Rencah

  • Gempa bumi 7 magnitud landa Tibet

    Satu gempa bumi 7 magnitud melanda wilayah Tibet, China kira-kira jam 10:33 malam waktu tempatan (1433 GMT) Khamis, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), lapor Reuters.

    Pusat gempa di sebuah daerah berketinggian tinggi di Nagqu, utara Tibet, pada kedalaman 10 km (6.21 batu), dengan purata ketinggian dalam lingkungan 5 km dari pusat gempa adalah kira-kira 4,864 meter, data CENC menunjukkan.

    Menurut CENC, lapor Reuters, gegaran dapat dirasai dengan jelas di kawasan lokal. Pusat gempa terletak kira-kira 400 km dari Lhasa, ibu kota Tibet.

  • Warga asing dipukul hingga mati

    Polis Afrika Selatan memulakan siasatan kes bunuh selepas seorang warga asing didakwa dipukul sehingga mati oleh sekumpulan kira-kira 50 orang di bandar pesisir pantai Durban, Afrika Selatan, pada pagi Khamis, lapor berita Xinhua.

    Mangsa, dipercayai berusia lewat 30-an atau awal 40-an, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kata Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) dalam kenyataan.

    Menurut maklumat awal, sekumpulan orang berarak di Jalan Dr Pixley kaSeme menuju Jalan Maud Mfusi di pusat bandar apabila dua lelaki memisahkan diri daripada kumpulan itu dan menghampiri mangsa yang berdiri di tepi jalan.

    Mangsa kemudian didakwa diserang oleh kira-kira 50 orang, kata polis.

    Polis berkata, mereka sedang menelusuri beberapa petunjuk dan menggunakan segala sumber penyiasatan yang ada untuk mengenal pasti mereka yang terbabit dalam serangan itu, manakala motif pembunuhan masih belum dikenal pasti.

    Insiden itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak di Durban berhubung isu imigresen. Pada 8 Oktober, protes ganas tercetus di daerah perniagaan pusat bandar itu semasa demonstrasi yang berkait dengan kebimbangan mengenai pendatang tanpa dokumen dan permohonan suaka.

  • 3 termasuk budak perempuan maut dalam serangan Israel di Gaza

    Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada Khamis akibat serangan dan tembakan Israel di seluruh Jalur Gaza, di tengah-tengah pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya, seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera—seorang daripadanya parah, apabila sebuah dron Israel menyerang kenderaan orang awam di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar Gaza.

    Di utara Jalur Gaza, tentera Israel menembak mati seorang kanak-kanak perempuan Palestin di kepalanya di Jabalia, lapor Anadolu yang memetik sumber perubatan.

    Di selatan Gaza, seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dan dua yang lain cedera apabila dron Israel menyerang sebuah motosikal di Khan Younis, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Empat ahli sebuah keluarga pelarian dilaporkan turut cedera apabila tembakan artileri Israel menghentam sebuah sekolah yang menempatkan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di bandar itu.

    Sumber perubatan di Hospital Nasser dilapor berkata seorang lelaki, isterinya, dan dua anak mereka tiba dengan pelbagai kecederaan selepas bedilan menyasarkan Sekolah Mustafa Hafez.

    Bedilan artileri Israel melanda sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian itu di perkarangan sekolah itu, lapor Anadolu memetik sumber tempatan.

  • 10 maut, 7 hilang susulan insiden bot-kapal minyak di Nigeria

    Sekurang-kurangnya 10 orang disahkan maut dan tujuh lagi hilang selepas sebuah bot terbalik dalam satu konfrontasi antara penduduk tempatan dengan lelaki-lelaki berpakaian seragam tentera, berhubung isu tumpahan minyak di Delta Niger yang kaya dengan sumber minyak di Nigeria, lapor berita Anadolu memetik pemimpin komuniti pada Khamis.

    Mereka dilapor berkata, kejadian itu berlaku di laluan air Robertkiri di Kula Kingdom, Kawasan Kerajaan Tempatan Akuku-Toru di Negeri Rivers, ketika penduduk sedang membantah pergerakan sebuah kapal minyak.
    Bantahan itu tercetus susulan pertikaian yang belum selesai mengenai dakwaan tumpahan minyak serta rungutan lain berkaitan operasi di Oil Mining Lease (OML) 55.

    Jonah Joshua, pemimpin komuniti yang terjejas, dilapor berkata: “Lapan orang diselamatkan, manakala tujuh lagi masih hilang sementara operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.”

    Mereka yang hilang termasuk Davies Opiri, setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kula, serta dua anggota kumpulan yang dikenali sebagai ‘Amama Soldiers’.

    Pemimpin komuniti mendakwa anggota tentera tiba dengan menaiki bot bersenjata bagi melancarkan proses pengalihan kapal minyak terbabit, meningkatkan ketegangan dengan golongan belia yang menuntut supaya tindakan diambil terhadap kebimbangan berkaitan alam sekitar.

