023.

    Serangan itu berlaku kira-kira jam 14:15 waktu tempatan (19:15 GMT) pada Rabu dekat Stesen Metro Farragut Square, menurut Pasukan Petugas Bersama DC, yang mengawasi penempatan Pengawal Kebangsaan ke Washington, lapor Xinhua.

    Suspek, Rahmanullah Lakanwal, adalah warga Afghanistan berusia 29 tahun yang memasuki AS pada 2021 dan pernah bekerja dengan CIA sebelum ini di Afghanistan, Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Dilaporkan, dia ditembak oleh anggota perkhidmatan lain dan dalam tahanan.

    Penembak yang didakwa memandu merentasi negara ke ibu negara AS dari rumahnya di Bellingham, negeri Washington, menurut peguam AS untuk DC.

    Seorang pegawai AS dilapor memberitahu CNN bahawa Lakanwal “bersih dalam semua pemeriksaan” sebelum bekerja dengan CIA dan sekali lagi sebelum berpindah ke AS.

  • Misi pengaman PBB lapor lebih 10,000 pencabulan Israel sejak gencatan senjata Lubnan

    Pasukan pengaman PBB di Lubnan (UNIFIL) berkata pada Khamis, lebih 10,000 pencabulan udara dan darat Israel direkodkan sejak perjanjian gencatan senjata November 2024 antara Israel dan Hizbullah, lapor Anadolu.

    Dalam satu kenyataan yang menandakan ulang tahun pertama gencatan senjata, UNIFIL dilapor menegaskan, pematuhan penuh kepada Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 “dalam kedua-dua surat dan semangat” kekal sebagai satu-satunya jalan menuju ketenangan yang berkekalan di sepanjang Garis Biru, sempadan de facto antara Lubnan dan Israel.

    Misi itu dilapor berkata, ia telah bekerja sepanjang tahun lalu dengan rakan kongsinya “untuk membantu menstabilkan selatan Lubnan” dengan menyatakan bahawa pasukan pengaman mengekalkan rondaan, menyokong penempatan semula tentera Lubnan dan operasi seterusnya yang bertujuan untuk mendapatkan kawalan eksklusif senjata di selatan Sungai Litani, dan membantu dalam membersihkan jalan-jalan dan bahaya.

    Di sebalik usaha ini, “cabaran tetap ada” termasuk kehadiran berterusan senjata dan aset yang tidak dibenarkan, dan pengekalan kedudukan tentera Israel di dalam wilayah Lubnan, ia dilapor berkata.

    Menurut Anadolu, UNIFIL menegaskan, orang awam di kedua-dua belah Garis Biru “telah menderita kerana konflik ini” menekankan bahawa keselamatan mereka dan kestabilan kawasan itu mesti kekal sebagai keutamaan.

    Gencatan senjata dicapai pada 27 November 2024, selepas lebih setahun serangan antara Hizbullah dan Israel, yang bermula pada Oktober 2023 dan bertukar menjadi serangan berskala penuh pada September 2024. Lebih 4,000 orang terbunuh, dan 17,000 yang lain cedera dalam serangan Israel, menurut laporan Anadolu.

  • Angka maut akibat kebakaran di Hong Kong dilapor meningkat kepada 94

    Angka kematian dalam kebakaran bangunan kediaman Hong Kong meningkat kepada 94, lapor Xinhua memetik jabatan bomba.

  • Bekas Presiden Peru Pedro Castillo dapat hukuman penjara kerana cubaan rampasan kuasa 2022

    Bekas Presiden Peru Pedro Castillo mendapat hukuman penjara lebih 11 tahun pada Khamis kerana konspirasi untuk memberontak berkaitan dengan percubaan rampasan kuasa 2022 yang gagal, lapor Anadolu.

    Keputusan itu juga termasuk kehilangan kelayakan dua tahun daripada memegang jawatan awam kerana menjejaskan perintah perlembagaan.

    Bagaimanapun, mahkamah membebaskan Castillo daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan gangguan awam.

    Mahkamah Agung pada masa yang sama mensabitkan bekas menteri Kabinetnya, Betssy Chavez dan Willy Huerta, bersama bekas penasihat Anibal Torres, atas jenayah yang sama, memenuhi permintaan pendakwaan.

