khaliffa1024@gmail.com

  • 9 maut sejak fajar Rabu di Gaza

    Satu serangan Israel pada petang Rabu membunuh seorang lagi rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lain di kawasan kejiranan Al-Daraj di tengah bandar Gaza, menurut agensi berita WAFA.

    Dilaporkan, pesawat Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat lot parkir Jabalia di Jalan Al-Wehda di kawasan kejiranan itu, meragut nyawa seorang awam dan mencederakan beberapa yang lain.

    Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan jumlah kematian di Jalur Gaza sejak fajar hari ini (Rabu) meningkat kepada sembilan orang.

    Ini termasuk empat kematian di utara Jalur Gaza dan seorang di selatan, manakala yang lain meninggal dunia akibat kecederaan dialami sebelum ini.

  • Dua warga Palestin di Israel terbunuh dalam tembakan di Qalansawe

    Dua warga Palestin di Israel terbunuh pada Rabu dalam kejadian tembakan di bandar Qalansawe di Wilayah 1948, lapor WAFA.

    Dua mangsa yang maut, berusia 20-an, dikenal pasti sebagai Mohammed Samir Zbarqa dan sepupunya, Abdul Karim Abdul-Aziz Zbarqa. Seorang lagi pemuda parah dalam kejadian tembakan itu.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan warga Palestin di Israel yang terbunuh sejak awal 2026 kepada 98 orang, termasuk lebih 50 orang di bawah umur 30 tahun, lapan wanita, dan tiga orang terbunuh akibat tembakan polis Israel.

    Lonjakan ini berlaku selepas 2025 yang mencatat rekod tertinggi, apabila 252 orang terbunuh dalam 218 insiden berasingan, menurut Abraham Initiatives, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau keganasan dalam kalangan warga Palestin di Israel, lapor WAFA.

  • Anak lelaki pemimpin Hamas parah dalam serangan Israel ke atas bandar Gaza

    Serangan Israel ke atas bandar Gaza mencederakan anak lelaki pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya, menurut berita Al Jazeera memetik sumber yang memberitahu rakan sekerjanya di lapangan.

  • Empat terbunuh semasa serangan Israel ke atas Saksakieh, selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 33 cedera semasa serangan Israel ke atas pekan Saksakieh, kata Kementerian Kesihatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

  • Amnesty seru pembebasan aktivis flotila Gaza yang diculik

    Amnesty International menyeru pembebasan aktivis diculik, Saif Abu Keshek dan Thiago Avila, yang ditahan oleh Israel sejak pasukannya memintas kapal Flotila Sumud Global di perairan antarabangsa minggu lalu, menurut berita Al Jazeera.

    Abu Keshek dan Avila “berisiko besar untuk dicabuli hak asasi manusia, termasuk penyeksaan dan layanan buruk yang lain,” kata Amnesty, memetik “dokumentasi terdahulu mengenai penderaan dilakukan terhadap aktivis flotila yang ditahan pada Oktober 2025 di tangan pihak berkuasa Israel”.

    NGO itu berkata ia amat bimbang mengenai Abu Keshek, “seorang warganegara Palestin-Sepanyol-Sweden”, kerana dia “ditahan kerana disyaki bergabung dengan organisasi pengganas memandangkan undang-undang diskriminasi Israel dan rekod berterusan gangguan dan penindasan terhadap rakyat Palestin di bawah sistem apartheid Israel”.

    Amnesty International menyeru Israel untuk “segera membebaskan mereka dan memastikan mereka dilindungi semasa dalam tahanan”.

  • Rusia gesa negara asing pindah diplomat dari ibu negara Ukraine

    Rusia pada Rabu menggesa negara asing untuk memindahkan diplomat dan kakitangan mereka yang lain dari ibu negara Ukraine, Kyiv, kerana kemungkinan “serangan balas” jika Ukraine melakukan serangan di tengah-tengah sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, dalam satu kenyataan, berkata satu nota telah dihantar kepada semua misi diplomatik asing dan pejabat perwakilan organisasi antarabangsa yang diiktiraf dengan kementerian.

  • Israel serang ibu kota Lubnan dalam serangan pertama sejak gencatan senjata April

    Israel melancarkan serangan udara di pinggir bandar selatan Beirut pada petang Rabu, menandakan serangan pertama ke atas ibu kota Lubnan sejak gencatan senjata sementara berkuat kuasa pada 17 April, menurut berita Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) dikendalikan kerajaan, pesawat perang Israel menyerang kawasan Ghobeiry berhampiran Haret Hreik, dekat stesen minyak Allameh di selatan Beirut.

    Tiga peluru berpandu melanda sebuah apartmen kediaman di selatan Beirut, di sekitar Haret Hreik, Anadolu memetik agensi itu.

  • Dua terbunuh dalam serangan Israel di Khirbet Selm Lubnan

    Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan seorang cedera akibat serbuan Israel yang menyasarkan sebuah rumah di pekan Khirbet Selm di Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

  • Kolonel polis Gaza terbunuh dalam serangan udara Israel

    Serangan udara Israel ke atas Gaza mengorbankan seorang pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri Palestin, kata pegawai kesihatan, menurut berita Al Jazeera.

    Pasukan perubatan mengenal pasti orang yang terbunuh sebagai Naseem al-Kalazani, seorang kolonel dalam pasukan polis Gaza, sambil menambah bahawa dia disasarkan oleh serangan ke atas kenderaannya dekat kawasan al-Mawasi di barat Khan Younis.

    Serangan itu mencederakan sekurang-kurangnya 17 orang lain.

  • Trump ancam mengebom Iran pada tahap jauh lebih tinggi jika perjanjian damai tidak dicapai

    Presiden AS Donald Trump berkata pada Rabu bahawa jika Tehran tidak bersetuju dengan perjanjian damai dengan Washington, pasukan AS akan menyambung semula pengeboman “pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya”, lapor Xinhua.

    “Dengan mengandaikan Iran bersetuju untuk memberikan apa yang telah dipersetujui, yang mungkin merupakan andaian besar, Epic Fury yang sudah legenda akan berakhir, dan sekatan yang sangat berkesan akan membolehkan Selat Hormuz terbukan kepada semua, termasuk Iran,” tulis Trump dalam catatan di akaun Truth Social, menurut Xinhua.

    “Jika mereka tidak bersetuju, pengeboman akan bermula, dan malangnya, ia akan berada pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya,” tambahnya.

    Pada Selasa di taklimat berita Rumah Putih, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata operasi ketenteraan Epic Fury sudah berakhir, lapor Xinhua.

    “Operasi itu sudah berakhir. Epic Fury, seperti yang diberitahu oleh presiden kepada Kongres, kami sudah selesai dengan peringkat itu,” kata Rubio kepada pemberita, menurut Xinhua.

    Juga pada Selasa, Trump berkata tentera AS akan menghentikan usahanya untuk membimbing kapal melalui Selat Hormuz buat masa ini sambil mengekalkan sekatannya terhadap pelabuhan Iran, memandangkan “kemajuan besar telah dicapai ke arah perjanjian lengkap dan muktamad dengan wakil Iran.”