khaliffa1024@gmail.com

  • Dron Israel sasar orang awam, bunuh seorang di utara Gaza

    Seorang lelaki Palestin terbunuh awal pagi Selasa apabila sebuah dron Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat bulatan al-Jalaa di kawasan al-Ayoun, utara bandar Gaza, menurut berita WAFA.

    Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan serangan itu juga mengakibatkan kecederaan, sesetengahnya parah.

  • Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh pada Ahad di Gaza

    Sekurang-kurangnya tiga dilaporkan terbunuh pada Ahad di Jalur Gaza termasuk kanak-kanak, akibat tindakan kejam tentera Israel.

    Menurut berita WAFA, pada petang Ahad, seorang pemuda Palestin mati ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia, utara Jalur Gaza.

    Sumber perubatan dilapor berkata mangsa, Ahmad Ramadan al-Harsh, terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan kem Jalan al-Hoja.

    WAFA sebelumnya melaporkan, seorang warga Palestin terbunuh akibat tembakan Israel di timur Khan Younis di selatan Jalur Gaza.

    Sumber perubatan mengatakan mangsa yang tidak dikenali itu mati ditembak oleh pasukan pendudukan Israel dekat bulatan Bani Suheila di timur Khan Younis.

    Terdahulu pada hari itu, WAFA melaporkan, budak lelaki, Riyad Naji Abu Nimer, 15, terbunuh dalam serangan dron Israel di kawasan sama.

    Dia dilaporkan terkena serpihan selepas sebuah dron menjatuhkan bom ke atas sekumpulan orang awam di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis.

    Dia meninggal dunia akibat kecederaannya sebelum sampai ke hospital, manakala yang lain cedera dalam serangan itu, lapor WAFA.

  • Kesatuan akhbar Palestin lapor 300 pelanggaran Israel pada 2026

    Sindiket Wartawan Palestin berkata pada Ahad, ia merekodkan kira-kira 300 pelanggaran dan serangan terhadap wartawan Palestin sejak awal 2026, di tengah-tengah peningkatan penyasaran pekerja media, menurut berita Anadolu.

    Pengumuman itu dibuat semasa perhimpunan dianjurkan oleh sindiket itu di luar ibu pejabatnya di bandar al-Bireh di Tebing Barat yang diduduki, memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dan membantah serangan berterusan terhadap wartawan.

    Peserta mengangkat sepanduk menuntut penghentian pembunuhan pekerja media dan akauntabiliti untuk Israel.

    “Aktiviti yang dianjurkan pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia bertujuan untuk menonjolkan keadaan luar biasa dan belum pernah terjadi sebelumnya di mana wartawan Palestin beroperasi,” Omar Nazzal, timbalan ketua sindiket itu, berucap kepada orang ramai, lapor Anadolu.

    Wartawan sedang menghadapi “jentera perang Israel yang paling garang,” tambahnya, sambil menyatakan lebih daripada 4,000 pelanggaran telah direkodkan terhadap mereka sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023.

    “Bilangan wartawan yang terbunuh mencecah 262 wartawan lelaki dan wanita sejak tarikh itu, termasuk 261 di Jalur Gaza, di samping enam wartawan yang terbunuh sejak awal tahun 2026,” kata Mohammad al-Lahham, ketua jawatankuasa kebebasan sindiket itu, menurut Anadolu.

    Menurutnta, tahun semasa juga telah menyaksikan 10 kecederaan langsung, 22 tangkapan, 120 kes penahanan atau pencegahan daripada liputan, dan 12 serangan yang dilakukan oleh penjajah Israel.

    Lahham berkata, jumlah pelanggaran sejak Oktober 2023 mencecah 3,983, membabitkan 1,072 pada 2023, 1,325 pada 2024, 1,286 pada 2025, dan 300 pada 2026.

    Pelanggaran ini termasuk 240 kes tembakan terus ke arah kru media dan 352 kes melibatkan gas pemedih mata dan bom tangan pegun, serta pemukulan, perampasan peralatan, dan larangan perjalanan, katanya.

    Sindiket itu berkata dalam laporan yang dibacakan di acara itu bahawa ia telah mendokumentasikan 188 tangkapan sejak Oktober 2023, bersama-sama dengan pemusnahan 187 institusi dan pejabat media dan 140 rumah milik wartawan.

