GLOBAL

  • Kemalangan jalan raya ragut 10 nyawa, 24 cedera di selatan Kaherah

    Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 24 yang lain cedera apabila sebuah lori berlanggar dengan sebuah bas mini di lebuh raya di Kegabenoran Giza, selatan ibu kota Mesir, pada Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan dan Populasi, lapor berita Xinhua.

    Siasatan awal menunjukkan kelajuan berlebihan dalam keadaan cuaca berkabus mungkin menjadi punca kemalangan itu, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Kemalangan jalan raya di Mesir meragut ribuan nyawa setiap tahun, sering kali disebabkan oleh pemanduan laju, pelanggaran peraturan lalu lintas, dan keadaan jalan raya yang kurang baik.

  • 1 maut, 6 cedera dalam kejadian tembakan di pusat beli-belah California

    Seorang maut manakala enam yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Fairfield, California pada Jumaat, lapor berita Xinhua memetik polis tempatan.

    Polis Fairfield berkata anggota mereka bertindak balas terhadap satu kejadian tembakan di kedai Spirit Halloween yang terletak di dalam Solano Town Center pada 8:30 malam waktu tempatan (0330 GMT Sabtu).

    Seorang mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tembakan, sementara enam yang lain dikejarkan ke hospital tempatan dengan sekurang-kurangnya tiga daripadanya berada dalam keadaan kritikal, menurut kenyataan polis.

    Detektif sedang menyoal saksi dan berusaha mengenal pasti suspek. Polis memaklumkan bahawa lokasi kejadian masih dalam siasatan aktif dan menggesa sesiapa mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis.

  • 3 tentera Uruguay maut ketika kursus selam taktikal

    Tiga anggota tentera Uruguay maut semasa kursus menyelam taktikal di Sungai Uruguay, barat daya Uruguay, menurut kenyataan Tentera Laut Kebangsaan pada Jumaat, lapor berita Xinhua.

    Kejadian berlaku pada malam Khamis dekat sebuah jeti di Fray Bentos, ibu kota Jabatan Rio Negro.

    Tentera Laut dilapor berkata, insiden itu berlaku pada malam ketiga latihan renang dalam Kursus Penyelam Taktikal, yang mana peserta bergerak menyusuri sungai sambil diikat pada tali, diiringi oleh bot dan jurulatih.

    Susulan operasi mencari dan menyelamat, mayat dua anggota tentera ditemui pada awal pagi Jumaat, manakala mangsa ketiga ditemui kemudian pada pagi yang sama.

    Seorang lagi anggota tentera diselamatkan dalam keadaan hidup dan dibawa ke pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

  • Enam maut dalam nahas helikopter di India

    Nahas helikopter di negeri Uttarakhand, utara India, mengorbankan semua enam orang yang berada di dalamnya, termasuk juruterbang, menurut kenyataan pegawai pada Jumaat, lapor berita RT.

    Helikopter milik Trans Bharat Aviation Private Limited, dengan tanda panggilan VT-HCX, dalam perjalanan dari Badrinath di daerah Chamoli menuju ke Dehradun apabila hubungan dengannya terputus pada kira-kira pukul 1:15 petang waktu standard India (IST), lapor RT.

    Helikopter itu terhempas di lereng bukit, kata pegawai tempatan.

    “Kami telah menerima berita malang mengenai nahas helikopter dekat kampung Chayee, dekat Joshimath,” Ketua Menteri Pushkar Singh Dhami mengatakan di X, menurut RT, Joshimath adalah pekan pergunungan yang dianggap suci di kawasan Garhwal Himalaya.

    Tentera India dan pasukan penyelamat tempatan telah dikerahkan ke lokasi nahas, lapor RT, pentadbiran daerah Chamoli kemudian mengesahkan kematian semua individu yang berada di dalam helikopter terbabit.

    Lima penumpang di dalam helikopter itu dari negeri Karnataka di selatan India. Juruterbangnya, Kapten Himanshu Sabharwal, dari Delhi, lapor RT memetik laporan.

    Hujan lebat dan jarak penglihatan yang terhad dilaporkan berlaku di kawasan terbabit, yang kini diletakkan di bawah amaran “jingga” oleh Jabatan Meteorologi India (IMD). IMD meramalkan ribut petir, hujan batu, dan angin kencang yang disertai hujan lebat di banyak kawasan di negeri pergunungan Himalaya yang bersempadan dengan China dan Nepal itu.

    Tapak ziarah Badrinath, lokasi helikopter terbabit berlepas, adalah sebahagian daripada laluan ziarah ‘Char Dham’ bersama-sama dengan Kedarnath, Gangotri, dan Yamunotri. Para peziarah sering menggunakan perkhidmatan helikopter untuk mengelakkan perjalanan mendaki gunung yang sukar di sepanjang laluan.

  • 4 maut nahas helikopter EUFOR dekat Brcko

    Seorang lagi individu yang cedera dalam nahas helikopter EUFOR di pekan Gorice, dekat Brcko, meninggal dunia, lapor berita Klix, ini menjadikan angka maut dalam kemalangan itu kepada empat orang.

    Helikopter terbabit dilapor terhempas pada kira-kira jam 4 petang Khamis.
    Klix melaporkan, menurut EUFOR, kejadian itu berlaku semasa operasi rutin di kawasan Brcko. Tiga orang maut di tempat kejadian.

    Sementara itu menurut Klix, Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, mengumumkan nama empat anggota tentera Itali yang terkorban dalam nahas helikopter EUFOR dekat Brcko. Beliau memaklumkan bahawa beliau akan berlepas ke BiH bersama Ketua Staf Am Pertahanan untuk melawat 11 orang yang cedera, yang kini dirawat di hospital di Brcko dan Tuzla.

