GLOBAL

  • 1 maut tembakan di universiti AS

    Seorang maut manakala tiga yang lain cedera susulan dua kejadian tembakan berasingan di kampus Winston-Salem State University, di negeri North Carolina, Amerika Syarikat, pada malam Sabtu, kata polis — berita Xinhua melaporkan.

    Dalam satu sidang media pada Ahad, Penolong Ketua Polis dari Jabatan Polis Winston-Salem, Jason Swaim, berkata belum dapat dipastikan sama ada kedua-dua kejadian tembakan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

    Kampus terbabit diletakkan di bawah perintah berkurung (lockdown) sejurus selepas kejadian itu berlaku, namun perintah berkenaan telah ditarik balik pada awal pagi Ahad. Polis berkata anggota tambahan akan ditempatkan di dan sekitar kawasan kampus dalam tempoh beberapa hari akan datang.

    Setakat ini, tiada tangkapan dilaporkan, lapor Xinhua, Swaim berkata, siasatan masih di peringkat awal.

  • 3 sekeluarga termasuk wanita menyusukan anak maut akibat bumbung runtuh

    Tiga sekeluarga, termasuk seorang wanita dan bayinya yang berusia 20 hari, maut manakala beberapa orang lain mengalami kecederaan apabila sebahagian bumbung rumah mereka runtuh pada Ahad di negeri Uttar Pradesh, utara India, polis lokal mengesahkan — berita Xinhua melaporkan.

    Kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah Kanpur di negeri itu. Rumah terbabit dikatakan berusia lebih 35 tahun.

    Wanita terbabit sedang menyusukan anak lelakinya apabila bumbung tiba-tiba runtuh, yang dipercayai berpunca daripada pengumpulan air di atas bumbung itu.

  • Letupan dilapor kedengaran di daerah selatan Iran

    Beberapa letupan kedengaran pada malam Sabtu di empat daerah di selatan Iran iaitu Qeshm, Sirik, Jask dan Bandar Abbas, menurut berita Xinhua memetik laporan stesen televisyen kerajaan, IRIB TV.

    Menurut laporan itu, masih belum jelas sama ada letupan terbabit berpunca daripada serangan musuh atau tindakan angkatan tentera Iran melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal yang “menceroboh” di Selat Hormuz.

  • 12 maut, 15 cedera dalam nahas jalan raya di tengah Chile

    Sekurang-kurangnya 12 orang mauy dan 15 yang lain cedera pada Sabtu apabila sebuah bas penumpang berlanggar dengan sebuah trak sampah di wilayah Valparaiso, tengah Chile, menurut pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Kemalangan itu berlaku di lebuh raya Ruta de la Fruta di perbandaran Santo Domingo, di sebelah barat ibu kota, Santiago.

    Delegasi presiden wilayah Valparaiso, Manuel Millones, mengesahkan jumlah kematian itu memetik sumber polis.

    Kira-kira 50 anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut Cesar Carreno, komander Jabatan Bomba Santo Domingo.

  • Gempa 5.7 magnitud landa kawasan dekat pantai selatan Honshu, Jepun

    Satu gempa bumi bermagnitud 5.7 menggegarkan kawasan dekat pantai selatan Honshu, Jepun pada 1604 GMT Sabtu, lapor berita Xinhua memetik Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ).

    Pusat gempa, yang terletak pada kedalaman 41.6 km, pada mulanya dikenal pasti berada pada latitud 34.89 darjah utara dan longitud 137.87 darjah timur.

  • 9 maut dalam nahas lebuh raya di timur Turkiye dekat sempadan Iran

    Sembilan orang maut manakala lima yang lain cedera pada malam Sabtu dalam satu kemalangan jalan raya di wilayah Van, timur Turkiye, dekat sempadan Iran, menurut berita Xinhua memetik media Turkiye.

    Menurut Xinhua memetik agensi berita Ihlas, sebuah trak berlanggar dengan sebuah bas mini penumpang yang menggunakan plat pendaftaran Iran di lebuh raya Van-Ozalp pada kira-kira 19:30 waktu tempatan (1630 GMT).

    Bas mini terbabit musnah akibat perlanggaran itu.

    Yang maut termasuk lima wanita. Lima mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital selepas menerima rawatan di lokasi kejadian.

  • Tembakan di Krakow, Poland, ragut 6 nyawa, 15 cedera

    Enam orang maut dan sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di pusat bersejarah Krakow, selatan Poland, pada Sabtu, lapor berita Anadolu memetik media Poland.

    Kejadian tembakan itu berlaku sejurus selepas jam 3 petang waktu tempatan (1400 GMT), dekat Dataran Pasar Utama (Main Market Square) bandar itu, yang merupakan satu daripada destinasi pelancongan paling sibuk di Poland.

    Menurut Anadolu, penyiaran Poland, TVN24, melaporkan jumlah korban itu memetik kenyataan daripada pihak bomba.

    Anadolu melaporkan, menurut stesen radio RMF FM, penyerang yang menaiki sebuah kenderaan di Jalan Sławkowska menuju ke dataran utama telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai di kawasan terbabit.

