GLOBAL

  • Iran kata pasukan aeroangkasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, beri amaran tindak balas menghancurkan

    Komander pasukan aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Brigadier Jeneral Majid Mousavi, berkata pertahanan udara dan peluru berpandu Iran berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia untuk menghadapi sebarang serangan ke atas negara itu, menurut laporan bertarikh 13 Jan 2026 oleh Almayadeen.

    Almayadeen melaporkan, Mousavi, bercakap semasa mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Negeri di parlimen Iran, berkata pasukan aeroangkasa akan memberikan tindak balas “tegas dan menghancurkan” terhadap sebarang tindakan pencerobohan yang menyasarkan rakyat Iran.

    Menurutnya, pengeluaran peluru berpandu dan output keseluruhan pasukan aeroangkasa telah meningkat berbanding tahap sebelum perang 12 hari sebelum ini, menekankan apa yang dia sifatkan sebagai keupayaan pertahanan yang dipertingkatkan.

    Kenyataan itu mengulangi amaran terdahulu daripada Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral Aziz Nasirzadeh, yang memberi amaran bahawa Tehran mempunyai “kejutan” yang menanti mereka yang mengancam tindakan ketenteraan terhadap Iran.

    Menurut Almayadeen, Nasirzadeh berkata mana-mana penyerang akan menghadapi “kesakitan dan penderitaan yang teruk,” memberi amaran bahawa Iran akan menyasarkan kepentingan mereka di mana sahaja di dunia jika aset Iran diserang.

    Dia juga dilapor berkata, mana-mana negara yang memudahkan serangan ke atas Iran atau menyediakan pangkalan untuk serangan sedemikian akan dianggap sebagai sasaran yang sah.

  • Sekurang-kurangnya 22 maut, 55 cedera selepas kren runtuh menyebabkan kereta api tergelincir di Thailand

    Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 55 yang lain cedera selepas sebuah kereta api penumpang berlanggar dengan kren pembinaan yang runtuh di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut Thailand pada Rabu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 9:05 pagi waktu tempatan apabila kereta api penumpang itu, yang dalam perjalanan dari Bangkok ke Ubon Ratchathani, tergelincir dan terbakar susulan hentaman itu.

    Responder (pasukan tindakan pertama) kecemasan bergegas ke tempat kejadian dan menggunakan alat pemotong hidraulik untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap dari bangkai kereta api.
    Penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

    Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Pengangkutan Phiphat Ratchakitprakarn dilapor berkata, dia telah mengarahkan agensi untuk menjalankan siasatan telus dan komprehensif bagi menentukan punca dan mencegah kejadian itu berulang.

  • Keadaan gelora teruk di Lapangan Terbang Phuket mencederakan ramai penumpang

    Sebuah pesawat mengalami keadaan gelora teruk semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket di Thailand pada pagi Rabu, menyebabkan ramai penumpang cedera, menurut berita Xinhua memetik laporan media Thailand.

  • Jumlah kematian akibat tindakan keras terhadap protes di Iran melonjak kepada sekurang-kurangnya 2,571, kata aktivis

    Jumlah kematian akibat protes di seluruh negara di Iran melebihi 2,500, kata aktivis, ketika rakyat Iran membuat panggilan telefon ke luar negara buat kali pertama dalam beberapa hari pada Selasa selepas pihak berkuasa memutuskan komunikasi semasa tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, menurut laporan The Associated Press (AP).

    Bilangan kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 2,571 awal Rabu, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) berpangkalan di AS, lapor AP, angka itu mengatasi jumlah kematian daripada sebarang pusingan protes atau pergolakan lain di Iran dalam beberapa dekad dan mengingatkan kekacauan yang menyelubungi Revolusi Islam 1979 negara itu.