    Dalam pengumuman itu, Crosetto menyatakan bahawa nahas itu telah mengorbankan Sarjan Penerbangan Tentera Simone Ruggia, Sarjan Penerbangan Tentera Claudio Marchesi, Leftenan daripada Kor Sukarelawan Tentera Palang Merah Itali Franco Adriano Zecchillo, serta Sarjan Laura Procacci.

    “Selama berjam-jam, bersama-sama dengan Ketua Staf Am Pertahanan, pihak Tentera Darat, dan Perintah Operasi Bersama, saya telah memantau keadaan 11 orang yang cedera yang dirawat di hospital di Brčko dan Tuzla; kami juga telah menghantar anggota perubatan tentera Itali ke sana untuk memantau rakan-rakan kita dengan rapi,” kata Crosetto.

  • Tiga maut dalam nahas helikopter EUFOR di Bosnia Herzegovina

    Sebuah helikopter milik Pasukan Kesatuan Eropah di Bosnia dan Herzegovina (EUFOR) terhempas dekat bandar Brcko, mengakibatkan tiga orang maut, menurut berita Tass memetik laporan portal berita Klix.

    Menurut laporan itu, tiada orang awam yang cedera dan tiada infrastruktur mengalami kerosakan.

  • Angka maut nahas tren Sepanyol meningkat kepada 74

    Angka maut akibat perlanggaran tren berkelajuan tinggi pada Rabu di wilayah Toledo, Sepanyol, meningkat kepada 74 orang, menurut laporan awal diterbitkan pada Khamis oleh pihak berkuasa bebas penyiasatan kemalangan pengangkutan Sepanyol, AITAT, menurut berita Xinhua.

    Pihak berkuasa itu berkata, angka maut masih bersifat sementara, memandangkan jumlah mangsa cedera yang “sangat tinggi” masih belum dapat disahkan sepenuhnya.

    Xinhua memetik agensi berita Sepanyol, EFE, ini adalah kali pertama pihak berkuasa itu melaporkan secara rasmi angka maut nahas terbabit, memandangkan angka sebelum ini telah dikeluarkan oleh pegawai-pegawai yang berada di lokasi nahas.

  • Letupan kuat kedengaran di Riyadh

    Letupan kuat kedengaran di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, pada petang Khamis, menurut berita Xinhua, penduduk tempatan menerima amaran melalui aplikasi mudah alih.

  • 2 maut, 1 cedera formasi batuan runtuh di hab pelancongan Cappadocia, Turkiye

    Satu formasi batuan unik dikenali ‘cerobong pari-pari’ (fairy chimney) runtuh pada Khamis di Cappadocia, sebuah hab pelancongan di tengah Turkiye, mengakibatkan dua orang maut dan seorang lagi cedera, Gabenor Nevsehir, Huseyin Kok, memberitahu penyiar NTV, lapor berita Xinhua.

    Insiden itu berlaku dekat pintu masuk ke Muzium Terbuka Goreme dan berpunca daripada hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini, kata Huseyin.

    Cappadocia terkenal dengan ‘cerobong pari-pari’—formasi batuan tinggi dan ramping yang menyerupai cendawan, kon, atau menara—yang dikatakan terbentuk selama berjuta-juta tahun akibat hakisan batuan gunung berapi oleh angin dan air.

    Landskap rantau itu merangkumi lembah, gereja yang dipahat pada batu, kediaman gua, serta bandar bawah tanah, yang mencerminkan sejarah geologi dan budaya yang kaya, sekali gus menarik puluhan ribu pelawat asing setiap tahun.

  • Sekurang-kurangnya 4 orang dilaporkan maut ketika banjir landa Syria

    Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk dua kanak-kanak, dilaporkan maut susulan hujan lebat dan banjir kilat yang melanda beberapa wilayah di Syria, manakala ratusan keluarga terpaksa meninggalkan kem penempatan, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, akhbar milik kerajaan Syria, Al-Thawra, melaporkan dua kanak-kanak lemas dalam kejadian berasingan di wilayah utara Raqqa dan wilayah timur Deir al-Zour.

    Seorang lelaki maut selepas dihanyutkan arus banjir di kawasan al-Buassi, di barat bandar Tabqa, Raqqa.

    Pihak berkuasa pengurusan kecemasan dan bencana Syria turut melaporkan satu kematian akibat kemalangan jalan raya di kawasan luar bandar barat Raqqa.

    Sementara itu, Xinhua memetik agensi berita negara SANA, pasukan kecemasan telah memindahkan kira-kira 375 keluarga dari tiga kem penempatan terjejas banjir di luar bandar Raqqa, serta menyelamatkan 15 orang awam yang terperangkap di dalam kenderaan.

    Menurut pihak berkuasa pengurusan kecemasan dan bencana, banjir telah menyebabkan tujuh jambatan, pembetung, dan jalan raya yang tidak berturap tidak dapat digunakan. Pasukan kecemasan juga telah mengepam keluar air dari lebih 150 rumah dan kemudahan awam, termasuk hospital, sekolah, dan kedai roti.

    Di Kasrat Surour, laluan lintasan saliran tanah runtuh menyebabkan lebih 100 keluarga terkepung oleh air banjir, sekali gus mencetuskan operasi menyelamat kecemasan.

    Menurut Xinhua, Syrian Observatory for Human Rights, sebuah badan pemantau perang berpangkalan di Britain, turut melaporkan banjir besar di kem-kem penempatan, termasuk di Washokani dan al-Talae di wilayah timur laut Hasakah. Di sana, berpuluh-puluh khemah ditenggelami air, menyebabkan keluarga kehilangan peralatan tidur, selimut, dan bekalan makanan.