GLOBAL

  • Nahas jalan raya di Madagascar: 11 maut

    Sebelas orang maut pada Selasa dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan penumpang yang dalam perjalanan di antara Antsohihy, di barat laut Madagascar dengan ibu kota Antananarivo, menurut seorang pegawai tempatan, lapor berita Xinhua.

    Menurut Vanessa Justicia Harinomenjanahary, datuk bandar Antsohihy, kenderaan terbabit terkeluar dari jalan raya semasa melintasi sebuah jambatan lalu terbalik beberapa kali.

    Beberapa orang lain turut mengalami kecederaan, kata datuk bandar itu.

  • Gempa 6.7 magnitud landa wilayah Kepulauan Tanimbar, Indonesia

    Satu gempa bumi bermagnitud 6.7 menggegarkan wilayah Kepulauan Tanimbar, Indonesia pada 2111 GMT Isnin, menurut Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) — berita Xinhua melaporkan.

    Pusat gempa, yang terletak pada kedalaman 10.0 km, pada mulanya dikenal pasti berada pada latitud 6.21 darjah selatan dan longitud 131.57 darjah timur.

  • Israel tuduh wartawan AFP yang ditahan mempunyai kaitan dengan Hamas

    Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menahan seorang wartawan Palestin yang bekerja untuk AFP dalam satu serbuan di Tebing Barat diduduki, menuduhnya mempunyai kaitan dengan Hamas tanpa mengemukakan bukti secara terbuka, menurut berita RT.

    Mohammad Ateeq, seorang juruvideo yang menyumbang kepada agensi berita Perancis itu selama tiga tahun, ditahan di rumahnya di pekan Burqin, dekat Jenin, pada awal pagi Ahad.

    Isterinya, Ansam, yang sedang hamil lapan bulan anak pertama mereka, berkata tentera Israel tiba kira-kira jam 1:30 pagi dan memecahkan pintu depan rumah mereka.

    “Walaupun Mohammad melaung, ‘saya akan buka!’, mereka terus menghentam pintu itu sehingga tercabut dari engselnya. Lebih 10 anggota tentera menyerbu masuk untuk menggeledah premis, manakala anggota lain berkawal di luar,” katanya kepada AFP — menurut RT.

    Menurut isterinya, tentera menutup mata Ateeq, merampas dua telefon bimbitnya, dan mencampakkan kamera video AFP miliknya ke balkoni. Dia berkata, tentera juga tidak membenarkan Ateeq memakai jaket musim sejuk sebelum membawanya pergi.

    IDF mengesahkan penahanan itu dengan menyatakan bahawa Ateeq “disyaki mempunyai hubungan dengan Hamas,” namun tidak memberikan butiran lanjut, menurut RT, lokasi dia ditahan tidak diketahui serta-merta.

    AFP dilapor berkata, pihaknya “sangat bimbang” mengenai penahanan Ateeq dan menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa Israel.

    “Kami menuntut pihak berkuasa Israel menjelaskan dengan jelas mengapa dia ditahan dan mengemukakan bukti. Kegagalan berbuat demikian seharusnya membawa kepada pembebasannya dengan segera,” tegas agensi berita itu, seperti dilaporkan RT.

  • 3 rakyat Palestin di Gaza maut akibat serangan Israel

    Tiga rakyat Palestin maut di Gaza pada Ahad, dengan dua daripadanya dalam serangan dron Israel dekat Rafah, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan terdahulu, lapor berita Anadolu memetik sumber perubatan.

    Dilaporkan serangan dron itu menyasarkan kawasan dekat Masjid Muawiya di Al-Mawasi, barat laut Rafah, yang mengorbankan Ahmed Saeed Fathi Abdeen dan Moataz Hajji, serta mencederakan beberapa yang lain.

    Satu sumber daripada pihak berkuasa lintasan Gaza berkata, serangan itu menyasarkan pos Kementerian Ekonomi yang memantau trak membawa barangan masuk ke wilayah terbabit melalui lintasan Kerem Shalom.

    Abdeen, 34, seorang daripada kakitangan yang bertugas di pos berkenaan, menurut sumber itu.

    Lokasi yang sama pernah diserang pada 28 Oktober, yang mengorbankan enam kakitangan kerajaan, lapor Anadolu, pejabat media kerajaan Gaza berkata, mereka sedang memeriksa barangan yang masuk bagi memastikan keselamatan serta mencegah penyeludupan.