    Menurut laporan AP, kumpulan aktivis itu berkata 2,403 daripada mereka yang terkorban adalah peserta protes dan 147 adalah gabungan kerajaan. Dua belas kanak-kanak dilaporkan terbunuh, bersama sembilan orang awam yang dikatakan tidak mengambil bahagian dalam protes. Lebih 18,100 orang telah ditahan, kata kumpulan itu, seperti dilaporkan AP.

    Menurut AP, Skylar Thompson dari HRANA memberitahunya bahawa jumlah kematian baharu itu mengejutkan, terutama kerana ia mencapai empat kali ganda jumlah kematian protes Mahsa Amini selama berbulan-bulan pada 2022 hanya dalam masa dua minggu.

    Dia memberi amaran bahawa jumlah kematian masih akan meningkat: “Kami terkejut, tetapi kami masih berpendapat jumlahnya konservatif.”

    Menurut laporan AP, televisyen kerajaan Iran menawarkan pengakuan rasmi pertama mengenai kematian, memetik seorang pegawai yang mengatakan negara itu mempunyai “ramai syahid”.

    Bagaimanapun AP mengatakan, mengukur demonstrasi dari luar negara semakin sukar, dan ia tidak dapat menilai jumlah kematian secara bebas.

    Menurut AP, beberapa orang di Tehran dapat menghubunginya pada Selasa dan bercakap dengan seorang wartawan. Biro AP di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dikatakan tidak dapat menghubungi nombor-nombor terbabit kembali.

    Saksi dilaporkan berkata pesanan teks masih tergendala, dan pengguna internet di Iran boleh berhubung ke laman web yang diluluskan kerajaan di dalam negara tetapi tiada apa-apa di luar negara.

    Menurut laporan AP, saksi-saksi, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana takut akan tindakan balas, berkata polis berdiri di persimpangan utama dan pegawai keselamatan berpakaian biasa kelihatan di ruang awam.

    Pegawai polis anti-rusuhan memakai topi keledar dan perisai badan sambil membawa baton, perisai, senapang patah dan pelancar gas pemedih mata, menurut mereka.

    Beberapa bank dan pejabat kerajaan dibakar semasa pergolakan itu, lapor AP memetik saksi. Kedai-kedai dibuka pada Selasa, walaupun terdapat sedikit lalu lintas kaki di ibu negara.

    Di jalanan, orang ramai juga dapat dilihat mencabar pegawai keselamatan berpakaian biasa, yang menghentikan orang lalu-lalang secara rawak, lapor AP.

    Demonstrasi dilaporkan bermula pada akhir Disember dengan kemarahan terhadap ekonomi Iran yang merosot dan tidak lama kemudian menyasarkan teokrasi, terutama Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei yang berusia 86 tahun.

    Menurut laporan AP, imej diperoleh pada Selasa olehnya daripada demonstrasi di Tehran menunjukkan grafiti dan sorakan yang menyeru kematian Khamenei — sesuatu yang boleh membawa hukuman mati.

    Menurut laporan AP, ketika jumlah kematian yang dilaporkan meningkat pada Selasa, Presiden AS Donald Trump menulis di platform Truth Social beliau: “Patriot Iran, TERUSKAN MEMPROTES – AMBIL ALIH INSTITUSI ANDA!!!”

    Beliau menambah: “Saya telah membatalkan semua pertemuan dengan Pegawai Iran sehingga pembunuhan peserta protes yang tidak masuk akal BERHENTI. BANTUAN DALAM PERJALANAN.”

    Walau bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Trump dilapor memberitahu pemberita bahawa pentadbirannya sedang menunggu laporan tepat mengenai bilangan peserta protes yang terbunuh sebelum bertindak “dengan sewajarnya”.

    Trump dilapor berkata mengenai pasukan keselamatan Iran: “Bagi saya, mereka kelihatan sangat berkelakuan buruk, tetapi itu tidak disahkan.”

