Jumlah kematian meningkat kepada 160 dalam kebakaran bangunan kediaman di Hong Kong, lapor Xinhua memetik polis.
GLOBAL
-
2 lagi askar Thailand terbunuh ketika Kemboja melancarkan serangan balas terhadap pasukan Thailand
Presiden Senat Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata pada Selasa bahawa askar Kemboja melancarkan serangan balas terhadap askar Thailand selepas lebih 24 jam tidak membalas dendam, lapor Xinhua.
Sementara itu, dua lagi askar Thailand terbunuh pada Selasa dalam pertikaian sempadan, menjadikan jumlah kematian askar kepada tiga orang dalam konflik yang diperbaharui itu, menurut tentera Thailand, lapor Xinhua.
“Selepas lebih 24 jam kesabaran untuk menghormati gencatan senjata dan memindahkan orang ke kawasan selamat, petang semalam, malam tadi dan pagi ini, kami telah membalas dendam,” kata Hun Sen dalam satu catatan di platform media sosial rasminya, menurut Xinhua.
Wilayah Tentera Kedua Thailand dilapor berkata dalam satu catatan media sosial bahawa pasukan Kemboja telah menembak roket berbilang pelancaran BM-21 ke sempadan Thailand sejak jam 6 pagi pada Selasa, memaksa Thailand untuk bertindak balas.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata berkata tentera Thailand telah menggunakan senjata berat dan pemusnah, jet pejuang F-16, dan gas toksik untuk menyerang kedudukan tentera dan orang awam Kemboja sejak petang Ahad hingga pagi Selasa, menurut Xinhua.
Tujuh orang awam Kemboja terbunuh dan 20 yang lain cedera dalam konflik sempadan, dia dilapor berkata.
Menurut media Thailand, pertempuran sempadan baharu antara Thailand dan Kemboja telah memaksa lebih 800 sekolah dan banyak hospital ditutup sementara di wilayah sempadan Thailand.
Konflik sempadan Kemboja-Thailand telah kembali berlarutan sejak petang Ahad.
-
8 maut, 6 cedera selepas bas kecil terjunam ke dalam gaung di Bolivia
Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan enam lagi cedera pada Isnin selepas sebuah bas kecil terjunam ke dalam gaung di Jalan Yungas di jabatan La Paz di Bolivia, kata jabatan bomba kebangsaan, Xinhua melaporkan.
-
Mahkamah Beijing memutuskan kes pampasan MH370
Mahkamah Beijing memutuskan tuntutan pampasan yang difailkan oleh keluarga beberapa penumpang yang hilang dalam Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, menurut kenyataan daripada Mahkamah Tinggi Rakyat Beijing pada Isnin, lapor Xinhua.
Lapan kes yang diputuskan kali ini melibatkan lapan penumpang. Mahkamah Daerah Rakyat Chaoyang pada Jumaat mengarahkan defendan untuk membayar pampasan kepada plaintif selaras dengan Konvensyen Montreal dan undang-undang China yang berkaitan.
Pampasan itu meliputi ganti rugi, perbelanjaan pengebumian, ganti rugi tekanan emosi, kerugian lain dan kos berkaitan, berjumlah lebih 2.9 juta yuan (kira-kira 410,000 dolar AS) setiap kes.
Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, lapor Xinhua. Sejak 2016 ahli keluarga 75 penumpang yang hilang telah berturut-turut memfailkan 78 tuntutan mahkamah, menuntut ganti rugi dan menyeru penubuhan dana mencari dan menyelamat, antara tuntutan lain, terhadap Malaysia Airlines dan defendan lain, kata mahkamah.
-

Pelapor khas PBB kecam ‘genosid Israel dengan penglibatan negara-negara’
Francesca Albanese, pelapor khas PBB mengenai wilayah Palestin yang diduduki, mengutuk pada Isnin “kekejaman genosid Israel” di Gaza, dengan mengatakan ia telah dilakukan “dengan penglibatan terlalu banyak negara”, lapor Anadolu.
“Di Forum Doha, saya mengecam kekejaman genosid Israel, yang dilakukan dengan penglibatan terlalu banyak Negara,” tulis Albanese di X, menurut Anadolu.
Dia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera, dengan mengatakan: “Negara-negara yang ingin memelihara sisa-sisa multilateralisme mesti membina pakatan baharu dengan pantas, dan berdiri sebagai PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU secara nyata, mengepung para pembuli.”
Israel dilapor membunuh lebih daripada 70,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober, tindakan yang digelar oleh banyak negara dan kumpulan sebagai genosid.