    Di bandar Gaza, Abdullah Mazen Hassouna, 28, meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel terdahulu terhadap sebuah khemah pelarian di Jalan Al-Jalaa, lapor Anadolu memetik satu sumber perubatan.

    Seorang lagi rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat tembakan tentera Israel di kawasan Al-Satr al-Gharbi, Khan Younis.

  • Bahrain kata pertahanan udara pintas serangan Iran

    Bahrain mengumumkan pertahanan udaranya pada Ahad memintas dan memusnahkan beberapa serangan udara dari Iran yang menyasarkan kerajaan itu, lapor berita Anadolu.

    “Iran meneruskan pendekatan bermusuhan secara sistematik melalui serangan,” menurut Angkatan Pertahanan negara itu menerusi X, lapor Anadolu.

    Serangan itu dimusnahkan sebelum sempat mencapai sasaran, tambah kenyataan itu, sambil menyatakan bahawa semua unit “kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia sepenuhnya” untuk mempertahankan kerajaan itu.

    Terdahulu pada Ahad, IRGC menyatakan ia telah menyasarkan sebuah tapak pertahanan radar AS di Pangkalan Udara al-Riffa, Bahrain, menggunakan enam dron.

  • Nahas bas di barat Iran: 12 maut, 16 cedera

    Dua belas orang terkorban manakala 16 yang lain cedera apabila sebuah bas yang membawa pekerja syarikat minyak terbalik di wilayah Ilam, barat Iran, menurut gabenor daerah Abdanan — lapor berita IRNA.

    Gabenor daerah Abdanan, Behzad Nourmohammadi, memberitahu agensi berita IRNA lewat Sabtu bahawa mereka yang cedera telah dipindahkan ke hospital di Ilam, Dehloran, Dezful, dan Abdanan untuk mendapatkan rawatan.

    Kemalangan itu berlaku pada Sabtu apabila sebuah bas yang membawa pekerja sebuah syarikat minyak NGL di daerah Dehloran terbalik.

  • IRGC kata dron serang stesen radar pertahanan udara AS di Bahrain

    Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata pada Ahad, ia telah melancarkan serangan menggunakan dron terhadap sebuah stesen radar pertahanan udara AS di Bahrain, lapor berita Xinhua.

  • 8 maut dalam nahas bas di barat daya Colombia

    Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 20 yang lain cedera pada awal Sabtu apabila sebuah bas penumpang terbalik di lebuh raya di jabatan Huila, barat daya Colombia, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kemalangan itu berlaku di Laluan Nasional 45 ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Florencia menuju ke ibu kota, Bogota.

    Laporan awal menunjukkan dua kanak-kanak termasuk dalam kalangan mereka yang maut, manakala pihak berkuasa masih berusaha untuk mengesahkan jumlah korban serta mengenal pasti identiti mangsa.

  • Angka maut kemalangan bas di barat Iran meningkat kepada 10 orang

    Angka korban akibat insiden bas di wilayah Ilam, barat Iran, pada petang Sabtu meningkat kepada 10 orang, manakala 18 yang lain cedera, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Fars.

    Kejadian dilaporkan berlaku pada 7:25 malam waktu tempatan (1555 GMT) apabila sebuah bas terbalik di jalan raya dari Dasht-e Abbas di daerah Dehloran ke Murmuri di daerah Abdanan. Bas terbabit membawa pekerja sebuah syarikat penapisan petroleum berpangkalan di Dehloran.

  • 7 penjenayah maut, lebih 3 tan dadah dirampas dalam serbuan polis di Mesir

    Tujuh penjenayah maut dan lebih tiga tan dadah dirampas semasa serbuan polis di tiga wilayah di Mesir, menurut Kementerian Dalam Negeri Mesir pada Sabtu — lapor berita Xinhua.

    Ketujuh-tujuh individu yang maut itu sebelum ini pernah disabitkan kesalahan jenayah termasuk pembunuhan, pengedaran dadah dan senjata api, rompakan bersenjata, penculikan serta melawan pihak berkuasa, dengan hukuman yang boleh mencecah sehingga penjara seumur hidup, kementerian itu berkata dalam kenyataan — menurut Xinhua.