  • 10 maut dalam kemalangan di landasan kereta api dalam pembinaan di Thailand

    Sebuah kren pembinaan yang digunakan untuk kerja landasan kereta api terjatuh di tapak projek kereta api berkelajuan tinggi di daerah Sikhio, wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand, pada pagi Rabu, menghentam sebuah kereta api yang lalu, menurut berita Xinhua memetik laporan media Thailand.

    Impak itu dilaporkan mencetuskan kebakaran di gerabak kereta api dan menyebabkan kereta api tergelincir.

    Laporan awal mengatakan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam kejadian itu, menurut Xinhua.

  • Greenland: Penduduk lapor kesukaran tidur kerana kenyataan AS

    Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai pengilhakan atau pembelian Greenland menyebabkan “banyak kebimbangan,” kata menteri tenaga Greenland pada Selasa, sambil menambah bahawa penduduk juga melaporkan kesukaran tidur, lapor Anadolu.

    Menteri Perniagaan dan Sumber Mineral, Naaja Nathanielsen, berkata perdana menteri, serta semua pemimpin parti di Greenland, telah menjelaskan dengan “agak jelas” bahawa Greenland “tidak berniat untuk menjadi rakyat Amerika”.

    “Ia bukanlah sesuatu yang kami sasarkan, usahakan, tetapi kami telah berusaha ke arah lebih banyak kerjasama dengan rakyat Amerika selama bertahun-tahun; kami adalah sekutu Amerika, tetapi kami tidak melihat diri kami menjadi rakyat Amerika,” katanya pada satu acara di parlimen UK di London, menurut laporan Anadolu.

    Mengatakan bahawa penduduk Greenland berasa “dikhianati” dengan retorik Trump di pulau itu, Nathanielsen menyatakan bahawa penduduk bimbang mengenai mesej daripada AS mengenai pengilhakan atau pembelian Greenland.

    “Kami merasakan retorik itu menyinggung perasaan, seperti yang telah kami katakan berkali-kali sebelum ini, tetapi juga membingungkan kerana kami tidak melakukan apa-apa selain menyokong tanggapan bahawa Greenland adalah sebahagian daripada kepentingan diri negara Amerika,” kata Nathanielsen.

    “Ia menimbulkan banyak kebimbangan mengenai masa depan. Orang ramai melaporkan kesukaran untuk tidur. Ini benar-benar memenuhi agenda dan perbincangan di sekitar isi rumah,” tambahnya.

    Ditanya mengenai kebimbangan AS tentang keselamatan Artik terhadap peningkatan kehadiran Rusia dan China, dia berkata Rusia adalah sebuah negara Artik manakala China telah berminat dengan Artik selama bertahun-tahun, dan menyatakan bahawa Greenland telah menggesa lebih banyak pemantauan Artik selama bertahun-tahun.

    “Kami tidak mempunyai masalah untuk lebih menyedari apa yang berlaku di sekitar Greenland … kami tidak mempunyai masalah untuk memberikan lebih banyak akses kepada NATO di Greenland,” kata Nathanielsen.

    Dalam respons kepada soalan sama ada dia akan mengharapkan sokongan daripada sekutu NATO sekiranya berlaku pencerobohan AS, dia berkata jika senario itu berlaku, “semua orang di dalam bilik ini dan semua orang di negara anda perlu memikirkan mengenai apakah orde dunia baharu ini”.

    “Kerana ia membayangkan bahawa ia akan menjadi satu negara yang diserang oleh rakan kongsi NATO yang lain, tetapi sebenarnya kita semua akan diserang,” katanya, sambil menambah ia akan menjadi satu kerosakan terhadap kedaulatan undang-undang dan undang-undang antarabangsa, serta perjanjian dan perjanjian sedia ada.

    Kenyataannya dibuat sehari sebelum pegawai kanan Denmark dan Greenland dijadualkan bertemu pegawai AS di Washington.

