Misi AS di Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan pada Isnin kepada warganegara Amerika susulan permusuhan membabitkan kumpulan Houthi Yaman dan Arab Saudi, lapor Anadolu.
“Houthi disokong Iran telah terlibat dalam permusuhan terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas lapangan terbang awam dan infrastruktur kritikal lain, yang mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam serta gangguan perjalanan yang teruk,” kata misi itu dalam satu kenyataan nasihat.
Misi itu memberi amaran, situasi boleh memuncak dengan pantas melangkaui kawasan terbabit, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai potensi ancaman keselamatan dan gangguan terhadap perjalanan udara komersial.
“Warganegara AS harus peka terhadap kemungkinan serangan ke atas lapangan terbang, penutupan ruang udara, pembatalan penerbangan, dan gangguan perjalanan. Sila berhati-hati sepenuhnya jika anda memilih untuk menggunakan lapangan terbang di Arab Saudi,” katanya.
Kenyataan nasihat itu dikeluarkan di tengah-tengah permusuhan yang semakin memuncak antara kumpulan Houthi dengan gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Arab Saudi telah mengetuai gabungan ketenteraan menentang Houthi sejak Mac 2015, selepas kumpulan itu menawan ibu kota Yaman, Sanaa, dan beberapa bahagian lain di negara itu pada 2014, lapor Anadolu.