Sementara itu, kes Afrika Selatan 2023 di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menuduh Israel melakukan tindakan genosid di wilayah itu, berterusan.
Gencatan senjata telah dicapai dua bulan lalu, tetapi pelanggaran Israel dilaporkan terus berlanjutan.
Menurut Anadolu, Albanese dalam laporan Oktobernya, “Genosid Gaza: jenayah kolektif” berkata “negara ketiga” telah menyediakan sokongan langsung, bantuan material, perlindungan diplomatik dan, dalam sesetengah kes, penyertaan aktif dalam tindakan Israel di Gaza.
-

Juruterbang Su-27 terbunuh dalam misi tempur di timur Ukraine
Tentera Udara Ukraine melaporkan kematian seorang juruterbang Su-27 semasa misi tempur di arah timur, menurut berita Mehr.
“Terbunuh dalam tugas… Pada tengah hari 8 Disember 2025, di arah timur, semasa menjalankan misi tempur dalam pesawat Su-27, Leftenan Kolonel Yevhen Vitaliyovych Ivanov, navigator kanan Briged Penerbangan Taktikal ke-39, meninggal dunia,” kata Angkatan Tentera Ukraine di saluran Telegram mereka pada Isnin, lapor Mehr.
Keadaan itu sedang disiasat, menurut Interfax.
Angkatan Tentera Ukraine mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan juruterbang terbabit.
-
Gempa bumi bermagnitud 6.0 landa luar pantai timur Honshu, Jepun – GFZ
Gempa bumi bermagnitud 6.0 menggegarkan luar pantai timur Honshu, Jepun pada jam 1856 GMT pada Isnin, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, lapor Xinhua.
Pusat gempa, dengan kedalaman 40.3 km, pada mulanya ditentukan berada pada 40.90 darjah latitud utara dan 143.34 darjah longitud timur.
-
Slovenia kutuk kemasukan tanpa kebenaran Israel ke dalam kawasan PBB di Baitulmaqdis Timur
Slovenia pada Isnin mengutuk kemasukan tanpa kebenaran Israel pada awal hari ke kawasan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur, menurut Kementerian Luar Slovenia, Xinhua melaporkan.
“Slovenia mengutuk sekeras-kerasnya kemasukan paksa pihak berkuasa Israel ke dalam kompleks UNRWA di Baitulmaqdis Timur, penyitaan harta benda dan penyingkiran bendera PBB,” kementerian itu dilapor sebagai berkata di X.
Tindakan sedemikian melanggar keutuhan premis PBB dan mewakili pelanggaran obligasi undang-undang antarabangsa, katanya, menyeru Israel untuk menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan memastikan keselamatan dan perlindungan kakitangan PBB.
Slovenia, yang kini memegang jawatan presiden bergilir Majlis Keselamatan PBB, secara rasmi mengiktiraf kenegaraan Palestin pada Jun 2024.
-
Dua remaja Afghanistan dipenjara kerana rogol gadis di England
Dua remaja pemohon suaka Afghanistan, yang kedua-duanya tiba di Britain sendirian tahun lepas, dijatuhkan hukuman tahanan yang panjang pada Isnin kerana merogol seorang gadis berusia 15 tahun di tengah England, lapor Reuters.
Kedua-dua budak lelaki itu, Jan Jahanzeb dan Israr Niazal, kedua-duanya berumur 17 tahun, melakukan serangan di sebuah taman di Leamington Spa pada Mei selepas membawa gadis itu, yang sedang mabuk ketika itu, jauh daripada rakan-rakannya, kata pendakwa raya kepada Mahkamah Warwick Crown, lapor agensi berita itu.
Menurut Reuters, mahkamah telah memainkan rakaman yang berjaya dirakam oleh gadis yang sangat tertekan itu semasa serangan itu, di mana dia boleh didengari menangis teresak-esak dan menjerit: “Tolong bantu saya … lepaskan saya … saya mahu pulang ke rumah.”
“Hari saya dirogol telah mengubah saya sebagai seorang insan,” kata gadis itu, yang mengatakan kejadian itu adalah pengalaman seksual pertamanya, dalam satu kenyataan mangsa.
Jenayah, terutama kesalahan seksual, yang dilakukan oleh pencari suaka telah menjadi isu politik utama di Britain, terutama ketika kerajaan sedang mencari penyelesaian untuk menghalang beribu-ribu pendatang yang tiba dengan bot kecil dari seberang Selat, menurut laporan Reuters.
