Sebuah kenderaan yang membawa pelajar sekolah swasta terbalik ke dalam sebuah kolam di wilayah Kandal, selatan Kemboja pada pagi Selasa, mengakibatkan lima pelajar maut dan 21 yang lain cedera, menurut ketua polis tempatan — lapor berita Xinhua.
GLOBAL
-
Pengeboman terhadap puak FARC menyebabkan 4 maut, 6 ditangkap
Presiden Colombia Abelardo de la Espriella berkata pada Isnin, dia telah mengarahkan serangan udara terhadap puak penentang Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang dibubarkan di wilayah timur laut, Catatumbo, menyebabkan empat anggota kumpulan bersenjata itu maut dan enam lagi ditangkap, lapor berita Xinhua.
“Dalam operasi ketenteraan yang tegas yang saya kuasai di kawasan luar bandar Tibu, Norte de Santander (jabatan), Tentera Nasional dan Tentera Udara Colombia menyerang organisasi jenayah ini, yang bertujuan untuk menyemai keganasan dan mengawal Catatumbo melalui kebakaran dan pertumpahan darah,” kata presiden itu di X, lapor Xinhua.
Menurut De la Espriella, operasi yang dinamakan kod Noah itu dilakukan di kawasan sempadan dekat Venezuela dan mengakibatkan penangkapan seorang pemimpin pemberontak yang dikenali dengan alias “Barba Chivo”.
Tahanan itu adalah rakan rapat Andrey Avendano, komander tertinggi “Structure 33”, satu daripada kumpulan penentang FARC yang beroperasi di perbandaran Tibu.
“Semasa Operasi Noah, kami turut merampas tujuh raifal dan 15 grenad jatuhan dron dan meneutralkan tiga perkhemahan yang mampu menempatkan kira-kira 35 anggota pertubuhan jenayah ini,” katanya.
-
Letupan kedengaran di ibu kota Arab Saudi, Riyadh
Beberapa letupan kedengaran di Riyadh, ibu kota Arab Saudi, pada Selasa, menurut berita Xinhua memetik laporan media.
Gabungan pimpinan Arab Saudi berkata, sistem pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah Riyadh, di tengah-tengah siri serangan oleh Houthi Yaman sejak beberapa minggu lalu, lapor Xinhua.
Masih belum jelas sama ada letupan terbabit berpunca daripada pemintasan peluru berpandu berkenaan.
-
3 pekerja maut selepas terhidu gas toksik di kilang komponen iPhone di India
Sekurang-kurangnya tiga pekerja kontrak maut selepas terhidu gas beracun semasa membersihkan tangki simpanan air sisa di kilang komponen iPhone Tata Electronics, di negeri Tamil Nadu, selatan India, polis berkata pada Selasa — menurut berita Xinhua.
Pekerja terbabit meninggal dunia disyaki akibat sesak nafas pada petang Isnin, semasa berada di dalam tangki suapan penapisan nano (nano-filtration feed tank) di kilang di daerah Krishnagiri, kira-kira 291 km ke barat Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.
“Petang semalam, tiga pekerja memasuki tangki rawatan air sisa untuk menjalankan kerja pembersihan di kemudahan Tata Electronics itu. Mereka dilaporkan terhidu gas toksik lalu rebah di dalam tangki terbabit. Mereka segera diselamatkan dan dikejarkan dengan ambulans ke sebuah hospital swasta di Hosur. Bagaimanapun, doktor mengisytiharkan ketiga-tiganya meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” kata seorang pegawai polis, seperti dilaporkan Xinhua.
Menurut Xinhua, laporan mengatakan ketiga-tiga pekerja itu diambil bekerja melalui sebuah firma swasta, Nelco, untuk melakukan kerja pembersihan yang dilaporkan dijalankan secara bergilir-gilir setiap dua bulan sekali di kemudahan terbabit.
Polis telah membuka kertas siasatan dan memulakan penyiasatan berhubung kejadian itu.
Dinesh Kumar, seorang pegawai kanan kerajaan di daerah Krishnagiri, telah mengarahkan pegawai berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kematian itu.
Tiada langkah keselamatan yang sewajarnya diambil semasa mengendalikan loji rawatan itu, kata Kumar kepada akhbar The New Indian Express — menurut Xinhua.
Dia berkata, seorang pekerja pada mulanya cuba melihat ke dalam tangki terbabit, namun pengsan selepas terhidu gas. Selepas itu, dua lagi pekerja yang memasuki tangki terbabit turut rebah. Seorang pekerja keempat yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya membunyikan penggera.