    Castillo telah dibicarakan atas tindakannya pada 7 Dis 2022 apabila dia mengumumkan pembubaran Kongres dan mengisytiharkan darurat. Dengan membubarkan parlimen, Castillo cuba memintas undian yang akan diadakan bagi mendapatkan penyingkirannya kerana “ketidakupayaan moral”.

    Pada hari yang sama, polis menahannya ketika dia meninggalkan Istana Kerajaan, dilaporkan dalam perjalanan ke Kedutaan Mexico bersama keluarganya. Kongres segera meneruskan untuk memecatnya dari jawatan.

    Castillo telah berkuasa hanya selama 16 bulan dan telah pun terselamat daripada dua percubaan sebelumnya untuk menyingkirkannya. Tempoh singkat beliau ditandai dengan ketidakstabilan politik, termasuk lima perubahan Kabinet, yang membawa kepada kelumpuhan dalaman yang ketara.

    Bekas guru luar bandar dan ahli kesatuan sekerja, Castillo memenangi pilihan raya 2021 dalam penentu menentang Keiko Fujimori, anak perempuan bekas Presiden Alberto Fujimori.

  • Hanya Ronaldo berbaloi dengan pembayarannya, kata bekas ketua sukan Saudi

    Bekas Menteri Sukan Saudi Putera Abdullah bin Mosaad berkata Cristiano Ronaldo – yang menyertai Al Nassr pada Disember 2022 – adalah satu-satunya pemain asing dalam Liga Pro Saudi yang benar-benar layak menerima gaji berjuta-juta dolarnya, lapor Reuters pada Khamis.

    Menurut Reuters, Putera Abdullah, yang memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2017 – sebelum kemasukan besar pemain asing yang telah mengubah liga – juga memberi amaran bahawa kemasukan itu mengetepikan bakat tempatan dan mengancam masa depan pasukan kebangsaan.

    Reuters melaporkan, dalam temu bual dengan program TV Fi Al-Marama di Al-Arabiya, Abdullah menggesa pembaharuan segera untuk melindungi pemain Arab Saudi dan memastikan daya saing menjelang Piala Dunia 2034, yang mana kerajaan (kingdom) akan menjadi tuan rumah.

    “Ronaldo adalah satu-satunya pemain asing yang berbaloi dengan apa yang dia perolehi kerana pendedahan global yang dibawanya kepada liga dan negara,” dia dilapor berkata mengenai penyerang Portugal itu yang gaji tahunannya dianggarkan $211 juta – $4 juta seminggu.

    “Ramai yang lain dibayar jauh lebih daripada yang mereka layak.”

    Putera Abdullah dilapor berkata, pemain Saudi telah menjadi “tambahan” sejak bilangan pemain asing setiap pasukan pada hari perlawanan meningkat kepada lapan, menggesa pemotongan kepada tujuh dan lebih banyak pelaburan dalam pembangunan belia.

    “Buat masa ini, membina liga yang kukuh akan menjejaskan pasukan kebangsaan,” dia dilapor berkata.

    “Kita memerlukan rancangan yang jelas untuk mempersiapkan 2034.”

    Dia juga menyeru untuk mengambil jurulatih elit untuk kategori remaja dan memberi amaran bahawa tanpa perubahan struktur, pemain Arab Saudi akan bergelut untuk kembali menonjol.

  • Lapan maut di Tahiti selepas tanah runtuh timbus dua rumah

    Tanah runtuh menimbus dua rumah, mengorbankan lapan orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, di pulau Pasifik Perancis, di Tahiti, kata pihak berkuasa pada Khamis dalam angka terakhir, menurut berita AFP disiarkan oleh Arab News.

    Bencana itu dilaporkan berlaku pada waktu fajar pada Rabu — lewat petang di tanah besar Perancis — di perkampungan timur Afaahiti selepas seminggu hujan lebat.

    Mereka yang terbunuh juga membabitkan tiga wanita dan empat lelaki, pendakwa raya tempatan Solene Belaouar dilapor berkata, sambil menambah bahawa semua yang hilang telah ditemui mati.