    Saluran penyiaran itu turut melaporkan kerosakan pada sebuah kedai dan sebuah trem.

    Seorang lelaki berusia 25 tahun yang memakai pakaian seragam tentera dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis.

    Saksi melaporkan bahawa kira-kira 20 das tembakan dilepaskan semasa serangan itu.

    Empat wanita dan dua lelaki dilaporkan maut, manakala sekurang-kurangnya 15 orang lagi cedera, termasuk dua anggota polis.

    Polis menafikan laporan awal yang mendakwa terdapat dua orang penembak. Laporan mengatakan seorang lelaki telah melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan ke arah orang ramai di Dataran Pasar Utama Krakow.

  • Kejadian tembakan di Krakow, Poland, mengakibatkan kematian, kecederaan

    Satu kejadian tembakan dekat Dataran Pasar Utama di Krakow, Poland, pada petang Sabtu mengakibatkan kematian dan kecederaan, menurut berita Xinhua memetik laporan media Poland yang memetik perkhidmatan bomba tempatan.

    Jumlah sebenar mangsa dilaporkan belum dapat dipastikan buat masa ini.

    Menurut Xinhua, Hubert Cieply, jurucakap perkhidmatan bomba wilayah, memberitahu Agensi Akhbar Poland bahawa tembakan dilepaskan dari sebuah kereta yang menghampiri dari arah Jalan Slawkowska.

    Menurut berita Xinhua yang memetik laman berita Poland, RMF24, kejadian tembakan itu berlaku sejurus selepas 3 petang waktu tempatan.

  • Angka maut serangan udara dekat Sanaa meningkat kepada 22 orang, 30 cedera

    Angka maut akibat serangan udara ke atas sebuah kampung dekat ibu kota Yaman, Sanaa, meningkat kepada 22 orang pada Sabtu, dengan 30 yang lain mengalami kecederaan, lapor berita Xinhua memetik saluran televisyen al-Masirah dikendalikan Houthi, yang menuding jari kepada pesawat perang Arab Saudi sebagai pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terbabit.

    Abdulaziz al-Dailami, pengarah Hospital Sehatuna, memberitahu saluran itu bahawa pihak hospital telah menerima 22 mayat, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta 30 orang yang cedera susulan serangan di kampung Ash Sharyah, daerah Bani Hushaysh, di sebelah timur Sanaa.

    Angka terkini ini menunjukkan peningkatan mendadak berbanding jumlah awal iaitu 11 orang maut, sementara usaha menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian, di mana kira-kira enam rumah kediaman dilaporkan kena serangan.

    Menurut al-Masirah, serangan udara susulan turut menyasarkan petugas penyelamat dan rumah-rumah penduduk di kampung terbabit. Pada masa yang sama, kehadiran berterusan pesawat tentera di ruang udara menyukarkan pasukan kecemasan untuk sampai kepada mangsa. Dua orang jurukamera saluran terbabit turut dilaporkan mengalami kecederaan.

  • Iran tembak jatuh 2 dron AS di ruang udara Pulau Qeshm ketika Trump umumkan serangan ‘kecil’

    Pasukan pertahanan udara Iran menembak jatuh dua dron MQ-9 milik AS di ruang udara Pulau Qeshm di Selat Hormuz, menurut berita Xinhua memetik laporan saluran televisyen kerajaan Iran, Press TV, pada Sabtu.

    Menurut Xinhua, agensi berita kerajaan Iran, IRNA, sebelum ini melaporkan bahawa saksi tempatan menyatakan dua projektil telah menghentam kawasan Suza di Pulau Qeshm.

    Al Jazeera, memetik seorang pegawai Perintah Pusat AS (CENTCOM), melaporkan pada Sabtu menerusi X bahawa perintah itu telah “mendengar laporan mengenai kejadian di Pulau Qeshm”.

    “Keadaan agak tenang,” kata pegawai itu, sambil menambah bahawa perintah “tiada komen” untuk diberikan.

    Menurut Xinhua, presiden AS Donald Trump berkata pada Jumaat bahawa tentera AS telah melancarkan serangan baharu yang menyasarkan sistem pertahanan udara Iran, dan menyifatkan tindakan ketenteraan itu sebagai “kecil”.

    “Mereka memasang—mereka membina sedikit peralatan anti-pesawat, dan kami memusnahkannya dalam masa kira-kira 15 minit, mungkin lima minit sahaja,” kata Trump kepada pemberita di West Palm Beach, Florida.

    CENTCOM berkata pada lewat Jumaat menerusi platform X bahawa AS menawarkan ganjaran sehingga 20 juta dolar AS serta “kemungkinan penempatan semula” bagi maklumat mengenai program nuklear Iran, “termasuk kemudahan, peralatan, dan kakitangan yang berkaitan, seperti mereka yang berada dalam komuniti saintifik atau sebarang pergerakan yang melibatkan mengenai mana-mana di atas”.