    Menurut Anadolu, jurucakap Perintah Polis Negeri Rivers, Agabe Blessing Kaborlo, mengesahkan pihaknya sedia maklum mengenai insiden itu dan berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan bilangan korban serta punca bot itu terbalik.

    Negeri Rivers terletak di Delta Niger, sebuah wilayah pengeluar minyak utama di mana pertikaian mengenai pencemaran, pampasan, kawalan sumber, dan aktiviti syarikat minyak sering mencetuskan ketegangan.

  • Tom Cruise bakal terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat American Film Institute 2027

    Bintang Hollywood, Tom Cruise, akan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat American Film Institute (AFI) ke-52, penghormatan tertinggi daripada organisasi itu bagi kerjaya dalam perfileman, AFI mengumumkan pada Rabu, lapor berita Anadolu.

    Pelakon dan penerbit berusia 64 tahun itu akan diraikan dalam satu majlis gilang-gemilang di Dolby Theatre, Los Angeles, pada 24 April 2027.

    “Tom Cruise merupakan ikon global,” kata Kathleen Kennedy, pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AFI.

    “Sebagai seorang pelakon dan penerbit, dia mempamerkan komitmen luar biasa dalam setiap perkara dia lakukan. Apa yang paling saya kagumi ialah keyakinan mendalamnya terhadap filem serta keupayaan filem untuk menyatukan orang ramai,” katanya.

    Cruise, yang kerjayanya menjangkau lebih empat dekad, telah membintangi pelbagai produksi besar Hollywood termasuk “Top Gun”, “Mission: Impossible”, “Jerry Maguire”, “Rain Man”, dan “A Few Good Men”.

    Filem-filem lakonannya mencatat kutipan hampir $13 bilion di seluruh dunia, menurut AFI, dengan “Top Gun: Maverick” kekal sebagai filemnya yang meraih kutipan tertinggi.

    Diperkenalkan pada 1973, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat AFI mengiktiraf individu yang kerjaya mereka telah memberikan sumbangan besar kepada perfileman.

    Antara penerima terdahulu Steven Spielberg, Martin Scorsese, Nicole Kidman, dan Eddie Murphy, yang menerima penghormatan itu pada 2026.

  • 2 anggota keselamatan Syria maut dalam pertempuran dengan sel IS dekat Damsyik

    Dua anggota pasukan keselamatan dalaman Syria terkorban dan lima yang lain cedera dalam pertempuran dengan sel yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Islamic State (IS) di kawasan luar bandar Damsyik pada Khamis, kata pasukan keselamatan, menurut berita Xinhua.

    Pertempuran berlaku di pekan Rankous, di barat Damsyik, semasa operasi bersama oleh pasukan keselamatan dalaman dan Direktorat Perisikan Am, menurut pihak berkuasa.

    Insiden itu berlaku kurang seminggu selepas pasukan perisikan dan keselamatan Syria berkata mereka telah menggagalkan satu komplot IS untuk menyerang peronda polis di kawasan luar bandar Damsyik.

    Dalam operasi pada 16 Oktober itu, pihak berkuasa menahan dua suspek dan merampas bahan letupan yang telah disediakan untuk diletupkan, lapor Xinhua memetik agensi berita negara Syria, SANA.

  • Angka maut serangan di lapangan terbang Arab Saudi meningkat kepada 2

    Angka maut akibat serangan pada Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, timur Arab Saudi, meningkat kepada dua orang, kata Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi pada Khamis, lapor berita Xinhua.

    Kedua-dua mangsa yang terkorban membabitkan seorang warga Arab Saudi dan seorang penduduk dari India, kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan di X, lapor Xinhua.

    Lapan orang lagi cedera dan kini menerima rawatan perubatan di beberapa hospital, katanya.

    Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd menjadi sasaran di tengah-tengah peningkatan serangan peluru berpandu dan dron oleh kumpulan Houthi dari Yaman ke atas Arab Saudi baru-baru ini, termasuk serangan terhadap infrastruktur awam.

  • 12 maut dalam serangan bas di utara Niger

    Dua belas orang, termasuk seorang askar maut manakala kira-kira 10 yang lain cedera dalam satu serangan bersenjata terhadap dua bas penumpang di jalan Arlit-Agadez di utara Niger pada Selasa, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu, menurut berita Xinhua.

    “Kami amat kesal dengan kehilangan nyawa yang tragis ini, termasuk dalam kalangan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa,” kata Ibra Boulama Issa, gabenor wilayah Agadez.

    Menurut media tempatan, lapor Xinhua, lelaki-lelaki bersenjata menaiki tiga kenderaan memintas dua bas terbabit, kira-kira 35 km dari Agadez, melepaskan tembakan ke arah penumpang.