    Mesyuarat itu akan berlangsung pada Rabu dengan kehadiran Menteri Luar Denmark Lars Lokke Rasmussen dan Menteri Luar Greenland Vivian Motzfeldt, serta Naib Presiden AS JD Vance dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, berita Anadolu memetik laporan.

    Greenland, sebuah wilayah yang mentadbir sendiri dalam Kerajaan Denmark, telah menarik minat AS kerana lokasinya yang strategik dan sumber mineral yang luas, tetapi desakan Trump untuk memperoleh pulau itu, termasuk keengganannya untuk mengetepikan kekuatan tentera untuk mendapatkannya, telah mendapat kecaman di seluruh dunia.

    Trump, yang mendapat kemasyhuran sebagai pemaju hartanah, telah menggambarkan memiliki Greenland sebagai “keperluan mutlak” untuk keselamatan ekonomi AS, membandingkannya dengan “perjanjian hartanah yang besar”.

    Denmark dan Greenland telah menolak cadangan untuk menjual wilayah itu, sekali gus mengesahkan semula kedaulatan Denmark ke atas pulau itu.

    Sementara itu, beberapa negara Eropah, termasuk UK, sedang berbincang untuk kemungkinan mengerahkan tentera ke wilayah autonomi Denmark itu, dalam usaha untuk mengurangkan kebimbangan keselamatan Trump, lapor Anadolu.

  • Polis keselamatan awam Iran kata 297 ‘samseng’ ditahan dalam ‘rusuhan’

    Ketua Polis Keselamatan Awam Iran, Seyed Majid Feiz Jafari, dilapor berkata pada Selasa, pasukannya menahan 297 ‘samseng’ semasa ‘rusuhan’ di negara itu.

    Menurut berita Xinhua, dia membuat kenyataan itu dalam satu temu bual dengan agensi berita IRIB dikendalikan kerajaan, menekankan bahawa tahanan terbabit adalah organisasi yang bergabung dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam menghasut ‘rusuhan’ di negara itu.

    Tahanan terbabit telah merosakkan tempat-tempat keagamaan, bangunan kerajaan dan harta awam, dan menjarah barang-barang orang ramai semasa ‘rusuhan’ itu, katanya.

    Ketika operasi untuk menangkap ‘samseng’, dua daripada mereka terbunuh dan 17 yang lain cedera, katanya, sambil menambah bahawa lebih 30 jenis senjata dan sejumlah besar bahan letupan telah dirampas daripada mereka.

    Operasi itu berlaku ketika protes meletus di banyak bandar Iran sejak 28 Disember. Pada mulanya ia bermula dengan para pedagang bazar Tehran yang berdemonstrasi menentang penurunan nilai mata wang rial yang mendadak, dan inflasi melambung tinggi, sebelum merebak ke bandar-bandar lain. Pergolakan itu telah menyebabkan korban jiwa dalam kalangan pasukan keselamatan dan orang awam.

    Terdahulu pada Selasa, pelbagai laporan media mengatakan televisyen kerajaan Iran telah mengakui bahawa Iran mempunyai “ramai syahid” dalam protes di seluruh negara, tanpa memberikan jumlah khusus, lapor Xinhua, Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia berpangkalan di AS menyatakan jumlah kematian seramai 2,003 orang.

  • Israel letak pasukan dalam keadaan berjaga-jaga lebih tinggi di tengah-tengah kebimbangan peningkatan ketegangan Iran

    Israel menyesuaikan penempatan pertahanan udaranya dan meningkatkan tahap amarannya ketika ia meningkatkan persediaan untuk kemungkinan peningkatan ketegangan dengan Iran, menurut berita Xinhua memetik laporan media Israel pada Selasa.

    Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata kabinet keselamatan politik telah mengadakan mesyuarat yang dijadualkan sebelum ini untuk membincangkan perkembangan berkaitan Iran.