    Seorang penduduk Afaahiti dilapor memberitahu AFP dia telah dikejutkan awal Rabu oleh bunyi seperti kereta api di luar rumahnya.

    “Kami pergi ke luar dan melihat sebuah rumah telah tertutup sepenuhnya oleh tanah dan lumpur,” Ida Labbeyi dilapor berkata.

    Operasi menyelamat dilaporkan terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam selepas tanah runtuh kedua hampir menghanyutkan anggota pasukan penyelamat.

    Tahiti, hampir 16,000 kilometer (9,950 batu) dari Paris ialah salah satu daripada beberapa wilayah luar negara Perancis yang merentangi Caribbean dan Pasifik.

    Polinesia Perancis membabitkan lebih daripada 100 pulau, termasuk Tahiti.

  • Kolonis bakar masjid, sembur slogan rasis di barat Salfit

    Kolonis pada petang Khamis menyalakan api pada Masjid Al-Falah di utara pekan Biddya, barat kegabenoran Salfit, dan menyembur slogan perkauman di dinding rumah berdekatan, lapor agensi berita WAFA.

    Penduduk dilapor berkata, kolonis menyerbu kawasan sekitar masjid dan membakar sebahagian daripadanya, menyebabkan kerosakan sebelum penduduk tempatan dapat mengawal kebakaran.

  • Pasukan Israel bunuh dua rakyat Palestin di Tebing Barat yang kelihatan untuk serah diri

    Pasukan keselamatan Israel menembak dua lelaki Palestin pada Khamis yang kelihatan untuk menyerah diri dan tidak bersenjata semasa serbuan di Tebing Barat yang diduduki Israel, rakaman berita TV Palestin menunjukkan, lapor Reuters.

    Menurut Reuters, dalam rakaman itu, lelaki-lelaki terbabit dilihat keluar dari sebuah bangunan yang dikelilingi oleh pasukan bersenjata Israel di bandar Jenin di utara Tebing Barat, mengangkat baju mereka dan berbaring di atas tanah dalam keadaan menyerah diri. Pasukan kemudian kelihatan mengarahkan lelaki-lelaki terbabit kembali ke dalam bangunan sebelum melepaskan tembakan dari jarak dekat.

    Menurut Reuters, seorang wartawannya di sekitar melihat lelaki-lelaki terbabit meninggalkan bangunan itu, kelihatan menyerah diri, dan kemudian, selepas mendengar tembakan dilepaskan, melihat pasukan Israel berdiri berhampiran apa yang kelihatan seperti mayat tidak bernyawa.

    Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan dilapor berkata, dua lelaki itu terbunuh dalam kejadian tembakan itu, mengenal pasti mereka sebagai Montasir Abdullah, 26 tahun dan Yusuf Asasa, 37 tahun.

    Menurut Reuters, tentera Israel dan polis Israel mengeluarkan kenyataan bersama mengumumkan bahawa mereka telah membuka siasatan selepas tentera melepaskan tembakan ke arah suspek yang telah keluar dari sebuah bangunan.

    Kenyataan itu tidak memberikan sebarang sebab mengapa pasukan itu melepaskan tembakan, mahupun mengatakan bahawa kedua-dua lelaki itu telah berbaring di atas tanah sebelum mereka diarahkan kembali ke dalam bangunan dan ditembak, lapor Reuters.

    Menurut agensi berita itu, gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub, bercakap melalui telefon, menuduh tentera Israel melakukan “pembunuhan berdarah dingin” terhadap dua lelaki muda yang menurutnya tidak bersenjata dan telah menyerah diri.

    Dia dilapor berkata, mereka yang melepaskan tembakan harus berdepan dengan akauntabiliti, tetapi menyatakan keraguan bahawa pihak berkuasa Israel akan menjalankan siasatan yang tulen.

    Pasukan Israel telah menjalankan operasi di kawasan Jenin untuk menangkap individu yang dikehendaki bagi “aktiviti keganasan, termasuk melemparkan bahan letupan dan menembak ke arah pasukan keselamatan”, tentera dan polis Israel dilapor berkata dalam kenyataan bersama itu.

