Info

  • Polis Ireland bertindak pecahkan sekatan kilang penapisan minyak oleh peserta protes yang marah dengan harga bahan api

    Polis Ireland mengambil tindakan untuk meleraikan peserta protes yang menyekat satu-satunya kilang penapisan minyak di negara itu pada Sabtu selepas seorang menteri kanan kerajaan berkata protes mengenai kenaikan harga bahan api telah mewujudkan “detik ekonomi yang sangat berbahaya” untuk Ireland, lapor Reuters.

    Peserta protes yang berang dengan kenaikan harga diesel lebih daripada 20% sejak tercetusnya perang AS-Israel menentang Iran, telah menggunakan traktor dan trak untuk menyekat kilang penapisan Whitegate, dua pelabuhan, sebuah terminal bahan api dan beberapa jalan raya di ibu negara Dublin.

    Beratus-ratus stesen minyak telah dibiarkan tanpa bahan api, membahayakan beberapa perkhidmatan kecemasan, kata kerajaan.

    Polis pada Sabtu menahan sekurang-kurangnya seorang peserta protes, menolak yang lain dan menghantar peralatan yang direka untuk menggerakkan kenderaan besar di kilang penapisan Whitegate, rakaman daripada penyiar negeri RTE menunjukkan, lapor Reuters.

    Polis mengeluarkan video di media sosial yang menunjukkan beberapa trak minyak memasuki kilang penapisan.

    Tindakan itu dibuat selepas Menteri Kewangan Simon Harris berkata protes itu telah menyebabkan detik yang sangat berbahaya bagi ekonomi.

  • 13 terbunuh di selatan Lubnan ketika Israel meningkatkan serangan menjelang rundingan AS-Iran

    Pesawat perang Israel memperhebatkan kempen udara mereka di seluruh daerah Nabatieh di selatan Lubnan pada Sabtu, melancarkan serangan udara yang membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan menyebabkan kemusnahan meluas di pelbagai kawasan, termasuk korban dalam kalangan petugas kecemasan dan kesihatan, lapor berita Xinhua.

    Pada waktu fajar, serangan udara menyasarkan sebuah bangunan kediaman di sebuah pekan, membunuh tiga orang. Selain itu, serangan awal menyasarkan sekumpulan penjana elektrik swasta di sebuah kampung, mencetuskan kebakaran dan menyebabkan kerosakan ketara, diikuti oleh serangan udara lain yang membunuh tiga orang.

    Menurut Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, serangan ke atas Kfar Sir membunuh empat orang, termasuk seorang paramedik yang bergabung dengan Pihak Berkuasa Kesihatan Islam, dan mencederakan empat orang lain.
    Satu lagi serangan udara ke atas Zefta membunuh tiga orang, termasuk seorang anggota Pertahanan Awam Lubnan, dan mencederakan dua yang lain.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu mengutuk penyasaran berulang pasukan perubatan, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terang-terangan, dan berkata insiden sedemikian sedang didokumenkan sebagai sebahagian daripada prosiding undang-undang antarabangsa untuk melindungi hak responder kecemasan.

    Sementara itu, Hizbullah berkata dalam dua kenyataan bahawa ahlinya menyasarkan perhimpunan askar dan kenderaan tentera Israel di tapak Metula menggunakan dron serangan, dan melancarkan serangan roket ke atas infrastruktur milik tentera Israel di sebuah penempatan.

    Pada 2 Mac, Hizbullah mengumumkan pelancaran roket dari selatan Lubnan ke arah Israel, menandakan serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata diisytiharkan pada November 2024. Sebagai tindak balas, Israel menjalankan serangan udara yang menyasarkan Beirut, pinggir bandar selatannya, dan kawasan lain.

    Gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Iran dan Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Rabu. Namun Israel mengatakan gencatan senjata itu tidak meliputi konflik di Lubnan, dan menjalankan serangan satu hari terbesarnya ke atas Lubnan pada Rabu, membunuh lebih daripada 300 orang dan mencederakan lebih 1,100 orang.

    Pada hari Jumaat, Lubnan dan Israel bersetuju untuk mengadakan mesyuarat awal Selasa depan di Washington mengenai gencatan senjata dan tarikh untuk memulakan rundingan yang dimediasi oleh AS, manakala Iran menuntut gencatan senjata di Lubnan dan pembebasan aset Iran yang disekat sebelum permulaan rundingan dengan Amerika Syarikat pada Sabtu.

  • Tiga terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Menurut Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan pembunuhan tiga orang dalam serangan udara Israel yang memusnahkan sebuah bangunan kediaman di pekan Mayfadoun di daerah Nabatieh di selatan Lubnan.

  • Jumlah kematian dalam kejadian tembakan di Herat Afghanistan meningkat kepada 11

    Jumlah kematian dalam kejadian tembakan maut di wilayah Herat, barat Afghanistan meningkat kepada 11 orang apabila empat lagi mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dialami, kata seorang pegawai wilayah pada Sabtu, menurut berita Xinhua.

