khaliffa1024@gmail.com

  • Kebakaran bangunan di tenggara Perancis ragut 3 nyawa

    Tiga orang maut dan 50 penduduk dipindahkan selepas kebakaran berlaku pada Isnin di sebuah bangunan pangsapuri di pinggir bandar Lyon di tenggara Perancis, menurut berita Anadolu memetik laporan penyiar tempatan BFM TV.

    Seorang daripada mangsa ialah seorang lelaki yang terjun dari tingkat atas untuk melarikan diri daripada kebakaran, lapor Anadolu, 14 yang lain mengalami penyedutan asap tetapi tidak dilaporkan berada dalam keadaan mengancam nyawa.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku pada pagi Isnin di sebuah bangunan tujuh tingkat di komune Decines dan kemudiannya dipadamkan oleh anggota bomba.

  • 4 maut dalam nahas pesawat ringan di kawasan Sossusvlei, Namibia

    Empat maut dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan Sossusvlei, Namibia, menurut berita Xinhua memetik pengendali carter tempatan Desert Air pada Isnin.

    Serpihan pesawat itu yang dilaporkan hilang pada Ahad, ditemui pada pagi Isnin di kawasan Sossusvlei, destinasi pelancongan popular di Gurun Namib, Namibia, lapor Xinhua memetik syarikat itu. Mangsa membabitkan juruterbang pesawat dan tiga penumpang di dalamnya.

  • 11 maut apabila van penumpang terjunam ke gaung di Khyber Pakhtunkhwa

    Sekurang-kurangnya 11 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan lima lagi parah selepas sebuah van penumpang terjunam ke dalam gaung yang dalam di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, lapor Xinhua memetik pegawai penyelamat tempatan memberitahunya pada Isnin.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku di daerah Swat di wilayah itu pada Ahad ketika van itu dalam perjalanan dari pusat peranginan pelancongan Malam Jabba ke Sair Telegram di laluan pergunungan.

    Pasukan penyelamat dan penduduk tempatan bergegas ke lokasi dan melancarkan operasi bantuan serta memindahkan lima mayat dan 11 orang cedera ke hospital, di mana enam daripada mereka yang cedera meninggal dunia semasa rawatan.

  • Pertahanan udara Iran dilapor tembak jatuh ‘dron musuh’

    Tentera Iran mengatakan awal Isnin, sistem pertahanan udaranya menembak jatuh sebuah “dron peninjau musuh” di wilayah barat daya negara itu, menurut berita Anadolu.

    Pejabat perhubungan awam tentera mengatakan dron itu dipintas dan dimusnahkan oleh rangkaian pertahanan udara bersepadu negara itu, lapor Anadolu memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA.

    Dilaporkan, dron itu ditembak jatuh oleh unit yang beroperasi di bawah perintah ibu pejabat pertahanan udara bersama Iran di barat daya Iran.

    Insiden itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat selepas Presiden AS Donald Trump pada Ahad menolak respons terbaru Tehran terhadap rancangan damai Amerika, dengan menyifatkannya sebagai “tidak dapat diterima sama sekali”, lapor Anadolu.

  • ‘Setiap kali kami terpaksa lawan, kami akan lawan’ – jurucakap Kementerian Luar Iran

    “Setiap kali kami terpaksa lawan, kami akan lawan, dan setiap kali ada ruang untuk diplomasi, kami akan rebut peluang itu,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, menurut berita Al Jazeera.

    “Walau bagaimanapun, diplomasi mempunyai peraturannya sendiri,” kata Baghaei.

    “Keputusan itu akan berdasarkan kepentingan negara kami, dan Iran telah membuktikan bahawa kami bertekad untuk melindungi kepentingan rakyat kami.”

  • Iran dilapor hukum mati lelaki disabitkan kesalahan intip untuk CIA dan Mossad

    Iran menghukum mati seorang lelaki yang disabitkan kesalahan mengintip untuk perkhidmatan perisikan AS dan Israel, menurut berita Reuters yang memetik laporan saluran berita badan kehakiman Mizan pada Isnin.

    Menurut Reuters, Mizan mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Erfan Shakourzadeh, mengatakan dia pernah bekerja di sebuah organisasi saintifik yang terlibat dalam aktiviti satelit dan telah berkongsi maklumat saintifik sulit dengan perkhidmatan perisikan asing.

    Reuters melaporkan, menurut kumpulan hak asasi manusia Iran Human Rights Society, Erfan seorang graduan kejuruteraan aeroangkasa berusia 29 tahun, ditangkap pada 2025 dan dipaksa mengaku.

  • 6 maut kereta jatuh gaung di utara India

    Sekurang-kurangnya enam orang maut, dan empat lagi parah apabila kereta yang mereka naiki jatuh ke dalam gaung dalam di negeri berbukit Himachal Pradesh di utara India pada Isnin, kata polis tempatan, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan itu dilaporkan dari kawasan Chamba di Himachal Pradesh. Semua mangsa dari negeri barat Gujarat dan dalam perjalanan bercuti ke negeri itu.

  • Askar Israel dilapor terbunuh dekat sempadan Lubnan

    Tentera Israel mengumumkan seorang askar terbunuh dalam pertempuran dekat sempadan Lubnan, menurut berita Al Jazeera.

    Askar terbabit dilaporkan Alexander Glovanyov, 47, seorang pemandu kenderaan untuk tentera yang terbunuh pada Ahad.

  • 5 anggota keselamatan terbunuh dalam serangan dron di Libya

    Pihak Anti-Ancaman Keselamatan Libya yang bersekutu dengan Kerajaan Perpaduan Nasional berkata pada Ahad, lima anggotanya terbunuh dalam serangan dron di bandar barat Zawiya, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, agensi itu dalam satu kenyataan, berkata mereka terbunuh pada Jumaat semasa menjalankan operasi keselamatan bersama yang dilancarkan di bawah arahan daripada Dewan Keselamatan Bersama dan Direktorat Keselamatan Zawiya, dengan sokongan Pejabat Pendakwa Raya dan pihak berkuasa kehakiman berkaitan, untuk mengejar penjenayah dikehendaki atas jenayah yang mengancam keselamatan dan kestabilan sosial.

    Pasukan keselamatan diserang secara langsung oleh dron bersenjata “ketepatan tinggi”, mengakibatkan kematian beberapa anggota yang terlibat dalam operasi dan kecederaan kepada yang lain, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

    Terletak kira-kira 60 km di barat ibu negara Tripoli, Zawiya menjadi tuan rumah kepada kilang penapisan minyak terbesar di Libya, dengan kapasiti pengeluaran 120,000 tong produk petroleum sehari.

  • Pesawat Turkish Airlines dilapor terbakar pada tayar gear pendaratan di lapangan terbang Kathmandu

    Sebuah pesawat Turkish Airlines terbakar pada tayar gear pendaratannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan Nepal pada pagi Isnin, lapor Xinhua memetik kata seorang pegawai.

    Penumpang dipindahkan melalui pintu kecemasan sementara anggota bomba memadamkan kebakaran, menurut Xinhua.

    Raj Kumar Silwal, jurucakap di Pejabat Keselamatan Lapangan Terbang, berkata 276 penumpang dan 11 anggota kru diselamatkan dengan selamat.