Sekurang-kurangnya tiga pekerja kontrak maut selepas terhidu gas beracun semasa membersihkan tangki simpanan air sisa di kilang komponen iPhone Tata Electronics, di negeri Tamil Nadu, selatan India, polis berkata pada Selasa — menurut berita Xinhua.
Pekerja terbabit meninggal dunia disyaki akibat sesak nafas pada petang Isnin, semasa berada di dalam tangki suapan penapisan nano (nano-filtration feed tank) di kilang di daerah Krishnagiri, kira-kira 291 km ke barat Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.
“Petang semalam, tiga pekerja memasuki tangki rawatan air sisa untuk menjalankan kerja pembersihan di kemudahan Tata Electronics itu. Mereka dilaporkan terhidu gas toksik lalu rebah di dalam tangki terbabit. Mereka segera diselamatkan dan dikejarkan dengan ambulans ke sebuah hospital swasta di Hosur. Bagaimanapun, doktor mengisytiharkan ketiga-tiganya meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” kata seorang pegawai polis, seperti dilaporkan Xinhua.
Menurut Xinhua, laporan mengatakan ketiga-tiga pekerja itu diambil bekerja melalui sebuah firma swasta, Nelco, untuk melakukan kerja pembersihan yang dilaporkan dijalankan secara bergilir-gilir setiap dua bulan sekali di kemudahan terbabit.
Polis telah membuka kertas siasatan dan memulakan penyiasatan berhubung kejadian itu.
Dinesh Kumar, seorang pegawai kanan kerajaan di daerah Krishnagiri, telah mengarahkan pegawai berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kematian itu.
Tiada langkah keselamatan yang sewajarnya diambil semasa mengendalikan loji rawatan itu, kata Kumar kepada akhbar The New Indian Express — menurut Xinhua.
Dia berkata, seorang pekerja pada mulanya cuba melihat ke dalam tangki terbabit, namun pengsan selepas terhidu gas. Selepas itu, dua lagi pekerja yang memasuki tangki terbabit turut rebah. Seorang pekerja keempat yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya membunyikan penggera.
Menurut Xinhua, laporan mengatakan terdapat lebih daripada 1,500 pekerja bertugas di kemudahan itu dalam syif berbeza.