Peratusan penduduk Kristian di Baitulmaqdis yang diduduki jatuh daripada 25% jumlah penduduk pada 1922 kepada kira-kira 1.56% menjelang akhir tahun 2023, lapor Anadolu memetik kajian yang diterbitkan oleh Yayasan Antarabangsa Baitulmaqdis.
Kajian itu mengatakan, bandar itu mempunyai kira-kira 15,300 orang Kristian pada akhir 2023, termasuk kira-kira 13,100 orang Palestin.
Penurunan ini dikaitkan dengan dasar Israel, tekanan ekonomi dan sosial, penghijrahan keluar berterusan, serta kadar pertumbuhan penduduk yang rendah.
Dasar residensi Israel yang memberi kesan kepada penduduk Palestin di Baitulmaqdis, termasuk pembatalan permit residensi di bawah kriteria “pusat kehidupan”, turut menyumbang kepada pengurangan kehadiran penduduk Palestin di bandar itu, kata kajian itu.
Kajian itu juga mendokumentasikan usaha untuk mengambil alih harta wakaf dan hartanah gereja, yang dikatakan merangkumi kira-kira 28% daripada tanah wakaf di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, antara lain melalui pajakan jangka panjang dan tekanan kewangan.
Laporan itu turut menyebut mengenai serangan terhadap golongan paderi, biarawan, dan penganut Kristian, termasuk serangan fizikal dan lisan, perbuatan meludah, serta kerosakan terhadap harta benda, tanah perkuburan, dan simbol keagamaan.
Kajian itu juga menyoroti sekatan Israel terhadap akses ke Gereja Makam Suci (Church of the Holy Sepulchre) serta had yang dikenakan terhadap penyertaan dalam acara keagamaan, termasuk sambutan Sabtu Suci (Holy Saturday) dan perayaan Paskah.
Ia memberi amaran bahawa dasar-dasar sebegini mengancam jati diri Arab dan sifat majmuk Baitulmaqdis, serta menyeru agar usaha perundangan dan diplomatik yang lebih kukuh diambil bagi melindungi tapak-tapak suci Kristian, harta gereja, dan kehadiran komuniti Kristian Palestin.
Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah serangan ketenteraan Israel yang lebih meluas serta keganasan oleh pihak penjajah di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, sejak Oktober 2023.
Menurut data pihak Palestin, lebih daripada 1,220 orang Palestin telah terkorban, kira-kira 13,350 orang cedera, dan lebih daripada 26,000 orang ditahan dalam tempoh itu.