khaliffa1024@gmail.com

  • 9 maut akibat hujan lebat di Chongqing, barat daya China

    Sembilan orang terbunuh dan 11 lagi tidak dapat dikenal pasti setakat petang Isnin selepas hujan lebat, yang bermula pada malam Sabtu, melanda daerah Yongchuan di perbandaran Chongqing, barat daya China, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

    Usaha menyelamat dan tindak balas masih dijalankan.

    Dari malam Sabtu hingga awal pagi Ahad, hujan lebat yang tiba-tiba dan dahsyat melanda Yongchuan, mencetuskan banjir kilat dan bencana geologi di pelbagai kawasan di daerah itu.

  • 3 dilapor maut dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Tiga serangan dron Israel ke atas kenderaan di lebuh raya Kafr Rumman-Jarmaq dan jalan Jarmaq-Khardali di Nabatieh membunuh tiga orang, menurut berita Al Jazeera memetik laporan Agensi Berita Nasional (NNA) negara itu.

  • 8 maut dalam nahas bas-trak di Brazil

    Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh awal pagi Ahad selepas sebuah bas penumpang berlanggar dengan sebuah trak di lebuh raya persekutuan di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil, menurut Polis Lebuhraya Persekutuan, lapor Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku pada awal pagi di lebuh raya BR-251. Bas itu, yang dalam perjalanan dari Sao Bernardo do Campo di negeri Sao Paulo ke Aracaju di negeri Sergipe, melanggar trak terbabit dan kemudiannya meletup, lapor Xinhua memetik kenyataan polis.

  • 8 maut apabila bangunan dalam pembinaan runtuh di Abidjan, Cote d’Ivoire

    Lapan orang terbunuh selepas sebuah bangunan dalam pembinaan runtuh pada Sabtu di komune Koumassi di selatan Abidjan, kata Briged Bomba Tentera (GSPM) Cote d’Ivoire pada Ahad, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, GSPM berkata dalam satu kenyataan, empat mangsa tambahan telah ditemui semasa operasi mencari terkini, menjadikan jumlah kematian sementara kepada lapan selepas empat mangsa pada mulanya ditemui dari runtuhan.

    Sekitar jam 6 pagi waktu tempatan (0600 GMT) pada Sabtu, sebuah bangunan kediaman lima tingkat yang dalam pembinaan runtuh di kawasan kejiranan Soweto di Koumassi.

    Menurut kementerian pembinaan, penemuan awal menunjukkan runtuhan itu mungkin disebabkan oleh kekurangan struktur yang berkaitan dengan pengiraan galas beban.
    Bangunan itu dilaporkan runtuh selepas kerja menuang konkrit pada papak tingkat lima, dengan hujan lebat pada waktu sebelumnya memburukkan lagi keadaan.

  • 8 cedera dalam kebakaran di kapal kargo di Hamburg

    Satu kebakaran berlaku di sebuah kapal kargo di pelabuhan Hamburg, Jerman pada Ahad, menyebabkan lapan orang cedera serius, termasuk seorang anggota bomba, kata pihak berkuasa Jerman, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, pasukan bomba Hamburg berkata kebakaran itu meletus pada sebelah petang. Tujuh daripada mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala seorang lagi dirawat di tempat kejadian oleh responden kecemasan.

    Kira-kira 80 anggota dari pasukan bomba profesional, pasukan bomba sukarelawan dan perkhidmatan penyelamat kecemasan dikerahkan untuk memadamkan kebakaran, yang berjaya dikawal selepas kira-kira tiga jam.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Amaran merah peringkat tinggi untuk banjir kilat di Anhui dan Hubei

    Kementerian Sumber Air China dan Pentadbiran Meteorologi China bersama-sama mengeluarkan amaran merah peringkat tertinggi untuk banjir kilat pada Ahad di tengah-tengah hujan lebat di seluruh wilayah tengah dan timur negara itu, lapor berita Xinhua.

    Pihak berkuasa memberi amaran, sebahagian wilayah barat Anhui dan timur Hubei menghadapi risiko banjir gunung secara tiba-tiba yang sangat tinggi dari jam 8 malam Ahad hingga 8 malam Isnin.

    Amaran jingga, tahap kedua tertinggi, juga diisytiharkan untuk sebahagian Zhejiang, Anhui, Jiangxi, dan Hubei.

    Kerajaan tempatan telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan masa nyata dan pemindahan proaktif bagi mereka terjejas.

  • 16 militan, 2 polis, 2 militia dilapor maut dalam operasi keselamatan di Khyber Pakhtunkhwa

    Sekurang-kurangnya 16 militan, dua anggota polis dan dua anggota militia terbunuh, manakala beberapa yang lain, termasuk orang awam, cedera semasa operasi keselamatan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan, kata sumber polis pada Ahad, menurut Xinhua.

    Polis dan pasukan keselamatan melancarkan operasi mencari dan menyerang susulan laporan mengenai kehadiran militan di daerah Bannu pada Sabtu, lapor Xinhua memetik sumber.

    Sebuah militia keamanan tempatan turut menyertai operasi itu. Dua anggota militia terbunuh dan tiga lagi cedera apabila militan menjalankan serangan dron semasa pertempuran itu, Xinhua memetik sumber itu.

    Lapan anggota polis juga cedera dalam serangan itu dan dipindahkan ke hospital berdekatan untuk rawatan.

    Operasi mencari untuk mengesan militan di kawasan itu berterusan sehingga pagi Ahad, menurut sumber itu.

    Militan terbabit dilaporkan berasal dari Tehreek-i-Taliban Pakistan yang diharamkan dan menggunakan senjata canggih dalam serangan itu, lapor Xinhua memetik sumber itu.

  • 28 maut dalam runtuhan lombong di Bengo Angola

    Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh pada Sabtu dalam kejadian tanah runtuh di lombong emas haram di perbandaran Nambuangongo, wilayah Bengo utara Angola, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap polis Gaspar Luis Inacio berkata, 13 daripada mangsa adalah ahli keluarga sama, sambil menambah bahawa dua orang masih hilang.

    Francisco Rodrigues, penyelia kesihatan di Hospital Pusat Bengo, dilapor berkata sekurang-kurangnya tiga orang yang cedera menerima rawatan di hospital.

  • Angka maut akibat serangan Israel ke atas Lubnan meningkat

    Sejak 2 Mac lalu, serangan udara Israel di Lubnan telah membunuh 3,151 orang dan mencederakan 9,571 orang, lapor Al Jazeera memetik Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Agensi Berita Nasiona (NNA).

    Orang yang terkorban termasuk 123 petugas perubatan, sekurang-kurangnya 210 kanak-kanak dan hampir 300 wanita, menurut statistik dikongsi oleh pegawai kesihatan, lapor Al Jazeera.

  • Bahrain penjarakan 9 seumur hidup kerana kaitan dengan IRGC

    Sebuah mahkamah Bahrain menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada sembilan orang dan dua orang lagi kepada tiga tahun penjara kerana bekerjasama dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran untuk menjalankan “tindakan bermusuhan dan pengganas” terhadap Bahrain, lapor Al Jazeera memetik agensi berita negara itu.

    Defendan terbabit dalam mengumpul maklumat di tapak sensitif dan memudahkan pemindahan kewangan berkaitan, Al Jazeera memetik laporan itu.