Menurut Xinhua, laporan mengatakan terdapat lebih daripada 1,500 pekerja bertugas di kemudahan itu dalam syif berbeza.
-
IRGC Iran dipersalahkan atas serangan siber pasar raya Perancis
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, pada Isnin berkata, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran bertanggungjawab atas serangan siber yang menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya Perancis pada Oktober, berdasarkan corak serangan dikaitkan dengan sebuah entiti di bawah IRGC, lapor berita Xinhua.
Bercakap kepada pemberita di Paris selepas mesyuarat menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7), Barrot berkata Perancis telah memanggil duta Iran ke Perancis untuk mengemukakan “bantahan keras” berhubung serangan terbabit.
Dia menyifatkan serangan siber itu sebagai “pelanggaran besar terhadap kepentingan negara” dan berkata bahawa pihak yang bertanggungjawab akan berdepan dengan “sekatan di peringkat Eropah.”
Menurut berita Xinhua, pejabat pendakwa raya Paris telah memulakan siasatan kehakiman terhadap serangan siber itu, lapor akhbar harian Perancis, Le Monde, pada Isnin.
Siasatan itu, menyasarkan ketua Shahid Kaveh—sebuah unit serangan siber Iran yang mempunyai kaitan dengan Pusat Elektronik dan Siber IRGC—beserta dua timbalannya dan “mana-mana individu lain yang mungkin dikenal pasti” — lapor Xinhua.
Pejabat itu dilapor berkata, penyiasat, dengan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan yang khusus, telah menemui corak serangan yang menjadi ciri khas unit berkenaan, termasuk “penggunaan bahasa Parsi dan alamat IP yang dikaitkan dengan peranti yang terletak di Iran”.
Serangan yang berlaku sepanjang malam dari 11 hingga 12 Oktober itu menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya Perancis. Penggodam mengaktifkan kitaran penyahbekuan (defrost) secara berterusan dari jarak jauh dan menetapkan suhu sasaran kepada 50 darjah Celsius, yang mengakibatkan kerugian kewangan dianggarkan berjumlah beberapa juta euro, lapor saluran berita Perancis, BFMTV — menurut berita Xinhua.
-
Israel dilapor keluarkan tender untuk 823 rumah penempatan selepas pilihan raya
Kerajaan Israel yang bakal berakhir mengeluarkan tender bagi pembinaan 823 unit perumahan di penempatan di Tebing Barat yang diduduki, menurut dokumen diterbitkan oleh Kementerian Pembinaan dan Perumahan Israel serta Pentadbiran Awam — lapor berita Xinhua.
Menurut berita Xinhua, langkah itu, yang pertama kali dilaporkan pada Isnin oleh kumpulan pemantau penempatan Israel, Peace Now, merangkumi tender untuk membina 732 rumah di Gva’ot, di barat Bethlehem, dan 91 rumah di Oranit, di selatan Qalqilya.
Tender ini dikeluarkan selepas gabungan sayap kanan pimpinan Benjamin Netanyahu kehilangan majoriti parlimen dalam pilihan raya Oktober, dengan pemimpin pembangkang Gadi Eisenkot kini berusaha untuk membentuk kerajaan baharu.
Peace Now menuduh kerajaan Netanyahu yang bakal berakhir—sebuah gabungan parti-parti yang menyokong penempatan—terburu-buru mewujudkan realiti baharu di lapangan sebelum kerajaan baharu mengambil alih kuasa 1 lapor Xinhua.
“Kerajaan peralihan tidak mempunyai mandat untuk melaksanakan langkah-langkah yang tidak boleh ditarik balik di kawasan penempatan, yang akan memperdalam aneksasi,” kata kumpulan itu, sambil menggesa agar tender itu dibatalkan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Menentang Tembok dan Penempatan berkata pada Isnin bahawa langkah Israel itu merupakan satu langkah signifikan ke arah melaksanakan rancangan penempatannya di lapangan.
Suruhanjaya itu menambah bahawa Israel telah menerbitkan sekurang-kurangnya 28 tender bagi pemasaran tanah di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, antara awal tahun 2026 hingga 8 November.
Menurut Xinhua, turut dilaporkan pada Isnin, Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin, memberitahu stesen radio rasmi ‘Voice of Palestine’ bahawa dia berharap akan berlaku perubahan dalam landskap politik Israel dan AS. Dia turut menggesa usaha antarabangsa untuk meredakan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Jalur Gaza.
