Sekurang-kurangnya seorang awam terbunuh, dan tujuh yang lain cedera dalam pengeboman berani mati dekat sebuah masjid ketika solat Jumaat di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, lapor Anadolu memetik seorang pegawai polis tempatan.
Letupan itu berlaku di kawasan Khairo Khel di daerah Lakki Marwat, tempat jemaah berkumpul untuk solat Jumaat.
Menurut Anadolu, seorang pegawai polis memberitahunya, dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, bahawa butiran awal menunjukkan penyerang cuba memasuki masjid tetapi gagal masuk ke dalam dan meletupkan bahan letupan di luar bangunan masjid.
Mereka yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan.
Pihak berkuasa telah mengepung kawasan itu dan melancarkan siasatan terhadap kejadian itu. Tiada kumpulan yang segera mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Lakki Marwat, salah satu daerah selatan Khyber Pakhtunkhwa, menyaksikan peningkatan keganasan militan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan polis dan pasukan keselamatan sering menjadi sasaran, menurut Anadolu.
Pakistan telah mengalami kebangkitan semula serangan militan, terutama di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Balochistan, yang mendorong operasi keselamatan berterusan oleh pihak berkuasa.