GLOBAL

  • 9 maut nahas pesawat di Florida, AS

    Sebuah pesawat yang membawa sembilan orang terhempas di kejiranan kediaman di Florida pada Ahad, mengorbankan semua individu di dalamnya, kata Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Sean Duffy, menurut berita Xinhua.

    Pada 12:50 tengah hari Waktu Timur, sebuah pesawat Learjet 60 terhempas di kawasan kejiranan dekat Cresthaven, Florida, kata Duffy dalam satu hantaran di X.

    “Semua sembilan orang di dalam pesawat itu maut.”

    Pesawat terbabit berlepas dari Austin, Texas dan dalam perjalanan menuju ke Bahamas, katanya.

  • 8 rakyat Palestin termasuk polis, maut dalam serangan udara Israel di Gaza

    Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk lima polis, maut pada Ahad dalam dua serangan udara Israel di Jalur Gaza, menurut berita Xinhua memetik sumber tempatan dan perubatan Palestin.

    Sumber tempatan dilapor berkata, sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan rakyat Palestin dan anggota polis di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis di selatan Gaza.

    Kompleks Perubatan Nasser dilapor berkata, sekurang-kurangnya lima orang maut dan beberapa yang lain cedera, dengan sesetengahnya parah, dalam serangan itu.

    Menurut Xinhua, pihak berkuasa dalaman di Gaza yang ditadbir oleh Hamas mengesahkan lima anggota Direktorat Am Polis maut ketika “menjalankan tugas rutin” di al-Mawasi.

    Menurut pihak berkuasa itu, lapot Xinhua, serangan Israel telah mengorbankan 75 polis sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada Oktober 2025.

    Dalam satu kejadian berasingan, tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, maut dan enam yang lain cedera, dengan sesetengahnya kritikal, dalam serangan udara Israel yang menyasarkan satu perhimpunan di kawasan kejiranan al-Rimal, barat bandar Gaza, lapor Xinhua memetik sumber perubatan.

    Menurut Xinhua, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan 1,580 rakyat Palestin maut dan 5,711 yang lain cedera di wilayah itu sejak gencatan senjata berkuat kuasa. Ini menjadikan jumlah kumulatif sejak Oktober 2023 mencecah 74,594 kematian dan 175,834 kecederaan.

  • Lima remaja ditikam di parti Halloween di Britain

    Lima remaja lelaki cedera parah selepas ditikam dalam satu parti Halloween di Hampshire, Britain, menurut berita Xinhua memetik laporan Sky News pada Ahad.

    Polis Hampshire telah dipanggil susulan laporan mengenai kejadian di Chandler’s Ford, sejurus selepas jam 10:30 malam pada Sabtu, di sebuah lokasi di Park Road.

    Kelima-lima remaja lelaki terbabit—tiga berusia 16 tahun dan dua berusia 17 tahun—telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah.

  • Iran mengkategorikan tentera laut, tentera udara, dan MI6 Britain sebagai entiti “pengganas, bermusuhan”

    Kementerian Luar Iran pada Ahad mengumumkan bahawa Tehran telah mengkategorikan tentera laut diraja, tentera udara diraja, dan perkhidmatan perisikan rahsia (MI6) Britain sebagai entiti “pengganas dan bermusuhan”, susulan tindakan kerajaan Britain yang anti-Iran sepanjang tahun lalu, menurut berita Xinhua.

    Keputusan itu berkuat kuasa pada Ahad, dibuat berdasarkan resolusi yang diterima pakai oleh Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, kementerian itu berkata dalam satu kenyataan.

    Kementerian itu mengecam dasar dan tindakan anti-Iran oleh kerajaan Britain, dengan menyifatkannya sebagai bertentangan dengan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa—khususnya yang berkaitan dengan penghormatan terhadap kedaulatan negara dan larangan melakukan tindakan menyalahi undang-undang terhadap negara lain.

    Ia menegaskan semula tekad Iran untuk mempertahankan keselamatan dan kepentingan nasionalnya, sambil merujuk kepada beberapa tindakan “bermusuhan” oleh kerajaan Britain, termasuk penglibatan Britain dalam perang menentang Iran dengan membenarkan penggunaan pangkalan serta kemudahan ketenteraan di wilayah Britain, selain pelabelan Kor Pengawal Revolusi Islam sebagai “ancaman kepada keselamatan negara”.

    Kementerian itu berkata langkah itu diambil selaras dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip timbal balik, serta menambah bahawa kerajaan Britain akan memikul tanggungjawab terhadap segala akibat yang timbul daripadanya.

