GLOBAL

  • Gempa bumi 5.9 magnitud landa Tenggara Alaska

    Gempa bumi bermagnitud 5.8 menggegarkan Tenggara Alaska pada 0646 GMT Khamis, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 10 km, pada mulanya ditentukan berada pada 60.64 darjah latitud utara dan 140.00 darjah longitud barat.

  • 5 maut dalam kejadian tembakan di selatan Brazil

    Lima orang maut awal pagi Rabu, termasuk seorang mangsa dan empat suspek bersenjata, dalam dua kejadian berkaitan tembakan di negeri Parana, selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Mayat seorang lelaki yang telah ditembak mati ditemui di kawasan kejiranan Cornelio Procopio, sebuah bandar kira-kira 380 km dari ibu negeri Curitiba dan kira-kira 520 km dari sempadan Brazil dengan Argentina dan Paraguay.

    Polis Tentera kemudiannya menemui empat suspek bersenjata dipercayai ada kaitan dengan kes itu dan terlibat dalam pengejaran yang berakhir dengan kejadian tembak-menembak, membunuh keempat-empat suspek.

    Polis dilapor berkata, suspek melepaskan tembakan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan, yang kemudiannya terbalik semasa pengejaran.

    Mayat empat lelaki terbabit ditemui di dalam kereta bersama dua senjata api, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.

  • 8 terbunuh dalam serangan AS ke atas bot didakwa bawa dadah di Pasifik Timur

    Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu, lima bot yang disyaki mengangkut dadah dimusnahkan di perairan antarabangsa di timur Pasifik selama dua hari, membunuh lapan lelaki di dalamnya, manakala yang lain terjun ke laut, menurut berita Xinhua memetik Perintah Selatan AS.

    Di bawah arahan Setiausaha Perang Pete Hegseth, Pasukan Petugas Bersama Southern Spear telah menjalankan “serangan kinetik” terhadap tiga kapal yang dikendalikan oleh “Organisasi Pengganas yang Ditetapkan” pada Isnin, dan dua kapal pada Rabu, kata perintah itu di laman webnya, menurut Xinhua.

    Tiga orang di kapal pertama terbunuh dalam serangan pertama pada Isnin, perintah itu dilapor sebagai berkata, sambil menambah, “pengganas narko yang tinggal meninggalkan dua kapal lain, terjun ke laut dan menjauhkan diri sebelum pertempuran susulan menenggelamkan kapal masing-masing”.

    Menurut berita Xinhua, dalam satu lagi siaran akhbar, perintah itu berkata lima orang terbunuh semasa tindakan ini pada Rabu, dengan tiga di kapal pertama dan dua di kapal kedua.

    Sehingga Rabu, Pentagon telah menenggelamkan 35 kapal dadah yang didakwa di Caribbean dan timur Lautan Pasifik sejak awal September, membunuh sekurang-kurangnya 115 orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.

    Selama berbulan-bulan, AS telah mengekalkan kehadiran tentera yang ketara di Caribbean, kebanyakannya di luar pantai Venezuela, kononnya untuk memerangi pengedaran dadah – satu dakwaan yang dikecam oleh Venezuela sebagai percubaan terselindung untuk membawa perubahan kerajaan di Caracas.

  • DR Congo kata lebih 1,500 orang awam terbunuh dalam keganasan di timur

    Kerajaan Republik Demokratik Congo (DRC) berkata pada Rabu, lebih 1,500 orang awam terbunuh dalam keganasan yang semakin meningkat di wilayah timur negara itu, Kivu Selatan, sejak awal Disember, menurut berita Xinhua.

    Menurut berita Xinhua, kerajaan itu dalam satu kenyataan berkata, pertempuran telah meningkat di beberapa kawasan di wilayah itu, terutama di sepanjang paksi Kamanyola-Uvira, di mana operasi bersenjata telah mencetuskan perpindahan berskala besar.

    Sementara itu, lebih 500,000 orang dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah mereka di tengah-tengah ketidakamanan berterusan.

    Kerajaan dilaporkan berkata barisan hadapan telah beransur-ansur beralih ke selatan, menjejaskan pelbagai kawasan di Kivu Selatan, termasuk Uvira, Fizi dan Mwenga.

    Pihak berkuasa mengaitkan peningkatan itu dengan kumpulan bersenjata yang beroperasi di rantau itu, menuduh mereka melanggar komitmen sedia ada dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    DRC Timur telah menghadapi ketidakstabilan selama beberapa dekad, satu situasi yang semakin buruk sejak kebangkitan semula kumpulan pemberontak Gerakan 23 Mac pada akhir 2021.

    Kinshasa telah berulang kali menuduh negara jirannya, Rwanda, menyokong kumpulan itu, satu dakwaan dinafikan oleh Kigali.

  • 9 maut dalam kemalangan jalan raya di Eastern Cape, Afrika Selatan

    Sembilan orang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di wilayah Eastern Cape di Afrika Selatan pada pagi Rabu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kemalangan dilaporkan melibatkan sebuah teksi minibus dan sebuah kenderaan penumpang berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan di jalan R61 antara Engcobo dan Cofimvaba dekat Kampung Beyele di Eastern Cape.

    Teksi minibus itu, dalam perjalanan dari Ngcobo ke kawasan luar bandar sekitarnya, manakala kenderaan Toyota Avanza, dalam perjalanan dari Cofimvaba, yang mana kedua-dua kenderaan itu bertembung secara berhadapan, menurut jurucakap Jabatan Pengangkutan Wilayah, Unathi Binqose.

