GLOBAL

  • Angka maut kebakaran feri di Filipina meningkat kepada 76 orang, dengan 13 lagi masih hilang

    Angka kematian akibat kebakaran feri pada Rabu di perairan wilayah pelancongan popular Palawan, Filipina, meningkat kepada 76 orang, dengan 13 lagi masih hilang, menurut kenyataan Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Sabtu, lapor berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut PCG, 41 lagi mayat ditemui, menjadikan jumlah keseluruhan kematian yang disahkan kepada 76 orang. Bilangan mangsa yang terselamat kekal pada angka 43.

    Rakaman dikeluarkan oleh PCG menunjukkan feri penumpang itu hangus teruk, dengan kesan abu dan logam terbakar kelihatan di lokasi kejadian.

    Operasi menyelamat dan siasatan sedang dijalankan.

    Feri terbabit berlepas dari Manila dan terbakar dekat perairan perbandaran Coron, sebuah destinasi pelancongan yang terkenal. Berdasarkan senarai penumpang, seramai 134 orang—termasuk 117 penumpang dan 17 anggota kru—direkodkan berada di atas feri itu. Dua penumpang kemudian memaklumkan pihak berkuasa bahawa mereka sebenarnya tidak menaiki feri terbabit.

    Feri merupakan mod pengangkutan yang kerap digunakan di kepulauan Filipina. Kemalangan maritim sering berlaku dari semasa ke semasa akibat faktor cuaca buruk, penyelenggaraan kapal yang kurang memuaskan, serta penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah.

  • Angka maut meningkat kepada 13 orang dalam nahas pelbagai kenderaan di Rusia

    Kemalangan jalan raya maut membabitkan pelbagai kenderaan di wilayah Arkhangelsk, Rusia, mengorbankan 13 orang, termasuk tiga kanak-kanak, menurut angka rasmi dikemas kini dikeluarkan pada Sabtu, lapor berita Xinhua.

    Pelanggaran itu berlaku pada petang Jumaat di daerah Kholmogorsky dan membabitkan tiga kenderaan; sebuah bas mini, sebuah trak tugas berat dan sebuah kereta penumpang.

    Xinhua melaporkan, menurut polis wilayah, punca awal nahas ialah tindakan memotong yang tidak selamat oleh bas mini terbabit.

    Kenderaan terbabit terkeluar ke lorong bertentangan dan bertembung secara berdepan dengan trak yang sarat muatan itu.

  • 3 pegawai perisikan, 4 militan terbunuh dalam operasi anti-pengganas di tenggara Iran

    Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, membabitkan tiga pegawai perisikan dan empat “pengganas” dalam operasi oleh pasukan keselamatan Iran untuk melumpuhkan “pasukan pengganas profesional” di wilayah tenggara Sistan dan Baluchestan pada Sabtu, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan disiarkan di saluran berita rasminya, Sepah News, sambil menegaskan bahawa operasi bersama itu dijalankan oleh pasukan keselamatan, perisikan, dan polis Iran di daerah Saravan.

    Ia menambah bahawa sejumlah senjata serta peluru dan bahan letupan ditemui di tempat persembunyian “pengganas” terbabit, sambil menegaskan bahawa setelah mengalami “kekalahan ketara di medan ketenteraan, Amerika Syarikat dan Israel, dalam usaha menutup kegagalan mereka, telah mengarahkan kumpulan pengganas untuk mencetuskan ketidakstabilan di Sistan dan Baluchestan”.

    Xinhua melaporkan, menurut Sepah News, anggota kumpulan yang dilumpuhkan itu berhasrat untuk melancarkan operasi pengganas di Saravan.

    Sistan dan Baluchestan, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan, sering menyaksikan pertempuran antara pasukan keselamatan Iran, militan, dan penyeludup dadah.

  • 16 maut dalam kebakaran rumah penjagaan di Chile

    Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban selepas kebakaran berlaku pada petang Jumaat di sebuah rumah penjagaan di selatan Chile, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Sabtu.

    “Kebakaran berlaku sekitar jam 10.30 malam (0130 GMT, 12 September); hanya 10 penghuni rumah penjagaan itu berjaya dipindahkan, dan kami amat dukacita dengan kematian 16 orang,” kata seorang pegawai polis.

  • 121 pekerja dimasukkan ke hospital disyaki keracunan makanan di tengah Vietnam

    Seramai 121 pekerja di bandar Hue, tengah Vietnam, dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami keracunan makanan setakat jam 9 pagi Sabtu, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan Vietnamnet yang memetik pihak berkuasa kesihatan tempatan.

    Insiden itu dilaporkan berlaku di Syarikat Scavi Hue, sebuah pengeluar tekstil dan pakaian milik penuh kumpulan dari Perancis, dengan ramai pekerja dilaporkan jatuh sakit sekitar jam 10 pagi Jumaat dan dikejarkan ke kemudahan perubatan untuk rawatan kecemasan.

    Pengarah jabatan kesihatan perbandaran, Tran Kiem Hao, berkata pesakit menunjukkan simptom termasuk demam, sakit perut, muntah dan cirit-birit, dengan diagnosis awal menjurus kepada gastroenteritis akut akibat makanan tercemar, Xinhua memetik laporan itu.

  • Pasukan wartawan hilang dalam membuat liputan Gunung Anak Krakatau belum ditemui

    Usaha pencarian oleh Kapal Polis (KP Sanjaya), yang belayar di sekitar Gunung Krakatau dan Pulau Sertung, mencari pasukan wartawan dan tiga anak kapal yang terputus hubungan semasa membuat liputan Gunung Anak Krakatau, tidak menemui sebarang hasil, menurut berita Antara.

