Seorang maut manakala lapan yang lain cedera pada Sabtu dalam satu kejadian tembakan susulan perlawanan bola sepak di Birmingham, negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.
Jabatan Polis Birmingham berkata seorang individu telah ditahan berhubung kejadian tembakan itu, yang berlaku di luar Legion Field sejurus selepas perlawanan bola sepak “Magic City Classic”.
Tembakan tercetus sejurus selepas 7:50 malam waktu tempatan (0050 GMT pada Ahad) di blok 400 Graymont Avenue West, kata Pegawai Darrell Freeman dalam satu sidang akhbar.
“Anggota polis bertindak balas dan mendapati beberapa mangsa tembakan.”
Freeman berkata, sembilan orang ditembak, dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia. Seorang daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala tujuh yang lain berada dalam keadaan stabil, tambahnya.
Menurut Freeman, pihak polis menemui beberapa laras senjata api di lokasi kejadian, dan seorang individu telah ditahan serta dibawa ke ibu pejabat polis untuk disoal siasat.