Xinhua melaporkan — menurut laporan Biro Pusat Statistik Palestin, lebih 750,000 peneroka Israel tinggal di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, di penempatan-penempatan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Perluasan penempatan telah meningkat pesat di bawah kerajaan Netanyahu, seiring dengan lonjakan keganasan oleh peneroka terhadap rakyat Palestin. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencatatkan 457 serangan oleh peneroka yang mengakibatkan kecederaan atau kerosakan harta benda pada Oktober, angka bulanan tertinggi sejak rekod mula disimpan pada tahun 2006 — lapor Xinhua.
-
Mumbai haramkan mercun roket, mercun udara sehingga 25 Nov berikutan lonjakan kes kebakaran semasa Diwali
Pihak berkuasa di ibu kota kewangan India, Mumbai, pada Isnin mengharamkan penyalaan mercun roket dan mercun udara, baik di ruang awam mahupun persendirian, sehingga 25 November, berikutan lonjakan insiden kebakaran semasa sambutan Diwali, lapor berita Xinhua.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Mumbai berkata, kawasan yang padat dengan penduduk, bangunan tinggi, kawasan setinggan, jalan raya yang sempit serta struktur kediaman dan komersial yang dibina rapat antara satu sama lain meningkatkan risiko kebakaran akibat mercun sebegini, sekali gus menimbulkan ancaman serius terhadap nyawa dan harta benda.
Sekatan ini dikuatkuasakan selepas Mumbai mencatatkan 142 insiden kebakaran pada Ahad, dengan 137 daripadanya berpunca daripada mercun. Dua wanita dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit.
Diwali, festival cahaya bagi penganut Hindu, disambut di seluruh India dengan penuh semangat keagamaan dan kegembiraan pada Ahad, di mana orang ramai menyalakan mercun bagi meraikan perayaan itu.
-
12 migran ditemukan maut, 105 diselamatkan di perairan Crete, Greece
12 migran ditemukan maut dan kira-kira 105 orang lagi diselamatkan dalam tiga operasi berasingan di luar pantai selatan Crete, pihak berkuasa Greece berkata pada Isnin — menurut berita Anadolu.
Dalam kejadian yang paling tragis, sebuah kapal kontena yang mengibarkan bendera Maghribi telah mengesan sebuah bot membawa migran kira-kira 15 batu nautika (28 kilometer) di tenggara Kali Limenes, menurut akhbar harian Greece, Kathimerini — lapor Anadolu.
Sebuah vesel Pengawal Pantai Greece bergegas ke lokasi kejadian, menyelamatkan 18 orang yang terselamat serta menemukan mayat 12 individu.
Dalam dua kejadian berasingan yang lain, bot-bot yang membawa 47 dan 40 migran telah dikesan masing-masing kira-kira 30 dan 31 batu nautika (56 dan 57 kilometer) di selatan Kali Limenes.
Sejumlah 87 migran telah diselamatkan oleh vesel Frontex dan dijangka akan dibawa ke pelabuhan Kali Limenes.
Keseluruhan kejadian ini menjadikan jumlah migran yang diselamatkan dalam ketiga-tiga operasi terbabit mencecah kira-kira 105 orang.
-
Gempa bumi 5.9 magnitud landa luar pantai timur Jepun, gegar Tokyo
Satu gempa bumi bermagnitud 5.9 melanda luar pantai timur Jepun pada Isnin, dengan gegaran dirasai sehingga ke ibu kota Tokyo, menurut berita Anadolu memetik media tempatan, memetik agensi meteorologi negara itu.
Gempa itu melanda luar pantai wilayah Ibaraki, di timur laut Tokyo, lapor Anadolu memetik penyiar tempatan Tokyo Japan TV.
Gegaran itu berlaku pada kedalaman kira-kira 10 kilometer, dengan mencatatkan intensiti 3 pada skala seismik tujuh tahap Jepun di beberapa bahagian wilayah Miyagi, Ibaraki, Fukushima, dan Tochigi.
Pusat gempa terletak pada latitud 36.2 darjah utara dan longitud 142.2 darjah timur.
-
Penembak dalam tembakan di Krakow meninggal dunia di hospital
Penembak yang membunuh enam orang di bandar Krakow, Poland pada Sabtu meninggal dunia di hospital pada awal Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Akhbar Poland (PAP) memetik polis tempatan.
Polis dilapor berkata, mereka telah dimaklumkan mengenai kematian lelaki itu oleh pihak hospital pada pagi Isnin, sambil menambah bahawa pihak pendakwa raya akan mendedahkan butiran lanjut.