Juara dunia Formula Satu tujuh kali, Lewis Hamilton, mengutuk genosid yang dilakukan Israel di Gaza sebagai sesuatu yang “mengerikan” dan menggesa rejim itu membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah Palestin itu, susulan lawatannya ke lintasan sempadan Rafah di Mesir — menurut berita Anadolu.
“Genosid oleh Israel di Gaza sejak tiga tahun lalu adalah sesuatu yang mengerikan,” tulis pelumba dari Britain itu di Instagram, mengkritik tindakan menafikan kebebasan, keselamatan dan maruah rakyat Palestin, lapor Anadolu.
“Tiada manusia yang wajar dilayan seolah-olah nyawa mereka kurang bernilai,” katanya.
Hamilton melawat bahagian Mesir di lintasan Rafah pada Selasa dan meninjau gudang bantuan Bulan Sabit Merah Mesir di El Arish, di mana dia diberi taklimat mengenai persiapan dan penyelarasan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menggambarkan lawatan itu, pelumba pasukan Ferrari itu berkata dia melihat tembok yang terbentang sejauh berkilo-kilo meter, dibina untuk mengurung rakyat Palestin.
“Berdiri di situ, di luar tempat yang terasa seperti sebuah penjara terbuka, apa yang terlintas di fikiran saya hanyalah keinginan untuk masuk dan membantu,” tulisnya.
Menurut berita Anadolu, Hamilton berkata trak-trak makanan telah beratur dan bersedia untuk memasuki Gaza, namun sering dihalang daripada melintas atau terpaksa berdepan dengan kelewatan yang lama.
“Pemandu pertama dalam barisan yang saya bercakap telah menunggu selama lebih 12 jam,” katanya, seperti dilaporkan.
Di sebuah pusat logistik berhampiran, Hamilton memuji usaha pekerja bantuan, namun turut mendedahkan bahawa bekalan penting telah ditolak atas sebab-sebab yang disifatkannya sebagai “tidak masuk akal”.
Dia menyebutkan, antara barangan yang ditolak itu ialah beg tidur, kit pertolongan cemas, peralatan perubatan, kerusi roda, malah bola sepak yang ditujukan untuk kanak-kanak.
“Israel perlu memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata dan membenarkan trak bantuan masuk. Tiada alasan,” tegasnya.
Hamilton turut menggesa orang ramai agar terus memberi perhatian terhadap penderitaan rakyat Palestin dan mengubah rasa tidak berdaya itu menjadi tindakan nyata.
“Saya tahu ramai orang turut merasai ketidakberdayaan yang sama. Keinginan yang sama untuk melakukan sesuatu, bukan sekadar memerhati,” tulisnya.
“Saya tidak mahu kita menjadi terbiasa dengan penderitaan mereka. Saya tidak mahu kita memalingkan muka.”