Bulan lalu, seorang warga Afghanistan mengaku bersalah merogol seorang gadis berusia 12 tahun di Nuneaton, di tengah England, manakala seorang lelaki Ethiopia dipenjarakan pada September selepas disabitkan kesalahan menyerang secara seksual seorang remaja perempuan dan seorang wanita lain di Epping, utara London, lapor Reuters.
Kedua-dua kes itu dikatakan mencetuskan protes berskala besar, yang sebahagiannya bertukar menjadi ganas, dan mendorong demonstrasi di seluruh negara di hotel-hotel yang menempatkan pencari suaka.
Kebimbangan imigresen juga telah membantu melonjakkan parti populis Reform UK untuk mendahului dalam tinjauan pendapat, menurut Reuters.Menurut Reuters, sebagai pengakuan terhadap kebimbangan orang ramai, hakim Sylvia de Bertodano mengarahkan agar kedua-dua remaja itu, yang mengaku bersalah pada Oktober, boleh dinamakan walaupun baru berusia 17 tahun, dengan mengatakan ia adalah demi kepentingan awam untuk berbuat demikian.
Jahanzeb, yang akan berusia 18 tahun pada awal tahun depan, dilaporkan telah diberikan tahanan selama 10 tahun lapan bulan, manakala Niazal dijatuhkan hukuman tahanan selama sembilan tahun 10 bulan.
Peguam Jahanzeb, Robert Holt, dilapor berkata anak guamnya telah mengembara melalui Eropah seorang diri untuk sampai ke Britain pada Januari, dan berjaya dalam percubaan keempatnya untuk menyeberangi Selat dengan sebuah bot kecil. Dia menghadapi pengusiran automatik selepas hukumannya selesai.
Joshua Radcliffe, peguam Niazal, dilapor berkata dia datang seorang diri ke Britain November lalu untuk melarikan diri daripada Taliban, yang telah membunuh bapanya, yang dahulunya berada dalam tentera Afghanistan. Dia sedang menunggu keputusan mengenai tuntutan suakanya, tetapi hakim berkata dia akan mengesyorkan pengusirannya selepas dia menjalani hukumannya.
De Bertodano berkata kedua-dua remaja itu telah mengkhianati kepentingan mereka yang datang ke Britain untuk melarikan diri daripada bahaya, lapor Reuters.
-
Gempa bumi 7.6 magnitud landa pantai utara Jepun, cetus amaran tsunami
Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda pantai utara Jepun, lapor US Geological Survey (USGS), mendorong Tokyo mengeluarkan amaran tsunami dan menasihati orang ramai untuk mencari keselamatan, lapor Anadolu.
Gempa bumi itu direkodkan sekitar jam 11.15 malam waktu tempatan (1415GMT) dan diukur pada kedalaman 53.1 kilometer (hampir 33 batu) di luar pantai wilayah utara Aomori, kata USGS.
Anadolu melaporkan, menurut Agensi Meteorologi Jepun, keamatan gempa bumi itu lebih tinggi daripada 6 pada skala pengukuran domestik Jepun iaitu 0 hingga 7.
Agensi itu mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Aomori, Iwate, dan Pantai Pasifik Tengah Hokkaido, serta nasihat tsunami untuk wilayah Miyagi, Fukushima, dan Pantai Pasifik Barat dan Timur Hokkaido, dan menasihati orang ramai untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat, Anadolu memetik penyiar awam NHK.
Ombak dilaporkan sehingga 70 sentimeter (27.5 inci) dilaporkan dilihat di Iwate, 50 sentimeter (19.6 inci) di Hokkaido, dan 40 sentimeter (15.7 inci) di Aomori.
Hokkaido, Aomori, dan Iwate dijangka menerima tsunami setinggi 3 meter (9.8 kaki).
Seorang cedera selepas sebuah jalan runtuh di Aomori, dan dua orang di Hokkaido cedera jatuh akibat gegaran kuat itu, Anadolu memetik Kyodo News.
Gempa bumi itu juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kira-kira 2,700 buah rumah di Aomori. Dua kebakaran berasingan dilaporkan di kawasan itu, dan sedang disiasat sama ada ia berkaitan dengan gegaran tersebut.
Tiada keabnormalan dikesan di loji nuklear Tomari di Hokkaido selepas gempa bumi itu.
Pihak berkuasa telah menghentikan perkhidmatan tren Tohoku Shinkansen di timur laut Jepun akibat gempa bumi itu.
Kerajaan juga telah menyediakan bilik tindak balas kecemasan di Pejabat Perdana Menteri sebagai tindak balas kepada gempa bumi itu, kata pejabat itu melalui X, menurut Anadolu.