khaliffa1024@gmail.com

  • 470,000 rakyat Kemboja yang terlantar akibat konflik sempadan pulang ke rumah

    Daripada lebih 640,000 rakyat Kemboja yang terlantar akibat konflik baru-baru ini, kira-kira 470,000 kini telah kembali ke komuniti mereka, menurut laporan Agence Kampuchea Presse (AKP), memetik kementerian dalam negeri.

    “Setakat ini, hanya 178,894 orang terlantar yang tinggal di kem-kem perpindahan, termasuk 93,534 wanita dan 58,094 kanak-kanak,” kementerian itu menggariskan.

    Menurut laporan AKP, pertempuran bersenjata sempadan selama tiga minggu, dari 7 hingga 27 Disember 2025, meragut sejumlah 32 nyawa orang awam, mencederakan lebih 95 orang lain, dan menyebabkan lebih 640,000 orang berpindah.

  • Presiden Jerman kata AS sedang musnahkan orde dunia

    Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier mengkritik keras dasar luar Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump dan menggesa dunia agar tidak membiarkan orde dunia hancur menjadi “sarang perompak” di mana orang yang tidak bertanggungjawab mengambil apa yang mereka mahukan, menurut laporan Reuters.

    Dalam kenyataan yang luar biasa tegas, yang seolah-olah merujuk kepada tindakan seperti penggulingan Presiden Venezuela Nicolas Maduro pada hujung minggu, bekas menteri luar itu dilapor berkata demokrasi global sedang diserang seperti yang belum pernah terjadi sebelumnya.

    Walaupun peranan presiden Jerman sebahagian besarnya bersifat upacara, kata-katanya membawa sedikit berat dan beliau mempunyai lebih banyak kebebasan untuk meluahkan pandangan berbanding ahli politik.

    Menyifatkan pengilhakan Crimea oleh Rusia dan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine sebagai titik perubahan, Steinmeier berkata tingkah laku AS mewakili perpecahan bersejarah kedua, lapor Reuters.

    “Kemudian terdapat pecahan nilai oleh rakan kongsi kita yang paling penting, Amerika Syarikat, yang membantu membina orde dunia ini,” kata Steinmeier dalam ucapan di simposium lewat Rabu.

    “Ia adalah mengenai mencegah dunia daripada menjadi sarang perompak, di mana mereka yang paling tidak bertanggungjawab mengambil apa sahaja yang mereka mahu, di mana wilayah atau seluruh negara dianggap sebagai hak milik beberapa kuasa besar,” katanya.

    Campur tangan aktif diperlukan dalam situasi yang mengancam dan negara-negara seperti Brazil dan India mesti diyakinkan untuk melindungi orde dunia, katanya.

  • Menteri dalam negeri Venezuela kata 100 orang maut dalam serangan AS

    Menteri dalam negeri Venezuela, Diosdado Cabello, berkata lewat Rabu bahawa 100 orang maut dalam serangan Amerika Syarikat (AS) yang menggulingkan Presiden Nicolas Maduro daripada kuasa pada Sabtu lalu, menurut laporan Reuters.

    Caracas sebelum ini tidak memberikan nombor bagi mereka yang terbunuh, tetapi tentera menyiarkan senarai 23 nama mereka yang terkorban, menurut Reuters, pegawai Venezuela berkata sebahagian besar kontinjen keselamatan Maduro terbunuh “dengan kejam” (in cold blood) dan Cuba berkata tentera dan perkhidmatan perisikannya di Venezuela terbunuh.

    Isteri Maduro, Cilia Flores, yang ditahan di sisinya, mengalami kecederaan kepala semasa serbuan AS, kata Cabello, dan Maduro cedera di kakinya – menurut laporan Reuters.

    Venezuela yang dipuji Cabello semasa rancangan mingguannya di televisyen kerajaan sebagai “berani”, pada Selasa mengisytiharkan seminggu berkabung untuk anggota tentera yang terbunuh dalam serbuan itu.

  • Zelenskyy seru AS sasarkan pemimpin Chechen, Kadyrov, dalam gaya penangkapan Maduro

    Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Rabu, menyeru Amerika Syarikat *AS) untuk menyasarkan Ramzan Kadyrov, pemimpin wilayah Chechnya Rusia, dengan “operasi” yang sebanding dengan penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro baru-baru ini, menurut laporan Anadolu.

    “Cari alat, tekan Rusia. Tolong, di sini adalah contoh untuk anda, dengan Maduro. Ya, mereka menjalankan operasi,” kata Zelenskyy kepada pemberita dalam mencadangkan langkah serupa oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
    “Hasilnya telah dilihat oleh semua orang, seluruh dunia. Mereka melakukannya dengan cepat.”

    “Baiklah, biarkan mereka melakukan beberapa operasi dengan ini, sapa namanya, Kadyrov … Mungkin Putin akan melihat ini dan memikirkannya,” katanya.

    Pemimpin Ukraine itu menekankan bahawa sementara Kyiv melakukan “semuanya” untuk diplomasi berfungsi, negara itu mesti bersedia jika landasan keamanan gagal disebabkan oleh posisi Rusia.

    Menurut Anadolu, Zelenskyy menyatakan bahawa AS kini “produktif” tetapi menegaskan mereka perlu memberi lebih banyak tekanan ke atas Moscow.