    Radio Tentera Darat Israel melaporkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah meningkatkan kesiapsiagaan untuk pelbagai senario peningkatan ketegangan yang melibatkan Iran dan meletakkan beberapa formasi tentera dalam keadaan berjaga-jaga lebih tinggi.

    Penyiar awam Kan berkata, perubahan telah dibuat pada sistem pertahanan udara Israel sejak 24 jam lalu, termasuk penggunaan sistem pemintas Iron Dome.

    Memetik pegawai, penyiar berkata Israel menilai bahawa Iran tidak mungkin menyerang Israel melainkan Amerika Syarikat menjalankan serangan besar-besaran di wilayah Iran.

    Tiada panggilan segera anggota simpanan dan tiada komen rasmi daripada IDF, menurut Xinhua.

    Langkah itu susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump, yang menggesa rakyat Iran untuk terus memprotes dan berkata “bantuan dalam perjalanan”.

    Jun tahun lalu, Israel melancarkan perang 12 hari menentang Iran.

  • PBB bimbang retorik seperti ketenteraan mengenai situasi Iran

    Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bimbang mengenai peningkatan retorik seperti ketenteraan sekitar situasi di Iran, kata Stephane Dujarric, jurucakap setiausaha agung PBB, pada Selasa, menurut berita Xinhua.

    “Sudah tentu kami sangat bimbang mengenai peningkatan retorik seperti ketenteraan yang kita lihat sekitar situasi Iran,” kata Dujarric pada taklimat harian sebagai tindak balas kepada soalan yang diajukan oleh Xinhua.

    “Adalah penting bagi semua negara anggota (PBB) untuk mendesak diplomasi berbanding retorik ketenteraan,” katanya.

  • Trump beri amaran ‘tindakan sangat tegas’ jika Iran gantung peserta protes

    Presiden Donald Trump dilapor berkata pada Selasa, Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk mengambil “tindakan yang sangat tegas” jika laporan bahawa Iran merancang untuk menghukum mati peserta protes terbukti tepat.

    “Saya belum pernah mendengar mengenai hukuman gantung itu. Jika mereka menggantung mereka, anda akan melihat beberapa perkara … Kami akan mengambil tindakan yang sangat tegas jika mereka melakukan perkara sedemikian,” kata Trump dalam temu bual dengan CBS News, menurut berita Anadolu.

    Ditanya mengenai “permainan terakhirnya” untuk Iran, Trump menjawab: “Permainan terakhir adalah untuk menang. Saya suka menang.”

    Komen Trump itu dibuat selepas dia ditanya mengenai kenyataan yang disiarkannya sebelum ini di Truth Social, dengan mengatakan, “Bantuan dalam perjalanan.”

    “Nah, terdapat banyak bantuan dalam perjalanan, dan dalam bentuk berbeza, termasuk bantuan ekonomi … Kami telah menyebabkan Iran gulung tikar dengan kapasiti nuklear mereka,” katanya, merujuk kepada serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran pada Jun tahun lalu.

    Mengetengahkan kekurangan angka korban yang jelas daripada protes yang sedang berlangsung di Iran, dia berkata: “Tiada siapa yang dapat memberikan kami angka yang tepat mengenai berapa ramai orang yang telah mereka bunuh.”

    “Anda tahu, jika mereka mahu mengadakan protes, itu satu perkara, apabila mereka mula membunuh beribu-ribu orang, dan sekarang anda memberitahu saya mengenai hukuman gantung, kita akan lihat bagaimana ia akan berlaku untuk mereka. Ia tidak akan berjaya,” katanya.

    Memetik pertubuhan bukan kerajaan Iran yang berpangkalan di AS dan Norway, penyiar AS, Fox News melaporkan pada Isnin bahawa keluarga peserta protes yang ditangkap Erfan Soltani dimaklumkan bahawa lelaki berusia 26 tahun itu “dijatuhkan hukuman mati” dan hukuman itu sepatutnya dilaksanakan pada Rabu, lapor Anadolu.