    Dua lelaki yang ditembak itu adalah individu dikehendaki yang mempunyai kaitan dengan “rangkaian pengganas di kawasan Jenin”, kenyataan itu dilapor berkata.

    Menurut Reuters, ia tidak menyatakan apa yang dituduh kedua-dua lelaki itu dan tidak mendedahkan sebarang bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas.

    Reuters menyatakan, menurut tentera dan polis, pasukan keselamatan telah mengepung bangunan di mana lelaki itu berada sebelum memulakan “prosedur menyerah diri” yang berlangsung beberapa jam.

    “Selepas keluar mereka, tembakan diarahkan ke arah suspek,” kenyataan itu dilapor berkata, sambil menambah bahawa tembakan itu “dalam semakan oleh komander di lapangan, dan akan dipindahkan ke badan profesional yang berkaitan”.

    Menteri Keselamatan Negara sayap kanan Israel Itamar Ben-Gvir kemudian mengeluarkan kenyataan memberikan “sokongan penuh” kepada tentera dan unit polis yang terlibat dalam penembakan itu, lapor Reuters.

    “Pejuang bertindak tepat seperti yang diharapkan daripada mereka – pengganas harus mati!,” dia dilapor mencatatkan di X.

    Serbuan Jenin menandakan serangan terbaru dalam kempen Israel selama berbulan-bulan merentasi bandar-bandar utara Tebing Barat, menurut Reuters, di mana tentera Israel pada Rabu melancarkan operasi di bandar Tubas yang berdekatan.

    Kumpulan militan Palestin Hamas, yang bersetuju dengan gencatan senjata dengan Israel di Gaza bulan lalu, dilapor mengutuk pembunuhan lelaki-lelaki terbabit di Jenin sebagai “eksekusi” (pelaksanaan hukuman mati) dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan bagi menghentikan apa yang ia panggil “peningkatan eksekusi lapangan” oleh Israel.

    Kumpulan itu tidak mendakwa dua lelaki terbabit sebagai anggota, lapor Reuters.

  • Denmark tandatangan perjanjian untuk beli sistem pertahanan udara $580 juta

    Denmark menandatangani kontrak €500 juta ($580 juta) dengan Kongsberg Defense & Aerospace untuk memperoleh sistem pertahanan udara NASAMS, firma Norway itu mengumumkan pada Khamis, lapor Anadolu.

    Perjanjian itu akan menyediakan Copenhagen dengan apa yang disifatkan Kongsberg sebagai “keupayaan pertahanan udara paling moden dan maju di dunia,” syarikat itu dilapor berkata dalam satu kenyataan.

    Eirik Lie, ketua Kongsberg, dilapor berkata pembelian itu mewakili satu langkah penting ke hadapan untuk keselamatan negara Denmark.

    “Dengan perolehan ini Denmark akan meningkatkan dengan ketara keupayaan operasi negara dan keupayaan untuk memerangi ancaman udara moden secara berkesan, dan seterusnya mengukuhkan keseluruhan kehadiran pertahanan udara NASAMS di rantau Nordic,” dia dilapor berkata.

    Pakej NASAMS menggabungkan radar Raytheon dan varian peluru berpandu dengan Pusat Pengedaran Tembakan Kongsberg dan pelancar berbilang peluru berpandu.

    Sistem modular, seni bina terbuka membolehkan pengendali menyepadukan teknologi baharu dan mengembangkan keupayaan dari semasa ke semasa.

    NASAMS boleh menggunakan gabungan pemintas, termasuk AMRAAM, AMRAAM-ER jarak lanjutan dan AIM-9X Sidewinder, membolehkan kedua-dua liputan pertahanan udara jarak sederhana dan pendek.

    Kongsberg dilapor berkata, fleksibiliti NASAMS memberikannya “potensi pertumbuhan” ke arah misi pertahanan udara jarak jauh dan juga keupayaan peluru berpandu balistik anti-taktikal sebagai sebahagian daripada seni bina NASAMS yang lebih luas.

    Dengan perolehan terbaharu ini, Denmark menjadi negara pengguna NASAMS ke-14 dan ke-8 dalam NATO, seterusnya mengembangkan jejak sistem itu di seluruh Eropah dan Amerika Utara.