    Pihak berkuasa wilayah dilapor berkata, serangan itu mungkin terkait dengan pengangkutan emas di dalam sebuah bas terbabit.

  • 4 cedera letupan di bangunan pangsapuri di Athens

    Empat orang, termasuk dua polis, cedera pada Rabu apabila sebuah beg mengandungi bahan disyaki dadah dan peranti letupan meletup di ruang masuk sebuah bangunan pangsapuri di pusat bandar Athens, menurut berita Anadolu memetik laporan media.

    Menurut Anadolu, akhbar Kathimerini melaporkan letupan itu berlaku di kawasan kejiranan Kolonos selepas pengurus bangunan memaklumkan polis mengenai sebuah beg mencurigakan yang ditinggalkan dekat lif di tingkat bawah.

    Dua pegawai membuka beg terbabit dan menemui apa yang disyaki sebagai dadah, alat penimbang, dan pil, sebelum satu peranti letupan buatan sendiri meletup dalam keadaan yang belum jelas puncanya.

    Peranti itu dikatakan mengandungi alat pencetus yang disambungkan kepada bateri dan bahan letupan berkuasa rendah. Laporan awal mencadangkan seorang daripada pegawai mungkin telah menekan butang pada alat pencetus terbabit, yang kemudian mencetuskan letupan itu.

    Semua empat mangsa yang cedera termasuk pengurus bangunan, telah dibawa ke hospital.

  • Angka maut serangan ke atas pasar di Abyei meningkat kepada 153 orang

    Angka maut akibat serangan dron ke atas sebuah pasar di Abyei dipertikaikan, kawasan di antara Sudan Selatan dan Sudan, meningkat kepada 153 orang, kata seorang pegawai kerajaan Sudan Selatan pada Rabu, lapor berita Anadolu.

    Yohana Akol Ngor, pemangku menteri penerangan dalam pentadbiran Kawasan Pentadbiran Khas Abyei, dilapor memberitahu Radio Tamazuj bahawa 153 orang terbunuh dalam serangan ke atas Pasar Amiet, yang juga dikenali sebagai “Pasar Burung Unta” (Ostrich Market), di Abyei.

    Ngor berkata, angka itu merangkumi mereka yang mayatnya telah dikebumikan, manakala sebilangan lagi masih hilang, sekali gus menunjukkan jumlah korban mungkin akan terus meningkat.

    “Jumlah keseluruhan mereka yang terkorban akibat serangan dron itu ialah 153 orang. Ini adalah mereka yang mayatnya telah dikebumikan, namun masih terdapat individu yang hilang,” katanya.

    Ngor menuduh tentera Sudan sebagai pihak yang melancarkan serangan pada Isnin itu ke atas pasar terbabit, terletak kira-kira 10 kilometer (6.2 batu) di utara pekan Abyei.

    Ngor menjelaskan bahawa mangsa dikebumikan di dua buah kubur besar, satu terletak di sebelah timur pasar dan satu lagi dekat kawasan itu, sambil menambah bahawa sesetengah mayat rentung akibat serangan itu.

    Dia turut memaklumkan bahawa 30 orang cedera sedang menerima rawatan di hospital, dengan sesetengah daripada mereka dalam keadaan kritikal.

    Pada Isnin, media Sudan melaporkan orang awam terkorban dan cedera dalam satu serangan dron yang menyasarkan pintu masuk utara Pasar Amiet, yang dikenali penduduk tempatan sebagai “Pasar Burung Unta” di Abyei.

    Laporan itu menyatakan mangsa termasuk warga Sudan Selatan dan anggota suku Misseriya dari Sudan.

    Pada hari yang sama, Kementerian Luar Negeri Sudan Selatan memanggil Duta Sudan ke Juba, Isam Karar, bagi menyatakan bantahan terhadap serangan ke atas pasar terbabit.

    Abyei, sebuah wilayah yang kaya dengan sumber minyak, telah diberikan status khas di bawah Perjanjian Damai Komprehensif yang ditandatangani oleh Khartoum dan Juba pada 25 September 2003.

    Wilayah ini berfungsi sebagai penghubung di antara utara dan selatan Sudan. Suku Arab Misseriya tinggal di bahagian utara, manakala komuniti Afrika Dinka mendiami bahagian selatan.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah peperangan yang sedang berlangsung di Sudan antara tentera negara dengan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF). Konflik ini bermula pada April 2023 berikutan pertikaian mengenai penyepaduan pasukan terbabit ke dalam angkatan tentera.

    Peperangan ini telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kira-kira 13 juta orang kehilangan tempat tinggal, selain memburukkan lagi kebuluran serta krisis kemanusiaan yang dianggap antara yang terburuk di dunia, lapor Anadolu.