GLOBAL

  • 7 maut, lebih 100 cedera dalam kejadian kereta api tergelincir di Mesir

    Tujuh penumpang maut dan 112 orang cedera pada Ahad selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir dan terbalik di wilayah Giza, utara Mesir, kata kementerian kesihatan Mesir, menurut berita Anadolu.

    Kemalangan itu berlaku dekat kampung Gerza di daerah Al-Ayyat, di jalan pertanian Kaherah–Aswan.

    Menurut kementerian itu, lapor Anadolu, kecederaan dialami termasuk lebam, calar, dan patah tulang, dengan 45 orang telah dibenarkan keluar dari hospital selepas keadaan mereka bertambah baik.

    Menurut Anadolu, Kereta Api Nasional Mesir berkata, kereta api No. 134, yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum, telah melanggar belakang kereta api Kaherah–Aswan No. 2010 di antara stesen Kafr Ammar dan Al-Riqqa, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir.

  • Letupan dilapor kedengaran di Bandar Abbas dan Qeshm, selatan Iran

    Beberapa letupan kedengaran di bahagian bandar pelabuhan Bandar Abbas di selatan Iran serta di Pulau Qeshm yang terletak berhampiran, lapor berita Anadolu memetik agensi berita separa rasmi Fars melaporkan pada petang Ahad.

    Memetik sumber tempatan, Fars mengatakan bunyi terbabit mungkin berpunca daripada tembakan amaran yang dilepaskan ke arah kapal-kapal yang disyaki melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz.

    Pulau Qeshm terletak dekat Bandar Abbas, di pintu masuk ke Selat Hormuz, laluan perkapalan utama bagi eksport minyak dari rantau Teluk.

  • 2 penduduk Gaza maut dalam serangan berterusan Israel

    Dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut manakala 12 orang lagi, termasuk seorang wanita, mengalami kecederaan dalam serangan Israel di Jalur Gaza sejak fajar Ahad, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber perubatan di Kompleks Perubatan Nasser berkata, dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut, manakala tujuh orang lain mengalami kecederaan dengan tahap keterukan yang berbeza-beza, susulan serangan Israel terhadap sekumpulan orang awam di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, di selatan Gaza.

    Menurut Anadolu, satu sumber perubatan memberitahunya, empat rakyat Palestin cedera, termasuk seorang yang mengalami kecederaan parah, dalam satu serangan Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di utara Gaza.

    Saksi mata berkata, sebuah dron telah melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan orang ramai di kawasan Bir al-Naaja, di barat Jabalia, utara Gaza.

    Di bahagian selatan pula, seorang wanita ditembak di belakang oleh tentera Israel ketika dia berada di Kem Qatar (Qatari Camp), di sebelah timur kompleks kediaman Hamad di Khan Younis, lapor Anadolu memetik sumber.

  • Presiden Israel tugaskan Eisenkot bentuk kerajaan baharu

    Presiden Israel, Isaac Herzog, pada Ahad menugaskan pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, untuk membentuk kerajaan baharu, selepas pilihan raya parlimen menyaksikan blok Eisenkot mahupun pakatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu gagal memperoleh majoriti, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, memetik laporan penyiar awam Israel – KAN, Eisenkot secara rasmi menerima mandat untuk membentuk kerajaan seterusnya dalam satu pertemuan dengan Herzog di kediaman presiden di Baitulmaqdis Barat.

    Pelantikan ini dibuat susulan rundingan Herzog dengan parti-parti diwakili di Knesset. Seramai 67 ahli parlimen mencadangkan Eisenkot, 46 menyokong Netanyahu, manakala tujuh lagi tidak mencadangkan mana-mana calon.

    Di bawah undang-undang Israel, Eisenkot mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk gabungan kerajaan. Presiden boleh memberikan lanjutan tempoh sehingga 14 hari lagi.

    Berucap pada majlis penyerahan tugas, Herzog berkata, Eisenkot telah memperoleh sokongan yang jelas untuk membentuk kerajaan.

    Israel memerlukan “kerajaan yang stabil”, katanya, menyeru agar usaha dilakukan untuk menyatukan masyarakat Israel, meneruskan pelaksanaan pelan 20 perkara bagi Jalur Gaza, berunding dengan negara-negara di rantau tu, bertindak balas terhadap perkembangan di AS dan menangani isu kerahan tenaga tentera.