    Sindiket itu melaporkan pembunuhan 713 ahli keluarga wartawan, menunjukkan bahawa penyasaran itu melangkaui pekerja media hinggalah persekitaran sosial mereka.

    Sindiket itu berkata penyasaran wartawan “bukanlah tingkah laku individu” tetapi sebahagian daripada “dasar sistematik” yang bertujuan untuk menyekat kewartawanan dan membungkam naratif Palestin, terutama di tengah-tengah liputan lapangan peristiwa.

    Ia menyeru PBB dan organisasi antarabangsa untuk menyediakan perlindungan segera untuk wartawan Palestin, membuka siasatan bebas terhadap pelanggaran, dan memastikan akauntabiliti.

  • Angka maut di Lubnan akibat serangan Israel cecah 2,679

    Kementerian Kesihatan Awam Lubnan memberikan angka korban terkini sejak permulaan serangan Israel ke atas Lubnan lebih dua bulan lalu.

    Antara 2 Mac dan 3 Mei, serangan Israel di seluruh Lubnan telah mengorbankan 2,679 orang dan mencederakan 8,229 orang, kata kementerian itu, menurut berita Al Jazeera.

  • Satu terbunuh, yang lain cedera dalam pencerobohan Israel ke Nablus

    Seorang pemuda Palestin terbunuh dan empat orang cedera apabila pasukan Israel melepaskan tembakan semasa serbuan di bandar Nablus di Tebing Barat yang diduduki, menurut berita Al Jazeera.

    Al Jazeera melaporkan, menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Nayef Feras Samaro, 26, terbunuh selepas mengalami luka tembakan di kepala.

    Empat orang yang cedera, termasuk dua kanak-kanak, telah disasarkan dengan peluru hidup dengan satu tembakan di pelvis dan satu lagi di dada, lapor Al jazeera.

  • Yahudi British hadapi kebencian dari semua sisi

    Komuniti Yahudi di UK sedang menghadapi ancaman terbesarnya, kata Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Mark Rowley selepas kejadian tikaman baru-baru ini di London, menurut berita RT.

    Pada Rabu, dua lelaki Yahudi cedera dalam serangan pisau oleh seorang warganegara British yang berasal dari Somalia di kawasan Golders Green di bandar itu, lapor RT, suspek yang kemudiannya ditahan, juga cuba membunuh rakan 20 tahunnya pada hari yang sama.

    Polis mengatakan dia mempunyai sejarah keganasan yang serius dan masalah kesihatan mental.

    Menurut RT, dalam temu bual dengan Times pada Sabtu, Rowley berkata, “setiap kumpulan perkauman atau ekstremis atau pengganas mempunyai senarai orang yang mereka benci, kerana mereka semua mencipta ‘orang lain’ yang mereka mahu salahkan segala-galanya,” menggunakan konsep dibangunkan oleh ahli psikologi Perancis abad ke-20, Jaques Lacan.

    RT melaporkan, menurut ketua polis itu, Yahudi British “berada dalam senarai semua orang, semua kumpulan yang penuh kebencian itu, sama ada anda ekstrem kanan, sama ada anda ekstrem kiri, sama ada anda pengganas Islamis, sama ada anda pengganas sayap kanan, dan beberapa negara yang bermusuhan juga sekarang, dengan sesetengah jenis ancaman berkaitan Iran”.

  • Sekurang-kurangnya 7 terbunuh dalam serangan baharu Israel di selatan Lubnan

    Serangan baharu Israel membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang di selatan Lubnan pada Ahad meskipun gencatan senjata berterusan, menurut berita Anadolu memetik media Lubnan.

    Tiga orang terbunuh dalam serangan udara di pekan Safad al-Batikh, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) dikendalikan kerajaan.

    Satu lagi serangan udara dekat Tyre mengorbankan tiga orang – dua rakyat Syria dan seorang rakyat Mesir, Anadolu memetik NNA.

    Seorang lagi terbunuh apabila sebuah dron melanda sebuah motosikal di kawasan sama.