  • 1 maut, 8 cedera dalam kejadian tembakan selepas perlawanan bola sepak di Birmingham, AS

    Seorang maut manakala lapan yang lain cedera pada Sabtu dalam satu kejadian tembakan susulan perlawanan bola sepak di Birmingham, negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Jabatan Polis Birmingham berkata seorang individu telah ditahan berhubung kejadian tembakan itu, yang berlaku di luar Legion Field sejurus selepas perlawanan bola sepak “Magic City Classic”.

    Tembakan tercetus sejurus selepas 7:50 malam waktu tempatan (0050 GMT pada Ahad) di blok 400 Graymont Avenue West, kata Pegawai Darrell Freeman dalam satu sidang akhbar.

    “Anggota polis bertindak balas dan mendapati beberapa mangsa tembakan.”

    Freeman berkata, sembilan orang ditembak, dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia. Seorang daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala tujuh yang lain berada dalam keadaan stabil, tambahnya.

    Menurut Freeman, pihak polis menemui beberapa laras senjata api di lokasi kejadian, dan seorang individu telah ditahan serta dibawa ke ibu pejabat polis untuk disoal siasat.

  • Gempa bumi 6.0 magnitud landa dekat pantai selatan Honshu, Jepun

    Satu gempa bumi bermagnitud 6.0 menggegarkan kawasan dekat pantai selatan Honshu, Jepun pada 2215 GMT Sabtu, menurut berita Xinhua memetik GFZ German Research Centre for Geosciences.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 350.9 km, pada mulanya dikenal pasti berada pada latitud 33.77 darjah utara dan longitud 137.12 darjah timur.

  • Gempa bumi 5.1 magnitud landa selatan Iran

    Satu gempa bumi bermagnitud 5.1 menggegarkan selatan Iran pada 2120 GMT Sabtu, menurut berita Xinhua memetik Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ).

    Pusat gempa terletak pada kedalaman 10 km, pada awalnya dikenal pasti berada pada latitud 28.05 darjah utara dan longitud 51.55 darjah timur.

  • 3 mayat ditemui dalam kebakaran di tengah Perancis

    Tiga mayat ditemui pada pagi Sabtu di celah runtuhan sebuah bangunan di Clermont-Ferrand, sebuah bandar di tengah Perancis, susulan kebakaran yang berlaku pada malam antara Khamis dan Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Penghuni keempat bangunan itu masih hilang, lapor Xinhua memetik perkhidmatan berita Franceinfo, memetik kenyataan bomba tempatan.

    Pejabat pendakwa raya Clermont-Ferrand berkata penemuan awal penyiasat menunjukkan “kebakaran itu mungkin berpunca daripada perbuatan jenayah.”
    Seorang lelaki berusia 21 tahun telah ditangkap pada pagi Jumaat dan kini berada dalam tahanan polis. Siasatan sedang dijalankan.

  • Kemalangan jalan raya ragut 10 nyawa, 24 cedera di selatan Kaherah

    Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 24 yang lain cedera apabila sebuah lori berlanggar dengan sebuah bas mini di lebuh raya di Kegabenoran Giza, selatan ibu kota Mesir, pada Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan dan Populasi, lapor berita Xinhua.

    Siasatan awal menunjukkan kelajuan berlebihan dalam keadaan cuaca berkabus mungkin menjadi punca kemalangan itu, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Kemalangan jalan raya di Mesir meragut ribuan nyawa setiap tahun, sering kali disebabkan oleh pemanduan laju, pelanggaran peraturan lalu lintas, dan keadaan jalan raya yang kurang baik.

  • 1 maut, 6 cedera dalam kejadian tembakan di pusat beli-belah California

    Seorang maut manakala enam yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Fairfield, California pada Jumaat, lapor berita Xinhua memetik polis tempatan.

    Polis Fairfield berkata anggota mereka bertindak balas terhadap satu kejadian tembakan di kedai Spirit Halloween yang terletak di dalam Solano Town Center pada 8:30 malam waktu tempatan (0330 GMT Sabtu).

    Seorang mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tembakan, sementara enam yang lain dikejarkan ke hospital tempatan dengan sekurang-kurangnya tiga daripadanya berada dalam keadaan kritikal, menurut kenyataan polis.

    Detektif sedang menyoal saksi dan berusaha mengenal pasti suspek. Polis memaklumkan bahawa lokasi kejadian masih dalam siasatan aktif dan menggesa sesiapa mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis.