GLOBAL

  • Cubaan rampasan kuasa di Benin ketika askar mengumumkan penyingkiran Presiden Patrice Talon

    Sekumpulan askar Benin berkata di penyiar negeri pada Ahad bahawa ia telah menyingkirkan Presiden Patrice Talon daripada kuasa dan melantik Lt. Kol. Pascal Tigri untuk mengetuai “Jawatankuasa Ketenteraan untuk Penubuhan Semula”, lapor Anadolu.

    Kedutaan Perancis di Benin juga dilapor berkata dalam satu kenyataan bahawa tembakan dilaporkan di Kem Guezo, dekat kediaman presiden.

    Kedutaan menggesa rakyatnya untuk kekal di rumah sehingga diberitahu kelak sebagai langkah keselamatan, “sementara keadaan reda (clarified) sepenuhnya”.

    Talon, bekas ahli perniagaan, telah berkhidmat sebagai presiden Benin sejak 2016 dan dipilih semula untuk penggal kedua pada 2021.

  • 5 maut dalam kemalangan kereta-trak di India

    Sekurang-kurangnya lima orang maut awal Ahad apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah trak di negeri Chhattisgarh, tengah India, polis tempatan mengesahkan melalui telefon, menurut Xinhua.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku di daerah Jashpur di negeri itu.

  • 9 maut, 7 cedera dalam kemalangan di lebuh raya di Xinjiang China

    Sembilan orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam kemalangan di lebuh raya pada malam Sabtu di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang barat laut China, kata pihak berkuasa tempatan pada Ahad, menurut Xinhua.

    Kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam di bahagian berbeza di lebuh raya di bandar Usu, Wilayah Tacheng, di mana beberapa kenderaan terhempas berturut-turut. Secara keseluruhan, lima kenderaan besar dan tujuh kereta kecil terlibat.

    Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

    Pegawai tempatan dilapor berkata, nahas berlaku di tengah-tengah kabus tebal secara tiba-tiba, digabungkan dengan suhu malam di bawah sifar yang menyebabkan permukaan jalan menjadi basah dan berais dalam tempoh yang singkat.

    Siasatan lanjut mengenai kemalangan sedang dijalankan.

  • Pelancong antara 25 maut dalam kebakaran kelab malam Goa di India

    Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk empat pelancong, terbunuh dan ramai lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di negeri barat India Goa, lapor Xinhua memetik polis pada Ahad.

    Kebakaran dilaporkan berlaku di kelab malam popular, Birch by Romeo Lane, di kampung Arpora di daerah Goa Utara, kira-kira 16 km barat laut Panaji, ibu kota Goa.

    “Kebakaran besar berlaku di Birch by Romeo Lane di Arpora, Goa Utara, mengakibatkan 25 kematian, di mana empat daripadanya disahkan sebagai pelancong, 14 adalah kakitangan dan identiti tujuh masih belum dapat dipastikan. Enam orang cedera dan rawatan mereka sedang dijalankan,” menurut kenyataan dikeluarkan polis kepada media tempatan, lapor Xinhua.

    “Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan. Siasatan polis dan bomba sedang dijalankan. Tindakan undang-undang sedang diambil.”

    Ketua Polis Goa, Alok Kumar dilapor berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan di bilik kawalan polis, polis, bomba dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian.

    Saksi dilapor memberitahu media, letupan itu sangat kuat sehingga api menyambar bangunan dalam beberapa saat dan memerangkap orang di dalam.

    Siasatan awal yang dijalankan polis menunjukkan kebakaran itu didakwa dicetuskan oleh letupan silinder gas petroleum cecair (LPG) dekat kawasan dapur, lapor Xinhua.

  • Serangan Rusia landa bandar Kremenchuk di Ukraine

    Tentera Rusia melancarkan serangan udara gabungan semalaman ke atas infrastruktur di bandar Kremenchuk di tengah Ukraine, menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus, kata datuk bandarnya Vitalii Maletskyi pada Ahad, menurut Reuters.

    Maletskyi dilapor berkata dalam catatan media sosial, butiran akibat serangan itu akan dikeluarkan kemudian pada Ahad selepas penilaian kerosakan selesai.
    Perkhidmatan bandar sedang berusaha untuk memulihkan elektrik, air dan pemanasan di daerah yang bekalannya terganggu, tambahnya.

    Terletak di Sungai Dnipro, Kremenchuk ialah hab perindustrian utama dan rumah kepada salah satu kilang penapisan minyak terbesar di Ukraine.

    Bandar itu telah berulang kali dilanda peluru berpandu Rusia, termasuk serangan pada 2022 ke atas pusat beli-belah yang sesak yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang, menurut Reuters.

  • Sekurang-kurangnya 23 orang maut dalam kebakaran di kelab malam Goa, India

    Sekurang-kurangnya 23 orang maut selepas kebakaran di sebuah kelab malam di negeri Goa di India, kata ketua menteri negeri itu pada Ahad ketika video di media sosial menunjukkan ambulans berbaris untuk membantu mangsa yang cedera, lapor Reuters.

    Insiden itu berlaku sekitar 12:04 pagi waktu tempatan (1834 GMT Sabtu) di kampung Arpora, kata ketua polis negeri itu kepada pemberita, menurut Reuters.

    Kerajaan negeri telah mengarahkan siasatan berhubung insiden ini, kata ketua menteri Pramod Sawant dalam satu siaran di X, menurut agensi berita itu.

    Trak bomba dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian selepas polis menerima maklumat mengenai kebakaran itu, ketua polis itu dilapor berkata.

    Mereka yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan, manakala pihak berkuasa bekerja sepanjang malam untuk mengawal keadaan, Reuters memetik laporan ANI.

    Kebakaran telah dihentikan dan semua mayat telah ditemui, ketua polis itu dilapor berkata.

    Goa, sebuah negeri kecil di pantai barat India, merupakan destinasi pelancongan yang popular terutama dalam kalangan warga asing, menawarkan kedua-dua pantai dan landskap berbukit.

    Kira-kira 5.5 juta pelancong melawat Goa pada separuh pertama tahun ini, mengikut data kerajaan. Daripada jumlah ini 271,000 adalah pelancong antarabangsa.

  • 12 maut, 23 cedera dalam nahas bas di Algeria

    Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, dan 23 yang lain cedera pada Sabtu apabila sebuah bas penumpang terbalik di wilayah Beni Abbes barat Algeria, kata perkhidmatan Perlindungan Awam, menurut Xinhua.

    Nahas dilaporkan berlaku sekitar jam 1.50 tengah hari waktu tempatan (1250 GMT) di Jalan Nasional 50 dekat perbandaran Tabelbala, kira-kira 1,200 km barat daya ibu negara, Algiers.

    Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di negara Afrika Utara itu. Pada 15 Ogos, sebuah bas penumpang terjunam dari sebuah jambatan di kawasan El Harrach di timur ibu negara, mengorbankan 18 orang, menurut Xinhua.

  • Gempa bumi 7.0 magnitud di Alaska

    Gempa bumi dengan magnitud 7.0 menggegarkan Alaska pada 2041 GMT Sabtu, kata Kajian Geologi AS (USGS), lapor Xinhua.

    Gegaran dirasai di ibu negeri, Juneau, dan di Whitehorse, ibu kota wilayah Yukon Kanada, lapor media tempatan.

    Menurut USGS, gempa itu berpusat 96 km timur laut Yakutat dengan kedalaman 10 kilometer.

    Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan di pihak AS.

    Pusat Amaran Tsunami Kebangsaan berkata tiada ancaman tsunami susulan gempa bumi besar itu.

    Xinhua melaporkan, menurut CBC News, Gempa Bumi Kanada berkata gegaran itu berlaku dekat sempadan Alaska-Yukon.

  • 7 maut, 11 cedera dalam nahas bas di tenggara Turkiye

    Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 11 lagi cedera pada Sabtu apabila sebuah bas penumpang melanggar belakang sebuah trak pegun di lebuh raya utama di wilayah Osmaniye tenggara Turkiye, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi separuh rasmi Anadolu.

    Kemalangan itu berlaku dekat daerah Bahce selepas trak itu, yang mengalami tayar pancit, berhenti di tepi jalan, lapornya.

    Kemalangan lalu lintas meragut 2,713 nyawa di seluruh Turkiye pada 2024, data rasmi menunjukkan, dengan kelajuan dilaporkan sebagai punca utama kemalangan maut, menurut Xinhua.

  • 5 terbunuh dan 5 cedera di Afghanistan selepas pertempuran sempadan Pakistan-Afghanistan

    Lima orang terbunuh dan lima lagi cedera akibat pertempuran yang meletus antara tentera Pakistan dan Afghanistan di pekan sempadan Spin Boldak di wilayah Kandahar di selatan Afghanistan, kata ketua daerah Spin Boldak, Mawlawi Abdul Karim Jihadyar, pada Sabtu, menurut Xinhua.

    Pertempuran itu, menurut pegawai itu, meletus pada malam Jumaat selepas tentera sempadan Pakistan melepaskan tembakan ke arah Afghanistan dan tentera Afghanistan bertindak balas, yang berlangsung sekitar dua setengah jam.

    Jurucakap kerajaan Afghanistan Zabihullah Mujahid berkata pada malam Jumaat bahawa “pihak Pakistan sekali lagi melancarkan serangan ke atas Afghanistan di daerah Spin Boldak di Kandahar, yang memaksa tentera Emirat Islam untuk bertindak balas”.

    Pertempuran sempadan antara kedua-dua negara berjiran menyebabkan banyak korban daripada kedua-dua pihak pada Oktober.