    Empat orang dari Toyota Avanza dan lima dari teksi minibus itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

  • 4 sekeluarga maut dalam kemalangan di tenggara Brazil

    Empat sekeluarga maut awal pagi Rabu apabila kereta mereka dilanggar secara berhadapan oleh sebuah trak pengangkut kereta di lebuh raya persekutuan di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil, menurut berita Xinhua memetik polis.

    Kemalangan itu berlaku di lebuh raya BR-040 dekat perbandaran Joao Pinheiro di barat laut Minas Gerais, menurut Polis Lebuhraya Persekutuan.

    Polis dilapor berkata, trak itu sedang bergerak di laluan Brasilia-Joao Pinheiro apabila ia melintas ke lorong bertentangan dan berlanggar dengan kereta terbabit.
    Kereta itu terbakar sejurus selepas perlanggaran.

    Mangsa, pasangan suami isteri dan dua anak mereka, meninggal dunia di tempat kejadian, menurut berita Xinhua, pemandu trak cedera dan menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital di Joao Pinheiro.

    Ia merupakan kemalangan maut ketiga yang dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini di bahagian lebuh raya yang sama.

  • 1 terbunuh, beberapa cedera dalam pengeboman berani mati sasar rondaan polis di Aleppo, Syria

    Seorang pegawai polis terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pengeboman berani mati lewat Rabu di bandar Aleppo, utara Syria, lapor Anadolu memetik media kerajaan.

    Serangan itu menyasarkan rondaan polis di kawasan Bab al-Faraj, menurut Anadolu memetik Agensi Berita Arab Syria (SANA).

    Menurut Anadolu, televisyen Al-Ikhbariya, memetik sumber keselamatan, berkata penyerang itu meletupkan dirinya semasa diperiksa selepas menimbulkan syak wasangka.

    Gabenor Aleppo, Azam al-Gharib dilapor berkata, kejadian itu berlaku semasa pasukan keselamatan dalaman menjalankan tugas untuk mengamankan sambutan Tahun Baru di bandar itu.

    Menurut al-Gharib, anggota keselamatan mengenal pasti seorang suspek militan dan bertindak untuk menangkapnya. Semasa operasi itu, seorang pegawai berjaya menahan suspek secara fizikal, di mana penyerang itu meletupkan tali pinggang bahan letupan.

  • Angka maut di Gaza meningkat kepada 71,269 sejak Oktober 2023

    Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel di Jalur Gaza meningkat kepada 71,269 kematian, dengan 171,232 cedera sejak Oktober 2023, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan pada Rabu.

    Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan bahawa dalam 48 jam lalu, tiga kematian telah dibawa ke hospital Gaza, termasuk dua yang mayatnya ditemui dari bawah runtuhan, selain 10 yang cedera.

    Menurut WAFA, sumber-sumber mengatakan bahawa sejak gencatan senjata, sekurang-kurangnya 415 rakyat Palestin telah terbunuh, dan 1,152 yang lain cedera, manakala 682 mayat telah ditemui.

    Sumber perubatan juga menyatakan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat runtuhan bangunan yang disebabkan oleh keadaan cuaca buruk, menjadikan jumlah kematian berkaitan runtuhan bangunan kepada 19 kes yang telah sampai ke hospital, lapor WAFA.

  • Belgium gesa Israel tarik balik semua sekatan ke atas bantuan kemanusiaan ke Gaza

    Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot pada Rabu menggesa Israel untuk menghapuskan sekatan ke atas akses kemanusiaan di wilayah Palestin, menekankan bahawa pemberian bantuan tidak seharusnya “bersyarat atau dipolitikkan”, menurut laporan Anadolu.

    Menurut laporan itu, Prevot mengkritik rancangan Israel untuk menyekat pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa di Gaza, merujuk kepada penegasan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Israel mempunyai kewajipan tanpa syarat di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk memastikan penghantaran bantuan tanpa halangan kepada orang awam.

    “Aktor kemanusiaan profesional seperti UNRWA dan INGO yang dibiayai oleh Belgium mematuhi piawaian ketelusan, kesaksamaan dan kebebasan tertinggi,” katanya di X, menurut Anadolu, menggesa Israel untuk bekerjasama dengan semua aktor kemanusiaan “dengan niat baik, berdasarkan kriteria yang jelas dan tidak dipolitikkan, untuk memaksimumkan penghantaran bantuan di Palestin”.

    “Saya menggesa Kerajaan Israel untuk menghapuskan semua sekatan akses kemanusiaan, dan untuk menghormati Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza,” tambah Prevot.

    Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, Israel dilaporkan terus menutup sebahagian besar lintasan Gaza, menghalang kemasukan rumah mudah alih dan bahan pembinaan semula dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang menjejaskan lebih 2 juta orang.

    Menurut Anadolu, pegawai Palestin mengatakan sekurang-kurangnya 414 orang di Gaza telah terbunuh sejak gencatan senjata.

  • 4 pelancong China cedera dalam perlanggaran kereta api di selatan Peru

    Empat pelancong China cedera selepas dua kereta api bertembung pada Selasa di selatan Peru, lapor berita Xinhua memetik Kedutaan China di Peru.

    Empat yang cedera dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan, kata kedutaan itu.