  • 5 maut dalam kebakaran bangunan di wilayah Shanxi, China

    Lima orang maut dalam satu kebakaran di Taiyuan, ibu kota wilayah Shanxi di utara China, kata pihak berkuasa lokal – menurut berita Xinhua.

    Kebakaran berlaku di sebuah bangunan di Jalan Liuxiang Selatan, daerah Yingze, pada kira-kira 5 petang Ahad, lapor Xinhua memetik jabatan bomba bandar itu.

    Pihak berkuasa berkata, seramai 38 orang telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, lima daripadanya meninggal dunia.

  • 10 maut kereta terjunam ke dalam tasik di Brazil

    Sepuluh orang maut selepas sebuah kereta terjunam ke dalam tasik di Barra Mansa, di negeri Rio de Janeiro, Brazil, lapor berita Xinhua memetik polis tempatan pada Ahad.

    Menurut polis, seorang individu yang lalu di kawasan itu ternampak kenderaan terbabit terbalik di dalam tasik berkenaan lalu memaklumkan pihak berkuasa.
    Anggota bomba menemui 10 mayat di dalam air, termasuk empat kanak-kanak, semua mereka menaiki kenderaan yang sama.

    Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

  • 1 maut tembakan di universiti AS

    Seorang maut manakala tiga yang lain cedera susulan dua kejadian tembakan berasingan di kampus Winston-Salem State University, di negeri North Carolina, Amerika Syarikat, pada malam Sabtu, kata polis — berita Xinhua melaporkan.

    Dalam satu sidang media pada Ahad, Penolong Ketua Polis dari Jabatan Polis Winston-Salem, Jason Swaim, berkata belum dapat dipastikan sama ada kedua-dua kejadian tembakan itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

    Kampus terbabit diletakkan di bawah perintah berkurung (lockdown) sejurus selepas kejadian itu berlaku, namun perintah berkenaan telah ditarik balik pada awal pagi Ahad. Polis berkata anggota tambahan akan ditempatkan di dan sekitar kawasan kampus dalam tempoh beberapa hari akan datang.

    Setakat ini, tiada tangkapan dilaporkan, lapor Xinhua, Swaim berkata, siasatan masih di peringkat awal.

  • 3 sekeluarga termasuk wanita menyusukan anak maut akibat bumbung runtuh

    Tiga sekeluarga, termasuk seorang wanita dan bayinya yang berusia 20 hari, maut manakala beberapa orang lain mengalami kecederaan apabila sebahagian bumbung rumah mereka runtuh pada Ahad di negeri Uttar Pradesh, utara India, polis lokal mengesahkan — berita Xinhua melaporkan.

    Kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah Kanpur di negeri itu. Rumah terbabit dikatakan berusia lebih 35 tahun.

    Wanita terbabit sedang menyusukan anak lelakinya apabila bumbung tiba-tiba runtuh, yang dipercayai berpunca daripada pengumpulan air di atas bumbung itu.

  • Letupan dilapor kedengaran di daerah selatan Iran

    Beberapa letupan kedengaran pada malam Sabtu di empat daerah di selatan Iran iaitu Qeshm, Sirik, Jask dan Bandar Abbas, menurut berita Xinhua memetik laporan stesen televisyen kerajaan, IRIB TV.

    Menurut laporan itu, masih belum jelas sama ada letupan terbabit berpunca daripada serangan musuh atau tindakan angkatan tentera Iran melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal yang “menceroboh” di Selat Hormuz.

  • 12 maut, 15 cedera dalam nahas jalan raya di tengah Chile

    Sekurang-kurangnya 12 orang mauy dan 15 yang lain cedera pada Sabtu apabila sebuah bas penumpang berlanggar dengan sebuah trak sampah di wilayah Valparaiso, tengah Chile, menurut pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Kemalangan itu berlaku di lebuh raya Ruta de la Fruta di perbandaran Santo Domingo, di sebelah barat ibu kota, Santiago.

    Delegasi presiden wilayah Valparaiso, Manuel Millones, mengesahkan jumlah kematian itu memetik sumber polis.

    Kira-kira 50 anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut Cesar Carreno, komander Jabatan Bomba Santo Domingo.