    “Mereka mempunyai alat, mereka tahu bagaimana, dan apabila mereka benar-benar mahu, mereka boleh mencari (jalan). Perkara utama ialah Ukraine menjadi keutamaan bagi mereka (AS),” katanya.

    Komen-komen itu dibuat di tengah-tengah perhatian global yang meningkat terhadap operasi khas AS susulan penangkapan Maduro di Venezuela – satu kaedah yang telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin dunia.

  • Angka maut akibat protes di Iran dilapor meningkat kepada 38

    Jumlah kematian akibat protes di Iran meningkat kepada 38 orang, menurut berita Anadolu memetik laporan Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia Iran (HRANA) pada Rabu.

    Laporan yang diterbitkan di laman web kumpulan berpangkalan di AS itu mengatakan demonstrasi telah berlangsung di seluruh negara selama 11 hari.

    Ia mengatakan protes berlaku di semua 31 wilayah, mengakibatkan kematian 34 peserta protes dan empat anggota pasukan keselamatan.

    Demonstrasi dilaporkan berlaku di 348 lokasi, menyebabkan berpuluh-puluh cedera dan 2,217 ditahan.

    Kecederaan sebahagian besarnya disebabkan oleh tembakan pelet dan peluru plastik, menurut laporan itu.

    Pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan mengenai mereka yang terbunuh atau cedera.

    Iran telah digegarkan oleh protes meluas sejak beberapa minggu kebelakangan ini di tengah-tengah ekonomi yang merosot dan susut nilai mata wang rial, yang telah melepasi 1,350,000 berbanding dolar, menurut laporan Anadolu.

  • Rusia kata AS tidak seharusnya halang kepulangan segera rakyat Rusia di atas kapal tangki yang dirampas ke tanah air

    Amerika Syarikat (AS) tidak seharusnya menghalang kepulangan segera rakyat Rusia di atas kapal tangki berbendera Rusia yang dirampas ke tanah air mereka, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita TASS pada Rabu, yang memetik Kementerian Luar Rusia.

  • 4 maut, 23 cedera dalam kemalangan bas di Nepal

    Empat orang terbunuh dan 23 lagi cedera dalam kemalangan bas di pinggir Kathmandu pada petang Rabu, lapor Xinhua memetik pegawai polis.

    Bas itu, dilaporkan membawa kira-kira 40 orang, terhumban kira-kira 100 meter dari lebuh raya, yang membawa kepada kejadian maut itu.

    Pawan Bhattarai, jurucakap balai polis daerah, dilapor berkata sesetengah mereka yang cedera dalam keadaan serius.

    Bas itu dilaporkan membawa orang berkelah yang bekerja untuk sebuah organisasi berpangkalan di ibu negara, dan polis sedang menyiasat punca kemalangan itu.

  • Rusia serang sasaran ketenteraan di seluruh Ukraine

    Angkatan Tentera Rusia menyerang berbilang sasaran ketenteraan Ukraine, termasuk tapak berkaitan dron, depot tentera dan titik penempatan sementara, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Rabu, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut kementerian itu, serangan itu menyasarkan kemudahan yang terlibat dalam pengeluaran, penyimpanan, persediaan pra-penerbangan dan pelancaran dron jarak jauh, serta depot peluru, gudang peralatan ketenteraan dan titik penempatan sementara angkatan tentera Ukraine di 140 lokasi.

    Kementerian itu menambah bahawa sistem pertahanan udara Rusia memintas roket yang dilancarkan dari sistem roket pelancaran berganda HIMARS buatan AS dan menembak jatuh 106 kenderaan udara tanpa pemandu sayap tetap sepanjang hari lalu.

  • Rusia mengatakan ia terputus hubungan dengan kapal tangki Marinera, tuduh AS langgar undang-undang maritim

    Kementerian Pengangkutan Rusia mengatakan ia telah terputus hubungan dengan kapal tangki minyak Marinera berbendera Rusia setelah pasukan tentera laut Amerika Syarikat (AS) menaikinya di Atlantik Utara, menurut laporan Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, dalam satu kenyataan, kementerian itu mengatakan rampasan kapal itu oleh AS melanggar undang-undang maritim.

    “Selaras dengan Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-undang Laut, kebebasan navigasi berlaku di laut lepas, dan tidak ada negara yang berhak menggunakan kekerasan terhadap kapal yang berdaftar dengan sewajarnya di bidang kuasa negara lain,” kata kenyataan itu, menurut Aljazeera.

  • Moscow kutuk rampasan kapal tangki berbendera Rusia oleh AS di Atlantik Utara

    Moscow pada Rabu mengutuk Amerika Syarikat (AS) kerana merampas kapal tangki berbendera Rusia di Atlantik Utara, susulan pengejaran yang bermula di luar pantai Venezuela, lapor berita Xinhua.

    “Selaras dengan Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-undang Laut, kebebasan navigasi terpakai di perairan di laut lepas, dan tiada negara berhak menggunakan kekerasan terhadap kapal yang didaftarkan di bawah bidang kuasa negara lain,” kata Kementerian Pengangkutan Rusia dalam satu kenyataan, menurut laporan Xinhua.