    Lelaki bersenjata yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang di sebuah tapak perkelahan di daerah Injil di Herat pada Jumaat, (pada mulanya) menyebabkan tujuh maut dan 13 orang lagi cedera, menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    Walaupun seorang suspek telah ditangkap, tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab atas kejadian tembakan berdarah itu.

  • 3 maut apabila air menenggelamkan lombong emas di utara Afghanistan

    Tiga pekerja pengekstrakan emas, termasuk seorang bapa dan anak lelakinya maut selepas air menenggelamkan lombong emas artisanal di wilayah Badakhshan di utara Afghanistan, kata seorang pegawai polis pada Jumaat, lapor Xinhua.

    Kejadian itu berlaku di daerah Shahri Buzurg, apabila lonjakan air secara tiba-tiba membanjiri lombong itu, menurut jurucakap polis wilayah Ehsanullah Kamgar.

    Mangsa semuanya penduduk daerah Yaftal yang berdekatan, kata Ehsanullah. Menurutnya masih belum jelas berapa ramai pelombong lain mungkin masih terperangkap di dalamnya.

  • Sekurang-kurangnya enam dilapor terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas pusat pemeriksaan polis di Gaza

    Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya enam orang selepas menghentam pusat pemeriksaan polis di kem pelarian Bureij di tengah Jalur Gaza, menurut Al Jazeera memetik laporan sumber perubatan.

    Beberapa yang lain cedera susulan serangan udara itu.

    Tentera Israel masih belum memberi sebarang komen mengenai serangan yang dilaporkan itu.

  • Trump kata AS akan buka Selat Hormuz tidak lama lagi

    Presiden Donald Trump memberitahu pemberita pada Jumaat, AS akan membuka Selat Hormuz tidak lama lagi tetapi tidak mengulas lanjut dan mengakui bahawa ia bukan langkah yang mudah, menurut laporan Reuters.

    Trump juga mencadangkan bahawa negara-negara lain menawarkan bantuan tetapi tidak mengenal pasti mana-mana negara.

    “Negara-negara lain menggunakan selat itu. Jadi kita mempunyai negara-negara lain yang akan datang, dan mereka akan membantu,” kata Trump.

    “Ia tidak akan mudah … Saya akan mengatakan ini – kita akan membukanya tidak lama lagi,” tambah Trump.

  • 1 maut, 2 cedera dalam tembakan di kolej Kanada

    Seorang lelaki terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian tembakan awal Jumaat di sebuah bar di kampus kolej di Ontario, Kanada, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Polis telah dipanggil ke bar kampus Lambton College sejurus sebelum jam 1 pagi waktu tempatan susulan laporan tembakan semasa acara yang dikendalikan oleh pelajar, menurut CTV News.

    Seorang lelaki berusia 20 tahun telah dibawa ke hospital tempatan dengan kecederaan yang mengancam nyawa, di mana dia kemudiannya meninggal dunia. Dua mangsa yang lain mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, kata laporan itu.

  • Kereta kebal Israel bedil Daraa di selatan Syria

    Pasukan Israel membedil kawasan sekitar pekan Jamla di wilayah Daraa, selatan Syria, menurut berita Anadolu memetik laporan Alikhbaria TV pada Jumaat.

    Kereta kebal Israel membedil kawasan sekitar pekan Jamla di kawasan luar bandar barat Daraa, lapor saluran itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

    Pihak berkuasa Syria tidak mengulas mengenai laporan itu setakat 1855GMT, menurut Anadolu, pasukan Israel menyasarkan wilayah Syria hampir setiap hari, melakukan pencerobohan darat, terutama di kawasan luar bandar Quneitra dan Daraa di selatan Syria, menahan orang awam, menubuhkan pusat pemeriksaan untuk mencari dan menyoal siasat orang yang lalu-lalang, dan merosakkan tanah pertanian.

    Israel telah menduduki sebahagian besar Dataran Tinggi Golan Syria secara haram sejak 1967 dan, susulan penggulingan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, mengumumkan keruntuhan perjanjian pengunduran 1974 dan berpindah untuk menduduki zon penampan Syria.

    Rakyat Syria mengatakan pelanggaran berterusan oleh Israel menjejaskan usaha untuk memulihkan kestabilan dan menghalang percubaan kerajaan untuk menarik pelaburan bagi meningkatkan ekonomi negara.

  • Tentera Israel dakwa 180 pejuang Hizbullah terbunuh pada Rabu

    Tentera Israel berkata ia menghentam kira-kira 100 sasaran Hizbullah di tiga kawasan secara serentak di Beirut, Lembah Bekaa dan selatan Lubnan, dalam masa seminit pada Rabu, mendakwa membunuh sekurang-kurangnya 180 pejuang Hizbullah, lapor Al Jazeera.

    Lubnan mengatakan lebih daripada 300 orang terbunuh dalam serangan itu.