Enam orang maut dan sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di pusat bersejarah Krakow, selatan Poland, pada Sabtu, lapor berita Anadolu memetik media Poland.
Kejadian tembakan itu berlaku sejurus selepas jam 3 petang waktu tempatan (1400 GMT), dekat Dataran Pasar Utama (Main Market Square) bandar itu, yang merupakan satu daripada destinasi pelancongan paling sibuk di Poland.
Menurut Anadolu, penyiaran Poland, TVN24, melaporkan jumlah korban itu memetik kenyataan daripada pihak bomba.
Anadolu melaporkan, menurut stesen radio RMF FM, penyerang yang menaiki sebuah kenderaan di Jalan Sławkowska menuju ke dataran utama telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai di kawasan terbabit.
Saluran penyiaran itu turut melaporkan kerosakan pada sebuah kedai dan sebuah trem.
Seorang lelaki berusia 25 tahun yang memakai pakaian seragam tentera dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis.
Saksi melaporkan bahawa kira-kira 20 das tembakan dilepaskan semasa serangan itu.
Empat wanita dan dua lelaki dilaporkan maut, manakala sekurang-kurangnya 15 orang lagi cedera, termasuk dua anggota polis.
Polis menafikan laporan awal yang mendakwa terdapat dua orang penembak. Laporan mengatakan seorang lelaki telah melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan ke arah orang ramai di Dataran Pasar Utama Krakow.