    Dilaporkan, pada 2 Mac lalu, tentera Israel telah melancarkan serangan yang diperluas di Lubnan, mengorbankan lebih 2,600 orang dan menyebabkan lebih 1.6 juta orang lain kehilangan tempat tinggal.

  • 2 anggota perkhidmatan AS hilang semasa latihan ketenteraan di Maghribi

    Dua anggota perkhidmatan AS hilang dekat Kawasan Latihan Cap Draa dekat bandar Tan Tan di Maghribi semasa menyertai latihan African Lion 2026, menurut berita Anadolu memetik Perintah Afrika AS pada Ahad.

    Pasukan AS, Maghribi dan pasukan multinasional lain melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang diselaraskan membabitkan aset darat, udara dan maritim, kata perintah itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa insiden itu masih dalam siasatan dan pencarian sedang dijalankan.

    Anadolu memetik CBS News, askar-askar terbabit hilang dalam kemalangan yang tidak berkaitan dengan latihan itu.

    African Lion 2026 merupakan satu daripada latihan ketenteraan terbesar di Afrika dan berlangsung dari 13 April hingga 8 Mei, dengan pasukan dari lebih 30 negara mengambil bahagian di bawah kepimpinan AS dan Maghribi, dengan Tunisia, Ghana dan Senegal menghoskan sebahagian daripada latihan itu.

  • Pendudukan Israel di Jalur Gaza dilapor berkembang kepada 59% walaupun gencatan senjata

    Israel meluaskan pendudukannya ke 59% Gaza dan sedang bersedia untuk kemungkinan penyambungan semula genosid di wilayah Palestin itu, menurut berita Anadolu memetik Radio Tentera Israel pada Ahad.

    Sebelum gencatan senjata Oktober 2025, Israel menduduki 53% jalur itu, kata penyiar itu.

    Bagi pihaknya, kumpulan Palestin Hamas berkata tentera Israel menduduki lebih 60% wilayah pesisir pantai.

    Pegawai kanan tentera Israel “menekan untuk penyambungan semula pertempuran di Gaza dan percaya bahawa masa terbaik untuk mengalahkan Hamas adalah sekarang,” kata radio itu, seperti dilaporkan.

    Menurut Anadolu, radio itu juga melaporkan persediaan ketenteraan untuk kemungkinan penyambungan semula pertempuran, dengan menyatakan bahawa tentera telah mengurangkan pasukan di selatan Lubnan dan mengerahkan semula briged tetap ke Gaza dan Tebing Barat.

    Ia mengatakan bahawa perintah selatan telah menyelesaikan rancangan operasi dan bersedia untuk menyambung semula pertempuran jika diperintahkan oleh kepimpinan politik.

    Laporan itu muncul di tengah-tengah pelanggaran gencatan senjata berterusan Israel di Jalur Gaza serta serangan di Tebing Barat.

    Gencatan senjata itu bertujuan untuk menamatkan serangan Israel selama dua tahun ke atas Gaza, yang menyebabkan lebih 72,000 orang terkorban dan 172,000 orang cedera, dan memusnahkan 90% infrastruktur awam.

  • 4 terbunuh, 3 cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel pada Ahad di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan, seorang penunggang motosikal terbunuh dalam serangan di pekan Haris, dan tiga lagi terbunuh dalam serangan di sebuah masjid di pekan Sammaaiyeh. Tiga lagi cedera di pekan Safad al-Battikh.

    Sementara itu, dua mayat ditemui pada Ahad dari kawasan Al-Maaliyeh di daerah Tyre susulan serangan udara Israel sehari sebelumnya, Xinhua memetik NNA.

    Pesawat perang Israel juga menjalankan serbuan di Nabatieh dan Tyre, memusnahkan beberapa rumah.

    Secara berasingan, ahli parlimen Hizbullah Hassan Fadlallah pada Ahad menolak sebarang langkah ke arah rundingan langsung dengan Israel, dengan mengatakan rundingan sedemikian “tidak akan menghasilkan keputusan” mahupun menjamin gencatan senjata yang komprehensif.

    Dia berikrar akan meneruskan operasi daripada Hizbullah terhadap tentera Israel.

    Terdahulu pada Ahad, tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk 11 kampung dan pekan di selatan Lubnan, termasuk beberapa yang terletak di luar kawasan pasukannya ditempatkan.