    “Kami memantau sekali gus mencari rakan-rakan kita, dan kembali ke sini selepas perjalanan selama lapan jam selepas 80 batu dengan jarak kira-kira 140 kilometer. Keputusan hari ini masih sifar; kami belum menemui mereka,” kata Ketua Polis Banten, Inspektor Jeneral Hengki selepas menjalankan operasi mencari di Dermaga Ciwandan, Banten, pada Sabtu, menurut Antara.

    Hengki menjelaskan bahawa anggota Polis Banten, bersama keluarga dua wartawan yang hilang, Donal Husni (seorang jurugambar bebas) dan Yudistira (Inews), sedang memantau kawasan sekitar Pulau Sertung menggunakan teropong.

    Dia melanjutkan, sambil menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat bersama hari ini telah diperluaskan kepada tujuh sektor, dengan 14 kapal dikerahkan untuk menjalankan pencarian.

    “Pada hari keempat, hanya terdapat 12 kapal dan 6 sektor yang dibahagikan. Hari ini, terdapat 14 kapal dan 7 sektor. Kami akan terus memberikan maklumat terkini sementara menunggu yang lain kembali dan melengkapkan pemantauan mereka di kawasan masing-masing,” jelasnya.

  • 5 maut akibat runtuhan tembok sekolah di Karachi, Pakistan

    Sekurang-kurangnya lima orang maut dan dua lagi cedera selepas tembok usang sebuah sekolah kerajaan runtuh di bandar pelabuhan Karachi, selatan Pakistan, menurut kenyataan pihak polis dan pegawai penyelamat pada Jumaat, berita Xinhua melaporkan.

    Insiden itu berlaku di kawasan Mominabad, Orangi Town, di mana tujuh orang terperangkap di bawah runtuhan selepas tembok terbabit tumbang, kata jurucakap Rescue 1122.

    Tiga orang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan semasa dalam perjalanan ke hospital berhampiran, Xinhua memetik jurucakap itu.

    Menurut Xinhua, pihak polis mengatakan penagih dadah sering berkumpul dekat tembok terbabit dan didakwa cuba mengeluarkan batang besi daripadanya, tindakan yang mungkin melemahkan struktur tembok itu.

  • Houthi rampas Pulau Perim strategik di Selat Bab el-Mandab

    Pejuang Houthi merampas Pulau Perim yang strategik di Selat Bab al-Mandab pada Jumaat, menurut berita Anadolu memetik sumber tentera kerajaan Yaman.

    Menurut Anadolu, sumber itu berkata Houthi telah mengambil alih pulau itu, yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Mayyun.

    Pengambilalihan itu bermakna kumpulan itu telah menyelesaikan kawalannya ke atas Selat Bab al-Mandab, tambah sumber itu.

    Pulau Perim mempunyai kepentingan strategik yang luar biasa kerana lokasinya di tengah-tengah Selat Bab al-Mandab, di mana ia membahagikan laluan air kepada dua saluran.

    Pengambilalihan itu berkemungkinan akan meningkatkan kebimbangan serantau dan antarabangsa mengenai keselamatan maritim dan pergerakan kapal komersial dan kapal tangki tenaga melalui Bab al-Mandab.

    Selat ini menghubungkan Laut Merah ke Teluk Aden dan merupakan satu daripada laluan terpenting di dunia untuk perdagangan antarabangsa dan penghantaran tenaga.

  • Jumlah kematian akibat banjir kilat Nepal-China meningkat kepada 1,428, pencarian 5,649 orang hilang diteruskan

    Jumlah kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,428, sementara pencarian 5,649 orang berlanjutan lebih dari dua minggu setelah bencana melanda wilayah itu, lapor Anadolu.

    Anadolu memetik Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, jumlah kematian yang disahkan di negara itu meningkat kepada 1,385, dengan 5,130 orang masih hilang.

    Di pihak China, jumlah kematian kekal pada 43, dengan 519 orang hilang di Wilayah Autonomi Xizang barat daya, juga dikenali sebagai Tibet.

    Antara yang hilang, 848 adalah warga asing, membabit 587 di Nepal dan 261 di Tibet.

    Bencana itu melanda pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung Nepal retak pada ketinggian kira-kira 5,200 meter (17,060 kaki), lapor Anadolu, rekahan itu mencetuskan runtuhan ais batu yang berkembang menjadi aliran serpihan besar dan melanda lembah di sempadan.

    Air banjir dan gelongsoran lumpur memusnahkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal, serta Lembah Kathmandu, menurut Anadolu, bencana itu turut menimbus lintasan sempadan Gyirong di Xizang.

  • 5 maut, 40 cedera dalam nahas koc di Switzerland

    Lima orang terbunuh dan 40 lagi cedera selepas sebuah koc Belanda terhempas di kanton Graubunden di timur Switzerland, kata polis pada Jumaat, menurut berita Xinhua.

    Kenderaan itu dalam perjalanan dari Zernez ke Susch pada petang Khamis apabila ia terbabas dari jalan di zon pembinaan dan terbalik, polis dilapor sebagai berkata dalam satu kenyataan.

    “Daripada 45 orang dewasa di atasnya, lima terbunuh. Tiga orang mengalami kecederaan parah, tujuh cedera sederhana dan 30 cedera ringan,” polis dilapor berkata.