Presiden Israel, Isaac Herzog, pada Ahad menugaskan pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, untuk membentuk kerajaan baharu, selepas pilihan raya parlimen menyaksikan blok Eisenkot mahupun pakatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu gagal memperoleh majoriti, lapor berita Anadolu.
Menurut Anadolu, memetik laporan penyiar awam Israel – KAN, Eisenkot secara rasmi menerima mandat untuk membentuk kerajaan seterusnya dalam satu pertemuan dengan Herzog di kediaman presiden di Baitulmaqdis Barat.
Pelantikan ini dibuat susulan rundingan Herzog dengan parti-parti diwakili di Knesset. Seramai 67 ahli parlimen mencadangkan Eisenkot, 46 menyokong Netanyahu, manakala tujuh lagi tidak mencadangkan mana-mana calon.
Di bawah undang-undang Israel, Eisenkot mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk gabungan kerajaan. Presiden boleh memberikan lanjutan tempoh sehingga 14 hari lagi.
Berucap pada majlis penyerahan tugas, Herzog berkata, Eisenkot telah memperoleh sokongan yang jelas untuk membentuk kerajaan.
Israel memerlukan “kerajaan yang stabil”, katanya, menyeru agar usaha dilakukan untuk menyatukan masyarakat Israel, meneruskan pelaksanaan pelan 20 perkara bagi Jalur Gaza, berunding dengan negara-negara di rantau tu, bertindak balas terhadap perkembangan di AS dan menangani isu kerahan tenaga tentera.